fbpx

Cuci kereta, pusat jualan antara 11 sektor ekonomi mula beroperasi hari ini

cuci kereta
Gambar oleh: Malay Mail

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan kebenaran operasi untuk 11 aktiviti ekonomi bagi negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

11 sektor ekonomi yang dibenar beroperasi mulai hari ini adalah:

1. Kedai cuci kereta
2. Kedai aksesori kereta
3. Pusat pengedaran dan jualan kereta
4. Kedai elektrik dan elektronik
5. Kedai barang rumah dan peralatan dapur
6. Kedai perabot
7. Kedai peralatan sukan
8. Pasar pagi dan pasar tani
9. Kedai pakaian dan fesyen
10. Kedai gunting rambut dan salun kecantikan
11. Kedai barang kemas

Sudah pastinya kita sebagai peminat automotif sangat mengalu-alukan pembukaan kedai cuci kereta. Selain itu, pembukaan kedai aksesori dan pusat pengedaran serta jualan kereta juga pastinya satu khabar gembira.

Gambar: Malay Mail

Beberapa pengeluar automotif negara sebelum ini dilaporkan mencatatkan penurunan mendadak dalam angka jualan mereka dan berdepan risiko penutupan atau pengurangan pekerja sekiranya penutupan berterusan.

Muhyiddin berkata, kemudahan diumumkan itu boleh dilaksanakan di negeri Fasa 1 dan Fasa 2, dengan syarat vaksinasi lengkap penduduk dewasa di negeri berkenaan sudah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus.

Walaubagaimanapun, beliau berkata individu yang ingin memanfaatkan kemudahan yang diumumkan itu juga mestilah sudah menerima vaksinasi lengkap.

“Bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; serta kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan, terdapat prosedur operasi standard (SOP) kesihatan tambahan yang mesti dipatuhi.

“Ini termasuklah memakai sarung tangan, mengehadkan masa urusan di antara pekerja dan pelanggan serta tidak membenarkan penggunaan bilik persalinan.

“SOP ini mungkin merumitkan tetapi ini demi keselamatan pekerja dan pelanggan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya lagi, pemilik premis yang boleh beroperasi semula itu juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19, bagi membuktikan mereka sudah menerima imunisasi lengkap.

Beliau juga mengingatkan, maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved