Arkib Kategori: BERITA

Stellantis, Leader Energy Group jalin kerjasama kembangkan tenaga solar di Gurun

STELLANTIS telah mengumumkan kerjasama dengan syarikat pembekal kuasa tempatan, Leader Energy Group untuk mengembangkan penjanaan tenaga solar di kilang pengeluarannya di Gurun, Kedah.

Menurut syarikat itu, usahasama ini merangkumi pemasangan, operasi, penyelenggaraan dan pembiayaan sistem fotovoltaik (PV) bagi meningkatkan kecekapan tenaga di kilang itu.

Pemasangan sistem PV di kilang berkenaan dilakukan oleh anak syarikat Leader Energy iaitu Leader Solar Sdn. Bhd. (LSSB) dalam masa empat bulan. Ia siap sepenuhnya pada 31 Oktober 2022.

Sistem tersebut itu berupaya menjana output maksimum sebanyak 2,189.81 kWp elektrik. Dalam tempoh 21 tahun akan datang, ia dijangka akan menjana 54.81 GWh tenaga atau kira-kira 34% daripada keperluan penggunaan tenaga tahunan kilang tersebut.

Selain itu, penggunaan tenaga solar juga akan mengimbangi kira-kira 1963.4 tan karbon dioksida setiap tahun. Jumlah ini bersamaan dengan 50,340 batang pokok yang ditanam dalam setahun.

Mengguna pakai tenaga solar merupakah satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha Stellantis untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih (carbon net zero emissions) menjelang 2038 sebagai sebahagian daripada strategi Dare Forward 2030.

Usahasama ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan Stellantis untuk menambah baik kecekapan tenaga operasinya di seluruh dunia. Sebelum ini, syarikat itu telah meningkatkan projek solarnya di Michigan, Amerika Syarikat serta memasang sistem PV di kilang Mangualde, Portugal.

Bilik pameran BMW Bukit Tinggi kini dibuka, dengan ruang istirehat Ogawa, kafe Starbucks

BMW Group hari ini merasmikan satu lagi bilik pameran 4S baharu di Bukit Tinggi, Klang. Ia dijangka menampung keperluan para pelanggan dan pemilik BMW, BMW i, BMW M, dan MINI bagi kawasan sekitar seperti Shah Alam, Kota Kemuning, dan Setia Alam.

Pembukaan Wheelcorp Premium Bukit Tinggi itu bersempena dengan kerjasama Wheelcorp dan BMW Group yang menginjak usia 10 tahun.

Bilik pameran dan pusat servis 4S ini bakal membawakan pengalaman lebih premium untuk para pemilik dengan fasiliti seperti ruang NEXTGen Luxury, ruang rehat dengan kerusi urut Ogawa, dan kafe Starbucks di Isetta Bar.

Servis lain di pusat 4S ini termasuklah  ruang jualan, servis, alat ganti, dan sistem yang juga menyokong pembaikan badan dan cat. Pusat servis berkeluasan 170,000 kaki persegi ini juga memuatkan 20 ruang servis dan 80 temu janji setiap hari.

Servis lain yang boleh dibuat di sini termasuklah pembaharuan insurans serta perkhidmatan tukar beli, di samping Resepsi di Kereta (RATC).

Pusat pengedaran ini mempunyai kapasiti untuk mempamerkan sembilan unit kenderaan BMW, termasuk kenderaan daripada portfolio BMW M dan BMW i, di samping empat unit kenderaan MINI dan 25 unit kenderaan BMW Premium Selection serta MINI Used Car Next.

Fasiliti Pengecasan Pantas DC bagi kenderaan elektrik (EV) turut disediakan di Wheelcorp Premium Setia Alam berserta akses untuk orang awam melalui aplikasi ChargEV.

Setakat ini, BMW Group Malaysia membekalkan pemilik EV BMW dan MINI akses ke atas lebih 610 buah fasiliti pengecasan di seluruh negara, dikuasakan oleh rakan-rakan industrinya seperti JomCharge yang mengoperasikan sekitar 65 stesen pengecasan, Gentari dengan sekitar 117 stesen pengecasan, dan ChargEV dengan lebih 330 stesen pengecasan – termasuk 26 fasiliti pengecasan yang dikuasakan oleh ChargEV bersama Yinson GreenTech di 17 outlet Starbucks dalam kawasan Lembah Klang, Pulau Pinang, Melaka, dan Johor.

Lebih daripada 80 buah fasiliti BMW i Charging juga disediakan di kebanyakan pusat pengedaran BMW dan MINI yang bertauliah di seluruh negara, dengan rancangan strategik untuk mengembangkan lagi infrastruktur ini pada tahun 2023.

Pusat 4S Wheelcorp Premium Bukit Tinggi beroperasi dari jam 8:30 pagi hingga 7:00 malam pada hari Isnin hingga Sabtu, dan dari jam 10:00 pagi hingga 6:00 petang pada hari Ahad.

Ia terletak di Lot 142646, Jalan Remia 5/KS 07, Ambang Botanik, 41200 Klang Bandar Diraja, Selangor. Untuk maklumat lanjut mengenai pusat pengedaran terbaharu ini, sila layari https://bmw-wheelcorppremium.com.my/.

Hyundai Kona generasi kedua didedahkan – EV, hibrid dan ICE, wajah ala Staria

SETELAH hampir lima tahun berada dalam pasaran, Hyundai Kona kini menerima penambahbaikan menyeluruh untuk model generasi kedua yang menyaksikan ia tampil dengan rekaan futuristik tidak ubah seperti Staria.

Bukan itu sahaja, SUV kompak ini juga menawarkan tiga pilihan trenkuasa iaitu elektrik (EV), hibrid (HEV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Menurut Hyundai, Kona baharu dibangunkan sebagai EV terlebih dahulu sebelum ia disesuaikan untuk HEV dan ICE. Seperti model sedia ada, ia juga akan ditawarkan dalam versi N Line yang berkemungkinan besar akan kekal dengan ICE.

Seperti yang boleh dilihat, rekaan model generasi baharu ini jelas diinspirasikan oleh Staria dan Grandeur dengan jalur lampu nyalaan siang LED yang melintang dan lampu utama yang ditempatkan pada sudut kiri dan kanan bampar.

Setiap varian juga didatangkan elemen-elemen penggayaan yang tersendiri. Sebagai contoh, varian EV mempunyai efek piksel pada jalur lampu, gril, bampar belakang dan rim, manakala varian ICE dan HEV berkongsi rekaan bampar rugged, skid plate dan kemasan hitam pada gerbang roda.

Sementara itu, varian N Line pula mendapat spoiler, bumbung dan cermin sisi hitam, rekaan bampar depan dan belakang yang lebih agresif, rim aloi 19 inci, skirt sisi berwarna perak dan ekzos berkembar.

Kona generasi kedua mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar berbanding model sedia ada. Untuk Kona EV, ukuran panjangnya kini bertambah sebanyak 150 mm kepada 4,355 mm, manakala lebar bertambah sebanyak 25 mm dan tapak roda bertambah sebanyak 60 mm.

Masuk ke dalam, terdapat paparan berkembar berukuran 12.3 inci dan pencahayaan ambien yang melahirkan suasana ‘berteknologi tinggi’. Tuil gear pula telah dialihkan ke kolum stereng untuk mendapatkan konsol tengah yang lebih kemas.

Perincian lanjut Kona generasi kedua, termasuk mengenai trenkuasa, akan didedahkan dalam bulan-bulan mendatang.

Geely Panda Mini EV terlampau comel tapi untuk pasaran China sahaja

GEELY telah memperkenalkan satu lagi kenderaan elektrik (EV) rekaannya iaitu Panda Mini EV. Ia akan dipasarkan di China tidak lama lagi bagi bersaing dengan model-model lain yang popular dalam segmennya seperti Wuling Mini EV.

Menurut laporan, Panda Mini asalnya dibangunkan untuk sub-jenama di bawah Geely iaitu Geometry namun perubahan saat akhir oleh pihak pengurusan menyaksikan ia dipasarkan di bawah Geely. Ini boleh dilihat menerusi logo ‘Geome’ pada penutup pengecas pada gril depan.

Dari segi saiz, EV cilik dua pintu ini mempunyai ukuran panjang 3,065 mm, lebar 1,522 mm, tinggi 1,600 mm dan tapak roda 2,015 mm. Walaupun mempunyai tapak roda antara yang terpendek di pasaran, ia masih mampu memuatkan sehingga empat penumpang.

Gambar ruang dalaman tidak dibekalkan namun menurut laporan, model ini didatangkan dengan bumbung suria panoramik. Ia juga mempunyai papan pemuka mengikut warna badan, skrin sentuh sistem infohibur, kluster instrumen digital serta ruang storan.

‘Nadi’ Panda Mini didatangkan dalam bentuk motor elektrik pada gandar depan yang mampu menjana kuasa sehingga 41 PS (30 kW). Kuasa untuk motor elektrik tersebut dibekalkan oleh bateri litium fosfat logam (LFP) yang dibangunkan oleh Guoxuan High-Tech yang menawarkan jarak sehingga 150 km.

Panda Mini dilaporkan akan memasuki pasaran China pada 2023, dengan harga anggaran bermula dari 40,000 yuan hingga 50,000 yuan (RM25,326 hingga RM31,658).

Laluan KM392.4 arah utara LPT2 ditutup akibat cerun runtuh

LEBUHRAYA Pantai Timur 2 (LPT 2) Sdn. Bhd. mengumumkan penutupan laluan di Kilometer (KM) 393.4 menghala ke Ajil, daerah Hulu Terengganu susulan kejadian cerun runtuh pada pukul 11.10 malam tadi.

Dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasmi, syarikat itu berkata kejadian itu berlaku di dalam laluan kontra yang telah dibuka lebih awal akibat kejadian banjir lumpur pada sebelah pagi.

“Berhubung dengan kejadian awal banjir lumpur yang telah dilaporkan berlaku pada jam 11.30 pagi, 18 Disember 2022, laluan Kontra telah diaktifkan di KM392.4 – KM394.6 bagi kerja-kerja pembaikan.

Namun begitu, pada jam 11.10 malam, 18 Disember 2022 satu lagi kejadian cerun runtuh telah berlaku di KM393.4 arah Utara menghala ke Ajil dan kejadian tersebut telah berlaku di dalam laluan kontra yang telah diaktifkan sebelumnya,” katanya.

Sebagai langkah keselamatan serta bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan tapak, LPT2 telah mengaktifkan “mandatory exit” di Plaza Tol Dungun dan Plaza Tol Ajil.

Ini bermakna, semua kenderaan dari arah Kuantan akan dilencongkan keluar ke Plaza Tol Dungun, manakala kenderaan dari arah Kuala Terengganu akan dilencongkan keluar ke Plaza Tol Ajil.

Sementara itu, dalam kemaskini semasa yang dihantar hari ini, LPT2 berkata perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan/Kuala Lumpur menggunakan LPT2 masih boleh dilalui oleh semua kenderaan seperti biasa.

Pemandu yang keluar dari Plaza Tol Dungun pula dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Pantai (FT03) untuk menuju ke Kuala Terengganu.

Ducati Panigale V4 edisi terhad sempena kejuaraan MotoGP dan WSBK

DUCATI meraikan kejuaraan berganda mereka dalam MotoGP dan WorldSBK dengan mengeluarkan dua siri superbike.

Pertamanya ialah Panigale V4 diinspirasikan dari Desmosedici GP, dan kedua ialah Panigale V4 R dari Francesco Bagnaia dan Alvaro Bautista.

Kedua-dua jentera itu dilancarkan dalam satu sidang media khas dimana Ducati meraikan kemenangan berganda yang bersejarah itu dengan peminat-peminat mereka.

2022 merupakan satu tahun yang baik buat Ducati. Kemenangan dalam kedua-dua kelas perlumbaan berprestij itu adalah kali pertama untuk mereka.

Dua siri istimewa itu diasaskan dari Panigale V4 S, dan mendapat livery Pacco Bagnaia #63 dan Alvaro Bautista #19. Setiap motosikal juga akan mendapat tandatangan khas penunggang dan dilindungi dengan lapisan pelindung jernih.

Hanya 260 unit untuk setiap siri akan dikeluarkan, merujuk kepada tahun kelahiran Ducati iaitu 1926. Sama seperti jentera lumba, Panigale V4 2022 ini hanya akan hadir dalam konfigurasi tempat duduk tunggal, manakala nama dan nombor ditempa dengan laser.

Ciri teknikal termasuklah klac kering STM-EVO SBK, peredam ekzos Akrapovic (2kg lebih ringan dari asal), brek Brembo Stylema R dengan silinder MCS dengan pelaras kawalan jauh, pemijak kaki aluminium Rizoma, dan cermin plexi perlumbaan.

Motosikal edisi khas ini mendapat rupa unik pada pelindung ekzos, pelindung alternator, fender depan dan belakang, corong udara untuk brek, dimana kesemua komponen ini adalah gentian karbon.

Setiap motosikal akan diserahkan dengan bungkusan berserta grafik khas dan hadir dengan sijil ketulenan, pelindung motosikal kustom, dan sistem analisis Ducati Data Analyser+.

Perodua hulur bantuan kepada rakan niaga di Sri Lanka

PERODUA telah menghantar bantuan kepada kakitangan wakil pengedarnya di Sri Lanka iaitu Unimo Enterprises Limited berikutan krisis kewangan yang menyaksikan pembekuan import sejak 2020.

Larangan import ini telah menghentikan penjualan kenderaan Perodua di Sri Lanka, yang sebelum ini merupakan pasaran eksport CBU terbesar pengeluar kereta kompak itu. Pada penghujung 2019, model terlaris Perodua di Sri Lanka ialah Bezza 1.0L.

“Krisis kewangan di Sri Lanka juga telah membawa kepada kesukaran hidup dan kami bersyukur kerana kami dapat menghulurkan bantuan kepada rakan kongsi kami di sana,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata.

Perodua telah menghadiahkan baucar kepada 171 pekerja Unimo sebagai bantuan dalam tempoh yang sukar ini. Unimo merupakan wakil pengedar Perodua di negara kepulauan itu sejak tahun 1995.

“Kami memilih baucar membeli-belah kerana ini adalah cara paling effektif untuk membantu kakitangan Unimo mendapatkan keperluan harian dan kami berharap keadaan di sana akan bertambah baik,” kata Dato’ Sri Zainal.

Pemilik pertama Honda Civic e:HEV RS di Malaysia

HONDA Malaysia baru-baru ini mengadakan majlis penyerahan Civic e:HEV RS kepada pemilik pertamanya bertempat di MH Prestige Auto Sdn. Bhd.

Sebagai pemilik pertama Civic e:HEV RS di Malaysia, Chin Kok Fung turut menerima token penghargaan berbentuk aksesori dan barangan rasmi Honda bernilai RM4,000 daripada Honda Malaysia.

“Kami teruja kerana telah melancarkan varian baharu ini. Ini adalah kali pertama Civic diperkenalkan dengan rangkaian kuasa 2.0L e:HEV,” kata pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura.

Tambah beliau lagi, setakat ini Honda telah menyerahkan lebih 180 unit Civic e:HEV RS kepada rakyat Malaysia.

Honda Malaysia juga sedang melakukan yang terbaik untuk menyampaikan model baharu tepat pada masanya sambil memastikan kualiti tertinggi dalam produk dan perkhidmatan.

Chin Kok Fung pula berkata, “Saya memang peminat kereta prestasi. Apabila Honda memperkenalkan trenkuasa 2.0L e:HEV, saya berasa kagum dengan teknologi dan prestasi yang ditawarkannya.”

Dilancarkan pada November lalu pada harga RM166,500, model itu tampil agresif dengan penggayaan RS, kemasan krom pada lampu depan dan jeriji, kemasan krom separa hitam pada pemegang pintu, rim aloi 18 inci, logo H biru dan lencana e:HEV.

Di dalam, terdapat panel instrumen digital 10.2-inci, paparan infotainmen 9.0-inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa-wayar dan Remote Engine Start. Turut disertakan adalah ciri keselamatan Honda Sensing.

Civic e:HEV RS dikuasakan oleh enjin 2.0-liter yang menggabungkan dua motor elektrik berserta e-CVT dan Intelligent Power Unit (IPU). Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 184 PS dan 315 Nm.

Kempen Petron “Jom Jalan-Jalan Türkiye” tawar hadiah bernilai lebih RM300,000

Petron Malaysia, dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Türkiye telah melancarkan kempen promosi “Jom Jalan-Jalan Türkiye” bermula dari 15 Disember 2022 hingga 15 Mac 2023.

Kempen diadakan bertujuan untuk memberi ganjaran kepada pelanggan Petron Miles (P-Miles) menerusi peluang untuk memenangi percutian impian mereka. Ia juga adalah kesinambungan daripada kempen “Jom Jalan-Jalan” yang dimulakan pada Oktober tahun lepas sejurus selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan.

Kempen bersepadu selama tiga bulan ini merangkumi pengaktifan di lapangan dan dalam talian. Ia dimulakan dengan “Turkish Grand Bazaar” di Paradigm Mall dari 15 hingga 18 Disember 2022.

Ini diikuti dengan kempen di seluruh negara dengan aktiviti-aktiviti yang menarik di stesen-stesen servis Petron yang terpilih serta peraduan media sosial. Terdapat juga barangan eksklusif Petron “Jom Jalan Jalan Türkiye” untuk dimenangi.

Danny Chen, Pengurus Pemasaran Petron Malaysia berkata, “Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Türkiye , rakan kongsi pelancongan dan penaja tempatan untuk memberi ganjaran kepada pelanggan setia kami dengan hadiah-hadiah yang menarik.

Katanya lagi, kempen ini datang tepat pada masanya kerana Petron juga menyambut ulang tahun ke-10 pada tahun ini. Kempen ini adalah cara pihak Petron terima kasih kepada pelanggan mereka.

Selain Türkiye Tourism, Petron juga bekerjasama dengan rakan perniagaan lain iaitu Türkiye Embassy, Turkish Airlines, Plaza Premium Group dan American Tourister untuk mempromosikan pelancongan domestik dan antarabangsa, di samping menawarkan pelanggan peluang memenangi pakej percutian yang menarik.

Untuk menyertai, pemegang kad P-Miles perlu memuat turun dan mendaftar pada aplikasi mudah alih Petron Miles apabila membuat pembelian petrol. Mereka akan mendapat kemasukan secara automatik dengan pembelian petrol minimum RM50 di mana-mana stesen servis Petron untuk layak memasuki cabutan bertuah.

Menerusi kempen ini, seramai 336 pemenang bertuah akan menerima ganjaran dan hadiah bernilai lebih RM300,000. Seorang pemenang Hadiah Utama akan mendapat pakej pelancongan 8 hari 7 malam bernilai lebih RM50,000 bersama-sama seorang rakan. Mereka juga akan dapat menikmati kelas perniagaan Turkish Airlines.

Lima pemenang Hadiah Pertama pula akan menerima pakej percutian 8 hari 7 malam untuk dua orang berserta tiket penerbangan pergi balik kelas ekonomi dan akses ke lounge Plaza Premium.

Turut disediakan adalah 330 Hadiah Saguhati. 30 pemenang akan menerima bagasi American Tourister bernilai RM800, dan 300 pemenang lagi akan menikmati mata P-Miles bernilai RM500. Semua pemenang bagi setiap kategori hadiah akan diumumkan selepas kempen selama tiga bulan berakhir.

Tanah runtuh: JKR nasihat guna laluan alternatif

Laluan Jalan Batang Kali–Genting, Hulu Selangor kini ditutup atas arahan pihak polis berikutan insiden tanah runtuh melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dengan ketinggian 70 meter.

Sumber: Malay Mail

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, susulan itu, orang awam dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif.

“Jalan B66 kini telah ditutup atas arahan pihak Ibu Pejabat Polis Hulu Selangor untuk keselamatan pengguna jalan raya.

“Orang awam boleh menggunakan laluan seperti lakaran infografik di lampiran sebagai laluan alternatif buat masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, hasil tinjauan dan pemeriksaan visual mendapati kawasan runtuhan tersebut melibatkan sebahagian dari jalan negeri B66 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor iaitu sepanjang 5 meter.

“Berdasarkan pemeriksaan awal mendapati tiada rekahan terbuka pada permukaan ‘pavement’ (permukaan) jalan.

“JKR dan pelbagai agensi kini menumpukan kepada misi mencari dan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa di tempat kejadian,” tambahnya.

Menurutnya, pasukan Forensik Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia telah berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kerja-kerja penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan agihan peruntukan yang diterima,” ujarnya.

Proton hantar 16 kakitangan ikuti latihan NEV di Institut Penyeledikan Geely

SERAMAI 16 kakitangan Proton telah berlepas ke Hangzhou, China pada 10 Disember lalu untuk menyertai latihan selama enam bulan bagi mempelajari tentang kenderaan tenaga baharu (NEV).

Mereka ditempatkan di Institut Penyelidikan Geely di Ningbo dan dilatih dalam pelbagai bidang yang melibatkan pembangunan, penyepaduan, pembuatan dan jualan serta perkhidmatan untuk kenderaan generasi baharu yang akan diperkenalkan secara beransur-ansur oleh Proton.

Merupakan kakitangan pertama yang menjalani latihan NEV, ahli-ahli rombongan itu terdiri daripada pekerja industri berpengalaman dan jurutera muda yang lulus dari Program Bakat Muda Proton.

Lebih ramai kakitangan akan dihantar ke China pada masa depan memandangkan Proton memerlukan pengetahuan teknikal daripada Geely untuk membangunkan rangkaian NEV-nya sendiri.

Menurut Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, usaha ini merupakan salah satu matlamat perkongsian antara Proton dan Geely yang termeterai pada 2017.

“Matlamat itu berjaya dicapai dan kini, kami memanfaatkan pengalaman global kumpulan dalam NEV untuk memberi rangsangan kepada jadual masa pembangunan model kami sendiri,” katanya.

Tambah Dr Li lagi, Proton merancang untuk memulakan program ini lebih awal tetapi ia telah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

smart #1

Selain daripada melatih pekerja dalam pelbagai aspek NEV, latihan kerja di China akan membantu dalam menentukan spesifikasi akhir untuk produk seperti smart #1. Ia merupakan EV pertama yang akan dijual oleh PRO-NET dan akan tiba ke pasaran pada suku keempat 2023.

Oleh kerana corak penggunaan dan tingkah laku pengguna berbeza dari negara ke negara, maklum balas daripada kakitangan Proton adalah penting untuk memastikan ia memenuhi keperluan pembeli Malaysia.

Memandang lebih jauh ke hadapan, program latihan ini akan membantu mengukuhkan usaha Kerjasama apabila kakitangan Proton terlibat dalam pelbagai bidang lebih awal dalam proses pembangunan untuk memperhalusi tawaran yang akan datang demi mencapai jangkaan pasaran tempatan.

Matlamat utama bagaimanapun adalah untuk memperolehi pengetahuan dan kemahiran baharu yang akan membantu mengemudi hala tuju masa depan syarikat untuk tahun-tahun akan datang.

Trak Lego Technic Volvo 6×6 ini boleh dipandu dan buang pasir macam yang sebenar

JIKA anda mempunyai banyak Lego di rumah dan perlukan sesuatu untuk mengangkutnya, Volvo 6×6 Technic ini mungkin paling sesuai untuk ‘kerja-kerja pembinaan plastik’ anda. Kit Lego Technic Volvo A60H Articulated Hauler terbaharu ini juga boleh dipandu menggunakan aplikasi Control+.

Kit trak bersendi ini terdiri dari 2,193 keping Lego dan bila disiapkan, ia berukuran 61cm panjang, 23cm lebar, dan 22cm tinggi.

Perincian pada model ini termasuklah enjin 6-silinder dan kotak gear 6-kelajuan yang berfungsi sepenuhnya. Bahagian kargo belakang boleh diangkat untuk menuang apa sahaja yang dibawa oleh anda.

Trak ini boleh dipandu ke depan, belakang, membelok, dan menukar gear melalui aplikasi. Operasinya adalah dari tiga motor dengan pengawal Bluetooth dan enam bateri AA.

Barisan model Lego Technic adalah khas untuk kit yang lebih kompleks, realistik dan mempunyai ciri-ciri lebih banyak, yang tidak terdapat pada set untuk kanak-kanak.

Sebagai contoh, Lego Technic sebelum ini pernah mengeluarkan Ferrari Daytona SP3 skala 1:8 dengan 3,778 keping, dan kit Formula 1 McLaren dengan 1,432 keping. Kedua-dua model ini mempunyai omboh enjin yang bergerak, differential, suspensi, dan roda yang boleh membelok.

Lego Technic Volvo A60H Articulated Hauler 6×6 ini boleh mula didapati secara online pada harga USD249.99.

Anthony Loke tinjau perkhidmatan KTM Komuter, TBS

SELEPAS menyamar sebagai penumpang bagi membuat tinjauan operasi LRT pada 5 Disember lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menggunakan taktik sama untuk meninjau perkhidmatan KTM Komuter pula.

Dalam satu hantaran di akaun Facebook rasminya, Ahli Parlimen Seremban itu berkata mengambil tren Komuter dari KL Sentral ke stesen Bandar Tasik Selatan bersama dua pembantu.

“Saya menerima banyak maklum balas dari media sosial berkenaan perkhidmatan Komuter dan masalah mencetak Pas Masuk Bas di TBS,” katanya.

Menurut Loke lagi, beliau akan berjumpa dengan pihak pengurusan KTMB dalam masa terdekat untuk membincangkan cara untuk menambahbaik dan menambah kekerapan perkhidmatan Komuter.

“Saya faham bahawa KTMB menghadapi pelbagai kekangan operasi yang disebabkan oleh projek menaiktaraf landasan KVDT1 yang masih belum siap dan KVDT2 yang tergendala,” tambah beliau.

Selain itu, beliau juga akan berjumpa dengan pihak pengurusan TBS untuk membincangkan kesiapsiagaan untuk menguruskan jumlah penumpang yang ramai pada hujung minggu dan musim perayaan.

Mazda CX-90 akan tiba dengan trenkuasa plug-in hybrid serba baharu

MAZDA North American Operations telah menyiarkan satu lagi teaser untuk Mazda CX-90 sebelum model itu didedahkan sepenuhnya pada Januari 2023.

Apa yang menarik, imej teaser kali ini bukan sahaja menunjukkan reka bentuk lampu belakang SUV itu, malah mengesahkan yang model itu akan tampil dengan trenkuasa plug-in hybrid. Ini boleh dilihat menerusi lencana E SKYACTIV PHEV pada tailgate dan kelibat lelaki yang sedang memegang pengecas.

Perincian mengenai trenkuasa berkenaan masih belum diumumkan namun jika melihat kepada teaser lencana ‘INLINE 6’ yang disiarkan pada November lalu, ia berkemungkinan besar akan menggunakan enjin enam silinder sebaris.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jika enjin berkenaan adalah untuk varian PHEV ini atau terdapat varian petrol yang akan diperkenalkan kelak.

CX-90 bukanlah model Mazda CX pertama yang akan ditawarkan dengan trenkuasa PHEV. Model crossover saiz pertengahan iaitu CX-60 dikuasakan oleh enjin 2.5-liter empat silinder dan motor elektrik yang menjana 323 hp dan 500 Nm.

Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 200 km/j. Bateri berkapasiti 17.8 kWh pula memberikan jarak gerak sejauh 63 km berdasarkan kitaran WLTP.

Menariknya, CX-60 juga boleh didapati dengan enjin 3.3-liter enam silinder sebaris yang dipadankan dengan sistem mild hybrid 48-volt di sesetengah pasaran antarabangsa termasuk Australia. Mungkinkah CX-90 akan menggunakan enjin yang sama?

Perodua sumbang kelengkapan bernilai RM151,000 kepada dua lagi hospital awam

PERODUA menyumbang sebanyak RM151,000 (dalam bentuk barangan dan peralatan) kepada dua hospital awam sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat yang berterusan dalam meningkatkan lagi sistem penjagaan kesihatan awam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata: “Hasrat kami adalah untuk membantu institusi yang memberi manfaat terbesar kepada semua rakyat Malaysia, seperti hospital-hospital kerajaan yang tersedia untuk semua.”

Perodua telah menyumbang barangan termasuk peralatan diagnostik, peralatan pemulihan, peralatan penjagaan pesakit, mesin dialisis dan juga hamper untuk para pesakit serta pasukan barisan hadapan di Hospital Kuala Kubu Bharu dan Hospital Selayang baru-baru ini.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Encik JH Rozman Jaafar, Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd kepada pihak pengurusan hospital dengan disaksikan oleh para pegawai perubatan dan kakitangannya.

Setakat ini, Perodua telah menyumbang peralatan perubatan dan kesihatan kepada hospital-hospital awam di seluruh negara.

Ini termasuk Hospital Umum Sarawak, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, Hospital Shah Alam, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Hospital Ampang, Hospital Putrajaya dan beberapa klinik komuniti di daerah Hulu Selangor.

“Kami percaya dalam membuat sesuatu perubahan, kami perlu konsisten dalam usaha kami dan kami amat berbangga kerana dapat membantu mereka yang bekerja dan berkhidmat tanpa jemu untuk negara.

“Kami akan terus bekerjasama dengan badan-badan seumpama ini pada masa akan datang kerana ini adalah cara terbaik untuk kami membalas sokongan yang telah diberikan kepada kami selama ini,” kata Dato’ Sri Zainal.

Kumpulan pertama Ora Good Cat tiba di Malaysia – EV kompak bermula RM140k

PENANTIAN sudah berakhir untuk mereka yang menempah EV kompak Ora Good Cat, kerana kumpulan pertama kereta itu sudah mendarat di Malaysia.

Ia baru sahaja dilancarkan hujung bulan lepas dan kami juga telah memandunya pada Oktober lepas, boleh tonton video itu di sini.

Ora Good Cat juga baru-baru ini telah memenangi anugerah “Most Anticipated Newcomer of the Year” oleh rakan media kami di Carlist.my. Ianya sabahagian dari anugerah Car of the Year tahunan mereka.

EV kompak itu dijual pada harga RM139,800 untuk 400 Pro dan RM169,800 untuk 500 Ultra. Jika dilihat pada harga asasnya, Good Cat merupakan EV termurah dalam pasaran Malaysia buat masa ini.

Jaminan pada Ora Good Cat termasuklah 5-tahun atau 150,000km untuk kereta, dan 8-tahun atau 180,000km untuk bateri, selain lima kali upah percuma untuk penyelenggaraan.

Bergantung kepada varian, Ora Good Cat mempunyai dua pakej janaan kuasa. Yang pertama ialah bateri 48kWh dengan jarak pemanduan 400km, manakala versi lebih tinggi mendapat bateri 63kWh dengan jarak pemandua hingga 500km.

Output dan prestasi walaubagaiamanapun adalah sama, iaitu 143hp dan 210Nm tork, dihantar ke roda depan.

Dari segi pengecasan, varian asas Ora Good Cat akan menyokong sistem AC dan DC. Untuk AC, ia akan mengambil masa antara enam hingga lapan jam untuk caj penuh dengan 6.6kW. Sementara itu, pengecasan menggunakan DC hanya akan memerlukan 46 minit untuk 0 hingga 80 peratus.

Bagi varian Ultra dan Ultra G, ia mengambil masa 10 jam jika dicaj menggunakan AC, dan sepantas 40 minit untuk mencapai 80 peratus dengan pengecaj DC.

Ora Good Cat menampilkan rekaan retro moden yang memberikannya imej seperti MINI atau Beetle. Bergantung kepada varian, ia dilengkapi lampu LED sepenuhnya dengan DRL LED, keyless entry, kemasan kulit, panel skrin berkembar 10-inci untuk infotainmen dan 7-inci untuk instrumen, serta penghawa dingin dengan penapis PM2.5.

Kelengkapan keselamatan aktif juga agak banyak, antaranya Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking dengan Intersection Support, Front Collision Warning, Wisdom Dodge System, Lane Departure Warning, dan Lane Keeping Assist.

Nik Nazmi: Kerajaan cadang bawa masuk EV harga bawah RM100k

MENTERI Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan bercadang untuk membawa masuk kenderaan elektrik (EV) di bawah harga RM100,00.

Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan bukan hanya golongan berpendapatan tinggi mampu menggunakan kenderaan tersebut.

Bukan itu sahaja, ia juga membolehkan golongan berpendapatan sederhana turut dapat menyumbang kepada sasaran pengurangan karbon dioksida.

“Sekarang kebanyakan EV yang masuk dalam pasaran kita adalah RM100,000 ke atas, jadi kita nak pergi kepada pasaran yang lebih besar iaitu RM100,000 ke bawah.

“Itu kita akan tengok bagaimana kerajaan dapat main peranan bersama dengan kerjasama syarikat-syarikat automotif, katanya.

Malah Nik Nazmi berkata, EV akan dijual dengan lebih rendah sekiranya ada syarikat tempatan yang memasang kenderaan itu di negara ini.

”Kerajaan sedang lihat bagaimana kalau kita dapat bawa masuk kenderaan EV yang lebih mampu milik, dan antara saya ingat, faktor penting adalah bila Proton sekarang akan bawa masuk kenderaan Geely dalam masa terdekat namun itu dari luar negara.

“Kalau kita dapat pasang kenderaan itu di Malaysia mungkin akan bantu kita untuk tawarkan kenderaan-kenderaan EV yang (harga) lebih rendah,” katanya lagi.

Volvo C40 Recharge kini di Malaysia, SUV kompak paling selamat di dunia – RM288,888

PERKENALKAN Volvo C40 Recharge, baru dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Apa dia C40 ini? Baik, ianya EV kedua Volvo selepas XC40 Recharge Pure Electric, dengan gaya SUV coupe. Lebih sporti dari XC40 biasa?

Untuk angka yang perlu anda tahu, ianya mampu dipandu sejauh 530km setiap caj, dengan pecutan 0-100 dalam hanya 4.7 saat. Cukup laju sebenarnya untuk sebuah SUV.

Pakej janaan kuasa adalah serupa dengan XC40 EV, iaitu dwi-motor P8 AWD, dengan output 408hp dan 660Nm tork. Kuasa ini dibekalkan oleh bateri lithium-ion 78kWh yang terletak di lantai.

Ia boleh dicaj dengan AC Type 2 biasa dan DC fast-charging. Pengecasan menggunakan DC fast-charging akan mengambil masa 40 minit dari 0 hingga 80 peratus.

Untuk penampilan, selain dari bumbung belakang Coupe, Volvo C40 EV ini boleh dikenalpasti dari lampu belakang LED yang direka semula, dan spoiler yang diintegrasi pada bumbung. Selain dari ini, muka depannya dikira serupa dengan XC40.

Bahagian dalaman lebih mirip dengan XC40, bermakna C40 mendapat kemasan kulit, paparan instrumen digital dan paparan sesentuh infotainment menegak. Ciri lain termasuklah Android Automotive OS serta servis Google binaan dalam seperti Maps, Assistant dan Play Store.

Volvo C40 Recharge ini juga hadir dengan kamera 360-darjah, pengecaj tanpa-wayar, Apple CarPlay, sistem audio premium Harman Kardon, dan penapis udara PM2.5.

C40 Recharge baharu ini dijual pada harga RM288,888, termasuk jaminan 5-tahun untuk kereta dan 8-tahun untuk bateri. Ia juga dilindungi oleh Volvo On Call 5-tahun, Volvo Service Inclusive 5-tahun dan Digital Service 4-tahun.

Didi Automotive jadi pengedar rasmi Triumph Motorcycles bermula Januari 2023

BERMULA 15 Januari 2023, rangkaian motosikal Triumph Motorcycles akan diedarkan di pasaran tempatan oleh Didi Automotive selaku pengedar rasmi baharu jenama itu.

Dalam satu kenyataan rasmi, Triumph Motorcycles berkata syarikat itu dan Didi Automotive akan bekerjasama untuk menguruskan pengimportan, jualan dan pengedaran motosikal serta pembangunan berterusan jenama Triumph di Malaysia.

Triumph Motorcycles dan Didi Automotive turut merancang untuk membuka bilik pameran baharu di Petaling Jaya dan Pulau Pinang bagi memberikan pelanggan pengalaman pemilikan terbaik, serta menawarkan kemudahan terkini, kakitangan terlatih dan perkhidmatan servis, selepas jualan dan penjagaan pelanggan tahap tertinggi.

Malaysia merupakan pasaran yang penting bagi Triumph dan menjadi salah satu pasaran motosikal utama di rantau Asean. Didi Automotive akan menawarkan rangkaian lengkap motosikal Triumph yang terdiri daripada model moden klasik, roadster dan Tiger.

Ini termasuk Rocket 3 dengan enjin 2.5-liter dan model 660 seperti Trident dan Tiger Sport yang dijangka menjadi antara yang paling popular di kalangan pelanggan di Malaysia.

Dalam masa terdekat, model Triumph berkapasiti kecil yang dibangunkan dengan kerjasama Bajaj akan menjadikan jenama itu lebih mudah akses di Malaysia. Ini ditambah lagi dengan perancangan Triumph Motorcycles dan Didi Automotive untuk membuka enam cawangan di seluruh negara.

Sesi perkongsian Petronas Lubricants International beri inspirasi kepada pelajar Despark International College

PETRONAS Lubricants International baru-baru ini menganjurkan sesi perkongsian yang direka khusus untuk memupuk semangat dan membentuk graduan sedia industri.

Bagi siri ketiga ini, Jurutera Bendalir Trek Petronas iaitu Dr Safwan Hanis telah dijemput untuk berkongsi pengalamannya dengan lebih 100 pelajar Despark International Kolej.

Menerusi sesi ini, pelajar memperoleh maklumat tentang industri automotif serta belajar daripada pengalaman Dr Safwan sebagai jurutera bendalir yang bertanggungjawab untuk memberikan sokongan teknikal kepada pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One.

Peranan lain Dr Safwan termasuk menganalisis bahan api Petronas Primax, minyak pelincir Petronas Syntium dan bendalir Petronas Tutela yang digunakan di dalam jentera F1 sebelum dan selepas perlumbaan.

Dr Safwan berkata, “Saya amat bertuah kerana telah menjadi sebahagian daripada pasukan Mercedes-AMG Petronas F1. Menjadi sebahagian daripada pasukan memberikan pengalaman pembelajaran yang hebat untuk saya, dan saya teruja untuk berkongsi pengalaman saya bersama pelajar Despark International College.”

“Saya berharap dapat memberi inspirasi dan memperkasakan bakat muda terutamanya yang mempunyai minat yang tinggi dalam industri automotif untuk meneruskan semangat dan kepercayaan dalam kebolehan mereka untuk cemerlang dan pergi jauh dalam industri,” tambah beliau.

Ini merupakan sesi pertama yang diadakan secara fizikal, dengan dua sesi sebelum ini terpaksa diadakan secara maya akibat pandemik. Sesi perkongsian yang pertama menampilkan Jurutera Bendalir Trek Petronas, De Liow, manakala sesi kedua pula diadakan bersama anak tempatan pertama yang menjadi mekanik MotoGP iaitu Hibbatuulah Mohd Fuad yang juga dikenali sebagai Habib.