fbpx

BMW M2 2022 tidaklah buruk mana! 3.0-liter 6-silinder sebaris, 453hp, pilihan manual 6-kelajuan

bmw m2 2023 12

TIDAKLAH seburuk seperti dari imej yang tersebar sebelum ini. Itulah yang mampu kami katakan mengenai BMW M2 2022 serba baharu.

Setelah imej rasmi M2 generasi kedua itu disiarkan bersama beberapa foto lain menunjukkan ia sedang beraksi di litar, ia nampak agak cantik. Tetapi kami masih lebih gemarkan rupa BMW M2 yang sebelum ini.

Baik, jom kita lihatkan perincian BMW M2 baharu ini. Di bawah hud depannya tersimpan enjin 3.0-liter 6-silinder sebaris twin-turbo, mampu menghasilkan 453hp dan 550Nm tork.

Sebagai sebuah jentera M sejati, enjin S58 ini menghantar kuasa ke roda belakang sahaja, melalui pilihan kotak gear manual 6-kelajuan dan automatik 8-kelajuan M Steptronic.

Pecutan 0-100 adalah 4.1 saat untuk transmisi manual, dan 3.9 saat bagi versi automatik. Ya, automatik pasti lebih pantas tapi adakah itu lebih penting berbanding keseronokan memandu dengan kotak gear manual H-pattern?

Kelajuan maksima dihadkan pada 250km/j walaubagaimanapun ianya ditingkatkan kepada 284km/j dengan pakej M Driver. Sistem brek pula adalah 6-piston di depan dengan angkup berwarna biru metalik, tetapi anda juga boleh pilih kemasan brek berwarna merah.

Dari segi saiz, M2 baharu adalah sedikit lebih besar berbanding sebelumnya. Ia kini 4.1-inci lebih panjang, 1.3-inci lebih lebar, tetapi 0.3-inci lebih rendah.

Jarak roda pula dipanjangkan sebanyak 2.1-inci, sementara lebar gandar depan dan belakang ditambah, kini menyamai M4. Rim adalah aloi ringan bersaiz 19-inci di depan dan 20-inci di belakang dengan kemasan hitam.

Suspensi Adaptive M serta differential Active M didatangkan standard.

BMW M2 2022 menampilkan gril kidney berkembar BMW yang ‘duduk’ atas apron depan dengan tiga seksyen. Ruang-ruang udara ini penting bagi penyejukan komponen-komponen enjin serta brek.

Bahagian belakang pula menampilkan bampar dan diffuser yang lebih menyerlah dan bersegi, menjadi kontroversi dan bualan sejak akhir-akhir ini. Pelengkap kepada bahagian ini adalah ekzos quad yang menjadi identiti jentera M.

Kabin M2 dilengkapi dengan tempat duduk sport M baharu dengan perehat kepala dihiasi tulisan M bernyala. Terdapat pilihan tempat duduk gentian karbon ditawarkan buat kali pertama, sebahagian dari Carbon Package, yang juga merangkumi bumbung karbon untuk merendahkan titik graviti kereta ini.

Aspek teknologi pula merangkumi sepasang skrin masing-masing bersaiz 12.3-inci dan 14.9-inci, kawalan khas M, pelbagai pilihan konfigurasi, menu M Setup, serta M Traction Control.

BMW M2 2022 akan boleh didapati dengan lima pilihan warna iaitu Alpine White, Sapphire metalik, Brooklyn Grey metalik, Toronto Red metalik, dan Zandvoort Blue baharu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved