fbpx

Ducati Multistrada V4 Rally lebih lasak dan boleh pergi lebih jauh

Ducati Multistrada V4 Rally 01

EPISOD ketiga siri web Ducati World Premiere 2023 menyaksikan kemunculan satu lagi varian motosikal kembara iaitu Ducati Multistrada V4 Rally.

Sesuai dengan namanya, model terbaru ini tampil dengan pelbagai naik taraf bagi mempertingkatkan lagi prestasi tunggangan off-road dan menjadikannya lebih sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

Multistrada V4 Rally boleh didapati dalam tiga versi iaitu Adventure Radar, Adventure Travel & Radar dan Full Adventure. Adventure Radar didatangkan dengan Adaptive Cruise Control dan Blind Spot Detection, manakala Adventure Travel & Radar menambah kotak sisi aluminium, fungsi pemanas pada grip dan pelana.

Sementara itu, versi tertinggi iaitu Full Adventure dilengkapi dengan ekzos Akrapovic dan madgad depan yang diperbuat daripada gentian karbon.

Setiap versi menggunakan sistem suspensi semi-aktif Ducati Skyhook Suspension (DSS) yang menawarkan jarak pergerakan yang lebih tinggi iaitu 200 mm pada bahagian depan dan belakang. Ini secara tidak langsung meningkatkan jarak lega tanah kepada 230 mm (+10 mm berbanding Multistrada V4).

Selain itu, sistem suspensi tersebut juga mempunyai fungsi Autoleveling yang bertindak untuk melaraskan ketinggian suspensi secara automatik mengikut muatan dan keadaan tunggangan.

Berbanding dengan versi standard, Multistrada V4 Rally dilengkapi dengan tangki bahan api aluminium berkapasiti lebih besar iaitu 30 liter. Ini bagi meningkatkan lagi jarak tunggangan, sekaligus membolehkan penunggang menjelajah ke lokasi-lokasi terpencil.

Model ini menggunakan rim berukuran 19 inci di depan dan 17 inci di belakang, berserta tayar Pirelli Scorpion Trail II dalam saiz 120/70 dan 170/60. Sistem brek pula terdiri daripada angkup Brembo Stylema dan cakera 330 mm di depan, 265 mm di belakang.

Kuasa masih dibekalkan oleh enjin V4 Granturismo bersesaran 1,158 cc yang menghasilkan 170 hp pada 10,750 rpm dan 125 Nm pada 8,750 rpm. Bagaimanapun, model ini membawa pembaharuan dalam bentuk ciri penyahaktifan elektronik pada ‘cylinder bank’.

Ciri ini bukan sahaja berfungsi untuk menyahaktifkan dua silinder belakang semasa berhenti, malah dengan Multistrada V4 Rally, ia mempunyai strategi untuk melanjutkan penyahaktifan semasa motosikal ditunggang pada kelajuan rendah.

Ciri ini aktif dalam semua mod tunggangan, dengan kalibrasi berbeza untuk setiap gear. Terdapat empat mod tunggangan iaitu Sport, Touring, Urban dan Enduro.

Selain itu, ciri-ciri elektronik yang tersedia pada model ini termasuk ABS Cornering, Ducati Wheelie Control (DWC) dan Ducati Traction Control (DTC). Turut disertakan adalah Engine Brake Control (EBC) dan Ducati Cornering Lights (DCL) yang memperbaik penglihatan penunggang pada waktu malam.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved