fbpx

Honda HR-V generasi baharu kini di Malaysia – 4 varian, 3 pilihan enjin

Honda HR-V launch 03

Honda Malaysia secara rasminya melancarkan Honda HR-V serba baharu ke pasaran tempatan. Menurut syarikat itu, crossover kompak popular itu telah menerima lebih 20,000 tempahan setakat ini dan tempoh menunggu pula mencecah 12 bulan.

Untuk model generasi baharu ini, HR-V didatangkan dalam empat varian dengan tiga pilihan enjin. Varian S dikuasakan oleh enjin 1.5-liter i-VTEC, manakala varian E dan V mendapat enjin 1.5-liter i-VTEC Turbo. Varian flagship e:HEV RS pula hadir dengan trenkuasa hibrid.

Dari segi kuasa, varian S mempunyai 121PS dan 145Nm, sementara E dan V pula mempunyai 181PS dan 240Nm. Dengan enjin 1.5-liter i-VTEC dan dua buah motor elektrik, varian e:HEV RS tampil dengan 131PS dan 253Nm. Varian ini mempunyai tiga mod pemanduan iaitu EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive.

Rekaan luaran HR-V diberikan pembaharuan menyeluruh yang menjadikannya lebih bergaya dan premium. Ini boleh dilihat menerusi bentuk keseluruhannya yang sedikit lebih bersegi berbanding model terdahulu, serta rekaan fastback dan lampu LED yang memanjang pada bahagian belakang.

Sebagai varian tertinggi, RS mendapat kit badan RS yang merangkumi kemasan hitam pada bampar depan dan belakang serta skirt sisi, logo RS pada gril dan juga efek ‘smoked’ pada lampu belakang.

Terdapat lima warna untuk dipilih iaitu Ignite Red Metallic, Meteoroid Gray Metallic, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic dan Ruse Black Metallic.

Ruang dalaman turut menyaksikan perubahan ketara dengan reka bentuk papan pemuka serba baharu yang tidak ubah seperti Civic FE. Cuma, ia tidak mempunyai kemasan honeycomb pada corong pendingin hawa seperti model itu.

Bagaimanapun, HR-V dilengkapi dengan ciri baharu iaitu sistem Air Diffusion yang memberikan kitaran udara sejuk yang lebih baik untuk semua penumpang. Dan buat pertama kalinya juga, ia didatangkan dengan Hill Descent Control yang berfungsi untuk mengawal pendikit dan brek secara automatik ketika menuruni cerun curam.

Selain itu, HR-V RS mendapat ciri Hands-Free Power Tailgate dengan fungsi Walkaway Close. Fungsi ini akan menutup pintu tailgate secara automatik ketika pemandu bergerak menjauhi kenderaan. Ciri-ciri baharu lain yang turut disertakan termasuklah Remote Engine Start dan Walkaway Auto Lock.

Varian RS diberikan ciri-ciri tambahan berupa balutan upholsteri kulit pada tempat duduk, pedal sports, sistem pendingin hawa dwi-zon dan Decelaration Selector Paddle. Paparan kluster meter TFT berukuran tujuh inci dan paparan audio lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto pula tersedia pada varian RS, V dan E.

Apa yang menarik, Honda Sensing disertakan secara standard pada semua varian HR-V. Ia merangkumi ciri-ciri berikut:

– Forward Collision Warning
– Collision Mitigation Braking System
– Lane Keep Assist System
– Road Departure Mitigation
– Lane Departure Warning
– Auto High Beam
– Adaptive Cruise Control
– Low Speed Follow
– Lead Car Departure Notification

Turut tidak ketinggalan adalah sistem Honda CONNECT yang memanfaatkan teknologi telematik pintar untuk menjamin keselamatan, sekuriti dan kemudahan.

Harga HR-V baharu bermula dari RM114,800 untuk varian S, RM129,800 untuk E, RM134,800 untuk V dan RM140,800 untuk e:HEV RS.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved