fbpx

Jualan global Chery bagi tahun 2022 kini melebihi 1 juta unit

Chery Tiggo Pro SUV line-up

BAGI bulan Oktober 2022, jualan global Chery telah mencapai 132,828 kenderaan, menunjukkan peningkatan sebanyak 50.4 peratus berbanding Oktober 2021. Ini merupakan bulan kelima berturut-turut di mana jualan bulanan syarikat melebihi 100,000 unit.

Pencapaian tersebut melonjakkan jualan global Chery bagi 10 bulan pertama 2022 kepada 1,026,758 unit, naik 38.8 peratus. Ini juga kali pertama jualan tahunan Chery mencecah 1,000,000 unit, mengatasi rekod 961,926 unit yang dicapai bagi seluruh 2021.

Dua model peneraju pencapaian tersebut adalah Tiggo 8 dan Tiggo 7 yang mencatat jualan global sebanyak 159,500 unit dan 134,900 unit masing-masing dari Januari hingga Oktober. Selain itu, prestasi syarikat di Amerika Selatan, Timur Tengah dan rantau-rantau lain terus maju.

 

Di Brazil, Chery telah menjual 29,854 unit setakat tahun ini, menguasai 2.38 peratus pasaran dan menempatkannya di kalangan 10 jenama kenderaan terlaris. Prestasinya di negara itu didorong oleh populariti siri Tiggo dan sedan Arrizo 6 yang merupakan pemegang Anugerah Nilai Jualan Semula Terbaik.

Di Timur Tengah pula, Chery mencatat peningkatan dari segi jualan serta reputasi jenama. Tiggo 8 Pro telah menerima pujian daripada media terkemuka sebagai “revolusi baharu yang dibawa ke pasaran kenderaan Qatar”, dan telah memenangi gelaran “Perintis Terpintar”.

Bulan lalu menyaksikan Chery melancarkan pelbagai aktiviti global sempena acara terhangat tahun ini iaitu Piala Dunia, termasuk menerangi mercu tanda di Qatar, Mexico dan Brazil. Bukan itu sahaja, cabaran TikTok ‘Play Together’ serta ‘Malam Karnival With Chery With Love’ juga bakal bermula pada hujung bulan ini.

Selain itu, Chery juga akan akan menjalin kolaborasi dengan pemain-pemain dan media sukan terkemuka di Brazil, serta menganjurkan aktiviti menarik yang melibatkan ribuan peminat.

Sementara itu di Qatar pula, syarikat tersebut akan menyediakan kenderaan bagi jabatan keselamatan serta kenderaan media bagi lebih 10 negara yang bersaing. Chery juga akan menyediakan perkhidmatan ulang-alik percuma di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha bagi pemilik kenderaannya di seluruh dunia semasa Piala Dunia.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved