fbpx

Toyota bZ3 – sedan elektrik untuk pasaran China dengan jarak lebih 600 km

Toyota bZ3 02

TOYOTA Motor Corporation telah memperkenalkan model kedua dalam siri kenderaan elektrik bZ (beyond Zero) iaitu Toyota bZ3.

Berbeza dengan bZ4X yang merupakan sebuah crossover, bZ3 adalah sebuah model sedan yang dibangunkan khusus untuk pasaran China. Ia merupakan hasil dari kerjasama antara tiga syarikat iaitu Toyota, BYD Toyota EV Technology (BTET) yang merupakan usaha sama antara Toyota dan BYD, serta FAW Toyota.

Dari segi reka bentuk, bZ3 mewarisi rekaan ‘yu tukul’ seperti bZ4X namun ia dilihat mempunyai garis bumbung yang lebih sleek dan punggung yang agak pendek, memberikannya profil yang lebih ke arah fastback.

Ia mempunyai kadar pekali seretan (Cd) 0.28 yang disumbangkan oleh elemen-elemen seperti pemegang pintu yang rata, tirai udara serta bampar dan rim aluminium yang direka secara aerodinamik.

bZ3 dibina menggunakan platform e-TNGA yang mempunyai pusat graviti yang rendah untuk pengendalian yang lebih responsif, stabil serta selesa.

Dari segi saiz, model ini mempunyai ukuran panjang 4,725 mm, lebar 1,835 mm dan tinggi 1,475 mm, menjadikannya lebih panjang dan rendah berbanding bZ4X. Ukuran tapak roda adalah 2,880 mm, 30 mm lebih panjang berbanding crossover itu.

Ruang dalaman bZ3, digelar ‘Family Lounge’, boleh menempatkan sehingga lima orang penumpang dengan selesa. Rekaan papan pemukanya agak berbeza dan lebih ringkas kerana ia menggunakan skrin potret, manakala konsol tengahnya berbentuk bulat dan hanya mempunyai tombol pemilih gear, butang parkir dan lampu kecemasan.

Spesifikasi teknikal masih belum didedahkan namun menurut Toyota, bZ3 menggunakan sistem elektrik yang terdiri daripada bateri LFP (ion litium fosfat) keluaran BYD dan teknologi Toyota. Gabungan ini dikatakan memberikan jarak pemanduan melebihi 600 km mengikut kitaran CLTC (China Light-Duty Vehicle Test Cycle).

Apa yang menarik, Toyota mendakwa bahawa struktur bateri, sistem penyejukan, kawalan dan keselamatan semuanya direka baharu khusus untuk model ini.

Bukan itu sahaja, syarikat itu turut menggunakan kepakarannya untuk mengurangkan kemerosotan bateri. Bateri yang digunakan dikatakan mampu mengekalkan 90 peratus kapasiti walaupun setelah 10 tahun penggunaan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved