fbpx

Mercedes-AMG One akhirnya dilancar – 1,046hp, 0-100 dalam 2.9 saat, RM8.8 juta, sold out!

mercedes-amg one 28

AKHIRNYA dilancar. Selepas lima setengah tahun Mercedes-Benz mula berkata mereka mahu menyumbat enjin Formula Satu ke dalam kereta jalanan, hari ini kita dapat lihat hasilnya.

Perkenalkan Mercedes-AMG One. Terdapat enjin Formula Satu di dalamnya. Ia boleh dipandu di jalanan. Ia kini sebuah realiti. Ianya hypercar berkuasa 1,049hp.

Perihal enjin F1 dalam kereta jalanan

Nadi kepada AMG One tidak lain tidak bukan ialah enjinnya. Ia menggunakan unit 1.6-liter V6 yang mampu mencapai 11,000rpm, dilengkapi satu unit turbo dan bantuan elektrik.

Enjin ini juga menggunakan system DOHC, injap spring udara, suntikan terus bahan api, dan system pembersihan gas ekzos yang kompleks untuk menjana 566hp. Dan ia masih menepati piawaian Euro 6.

Untuk mencapai output penuh 1,049hp, enjin ini dibantu oleh empat motor elektrik. Dua motor di depan yang menjana 322hp. Motor ketiga pada enjin, menghasilkan 161hp.

Dan motor keempat dipasang pada turbonya yang canggih, menambah lagi 121hp. Motor keempat ini juga mampu menyimpan tenaga dari turbo semasa gas ekzos diputar.

Janaan elektrik

Sebagai tambahan kepada enjin, jurutera Mercedes telah menghabiskan masa dan tenaga membangunkan bateri lithium-ion pada One. Ia tidaklah begitu besar, cuma 8.4kWh.

Ia perlu ringan, tetapi penyejukan sangat penting di sini. Jadi ia mendapat system penyejukan cecair yang agak kompleks.

Hasilnya ialah sebuah kereta dengan lebih 1,000hp dan masih mengekalkan suhu bateri sekitar 45-darjah Celcius. Ia mampu dipandu sejauh 18km dalam mod EV, dan mempunyai berat sekitar 1,695kg.

Dari segi prestasi, AMG One mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 2.9 saat, hasil dari sistem pacuan semua-roda AMG 4Matic+ dan transmisi automated manual 7-kelajuan yang dibina khas untuknya.

Paling menakjubkan ialah kelajuan 200km/j yang boleh dicapai dalam hanya 7 saat. Ditekan habis, AMG One mampu mencapai 352km/j.

Badan dan suspensi

Mercedes-AMG One dibina dengan casis monocoque yang ‘dipegang’ oleh suspensi push-rod untuk prestasi maksima. Terdapat aluminium di bawah badan, dengan lima lengan dan dua strut boleh-laras di depan dan belakang.

Mod-mod pemanduan akan melaras suspensi dengan mod Comfort, Sport, atau Sport+. Kereta ini juga dilengkapi sistem torque-vectoring yang juga boleh dilaras tetapannya.

Seperti yang kita dapat jangkakan, badan AMG One ini memanfaatkan aerodinamik sepenuhnya. Ia menjana downforce pada kelajuan melebihi 50km/j tetapi Mercedes tidak mendedahkan sebarang angka downforce terperinci.

Mungkin ia bergantung kepada mod yang dipilih kerana terdapat spoiler aktif di diffuser depan, slot-slot pengudaraan di gerbang roda depan, dan sudah tentu spoiler belakang.

Dalam program Race Plus dan Start2 di bawah mod Track, Mercedes berkata downforce yang dijana adalah limakali ganda lebih dari mod jalanan basa. Program ketiga ialah Race DRS iaitu untuk daya seretan rendah bagi mencapai kelajuan tertinggi.

Dalaman dan ciri

Pengalaman Formula Satu tidak terhenti di enjin atau suspensi. Di dalam AMG One anda akan temui tempat duduk yang dibentuk khas untuk pemandu atau pemiliknya.

Stereng pula adalah berbentuk empat segi seperti F1 sebenar, dengan dua skrin digital 10-inci di papan pemuka. Terdapat juga beberapa corong pendingin hawa dan gril pembesar suara menjadikan F1 ini ‘layak’ dipandu di jalanan.

Di luar, AMG One dilengkapi rim 10-bilah dengan pilihan rim magnesium 9-bilah. Tayar pula adalah Michelin Pilot Sport Cup 2 M01, dibangunkan khas untuk hypercar ini dengan brek enam-piston untuk ‘menggenggam’ cakera berukuran 15.6-inci.

Ura-ura mengatakan Mercedes akan cuba mencipta rekod di Nurburgring dengan AMG One ini, tetapi kita perlu tunggu dan lihat dulu.

Maklumat lain yang diketahui adalah 275 unit akan dihasilkan, dengan harga sekitar RM8.8 juta sebuah. Oh ya, kereta ini telah habis terjual, semua unit telah mempunyai pemiliknya.

Mercedes-AMG One dijangka membuat kemunculan awam pertama di hujung Jun ini pada Goodwood Festival of Speed 2022.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved