fbpx

Honda NSX Type-S edisi terakhir sebelum dihentikan, 350 unit sahaja

acura nsx type s 2022 08

NSX – tiga huruf ini sudah cukup untuk membuatkan peminat tegar Honda teruja. Diperkenalkan buat kali pertama pada 1989, jentera ikonik ini berjaya menempa namanya di persada dunia dengan prestasi yang mengagumkan dan ketahanannya.

Bukan itu sahaja, NSX bukanlah calang-calang jentera kerana ia dibangunkan dengan input dari pelumba F1 yang bertaraf lagenda iaitu Ayrton Senna, khusus untuk menyaingi Ferrari 328. Banyak media antarabangsa yang menganggap ia lebih baik berbanding supercar dari Itali itu.

Bagaimanapun, entah di mana silapnya, NSX generasi kedua gagal menarik minat pembeli. Ini jelas terbukti menerusi angka jualannya, di mana hanya 128 unit berjaya dijual di Amerika Syarikat pada tahun lalu. Sambutan model itu di Jepun juga sangat mengecewakan.

Atas sebab ini, Honda pada awal bulan ini mengesahkan bahawa ia akan menghentikan pengeluaran NSX. Namun sebelum itu, syarikat itu akan menawarkan 350 unit NSX Type S sebagai tanda selamat tinggal. 300 unit daripadanya akan memasuki pasaran Amerika Syarikat, di mana ia dijual sebagai Acura NSX.

Apakah keistimewaan model edisi terakhir ini? Pertama sekali, enjin 3.5-liter twin-turbo V6 telah diberikan modifikasi berbentuk pengecas turbo daripada kereta lumba NSX GT3 Evo, serta penyuntik bahan api dan intercooler baharu.

Bateri lithium-ion (digelar Intelligent Power Unit atau IPU) yang membekalkan tenaga kepada tiga motor elektriknya kini lebih efisien, dengan 20 peratus lebih kapasiti dan 10 peratus lebih output. Hasil dari penambahbaikan ini, kuasa keseluruhan meningkat dari 573 hp/645 Nm kepada 600 hp/667 Nm.

Transmisi automatik klac berkembar sembilan kelajuan dikekalkan, namun ia telah ditala semula untuk penukaran gear 50 peratus lebih cepat. Ia juga mendapat mod Rapid Downshift baharu yang membolehkan pemandu melangkaui beberapa gear dengan menekan pedal downshift.

Dengan cara ini, gear boleh diturunkan dengan lebih pantas dan pemandu boleh menekan pedal lebih awal untuk memecut keluar dari selekoh.

Aspek casis dan pengendalian NSX Type S turut dipertingkatkan dengan peredam yang ditala semula dan tayar Pirelli P Zero bersaiz 245/35 ZR19 di hadapan dan 305/30 ZR20 di belakang. Sistem brek kini terdiri daripada angkup Brembo enam piston di hadapan dan empat piston di belakang.

Pelanggan boleh mendapatkan Lightweight Package yang mengandungi penutup enjin gentian karbon, brek karbon seramik, serta kemasan gentian karbon pada stereng dan panel meter. Dengan pakej ini, berat keseluruhan NSX dikurangkan sebanyak 26.2 kg.

Dari segi penampilan, NSX Type S tampil dengan bampar hadapan baharu yang mempunyai lubang udara yang lebih besar dan diffuser yang diinspirasikan oleh NSX GT3 Evo. Gentian karbon digunakan secara meluas, iaitu pada bumbung, splitter hadapan, skirting sisi, serta diffuser dan spoiler belakang.

Ruang dalaman pula menampilkan pelapik bumbung Alcantara, manakala papan pemuka dan perehat kepala masing-masing dihiasi dengan sulaman logo Type S dan NSX.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved