fbpx

Bateri Proton X50 ‘kong’ dua kali dalam 3 bulan, SC masih mahu cas

bateri proton x50 thumb

SEORANG pemilik Proton X50 telah mengalami kehabisan bateri untuk kali kedua dalam masa tiga bulan memiliki SUV itu.

Menurut pemilik yang tidak memaparkan namanya itu, semasa kali pertama kehabisan bateri, dia telah menghantar X50 miliknya ke pusat servis (SC) di Cyberjaya. Untuk kali kedua baru-baru ini, dia menghantar ke SC lain kerana cawangan di Cyberjaya tiada stok bateri.

“Pertama kali flat, hantar SC Cyberjaya untuk cas semula kerana prosedur katanya,” tulisnya di dalam forum Proton X50 Community Malaysia (PX50CM) di Facebook.

“Kali kedua flat kena pagi ini, simptomnya tiga hari lepas tingkap belah pemandu tidak boleh dibuka. Sudah buat temujanji hantar hari ini, tetapi habis (bateri) dulu.

“Minggu depan nak raya, telefon SC Cyberjaya yang cas dulu kata bateri tiada stok. Sekarang hantar ke SC lain.

Menurutnya, dia tidak mempunyai kereta lain, dan hanya bergantung kepada X50 itu. Kos ketiadaan kereta untuk dua kali ini juga sudah melebihi kos membeli bateri baharu.

“Kereta masih di SC, bila dah petang dah tak dapat hubungi untuk tanya perkembangan. Risau tak dapat balik raya,” luahnya.

“Nak tukar sendiri bateri baharu pun SC cakap nanti ada masalah lain,” tambahnya.

Rata-rata komen mencadangkan pemilik itu untuk terus tukar sendiri bateri tanpa pengetahuan pihak Proton memandangkan proses di SC terlalu rumit dan memakan masa.

Menariknya, ada juga yang berkongsi memorandum rasmi pihak Proton berkenaan penggantian bateri Camel X50 tanpa membuat proses cas semula bateri.

Memorandum itu dikeluarkan oleh bahagian teknikal Proton, bertarikh 27 Mac 2023 lepas.

Tidak dapat dipastikan apakah solusi terkini pihak SC untuk bateri Proton X50 ini, tetapi tidak mungkin mereka perlu cas semula memandangkan telah keluar memo untuk mengganti terus bateri itu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved