fbpx

Toyota Prius generasi ke-5 tiba sebagai model PHEV dengan 220 hp

toyota prius 2023 12

TOYOTA telah memperkenalkan Prius generasi kelima di Eropah, di mana ia akan ditawarkan secara eksklusif sebagai model hibrid plug-in (PHEV).

Model serba baharu ini dibangunkan berdasarkan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C generasi kedua yang dikatakan lebih ringan dan tegar berbanding platform terdahulu.

Trenkuasa PHEV berkenaan menampilkan gabungan enjin petrol 2.0-liter empat silinder dan sebuah motor elektrik pada gandar depan yang memberikan kuasa keseluruhan mencecah 220 hp, hampir 100 hp lebih tinggi berbanding model sedia ada yang menggunakan enjin 1.8-liter.

Secara berasingan, enjin tersebut menghasilkan 148 hp manakala motor elektrik tersebut menjana 160 hp. Kuasa untuk motor elektrik berkenaan dibekalkan oleh pek bateri berkapasiti 13.6 kWh yang menawarkan jarak gerak “50 peratus lebih jauh berbanding model generasi semasa.”

Ini bermakna, berdasarkan jarak gerak 63 km yang ditawarkan oleh model generasi semasa di UK, model baharu ini mungkin menawarkan jarak sehingga 95 km.

Menariknya, Prius baharu akan ditawarkan dengan sel solar pada bahagian bumbung yang dikatakan dapat menjana tenaga bersih. Namun, tidak pasti jika ciri ini berupaya meningkatkan jarak geraknya.

Dari segi reka bentuk, Prius kini tampil lebih segak dan moden, dengan ketinggian yang dikurangkan sebanyak 50 mm, puncak bumbung ‘ditolak’ ke belakang, serta diameter roda yang lebih besar sehingga 19 inci.

Menurut Toyota, reka bentuk keseluruhan model ini lebih bersih dan diinspirasikan oleh aliran udara semula jadi. Jika dibandingkan dengan model sedia ada, ukuran tapak rodanya bertambah sebanyak 50 mm, manakala ukuran panjangnya dikurangkan sebanyak 46 mm.

Pada bahagian depan, kita dapat melihat dengan jelas Prius menampilkan motif ‘yu tukul’ seperti model-model siri Toyota bZ iaitu bZ4X dan bZ3. Di belakang pula terdapat elemen pencahayaan tiga dimensi yang menonjolkan lagi logo Prius.

Bahagian dalaman pula dibahagikan kepada tiga kawasan mengikut konsep ‘Island Architecture’ iaitu persekitaran, modul pemandu dan panel instrumen terapung.

Sekali imbas, ia tidak jauh berbeza dengan kokpit bZ4X dengan skrin TFT LCD tujuh inci yang berada tepat dalam pemandangan pemandu dan skrin tengah besar yang mendominasi papan pemuka.

Lebih menarik lagi, panel instrumen Prius mempunyai ciri pencahayaan yang disambungkan dengan notifikasi daripada Toyota Safety Sense dan mampu mengeluarkan amaran melalui perubahan warna.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved