fbpx

2 juta kenderaan bakal guna lebuh raya semasa Aidilfitri – PLUS

lebuhraya plus Sg_Buloh-Bukit_Lanjan_stretch

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi satu kenyataan berkata ia menjangkakan kira-kira 2 juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh rayanya pada hari-hari puncak bermula 20 April ini sempena Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata hari-hari puncak adalah 20 hingga 21 April, 24 hingga 25 April, 29 April hingga 1 Mei, dan 4 hingga 7 Mei 2023. Trafik pada hari-hari tersebut dijangka meningkat sebanyak 20 peratus berbanding hari-hari biasa.

“Oleh itu, PLUS menyarankan agar orang ramai yang menggunakan rangkaian lebuh raya kami supaya merancang perjalanan mereka dengan baik dan pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam lonjakan trafik pada Hari-Hari Puncak,” jelas Datuk Zakaria.

Bagi menguruskan lonjakan trafik pada musim perayaan kali ini, Datuk Zakaria berkata pihaknya telah membuat persediaan dan mengatur pelbagai strategi yang merangkumi aspek keselamatan, pengurusan trafik dan kesesakan, pengagihan trafik, pengurusan trafik di plaza tol, pengurusan kemudahan di kawasan rehat dan sebagainya.

Salah satunya, PLUS akan terus berkerjasama dengan PDRM dan JPJ untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan advokasi di lebuh raya sepanjang musim perayaan ini.

Gambar oleh MalayMail

Selain itu, PLUS turut menempatkan Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) yang terdiri daripada PDRM, JPJ, Angkatan Pertahanan Awam (APM), St John Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di 11 lokasi strategik di lebuh raya dengan lebih daripada 500 petugas.

Di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), sebanyak 269 jumlah pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUSRonda dan LPT2Ronda ditugaskan menjalankan rondaan 24 jam sehari bagi membantu pengguna lebuh raya yang mengalami kecemasan atau kerosakan kenderaan.

PLUS juga akan mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan dalam tempoh terdekat ini sebagai strategi untuk mengagihkan trafik dan membantu orang ramai merancang perjalanan mereka.

Bagi memastikan perjalanan di lebuh raya lebih lancar dan selesa, PLUS akan menghentikan sementara kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan di lebuh raya mulai 19 April hingga 1 Mei akan datang.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved