fbpx

Acura NSX Type S terakhir siap dibina – nombor 350 daripada 350

Acura NSX Type S 01

SETELAH enam tahun berada di pasaran, Acura NSX generasi kedua kini secara rasmi akan dihentikan penjualannya. Unit terakhir yang merupakan model Type S berwarna Gotham Grey siap dibina pada 16 November lalu di Performance Manufacturing Center (PMC) di Marysville, Ohio.

Diumumkan pada Ogos tahun lalu, NSX Type S merupakan model edisi terhad yang ditawarkan sebagai tanda selamat tinggal. Hanya 350 unit dihasilkan, dengan 300 daripadanya diperuntukkan untuk pasaran Amerika Syarikat, 3o untuk pasaran Jepun dan selebihnya untuk Kanada.

Pelanggan yang membeli NSX Type S mendapat versi yang paling berkuasa pernah dihasilkan. Ia mempunyai 600 hp dan 667 Nm yang dibekalkan oleh enjin 3.5-liter twin-turbo V6 telah dinaik taraf dengan pengecas turbo daripada kereta lumba NSX GT3 Evo, penyuntik bahan api dan intercooler baharu, serta tiga motor elektrik.

Turut dinaik taraf adalah transmisi automatik klac berkembar sembilan kelajuan yang dikatakan mampu menukar gear 50 peratus lebih pantas berbanding sebelum ini. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai mod Rapid Downshift baharu yang membolehkan pemandu melangkaui beberapa gear dengan menekan pedal downshift.

Dengan kemunculan NSX Type S dengan nombor siri 350/350 ini, hayat NSX generasi kedua dengan rasminya berakhir. Persoalannya sekarang, adakah supercar hibrid itu akan mempunyai pengganti?

Masih terlalu awal untuk dikatakan namun Naib Presiden dan Pegawai Jenama Acura, Jon Ikeda sebelum ini dilaporkan pernah memberi bayangan bahawa NSX generasi baharu akan tampil sebagai sebuah model elektrik sepenuhnya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved