fbpx

Subaru Impreza 2024 diperkenalkan – 2 pilihan enjin, tiada lagi versi sedan

Subaru Impreza 2024 02

ACARA Los Angeles Auto Show yang kini sedang berlangsung menyaksikan kemunculan Subaru Impreza generasi keenam, yang tampil dengan reka bentuk serba baharu, prestasi yang dipertingkatkan serta varian sporty baharu yang dikenali sebagai RS.

Selain itu, Subaru juga telah menggugurkan varian sedan, bermakna untuk model tahun 2024, Impreza hanya boleh didapati dalam bentuk hatchback lima pintu.

Dibina menggunakan platform Subaru Global Platform (SGP) yang telah dipertingkatkan, Impreza dikatakan mempunyai ketegaran torsi 10 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini dan juga pelekat struktur tambahan.

Menurut Subaru, ini memberikan prestasi dinamik yang lebih baik, pemanduan yang lebih lancar serta kabin yang lebih senyap.

Untuk pasaran Amerika Syarikat, Impreza akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Base, Sport dan RS. Varian Base dan Sport dikuasakan oleh enjin boxer 2.0-liter empat silinder dengan 152 hp dan 197 hp, manakala varian RS mendapat enjin boxer 2.5-liter yang menjana 182 hp dan 241 Nm.

Ketiga-tiga varian didatangkan standard dengan Lineartronic CVT (tiada pilihan transmisi manual), serta sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive dengan ciri Active Torque Vectoring. Menariknya, model ini juga mendapat rak stereng kuasa elektronik daripada WRX yang menjanjikan pengendalian yang lebih responsif.

Sebagai tambahan, varian Sport dan RS dilengkapi dengan mod manual lapan kelajuan dengan paddle shifter, sistem SI-Drive, rim aloi 18 inci dan sistem suspensi dengan talaan sporty.

Seperti bahagian luarannya, rekaan ruang kabin Impreza dilihat tidak jauh berbeza dengan Crosstrek. Bahagian tengah papan pemuka menampilkan skrin sentuh Subaru Starlink berukuran 11.6 inci dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah Remote Keyless Access, sistem pemantuan tekanan tayar, tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 60/40, sistem pendingin hawa dwi-zon serta tempat duduk pemandu dengan pelarasan kuasa 10 hala dan sokongan lumbar.

Akhir sekali, setiap varian Impreza didatangkan standard dengan teknologi bantuan pemandu EyeSight yang kini telah ditambah baik dengan sudut pandangan lebih luas, kawalan perisian serta tambahan booster brek elektrik. Ciri ini juga boleh mengenal pasti pejalan kaki dan penunggang basikal di persimpangan lebih awal.

Selain itu, Automatic Emergency Steering disertakan pada model yang dilengkapi dengan Blind-Spot Detection dengan Lane Keep Assist dan Rear Cross-Traffic Alert. Ia berupaya mengawal stereng bagi membantu mengelakkan perlanggaran pada kelajuan kurang 80 km/j.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved