Memperkenalkan, SUV prestasi bersaiz penuh pertama Mercedes-AMG dalam sejarah 59 tahun jenama itu. Dikenali sebagai GT SUV, ia dibangunkan menggunakan platform elektrik AMG.EA, menggabungkan prestasi kereta sport dengan praktikaliti SUV.
Tiga varian ditawarkan iaitu GT 53 SUV, GT 55 SUV dan GT 63 SUV. Varian asas boleh ditempah mulai 20 Oktober pada harga bermula 113,050 euro (sekitar RM 520,000), manakala GT 55 dan GT 63 SUV akan menyusul pada musim bunga 2027.
Prestasi tidak ubah seperti kereta sport sebenar
GT 63 SUV menggunakan tiga motor elektrik jenis axial-flux yang menghasilkan kuasa sehingga 1,169 PS (860 kW). Varian GT 55 SUV menggunakan konfigurasi sama namun dengan kuasa lebih rendah iaitu 816 PS (600 kW).
Sementara itu, GT 53 SUV menggunakan tetapan dua motor, satu pada gandar depan dan satu di belakang, dengan kuasa keseluruhan mencecah 544 PS (400 kW).
Bagi varian GT 63 SUV, pecutan 0-100 km/j mengambil masa hanya 2.5 saat, manakala 0-200 km/j dicapai dalam 6.8 saat. Kelajuan maksimum pula boleh mencecah 270 km/j dengan Driver’s Package.
Pengecasan pantas mencecah 710 kW
SUV ini menggunakan bateri berteknologi 800 volt dengan kapasiti 106 kWj atau 128 kWj, bergantung pada varian. Jarak gerak maksimum pula boleh mencecah 700 km mengikut kitaran WLTP.
Khusus untuk 128 kWj, pengecasan DC boleh mencapai 710 kW, membolehkan jarak sehingga 450 km ditambah dalam masa 10 minit. Pengecasan 10-80% pula mengambil masa sekitar 12 minit sahaja.
Bateri ini menggunakan sel silinder dengan sistem penyejukan terus bagi membantu mengekalkan prestasi ketika dipandu secara agresif atau digunakan berulang kali pada kuasa tinggi.
Suspensi aktif dan kabin berorientasikan pemandu
Semua varian GT SUV dilengkapi sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ serta stereng gandar belakang aktif. Suspensi AMG Active Ride Control+ menggunakan sistem hidraulik untuk mengawal olengan badan ketika mengambil selekoh, selain mengurangkan tundukan ketika membrek dan mendongak ketika memecut.
Walaupun ia kereta elektrik, sistem AMGForce Sport+ mensimulasikan bunyi enjin V8 bagi GT 63 dan GT 55, serta enjin enam silinder bagi GT 53. Ia turut menawarkan pertukaran gear simulasi dan penggetar tempat duduk untuk pengalaman pemanduan lebih mengujakan.
Kabin menampilkan skrin multimedia 14 inci, paparan instrumen digital 10.2 inci dan pilihan skrin penumpang hadapan 14 inci. Mercedes-AMG GT SUV akan dipasang di kilang Sindelfingen, Jerman.
Porsche memperkenalkan Mission S, sebuah model konsep yang memberikan gambaran awal tentang hala tuju reka bentuk baharu jenama itu, selain memperlihatkan perancangan untuk platform kereta super sport berenjin tengah yang bakal ditempatkan di atas 911.
Dibangunkan di bawah strategi “Sportwagenschmiede ’35”, Mission S menjadi asas kepada perancangan Porsche untuk membangunkan sebuah model kekal. Bagaimanapun, spesifikasi teknikal dan perancangan pengeluaran masih belum diumumkan.
Reka bentuk diinspirasikan model ikonik Porsche
Mission S menggabungkan elemen reka bentuk klasik Porsche dengan pendekatan yang lebih moden. Bahagian hadapan yang rendah, lampu berbentuk bulat dan fender yang menonjol diinspirasikan daripada 911, manakala bentuk bumbungnya ‘dipinjam’ daripada 959.
Porsche menggunakan pendekatan reka bentuk “floating volumes”, dengan permukaan badan yang mengalir bagi menghasilkan penampilan lebih dinamik.
Garisan yang menghubungkan grafik lampu hadapan dan belakang memberikan identiti visual yang lebih menyeluruh, manakala sayap belakang aktif diinspirasikan daripada Porsche GT1.
Turut menarik perhatian ialah elemen penyejukan yang menyerupai kipas radiator 917, selain rim ringan yang mengambil inspirasi daripada reka bentuk dial 928. Susun atur enjin tengah pula memberikan Mission S perkadaran badan yang tersendiri.
Lima meter bulat, kurang skrin
Bahagian kabin Mission S memberi tumpuan kepada pemandu, dengan gabungan instrumen analog dan teknologi digital tanpa memenuhi papan pemuka dengan skrin.
Lima meter bulat ditempatkan di belakang stereng, dengan takometer analog sebagai instrumen utama. Kedudukan meter boleh berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih, manakala suis dan butang fizikal digabungkan dengan kawalan jenis tolak-tarik untuk fungsi kenderaan.
Elemen Sport Chrono turut menggabungkan reka bentuk klasik dengan fungsi digital.
Menariknya, Mission S tidak mempunyai skrin sentuh kekal atau paparan khusus untuk penumpang. Sebaliknya, pemegang telefon pintar boleh laras dengan sokongan Apple MagSafe membolehkan pemandu menggunakan telefon sendiri untuk navigasi dan maklumat lain.
Kombinasi warna putih, kelabu dan merah di dalam kabin pula ialah inspirasi daripada penglibatan Porsche dalam sukan permotoran.
Model baharu di atas Porsche 911?
Menurut Porsche, Mission S memperlihatkan bahasa reka bentuk yang bakal mempengaruhi model produksi akan datang. Namun, maklumat mengenai rangkaian kuasa, prestasi, harga dan tarikh pengeluaran masih belum didedahkan.
Buat masa ini, Mission S memberikan gambaran awal tentang perancangan Porsche untuk barisan kereta super sport berenjin tengah yang melengkapi, bukannya menggantikan, model 911.
Royal Enfield secara rasmi memperkenalkan Guerrilla 450 APEX 2026 untuk pasaran Malaysia.
Model yang dibangunkan berasaskan platform Guerrilla 450 itu tampil dengan beberapa penambahbaikan yang menjadikannya lebih sporty.
Ia ditawarkan pada harga dari RM28,000 dengan pilihan warna APEX Red, APEX Green dan APEX Black.
Spesifikasi
Guerrilla 450 APEX masih menggunakan enjin silinder tunggal Sherpa 452 cc sejukan cecair yang menghasilkan 40 PS @ 8,000 rpm dan daya kilas 40 Nm @ 5,500 rpm.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik 43 mm di depan diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.
Bagi varian APEX, Royal Enfield memperkenalkan pemegang hendal aluminium yang lebih rendah serta diposisikan semula bagi menghasilkan posisi tunggangan yang lebih condong ke hadapan dan berkarakter sporty.
Turut baharu adalah penggunaan tayar Vredestein Centuro ST 17 inci yang lebih memfokuskan kepada prestasi jalan raya, selain menawarkan tahap cengkaman lebih baik di atas permukaan basah dan kurang cengkaman.
Mod tunggangan Street dan Sport turut dikemas kini dengan fungsi mode retention yang membolehkan motosikal mengingati mod tunggangan terakhir walaupun selepas enjin dimatikan.
Ciri-ciri lain
Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuk:
paparan TFT bulat 4 inci Tripper Dash
navigasi berasaskan Google Maps
sambungan telefon pintar
pelekat rim standard
penutup tempat duduk belakang (rear seat cowl)
penutup hadapan mengikut warna badan
pelindung tangan (handguard)
jeriji lampu hadapan (headlight grille)
lampu LED
pelana 780 mm
tangki bahan api 11 liter
Selain varian APEX, Royal Enfield turut memperkenalkan warna baharu Twilight Blue untuk varian Dash.
Tempahan kini dibuka di semua lapan pengedar sah Royal Enfield di Malaysia yang terletak di Petaling Jaya, Batu Caves, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Kuantan, Kuching dan Kota Kinabalu.
Setiap pembelian Guerrilla 450 APEX didatangkan dengan jaminan tiga tahun tanpa had perbatuan serta bantuan tepi jalan (RSA) selama tiga tahun.
Proton hari ini secara rasmi memperkenalkan Proton X50 Sport Edition (SE) yang tampil dengan imej lebih agresif dan sporty menerusi 15 penambahbaikan eksklusif pada bahagian luaran serta dalaman.
Dibangunkan berasaskan varian X50 Flagship, model ini bukan ditawarkan sebagai varian berasingan.
Sebaliknya ia hadir sebagai pakej penambahbaikan gaya yang bersepadu dengan tambahan harga hanya RM1,999 berbanding varian Flagship standard.
15 penambahbaikan eksklusif
Dari segi luaran, X50 Sport Edition menampilkan kemasan serba hitam yang digabungkan dengan aksen merah bagi menyerlahkan karakter sporty.
Antara aksesori yang ditambah termasuk:
Black Front Upper Garnish
Black Front Side Port Trim Garnish
Black Lower Bumper Garnish
Black Rear Side Port Trim Garnish
Rim aloi 18 inci berwarna hitam
Skirting hadapan, sisi dan belakang khas Sport Edition
Lencana Sport Edition
Masuk ke ruang kabin, tema sporty diteruskan menerusi jahitan merah pada stereng, perehat tangan, panel pintu dan tempat duduk.
Tempat duduk hadapan turut menerima sulaman Sport Edition, manakala ruang lantai dilengkapi kemasan eksklusif bersama tikar lantai TPE serta plat ambang pintu khas Sport Edition.
Menurut PROTON, semua komponen tambahan ini telah menjalani lebih 13,700 jam ujian, termasuk aspek ketahanan, rintangan kakisan, rintangan UV serta kesesuaian untuk iklim tropika Malaysia.
Prestasi kekal sama seperti varian Flagship
Walaupun menerima perubahan dari segi penampilan, aspek mekanikal dan teknologi dikekalkan seperti varian Flagship.
X50 Sport Edition masih menggunakan enjin 1.5-liter i-GT turbo yang menghasilkan 181 PS dan 290 Nm, dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan klac berkembar (DCT).
SUV segmen-B itu turut dilengkapi:
Skrin infohibur 14.6 inci
Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
Sistem arahan suara Hi PROTON
Aplikasi PROTON Link 2.0
Dari aspek keselamatan pula, ia mengekalkan sehingga 15 ciri ADAS, termasuk Auto Park Assist (APA), kamera HD 360 darjah dengan paparan telus 180 darjah serta Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).
PROTON Link 2.0 lebih praktikal
Menerusi aplikasi PROTON Link 2.0, pemilik boleh mengakses pelbagai fungsi kenderaan dari jauh menggunakan telefon pintar.
Antara fungsi yang tersedia termasuk menghidupkan enjin, mengawal penyaman udara, membuka dan mengunci pintu, mengendalikan tingkap kuasa, membuka ruang bagasi serta mengaktifkan hon dan lampu.
Menariknya, aplikasi itu juga serasi dengan jam tangan pintar Huawei tertentu yang menggunakan sistem operasi HarmonyOS.
Pakej pelancaran
Sempena pelancaran rasmi, pelanggan boleh menikmati penambahbaikan eksklusif bernilai RM7,000 pada harga tambahan hanya RM1,999 berbanding X50 Flagship standard.
Untuk makluman, Proton X50 Flagship kini ditawarkan pada harga RM100,300 selepas rebat Oktober 2026 sehingga RM13,000.
Pakej pemilikan turut merangkumi:
Pro-Warranty: Jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta enam kali servis buruh percuma
Pro-Connect: Data kenderaan percuma selama lima tahun dengan kuota 2GB sebulan
BYD Sime Motors secara rasmi membuka pusat 3S baharu di Miri, Sarawak.
Dengan keluasan 12,228 kaki persegi, ia merupakan kemudahan 3S terbesar BYD di Sarawak yang menyediakan sokongan jualan, servis dan alat ganti di bawah satu bumbung.
Premis ini dikendalikan oleh Kah Progression Auto Sdn Bhd, disokong oleh 15 kakitangan yang mengendalikan operasi jualan dan selepas jualan.
Antara kemudahan yang disediakan termasuklah:
ruang pameran dengan kapasiti sehingga 5 kenderaan
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) melancarkan kempen terbaharu yang menampilkan Xforce dengan muatan ‘awan hujan’.
Kempen Mitsubishi Xforce Roving Cloud ini merupakan pengalaman interaktif yang memaparkan keupayaan pemanduan jalan basah SUV tersebut.
Awan bergerak ini dilengkapi dengan mekanisme titisan air aktif yang menggambarkan keyakinan pemanduan Xforce ketika hujan, disumbangkan oleh ciri Wet Mode dan sistem Active Yaw Control (AYC).
Lokasi terpilih
Bermula 16 Oktober hingga 29 November, Xforce Roving Cloud ini akan singgah di beberapa lokasi terpilih seperti berikut:
16 Oktober: Subang Jaya
17 Oktober: Shah Alam
18 Oktober: Klang
23 Oktober: Petaling Jaya
24 Oktober: Mont Kiara
25 Oktober: Kepong
30 Okt-1 Nov: ACE Setia Alam
13 November: Taman Desa
14 November: Bukit Bintang
15 November: Setapak
20 November: Puchong
21 November: Bukit Jalil
22 November: Cheras
27-29 Nov: Karnival Jom Heboh + Stadium Merdeka
Pertandingan Snap & Win
Orang ramai juga dijemput untuk menyertai pertandingan Xforce Roving Cloud: Snap & Win.
Caranya mudah sahaja:
Cari Xforce Roving Cloud
Ambil gambar
Kongsikan di Istagram atau Facebook Stories bersama tanda pagar #XforceRovingCloud
Pastikan ikut dan tag sekali akaun rasmi Mitsubishi Motors Malaysia
Pertandingan ini akan berlangsung dalam dua fasa, iaitu Fasa 1 (16 Oktober-1 November) dan Fasa 2 (13-30 November).
Pemenang akan diumumkan pada 6 November dan 3 Disember 2026.
20 penyertaan terbaik akan memenangi hadiah eksklusif bernilai sehingga RM10,000 seperti:
Dinamik persaingan dalam segmen SUV kompak pasaran tempatan terus menyajikan plot menarik bagi penutup suku ketiga tahun 2026 (Q3 2026).
Selepas menguasai bulan Ogos, Perodua Ativa sekali lagi tampil pada bulan September 2026 sebagai juara pendaftaran bulanan.
Lonjakan ini membawa implikasi terhadap kedudukan carta pendaftaran terkumpul (YTD) nasional.
Ativa Tinggalkan X50 & Traz
Memasuki bulan September 2026, pendaftaran Ativa mencatatkan angka bulanan tertinggi di dalam segmennya dengan pendaftaran sebanyak 2,687 unit.
Angka tersebut meletakkan Ativa jauh di hadapan pencabar terdekat Proton X50, yang mencatatkan pendaftaran bulanan sebanyak 1,981 unit.
Perodua Traz pula menduduki tempat ketiga bulanan dengan pendaftaran 1,281 unit.
Kejayaan ini bermakna Ativa menerajui pendaftaran bulanan September dengan kelebihan selesa sebanyak 706 unit di hadapan X50 dan 1,406 unit di hadapan Traz.
Berikut adalah perbandingan pendaftaran bulanan bagi bulan September 2026:
Perodua Ativa:2,687 unit(Ogos: 2,288 unit)
Proton X50:1,981 unit(Ogos: 2,229 unit)
Perodua Traz:1,281 unit(Ogos: 1,522 unit)
Ativa Rampas Semula Kelompok Top 10 YTD, Traz Terkeluar
Impak lonjakan bulanan membuahkan hasil apabila Ativa merampas semula kedudukan di dalam kelompok 10 model paling laris di Malaysia (YTD September 2026).
Dengan jumlah pendaftaran terkumpul sebanyak 17,044 unit, Ativa kini selesa menduduki tangga ke-9 YTD.
Kejayaan ini secara langsung menolak Traz daripada kelompok elit Top 10. Traz kini berada di tangga ke-11 di bawah Honda City (16,883 unit).
Proton X50 kekal mempertahankan kedudukan SUV paling banyak didaftarkan secara individu bagi tahun 2026 dengan mengumpul 19,809 unit di tangga ke-8 YTD.
Lonjakan Ativa juga menunjukkan perbezaan di antara X50 yang menyusut.
Berikut adalah pencapaian terkumpul YTD sehingga 30 September 2026 bagi model-model utama SUV:
Proton X50 (No. 8 YTD): 19,809 unit
Perodua Ativa (No. 9 YTD): 17,044 unit
Perodua Traz (Luar Top 10 YTD): (16,883 unit)
Strategi Dua Penjuru Perodua & Isyarat ‘Saga Cross’ Daripada Proton
Di sebalik persaingan individu, strategi taktikal Perodua menerusi Ativa dan Traz terus membuktikan keberkesanannya dalam menguasai pasaran automotif tempatan.
Gabungan pendaftaran terkumpul kedua-dua SUV kompak Perodua ini terus mendominasi pasaran massa secara menyeluruh.
Namun, di sebalik penguasaan Perodua, Proton sebenarnya sudah bersiap untuk menghangatkan lagi persaingan.
Sejumlah gambar SUV yang dikatakan sebagai Saga Cross sudah pun tersebar luas di media sosial, sekali gus memberi isyarat bahawa persaingan sebenar baru sahaja bermula!
Bermaz Motor baru-baru ini menganjurkan Kejohanan Golf Amal Mazda ke-12 di Glenmarie Golf & Country Club pada 9 dan 10 Oktober lalu.
Program tahunan ini menghimpunkan rakan niaga, wakil kerajaan, pelanggan Mazda serta komuniti setempat bagi menjayakan usaha kebajikan melalui sukan.
Ia juga menjadi platform utama pengumpulan dana untuk Mazda Medicare Fund (MMF) yang menyalurkan bantuan perubatan dan kemanusiaan kepada golongan kurang berkemampuan di Malaysia.
Edisi kali ini menarik penyertaan sekitar 200 orang peserta.
Majlis makan tengah hari amal turut diserikan dengan kehadiran KDYMM Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, penaung diraja MMF sejak 2015.
Pada majlis tersebut, cek simbolik disampaikan kepada lima penerima manfaat iaitu:
Hospital Kanser Mount Miriam
Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim dan Cacat Perlindungan Selangor
Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Sai Pandian
Pertubuhan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Sijangkang
Yayasan Al-Sultan Abdullah
Ditubuhkan pada 2015 hasil kerjasama Prima Merdu Sdn Bhd dan B. Braun Avitum Renal Services, MMF pada asalnya membantu pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan hemodialisis.
Kini, bantuan turut diperluaskan kepada rumah kebajikan, rumah anak yatim, pusat OKU dan kanak-kanak berkeperluan khas.
Menerusi Mazda Privilege Card (MPC) yang diperkenalkan pada 2018, pemilik Mazda boleh terus menyumbang kepada MMF sambil menikmati pelbagai keistimewaan selepas jualan.
Melalui penganjuran kejohanan ini, Bermaz Motor meneruskan komitmennya dalam memperkukuh budaya memberi kembali kepada masyarakat serta membantu golongan yang memerlukan di seluruh negara.
BYD Malaysia mengumumkan pelantikan Inokom Corporation Sdn Bhd, anak syarikat Sime Motors sebagai rakan pemasangan tempatan.
Pengumuman ini adalah susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat global BYD di Shenzhen, China.
MoU tersebut ditandatangani oleh Liu Xueliang, Naib Presiden BYD merangkap Pengurus Besar Bahagian Jualan Automotif BYD Asia Pasifik dan Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan Sime.
Pemilihan tersebut dibuat setelah menilai pasaran tempatan serta keupayaan pengeluaran yang tersedia.
Selain itu, Inokom juga mempunyai pengalaman dalam pemasangan kenderaan, tenaga kerja mahir serta prasarana yang diperlukan.
Ia menjadi asas kukuh untuk BYD Malaysia meneruskan perancangan untuk memasang kenderaan secara CKD di Malaysia.
Menurut Jacob Ma, Pengarah Urusan BYD Malaysia berkata, “Kerjasama ini merupakan satu lagi langkah dalam perkembangan BYD di Malaysia bersama BYD Sime Motors.
“Kami akan terus memperkukuh kehadiran tempatan dan meneroka peluang untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia melalui kerjasama dengan rakan industri tempatan,” ujarnya.
Dato’ Jeffri Salim Davidson menambah, “Keputusan BYD untuk bekerjasama dengan Sime mencerminkan kekuatan industri pembuatan automotif Malaysia serta kepakaran yang telah kami bangunkan selama ini.
“Pengalaman kami dalam pemasangan kenderaan, disokong oleh tenaga kerja berpengalaman dan rangkaian pembekal tempatan yang mantap, menyediakan asas yang kukuh bagi kerjasama ini.
“Selain pemasangan kenderaan, kerjasama seperti ini membuka peluang untuk memperkukuh ekosistem automotif Malaysia, menyokong perniagaan tempatan dan membangunkan kepakaran yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang industri ini,” katanya lagi.
Sime Motors menjemput rakyat Malaysia untuk berkunjung ke acara Jualan HEBAT Sime Motors bertempat di Sime Motors City Ara Damansara hujung minggu ini (16-18 Oktober).
Acara selama tiga hari ini menawarkan promosi akhir tahun dan menghimpunkan jenama-jenama automotif Sime Motors meliputi segmen premium, berprestasi dan elektrik.
Berikut merupakan antara promosi yang ditawarkan:
BMW – harga menarik, rebat tunai khas, kadar pembiayaan serendah 1.68% dan pakej Servis & Baik Pulih Terangkum 5-Tahun
MINI – rebat tunai, kadar pembiayaan serendah 0.88%, mesin kopi Nespresso Vertuo dan pelekat kereta percuma
BMW Motorrad – kadar pembiayaan serendah 2.99% dan rebat sehingga RM15,000 untuk model terpilih
BYD – rebat alu-aluan sehingga RM500, dan rebat sehingga RM16,000 untuk model terpilih
Denza – rebat sehingga RM50,000 untuk model D9
Hyundai – rebat sehingga RM52,000 bagi model terpilih, sokongan tukar beli biasa, dan tukar beli secara overtrade atau servis percuma 8 kali
Ford – rebat sehingga RM22,000 bagi kenderaan terpilih
Volvo – rebat sehingga RM25,000 bagi model terpilih
Tidak ketinggalan, pilihan kenderaan pra-milik premium daripada Auto Selection dan EV NEXT.
Sepanjang acara, pengunjung boleh memandu uji, menikmati tawaran eksklusif, pakej pembiayaan dan peluang tukar beli.
Pelanggan yang membuat tempahan berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM40,000 termasuk iPhone Duo, iPhone 18 Series dan hadiah premium lain.
Acara Jualan HEBAT Sime Motors dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
DeLorean Motor Company mengumumkan penyertaan dalam Airspeeder International Series, siri perlumbaan kereta terbang elektrik pertama di dunia, sebagai pembina pasukan Amerika Syarikat.
Dikenali sebagai DeLorean Airspeeder Team, pasukan itu dijadualkan membuat penampilan sulung pada pembukaan musim 2026-2027 pada November 2026.
Golongan yang membesar pada era 1980-an mengenali DMC DeLorean sebagai sebuah kereta dalam filem Holywood yang mampu terbang merentasi masa.
Pengumuman itu dibuat sempena TechCrunch Disrupt 2026 di San Francisco, Amerika Syarikat, pada 13 Oktober 2026.
Penyertaan ini menjadikan DeLorean pembina pertama dari Amerika Syarikat dalam perlumbaan kereta terbang.
Pasukan itu akan bersaing dengan pasukan kebangsaan dari seluruh dunia dalam musim antarabangsa pertama siri berkenaan.
Reka bentuk pesawat, barisan juruterbang dan program perlumbaan akan diumumkan sebelum perlumbaan pembukaan musim.
DeLorean Bawa Identiti Automotif Ke Udara
DeLorean terkenal dalam sejarah automotif menerusi reka bentuk dan pendekatan yang tersendiri.
Kini, jenama itu mahu membawa identitinya ke dunia perlumbaan udara menggunakan teknologi pendorongan elektrik, kawalan penerbangan canggih dan sistem keselamatan berasaskan AI.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Airspeeder, Matt Pearson, berkata DeLorean sememangnya mempunyai kaitan rapat dengan kereta terbang.
Malah, sebelum kereta terbang dibina, orang ramai di seluruh dunia sudah dapat membayangkan rupa DeLorean yang terbang di udara.
Menurutnya, sesebuah siri perlumbaan hebat turut ditentukan oleh pembina yang mengambil bahagian.
Penyertaan DeLorean, ikon automotif Amerika Syarikat, dalam musim antarabangsa pertama Airspeeder mencerminkan potensi dan hala tuju sukan perlumbaan ini.
Amerika Syarikat berulang kali membawa perubahan kepada cara dunia bergerak, sama ada di jalan raya, di udara mahupun seterusnya.
Kini, DeLorean Airspeeder Team membawa aspirasi itu ke arena baharu.
Gunakan Pesawat Airspeeder Mk3C
Dalam Airspeeder International Series, pasukan kebangsaan akan berlumba menggunakan pesawat elektrik yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL).
Perlumbaan berlangsung dalam ruang tiga dimensi melalui laluan yang ditetapkan secara elektronik, berbeza daripada litar perlumbaan konvensional.
Untuk musim pertama, pasukan itu akan berlumba menggunakan pesawat Airspeeder Mk3C, dengan DeLorean menerajui pembangunan identiti reka bentuk.
Bagi musim 2027-2028, pesawat DeLorean Airspeeder akan dibangunkan menerusi kerjasama dengan pasukan kejuruteraan pelajar dari beberapa universiti di Amerika Syarikat, termasuk:
University of California
UC Berkeley
Georgia Tech
Kerjasama itu bertujuan melibatkan bakat kejuruteraan dan reka bentuk dari Amerika Syarikat dalam pembangunan pesawat perlumbaan tersebut.
Perlumbaan Sebagai Platform Pembangunan Teknologi
Menurut DeLorean, sukan permotoran menjadi platform untuk menguji teknologi, mempercepat pembangunan dan menilai prestasi dalam keadaan mencabar.
Melalui kerjasama dengan Airspeeder, DeLorean mahu membantu membangunkan teknologi kenderaan terbang.
Kerjasama ini turut merangkumi usaha membangunkan rangka kerja kawal selia, keselamatan dan pematuhan bagi memastikan teknologi itu digunakan secara bertanggungjawab.
Penggunaan kenderaan terbang secara meluas masih memerlukan masa.
Namun, DeLorean melihat peluang untuk menjadikan teknologi mobiliti masa depan lebih praktikal dan boleh digunakan secara meluas.
Airspeeder International Series pula menjadi platform untuk memperkenalkan teknologi penerbangan elektrik kepada penonton di seluruh dunia.
Sasarannya termasuk mereka yang berminat dengan teknologi, reka bentuk, permainan dan budaya, selain sukan perlumbaan.
DeLorean dan Airspeeder akan berkongsi perkembangan lanjut mengenai kerjasama itu dalam beberapa bulan akan datang.
Model terbaharu iCaur V25 akan membuat kemunculan gobal pada 19 Oktober ini sempena iCaur International User Summit di Wuhu, China.
Dalam siri V, iCaur V25 diposisikan di tengah-tengah antara model V23 dan V27 yang lebih besar.
Dimensi
V25 membawakan ukuran sepanjang 4,636 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,855 mm dengan jarak antara roda 2,820 mm.
Sebagai perbandingan, V27 berukuran sepanjang 5,055 mm manakala V23 pula berukuran 4,220 mm.
Rekaan
Sama seperti model yang ditawarkan dalam siri V, V25 mengekalkan identiti reka bentuk berkotak, diikuti perincian seperti:
lampu hadapan berbentuk bulat
struktur jeriji terbuka
gerbang roda bersegi
lampu belakang yang nipis
Pilihan REEV atau EV
Ketika mula diperkenalkan beberapa bulan lepas, iCaur V25 ditawarkan dalam versi penambah jarak (REEV).
Sistem tersebut menampilkan enjin 1.5L turbo (154 hp) yang bertindak sebagai unit penjana untuk bateri LFP 33.68 kWh.
Tenaga elektrik itu kemudian disalurkan kepada sepasang motor yang mampu menjana kuasa 455 hp dan 505 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 5.9 saat.
Jarak gerak sifar emisi adalah sejauh 150 km (data WLTC), sementara jarak keseluruhan pula boleh mencecah 1,200 km.
Selain versi REEV, iCaur V25 juga bakal ditawarkan dalam versi elektrik sepenuh masa (BEV).
SUV ini turut dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda i-AWD
Ruang kabin
Susun atur ruang kabin V25 dilihat agak serupa dengan apa yang ditawarkan pada model V23.
Terdapat skrin kluster digital, skrin infohibur sebesar 15.4 inci, empat tombol kawalan yang besar di tengah termasuk tombol penukaran mod pemanduan, serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.
Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang debut rasmi di peringkat global pada 19 Oktober ini.
GWM Malaysia terus mengukuhkan rangkaian pengedarnya dengan pembukaan dua outlet baharu iaitu:
GWM Skudai di Johor Bahru
GWM Equine Park di Seri Kembangan
Sehingga kini, GWM mempunyai lebih 40 cawangan di seluruh negara, memudahkan akses pelanggan kepada model terkini Haval, Tank, Ora dan Wey, serta perkhidmatan selepas jualan yang lebih menyeluruh.
Pengembangan rangkaian ini merupakan usaha GWM untuk terus mengukuhkan kedudukan di Malaysia.
Sehingga hujung suku ketiga tahun ini (Q3 2026), GWM merekodkan pengedaran sebanyak 5,165 unit dengan peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak 33%.
Pusat 3S GWM Skudai
Dibuka pada 8 Oktober 2026, GWM Skudai merupakan pusat 3S yang dikendalikan oleh Auto Elegance Sdn Bhd.
Terletak di lokasi strategik, fasiliti ini mempunyai keluasan 22,006 kaki persegi yang menyediakan kemudahan seperti:
ruang pameran yang boleh memuatkan lima kenderaan
tiga ruang servis
kemudahan pengecas EV
Pusat servis pula mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kira-kira 150 kenderaan setiap bulan.
Fasiliti GWM Skudai ini turut menyediakan 40 pekerjaan merangkumi aspek jualan, servis, teknikal serta sokongan pelanggan.
Ia terletak di alamat No. 197 & 199, Batu 4 1/2, Lebuhraya Skudai, Kampung Skudai Kiri, Skudai, 80200 Johor Bahru, Johor.
Bilik pameran dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Pusat servis pula beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang, dan setiap Sabtu dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang.
GWM Equine Park
GWM Equine Park dibuka secara rasmi pada 10 Oktober 2026 yang dikendalikan oleh Golden Admiral Motors Sdn Bhd.
Terletak di Equine Park, Seri Kembangan, outlet ini berfungsi sebagai pusat 1S+2S yang menawarkan jualan dan khidmat selepas jualan di dua premis berasingan.
Bilik pameran berkeluasan 5,770 kaki persegi dan boleh memuatkan minimum tujuh unit kenderaan, selain mempunyai ruang tambahan di luar dan pandu-uji.
Pusat servis pula berkeluasan 3,661 kaki persegi, menempatkan kemudahan seperti:
empat alat pengangkat kenderaan
pengimbangan dan penjajaran roda
kelengkapan diagnostik yang menyokong model enjin pembakaran dalaman (ICE), HEV, PHEV dan EV
Alamat bilik pameran:
Zeva Boulevard, ZV-10-G, ZV-11-G & ZV-12-G, Persiaran Pinggiran Putra, Taman Pinggiran Putra, 43300 Seri Kembangan, Selangor.
Alamat pusat servis:
2-1, Jalan Equine 10B, Taman Equine, 43300 Seri Kembangan, Selangor.
Perodua baru-baru ini menyerahkan sembilan unit kenderaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Langat dan KLIA.
Ia terdiri daripada tujuh unit Perodua Ativa dan dua unit Perodua Aruz.
Sumbangan kenderaan tersebut juga merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perodua.
Penyerahan kenderaan dibuat secara berperingkat bermula April lalu, di mana tiga unit Perodua Ativa disumbangkan kepada IPD Hulu Selangor.
Baki enam unit kenderaan diserahkan dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Kubu Bharu pada 12 Oktober 2026.
Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, “Kami menghargai peranan polis dalam menjaga keselamatan negara serta memuju pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu melancarkan usaha pihak polis untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya lagi.
Sejak 2019, Perodua telah menyumbang sebanyak 21 unit kenderaan kepada beberapa IPD di Selangor.
Perodua sebelum ini telah menyerahkan dua unit Bezza (pada 2019), empat unit Myvi (2022) serta enam unit kenderaan pelbagai model pada tahun 2024.
TQ Wuling hari ini secara rasmi melancarkan van komersial berkuasa elektrik TQ Wuling Porta EV untuk pasaran tempatan.
Terdapat dua varian ditawarkan dengan harga jualan seperti berikut:
300 km – RM99,800 (anggaran)
400 km – RM105,800
Pembeli terawal akan ditawarkan dengan pakej early-bird merangkumi:
pengecas dinding 7kW percuma (bernilai RM3,500)
pengecas EV 3-pin percuma
pakej penyelenggaraan percuma 3-tahun/60,000 km
Dimensi
Van panel ini membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,010 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,975 mm (1,960 mm untuk varian 300 km) dan jarak antara roda 3,050 mm.
muatan maksimum sehingga 1,105 kg untuk varian 400 km
pintu gelangsar sisi selebar 777 mm
pintu belakang jenis barn door dengan bukaan sehingga 270 darjah
ketinggian pemuatan 595 mm
badan monocoque terdiri daripada 83% keluli berkekuatan ultra tinggi
Struktur bukaan pintu belakang yang lebar membolehkan muatan dimasukkan terus ke dalam menggunakan forklift.
Ruang kargo pula berukuran sepanjang 2,830 mm, lebar 1,680 mm dan tinggi 1,365 mm yang menawarkan kapasiti kargo sehingga 6,500 liter.
Disebabkan itu ia mampu memuatkan palet standard berukuran 1,100 x 1,100 mm.
Unit pacuan
Porta EV dipacu motor elektrik tunggal silikon karbida (SiC) berkuasa 101 hp dan 180 Nm.
Varian 300 km dilengkapi pek bateri berkapasiti 41.9 kWh sementara varian 400 km pula mendapat bateri 56.2 kWh.
Bateri Magic EV Wuling ini menyokong pengecasan AC 20-80% dalam tempoh 5.15 jam, serta pengecasan pantas DC 30-80% sepantas 20 minit.
Ruang kabin
Van ini menampilkan susun atur yang serba ringkas, menampilkan kelengkapan seperti:
panel meter analog
skrin paparan TFT 3.5 inci
sistem infohibur 8-inci
tempat duduk larasan manual 4-arah
Ciri keselamatan
Secara standard, Porta EV dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik, Kawalan Cengkaman (TCS) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).
Selain itu, ia turut hadir dengan ciri amaran pejalan kaki pada kelajuan rendah.
Jaminan
Porta EV dilindungi pakej seperti berikut:
Jaminan kenderaan 5-tahun atau had perbatuan 120,000 km
Jaminan motor pacuan, bateri dan BMS 5-tahun/200,000 km
Jaminan sel bateri EV 6-tahun/300,000 km
Menurut TQ Wuling, Porta EV direka untuk menawarkan penjimatan hampir 65% kos penyelenggaraan berbanding van komersial berkuasa diesel.
Ini dilihat membantu perniagaan menguruskan perbelanjaan operasi armada jangka panjang dengan lebih berkesan.
smart memperkenalkan smart #2 di Paris Motor Show 2026, mengembalikan kereta bandar kompak dua tempat duduk yang menjadi identiti asal jenama itu.
Kemunculan ini berlangsung 30 tahun selepas konsep asal smart fortwo diperkenalkan di Paris.
Model baharu ini dibangunkan sebagai penyelesaian mobiliti moden, khususnya untuk kawasan bandar.
Ia menggabungkan dimensi kompak dengan teknologi kenderaan elektrik dan ciri keselamatan terkini.
Dimensi Kompak Untuk Kegunaan Bandar
smart #2 mempunyai panjang badan 2,746 mm bagi varian Pure, Pure+ dan Premium. Varian Couture Edition pula mempunyai panjang 2,764 mm.
Reka bentuknya mengekalkan kedudukan roda di setiap penjuru badan bagi memaksimumkan ruang kabin dalam dimensi yang kompak.
Model ini mempunyai bulatan pusingan 6.95 meter, memudahkan pemanduan di jalan sempit dan ketika meletakkan kenderaan.
Antara ciri reka bentuk yang dikekalkan daripada model asal ialah:
Reka bentuk kompak yang mengutamakan penggunaan ruang.
Badan dengan kemasan dua warna.
Pintu belakang jenis berasingan.
Kabin praktikal dengan susunan kerusi berbentuk bench.
Motor Elektrik 60 kW, Bateri 35.8 kWj
smart #2 menggunakan platform Electric Compact Architecture (ECA) yang dibangunkan khusus untuk model dua tempat duduk ini.
Sistem rangkaian kuasa menggunakan motor elektrik yang dipasang di bahagian belakang, dengan pacuan roda belakang.
Tayar belakang yang lebih lebar turut membantu kestabilan dan dinamik pemanduan.
Berikut spesifikasi utama smart #2 berdasarkan maklumat awal yang diumumkan:
Motor elektrik: 60 kW
Tork: 130 Nm
Pacuan: Roda belakang
Bateri: LFP 35.8 kWj
Jarak pemanduan: Sehingga 290 km (WLTP, sasaran awal)
Pengecasan pantas DC: Sehingga 65 kW
Pengecasan AC: Sehingga 11 kW, bergantung pada varian
Pengecasan pantas DC membolehkan bateri dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam masa 20 minit pada keadaan optimum.
Bagi pengecasan AC, smart #2 Pure menggunakan pengecas terbina dalam satu fasa 7.4 kW.
Pengecasan daripada 10 hingga 80 peratus mengambil masa kira-kira lima jam pada keadaan optimum.
Varian yang dilengkapi pengecas tiga fasa 11 kW pula memerlukan kira-kira tiga jam untuk tahap pengecasan yang sama.
Model ini turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L), yang membolehkan tenaga daripada bateri digunakan untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik luaran.
Suspensi Belakang Lima Pautan
smart #2 menggunakan sistem suspensi belakang lima pautan. smart memaklumkan bentangan itu merupakan ciri pertama dalam kelasnya.
Rekaan itu digabungkan dengan bateri yang dipasang di lantai bagi menghasilkan pusat graviti rendah.
Gabungan tersebut membantu menghasilkan pengendalian yang lebih langsung serta keselesaan ketika pemanduan.
smart turut menjalankan ujian di litar pengujian, terowong angin dan jalan raya awam dalam pelbagai keadaan iklim bagi menilai prestasi model ini.
Struktur Keselamatan Tridion Cell Evo
Struktur badan smart #2 menggunakan Tridion Cell Evo, iaitu generasi baharu sel keselamatan yang menjadi ciri model smart sejak generasi pertama.
Struktur ini direka untuk menyediakan rangka kukuh di sekeliling kabin tanpa menambah dimensi kompak kereta.
Bagi pasaran UK, sistem bantuan pemanduan kelengkapan standard termasuk:
Bantuan Pemanduan smart (smart Pilot Assist)
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan fungsi henti dan mula (Stop & Go).
Bantuan Pemanduan Lebuh Raya (Highway Assist).
Varian Premium turut dilengkapi sistem Pengesanan Titik Buta, Mitigasi Pelanggaran Belakang dan Amaran Trafik Lintasan Belakang sebagai kelengkapan standard.
3 Pilihan Varian
Bagi pasaran UK, smart menawarkan dua varian utama, iaitu Pure dan Premium, selain edisi terhad Couture Edition.
Kabin smart #2 menggunakan skrin utama bersaiz 10.1 inci dan paparan pemandu 8.8 inci.
Sistem ini menyokong sambungan 4G, Wi-Fi dan Bluetooth, dengan pakej sambungan selama lapan tahun.
Satu lagi ciri ialah smart Pillar pada papan pemuka, yang membolehkan aksesori kecil dipasang untuk memudahkan penggunaannya.
smart #2 Pure
Varian ini menawarkan kelengkapan untuk kegunaan harian, termasuk lampu utama dan lampu belakang LED dengan lampu tinggi automatik, fungsi V2L dan sistem bantuan pemanduan sebagai ciri standard.
smart #2 Premium
Varian Premium menambah pengecasan AC 11 kW dan tempat duduk pemandu dengan pemanas.
Kelengkapan lain termasuk bumbung kaca, kerusi kulit tiruan dengan pemanas dan sistem audio Sennheiser tujuh pembesar suara.
Varian ini turut menawarkan pilihan gabungan warna badan dua tona dengan padanan warna kabin.
smart #2 Couture Edition
Edisi terhad ini dihadkan kepada 999 unit di Eropah.
Ia menggunakan kemasan badan Atelier White Matte dengan bumbung Platinum Gold, selain rim Lyra 16 inci dengan perincian keemasan.
Couture Edition turut dilengkapi spesifikasi Premium, termasuk bumbung kaca, lampu suasana, kerusi dan stereng dengan pemanas.
Turut dilengkapi sistem audio Sennheiser, pengecasan tanpa wayar serta sistem navigasi dan setiap unit didatangkan bersama lencana dalaman bernombor.
Harga smart #2 Di UK
Harga smart #2 di UK dijangka bermula di bawah £20,000 (RM108,240). Tempahan awal dijadualkan bermula pada musim bunga 2027 (Mac hingga Mei).
BMW memperkenalkan Concept 7 Protection, sebuah model konsep berasaskan BMW 7 Series Sedan.
Model ini direka untuk menawarkan perlindungan balistik bagi kegunaan harian tanpa mengorbankan keselesaan, penampilan mewah dan ciri pemanduan BMW.
Model ini disasarkan kepada pelanggan persendirian, syarikat dan organisasi yang memerlukan perlindungan bersesuaian dengan tahap risiko masing-masing.
Ia turut memperluaskan rangkaian kenderaan perlindungan BMW dengan tahap perlindungan berbeza mengikut keperluan pengguna.
Perlindungan Balistik Mengikut Keperluan
BMW Concept 7 Protection dibangunkan untuk menghadapi risiko seperti serangan bersenjata dan ketika perjalanan di jalan raya serta situasi berbahaya di kawasan yang mempunyai tahap keselamatan tidak menentu.
Antara ciri perlindungan yang disediakan ialah:
Cermin kalis peluru: Lebih tebal berbanding cermin BMW 7 Series biasa.
Perlindungan pintu: Menggunakan pelbagai jenis keluli balistik dan bahan komposit bertetulang gentian.
Cermin segi tiga belakang: Mempunyai perlindungan tambahan yang disembunyikan dari bahagian dalam kabin.
Perlindungan bumbung: Lapisan keluli dan bahan komposit bertetulang gentian dipasang di bawah bumbung kaca panoramik standard.
Dinding pemisah dan panel belakang kabin: Disepadukan dalam keseluruhan struktur perlindungan balistik.
Lapisan perlindungan bumbung mengekalkan penampilan luaran seperti model di jalanan. Bagaimanapun, bidai bumbung kaca panoramik perlu sentiasa ditutup.
Konsep perlindungan ini mematuhi piawaian BayB baharu dan direka untuk menghadapi ancaman daripada peluru senjata api tertentu.
Kaliber 9×19 mm
Kaliber .44 Magnum
Perlindungan daripada letupan memerlukan tahap perlindungan lebih tinggi, seperti yang ditawarkan oleh kenderaan dalam kelas perlindungan lebih tinggi.
Sistem Komunikasi dan Penggera Serangan
BMW Concept 7 Protection dilengkapi beberapa ciri untuk membantu penumpang berkomunikasi dan menerima amaran ketika berada dalam kenderaan.
Sistem interkom: Membolehkan penumpang berkomunikasi dengan individu di luar ketika pintu dan tingkap tertutup.
Mikrofon dan pembesar suara: Dipasang di bahagian luar dan dalam kabin untuk menyokong komunikasi.
Penggera serangan: Mengaktifkan amaran visual dan bunyi.
Tingkap sisi: Tingkap hadapan dan belakang masih boleh dikendalikan secara elektronik, tetapi tidak boleh dibuka sepenuhnya.
Rangkaian Kuasa Hibrid Plug-in
BMW Concept 7 Protection menggunakan teknologi daripada BMW M760e xDrive.
Sistem hibrid plug-in ini menggabungkan enjin petrol enam silinder sebaris 3.0 liter dengan motor elektrik yang disepadukan dalam transmisi Steptronic lapan kelajuan.
Kuasa disalurkan melalui sistem pacuan semua roda BMW xDrive.
Spesifikasi rangkaian kuasa:
Enjin: Petrol enam silinder sebaris 3.0 liter
Kuasa enjin petrol: 313 kW (426 hp)
Kuasa motor elektrik: 145 kW (197 hp)
Kuasa gabungan: 450 kW (612 hp)
Tork maksimum: 800 Nm
Transmisi: Steptronic lapan kelajuan
Sistem pacuan: BMW xDrive
Casis Ditala Untuk Mengekalkan Pengalaman Pemanduan
Sistem kenderaan ditala secara menyeluruh untuk mengambil kira ciri perlindungan tambahan.
Komponen yang menerima talaan termasuk:
Casis
Sistem brek
Rangkaian kuasa
Sistem bantuan pemandu
Pendekatan ini bertujuan mengekalkan pengalaman pemanduan seperti BMW 7 Series biasa, selain menggabungkan perlindungan bersijil dengan keselesaan dan ciri pemanduan BMW.
Dalaman Mewah Dengan Ruang Privasi
Bahagian dalaman mengekalkan reka bentuk minimalis dengan penggunaan bahan premium dan kemasan teliti.
Antara kelengkapan yang ditampilkan ialah:
Kulit BMW Individual Merino: Kemasan berwarna Smoke White.
Kemasan dalaman: Alcantara.
Lapisan siling: BMW M Anthracite Alcantara.
Cermin: Kaca dengan penapis cahaya matahari.
Bidai: Sistem bidai elektrik untuk meningkatkan privasi penumpang.
Cermin pandang belakang: Menggunakan paparan digital bagi membantu penglihatan ke arah belakang.
Konsol Belakang Dengan Meja Lipat
Bahagian belakang kabin menjadi tumpuan melalui penggunaan konsol belakang BMW Individual yang diperkenalkan buat kali pertama pada kenderaan konsep BMW.
Kelengkapannya merangkumi:
Meja lipat untuk memudahkan penumpang menjalankan kerja.
Ruang pengecasan tanpa wayar yang disepadukan pada meja.
Kotak penyejuk untuk kemudahan penumpang.
BMW memaklumkan bahawa konsol belakang ini akan ditawarkan pada model BMW 7 Series mulai separuh kedua 2027.
Kedudukan Dalam Rangkaian BMW Protection
BMW mempunyai pengalaman lebih 45 tahun dalam pembangunan dan pengeluaran kenderaan perlindungan bersijil.
BMW Concept 7 Protection melengkapkan rangkaian kenderaan perlindungan BMW yang turut merangkumi BMW X5 Protection VR6 dan BMW 7 Series Protection.
Perbezaan tahap perlindungan dalam rangkaian tersebut termasuk:
BMW Concept 7 Protection: Direka untuk menghadapi ancaman senjata api tertentu, dengan tumpuan kepada kegunaan harian dan situasi berisiko.
BMW X5 Protection VR6: SUV perlindungan dengan tahap VR6.
BMW 7 Series Protection: Menawarkan tahap perlindungan VR9, dengan VPAM 10 tersedia sebagai pilihan.