Honda Malaysia tampil menjelaskan sistem brek belakang bagi Honda City varian E sememangnya menggunakan brek gelendong.
Ini adalah susulan kepada satu hantaran yang tular di media sosial berkenaan percanggahan maklumat yang dipaparkan pada brosur produk.
Menurut kenyataan, pihak Honda merakamkan penghargaan kepada pelanggan yang membangkitkan isu tersebut.
Honda Malaysia juga telah menghubungi individu terbabit bagi menyelesaikan perkara itu secara baik.
Honda Malaysia turut menegaskan bahawa penggunaan sistem brek gelendong berkenaan mematuhi sepenuhnya piawaian keselamatan serta kualiti yang ditetapkan.
Sehubungan dengan itu, Honda Malaysia menarik balik bahan pemasaran bagi model City baharu dan akan mengedarkan versi yang dikemas kini kepada semua pengedar sah serta platform dalam talian dengan kadar segera.
Citroën menghidupkan semula legasi model ikonik 2 CV menerusi 2 CV Concept yang diperkenalkan pada Pameran Motor Paris 2026.
2 CV Concept menggabungkan reka bentuk yang mengambil inspirasi daripada model asal dengan pendekatan moden untuk memenuhi keperluan mobiliti masa depan.
Model konsep ini gambaran awal model baharu yang dirancang Citroën menjelang 2028 iaitu di antara Ami dan C3.
Citroën mahu mengembalikan nilai utama yang menjadikan 2 CV popular, iaitu harga mampu milik, berat ringan, praktikal, serba guna dan mempunyai identiti tersendiri.
Sasaran harga permulaan adalah sekitar €15,000 (RM68,610) dan akan mematuhi peraturan E-Car Eropah pada masa depan.
Reka Bentuk Klasik Dengan Sentuhan Moden
Reka bentuk 2 CV Concept masih menyerupai model asal, tetapi dengan olahan baharu dan bentuk yang lebih moden.
Antara perincian reka bentuk ialah:
Bahagian hadapan dengan lampu utama bulat, lampu LED, bonet berlekuk dan pengambilan udara bersepadu.
Cermin hadapan tegak, bumbung melengkung, fender membulat dan hendal pintu berkontur.
Rim keluli 18 inci yang diinspirasikan daripada 2 CV asal, dipadankan dengan tayar Michelin yang menampilkan logo Heritage dan lambang Citroën.
Bahagian belakang dengan pintu but hitam yang memanjang hingga ke bampar, lampu LED di kedua-dua sisi dan tiga jalur mendatar.
Dengan panjang 3.76 meter, 2 CV Concept lebih pendek daripada 2 CV asal. Ukuran kompak ini bertujuan memudahkan pemanduan dan parkir.
Citroën turut memberikan perhatian kepada kemudahan pengeluaran dan pembaikan.
Antaranya termasuk permukaan badan rata, pengambilan udara di bawah cermin hadapan serta bampar berasingan yang boleh diganti secara individu.
Dalaman Lapang dan Praktikal
Ruang kabin direka untuk memberikan suasana terang, selesa dan mesra pengguna.
Reka bentuk tanpa papan pemuka konvensional serta panel pintu yang lebih ringkas membantu menyediakan ruang tambahan kepada penumpang.
Ciri utama dalaman:
Kerusi dengan teknologi Citroën Advanced Comfort.
Kerusi hadapan yang boleh ditarik keluar untuk memberikan pengalaman berehat lebih santai.
Bakul simpanan boleh tanggal sebagai ganti konsol tengah.
Pemegang pintu menggunakan tali lembut.
Bumbung fabrik yang membolehkan lebih banyak cahaya masuk ke dalam kabin.
Stereng satu jejari, satu tuil kawalan dan pedal gear.
Paparan Citroën Smart Vision yang mengutamakan maklumat penting dalam medan penglihatan pemandu.
Skrin sentuh berbentuk segi empat berukuran 8 inci dengan grafik diinspirasikan daripada buku komik.
Satu lagi ciri unik ialah Radioën, iaitu radio boleh tanggal yang turut berfungsi sebagai pembesar suara. Peranti ini boleh digunakan di dalam atau di luar kereta.
Warna Ceria dan Perincian Nostalgia
Warna badan Infra Red menggunakan asas jingga dengan sentuhan kuning dan merah.
Di bahagian dalam, corak kotak-kotak atau tartan yang sinonim dengan 2 CV diberikan nafas baharu menerusi warna kuning terang pada pelapik kerusi.
Perincian lain termasuk:
Sentuhan warna kuning air yang diinspirasikan daripada bahan Bakelite pada stereng, kawalan, panel instrumen dan kemasan tepi kerusi.
Fabrik bertekstur yang diinspirasikan daripada anyaman rotan dan bakul pada lantai, papan pemuka dan panel pintu.
Bakul simpanan yang menggabungkan kayu dengan plastik berasaskan bio, dihasilkan menggunakan teknologi cetakan 3D.
Kemasan kayu di sekeliling unit Radioën.
Rim keluli kelabu cerah dengan klip warna kuning yang memaparkan tulisan 2 CV.
Citroën turut menampilkan beberapa perincian yang merujuk kepada sejarah model tersebut:
Nombor 48, 90 dan 26 pada cermin hadapan merujuk kepada tahun 1948 ketika 2 CV diperkenalkan, tahun 1990 apabila pengeluarannya berakhir dan tahun 2026 ketika model konsep ini didedahkan.
Pedal brek menggunakan simbol kura-kura, manakala pedal pemecut mempunyai simbol arnab.
Ruang simpanan pada pintu yang direka untuk memuatkan telur mengimbas kembali pendekatan praktikal model asal.
Tayar Michelin menampilkan corak chevron eksklusif, manakala plat nombor memaparkan nama panggilan 2 CV di beberapa negara.
Bunyi hon dan motor elektrik ketika kereta dihidupkan mengambil inspirasi daripada 2 CV asal.
Pelekat berbentuk hati menggambarkan populariti model berkenaan.
Kereta Elektrik Kompak Untuk Masa Depan
Citroën mahu menawarkan kereta elektrik yang ringkas, ringan dan mampu milik ketika pasaran semakin cenderung kepada kenderaan lebih besar, berat dan mahal.
Sasaran berat ialah sekitar satu tan, berat yang lebih rendah membolehkan penggunaan bateri lebih kecil dan menjimatkan kos, dengan jarak pemanduan yang disesuaikan untuk harian.
Konsep ini turut menampilkan kerjasama dengan Michelin menerusi teknologi universal digital twin of the tyre.
Teknologi ini membolehkan tingkah laku kenderaan disesuaikan dengan persekitaran serta keadaan tayar dipantau secara berterusan.
GWM Malaysia mengumumkan pembukaan tempahan bagi model GWM Wey G9 Hi4 HEV yang bakal dilancarkan kelak.
Penambahan varian baharu HEV ini bakal memberikan rakyat Malaysia satu lagi pilihan untuk menikmati pengalaman Kelas Pertama yang bersesuaian dengan keperluan pemanduan mereka.
Spesifikasi
MPV ini dipacu oleh teknologi Hi4 (Hybrid Intelligent 4WD) terdiri daripada:
enjin 2.0L turbo
transmisi DHT 4-kelajuan
dua motor elektrik
pek bateri 1.67 kWh
Secara keseluruhan, ia mampu menjana kuasa 358 PS dan 782 Nm.
Sebagai perbandingan, varian PHEV didatangkan dengan enjin 1.5L turbo dengan kuasa keseluruhan 442 PS/642 Nm.
Dari segi penawaran, Wey G9 Hi4 HEV dijangka mengekalkan spesifikasi yang sama seperti varian PHEV seperti:
sistem pembatalan hingar aktif
tempat duduk balutan kulit Nappa
teknologi bantuan pemandu pintar
Merujuk kepada spesifikasi dari negara jiran Indonesia, GWM Wey G9 HEV turut mengekalkan ciri model PHEV seperti:
rim aloi 18 inci
skrin kluster digital 12.3 inci
skrin tengah 14.6 inci
sistem audio dengan 21-pembesar suara
sokongan Apple CarPlay & Android Auto
Spesifikasi penuh serta harga jualan akan diumumkan menjelang pelancaran rasmi yang bakal tiba tidak lama lagi.
Sejak dilancarkan secara rasmi awal tahun ini, GWM Wey G9 Hi4 PHEV kini menghampiri pencapaian 2,000 unit penghantaran di seluruh negara.
Mforce Bike Holdings mengumumkan perpindahan Pejabat Urusan Mforce dan Pusat Servis cawangan Kuala Lumpur ke premis baharu di Jalan Segambut Tengah.
Pusat servis sedia ada akan ditutup pada 12 hingga 22 Oktober 2026 untuk proses pemindahan.
Pusat Servis dan Pejabat Urusan Mforce KL akan beroperasi sepenuhnya di premis baharu pada 23 Oktober 2026.
Sepanjang penutupan premis lama, pembelian alat ganti daripada Mforce Parts Sdn Bhd boleh dibuat menerusi talian 012-485 0133 dengan penghantaran percuma bagi kawasan Selangor & Kuala Lumpur.
Fasiliti baharu lebih luas
Premis baharu Mforce KL mempunyai keluasan keseluruhan 77,000 kaki persegi dan merupakan pusat servis motosikal terbesar di Malaysia.
Berteraskan konsep pusat sehenti, ia menawarkan kemudahan seperti:
ruang pameran Mforce Gallery
ruang jualan produk Mforce Oil dan LS2
ruang menunggu pelanggan
CR Cafe
pusat alat ganti
gudang penyimpanan alat ganti
surau
Cawangan terbaharu ini turut dilengkapi Motorcycle Inspection Test Bench bernilai RM1.5 juta yang menawarkan pemeriksaan motosikal menyeluruh.
Mforce KL terletak di alamat 46 & 48, Jalan Segambut Tengah, Taman Segambut, 51200 Kuala Lumpur.
Aveta Malaysia secara rasmi melancarkan skuter edisi terhad Aveta Nova 250 G Elite Edition untuk pasaran tempatan.
Skuter ini ditawarkan secara eksklusif menerusi G Elite Motor – Aveta Elite Centre, terhad kepada 128 unit sahaja dan harga jualan dari RM14,888.
Ciri unik
Aveta Nova 250 G Elite Edition ini menawarkan ciri unik seperti:
skema warna eksklusif
grafik unik
nombor siri individu
rim berwarna jingga
Aveta Nova 250 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair 244.3 cc menghasilkan 25.5 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 23 Nm @ 6,500 rpm yang dipadankan dengan transmisi CVT.
Skuter ini dilengkapi dengan fork teleskopik di depan dibantu dengan dua penyerap hentak gas pada bahagian belakang.
Sistem brek pula menggunakan angkup empat omboh di depan dan angkup dua omboh di belakang, dibantu dengan sistem ABS dua-saluran serta kawalan cengkaman (TCS).
Pembukaan Aveta Elite Centre
Skuter tersebut dilancarkan bersempena dengan pembukaan rasmi Aveta Elite Centre, iaitu G Elite Motor di Shah Alam, Selangor.
Aveta Elite Centre ini menempatkan pusat pameran khusus, pusat servis, serta kemudahan alat ganti di bawah satu bumbung.
Selain itu, Aveta Malaysia kekal komited memperkukuhkan ekosistem selepas jualan melalui rangkaian pengedar sah, pusat servis dan stokis yang semakin berkembang di seluruh negara.
Disokong oleh inisiatif seperti Aveta Care on Wheels, jenama ini terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemudahan dan memberikan ketenangan fikiran kepada pemilik motosikal.
Pembukaan G Elite Motor ini menegaskan komitmen berterusan Aveta Malaysia dalam menyediakan mobiliti yang mudah diakses, boleh dipercayai dan berbaloi kepada rakyat Malaysia.
Chery Auto Malaysia mengumumkan kempen panggil semula untuk model SUV Chery Omoda 5 susulan insiden yang berlaku di Johor Bahru minggu lalu.
Kempen terbaharu ini melibatkan varian C & H di mana pihak Chery akan menjalankan pemeriksaan dan menggantikan komponen yang terkesan sekiranya perlu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Chery Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam siasatan berkaitan perkara tersebut.
Semakan nombor VIN boleh dibuat menerusi laman web rasmi Chery Malaysia. Kos pemeriksaan dan penggantian komponen akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Chery.
Terdahulu, pihak JPJ telah menggantung sementara sijil kelulusan jenis kenderaan (VTA) bagi model Chery Omoda 5, serta menangguhkan pendaftaran baharu sehingga siasatan teknikal selesai.
Dalam pengumuman yang dibuat Ahad lalu, pihak JPJ mahukan Chery Malaysia mengenal pasti unit kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan perkara berikut:
nombor komponen
kelompok pengeluaran
nombor casis (VIN)
parameter teknikal berkaitan
Pihak JPJ juga akan melaksanakan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan merangkumi:
pematuhan amalan pengilangan yang baik (GMP)
sistem kawalan kualiti
prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan
tahap keselamatan komponen yang digunakan
Untuk makluman, model Chery Omoda 5 yang terjejas itu tidak lagi dijual di pasaran Malaysia.
Ini kerana pihak Chery Malaysia telah mengumumkan model pengganti facelift yang dinamakan sebagai Chery O5.
Chery O5 facelift kini menggunakan tetapan suspensi belakang jenis multi-link dan tidak langi menggunakan tetapan torsion beam seperti model Omoda 5.
Brabus memperkenalkan Urban E Fragment Edition, sebuah motosikal elektrik eksklusif hasil kerjasama dengan DAB Motors dan Fragment Design, label fesyen milik pereka Jepun Hiroshi Fujiwara.
Terhad kepada hanya 10 unit di seluruh dunia, model ini menggabungkan prestasi elektrik dengan rekaan minimalis hitam putih yang diinspirasikan budaya streetwear.
Kemasan karbon dan tema monokrom
Urban E Fragment Edition menampilkan badan hitam dengan elemen gentian karbon, penutup roda karbon putih, angkup brek putih serta tempat duduk kulit putih Brabus Masterpiece dengan corak jahitan “Shell”.
Di bahagian hadapan, logo Brabus bercahaya dipadankan dengan lampu projektor, manakala lampu nyalaan siang menegak disepadukan pada sisi panel badan.
Motosikal elektrik ini turut mengenakan hendal gaya supermoto, tuil aluminium CNC, panel gentian karbon pada beberapa bahagian badan serta logo Fragment Design pada lampu LED belakang. Ruang simpanan di hadapan tempat duduk disediakan untuk kabel pengecasan.
Trenkuasa dan jarak
Motosikal ini menggunakan sistem pacuan elektrik Brabus Urban E yang dibangunkan oleh DAB Motors, dengan motor elektrik berkuasa 27 kW (37 hp) dan 475 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui tali sawat karbon yang memerlukan penyelenggaraan minimum.
Bateri litium-ion 72 volt memberikan jarak gerak sehingga 150 km, dengan kelajuan maksimum mencecah 120 km/j. Tiga mod tunggangan disediakan, iaitu Eco, Street dan Sport. Dalam mod Eco, kelajuan dihadkan kepada sekitar 60 km/j bagi menjimatkan tenaga.
Pengecasan menggunakan soket elektrik rumah mengambil masa sekitar tiga jam untuk mencapai 80 hingga 100 peratus, manakala pengecasan penuh dari kosong mengambil masa kira-kira 3.5 hingga empat jam.
Sistem brek dan suspensi
Sistem membrek menggunakan komponen Brembo, termasuk angkup hadapan empat omboh dan cakera berukuran 320 mm, bersama ABS dua saluran.
Suspensi terdiri daripada fork terbalik 46 mm di hadapan dan penyerap hentak belakang khusus, masing-masing dengan jarak gerak 99 mm.
Harga
Menurut laporan, Brabus Urban E Fragment Edition dijual pada harga 45,000 euro (kira-kira RM206,000) di Eropah.
Selepas memperkenalkan iX3 pada April lalu, BMW kini memperkenalkan pula versi coupe-nya iaitu iX4 serba baharu.
Dibangunkan menggunakan platform Neue Klasse, SUV elektrik ini ditawarkan dalam dua varian pada peringkat awal, sebelum disusuli model flagship M60 xDrive yang lebih berkuasa.
Rekaan luaran: Pakej M Sport sebagai standard
Seperti iX3, iX4 mengguna pakai bahasa rekaan Neue Klasse, dengan gril kidney dan lampu hadapan berkembar yang digabungkan dalam satu elemen visual. Di bahagian belakang, lampu nipis mendatar, permukaan badan berukir serta spoiler yang menonjol menyerlahkan bentuk SUV coupe ini.
Semua varian dilengkapi pakej M Sport, termasuk rim aloi M bersaiz 20 inci dan brek M Sport dengan angkup berwarna biru. Varian M60 xDrive pula menerima kemasan gril kidney hitam, lampu DRL berwarna kuning, spoiler belakang dan rim 21 inci.
Bumbung panoramik dengan kaca penebat haba turut didatangkan standard, manakala pelanggan yang inginkan penampilan lebih sporty boleh mendapatkan rim 22 inci.
Kabin: BMW Panoramic iDrive
Ruang kabin iX4 menampilkan sistem BMW Panoramic iDrive yang menggabungkan BMW Panoramic Vision, paparan head-up 3D, skrin tengah bersaiz 17.9 inci serta stereng sport.
Selain itu, kelengkapan standard termasuk tempat duduk hadapan dengan pelarasan elektrik dan fungsi memori, serta tempat duduk belakang dengan konfigurasi lipatan 40:20:40. Walaupun mempunyai bumbung yang melandai, BMW menjanjikan ruang kepala dan kaki yang luas.
Sebagai varian flagship, M60 didatangkan dengan tempat duduk M Sport dan sistem audio Harman Kardon 13 pembesar suara berkuasa 430 watt dengan sokongan Dolby Atmos.
Sistem rangkaian kuasa: Jarak gerak sehingga 828 km
iX4 menggunakan teknologi BMW eDrive generasi keenam (Gen6), dengan sel bateri silinder, seni bina elektrik 800V, pengecasan dua hala serta pengecasan pantas DC sehingga 400 kW.
Semua varian dipacu oleh dua motor elektrik, satu pada gandar depan dan satu pada gandar belakang. Varian 40 xDrive menghasilkan 374 hp dan 520 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 5.6 saat serta jarak gerak sehingga 638 km dengan bateri 82.6 kWj.
50 xDrive pula mempunyai 469 hp dan 645 Nm, dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 4.9 saat. Ia menggunakan bateri berkapasiti 108.7 kWj yang menjanjikan jarak sehingga 828 km. Pada kapasiti maksimum, pengecasan selama 10 minit boleh menambah jarak sehingga 387 km.
Sebagai model paling berkuasa, M60 xDrive menawarkan 612 hp dan 875 Nm. Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 3.9 saat, mencapai kelajuan maksimum 240 km/j dan menawarkan jarak gerak sehingga 777 km.
Casis dan teknologi pemanduan
Semua varian dilengkapi sistem Heart of Joy yang mengawal rangkaian kuasa dan dinamik pemanduan. M60 xDrive mendapat suspensi adaptif M, stereng sport dengan nisbah berubah-ubah serta differential elektronik M pada gandar belakang.
Sistem Motorway Assistant turut membolehkan pemanduan bebas tangan pada kelajuan sehingga 130 km/j. Walau bagaimanapun, ciri ini hanya tersedia di negara-negara terpilih.
Pelancaran
iX4 40 xDrive dan 50 xDrive dijadualkan dilancarkan pada Mac 2027, manakala tempahan untuk M60 xDrive akan dibuka pada Januari 2027
Volkswagen memperkenalkan ID. Tiguan, SUV elektrik baharu yang bakal menggantikan ID.4 dan ID.5 apabila mula memasuki pasaran pada awal 2027.
Volkswagen memaklumkan lebih 950,000 unit ID.4 dan ID.5 telah dikeluarkan sejak kedua-dua model itu diperkenalkan.
Model ini membawa nama Tiguan ke era mobiliti elektrik dengan reka bentuk luaran serba baharu, kabin lebih premium dan teknologi terkini berasaskan platform MEB+.
ID. Tiguan akan dijual bersama Tiguan sedia ada yang menggunakan rangkaian kuasa petrol, diesel dan hibrid.
Untuk pasaran Eropah, empat varian ditawarkan, iaitu Trend, Life, Style dan R-Line.
ID. Tiguan akan dikeluarkan di Emden, Jerman, manakala Tiguan konvensional dihasilkan di Wolfsburg.
Volkswagen ID. Tiguan 2027: Tiga Pilihan Kuasa
ID. Tiguan ditawarkan dengan tiga pilihan rangkaian kuasa, termasuk versi pacuan roda belakang dan pacuan semua roda 4MOTION.
140 kW (190 PS): Pacuan roda belakang dengan bateri 58 kWj.
210 kW (286 PS): Pacuan roda belakang dengan bateri 77 kWj.
220 kW (299 PS): Pacuan semua roda 4MOTION dengan dua motor elektrik dan bateri 77 kWj.
Jarak gerak berdasarkan ujian WLTP mencecah sehingga 600 km, bergantung pada rangkaian kuasa dan kapasiti bateri.
Penggunaan tenaga gabungan bagi varian 220 kW ialah 15.7 hingga 17.2 kWj/100 km.
Reka Bentuk Luaran Lebih Tegap
ID. Tiguan menggunakan bahasa reka bentuk Pure Positive yang menekankan penampilan kemas dan tidak lapuk ditelan zaman.
Berbanding reka bentuk crossover yang lebih lembut pada model terdahulu, ID. Tiguan tampil dengan bentuk SUV yang lebih tegap dan kehadiran visual lebih menyerlah.
Garisan badan yang kemas menyerlahkan penampilan ID. Tiguan yang tegap dan bermutu.
Menurut Volkswagen, keseluruhan reka bentuk ini menjadikan ID. Tiguan kelihatan seperti kenderaan daripada segmen premium yang lebih tinggi.
Satu lagi perubahan ialah penggunaan pemegang pintu jenis tarik konvensional, menggantikan reka bentuk rata pada model terdahulu.
Kabin Dengan Kemasan Lebih Premium
Ruang dalaman menerima perubahan besar menerusi penggunaan bahan bermutu tinggi, susun atur yang lebih kemas dan kawalan yang direka untuk memudahkan penggunaan.
Volkswagen turut memperkenalkan susun atur paparan baharu yang menggabungkan tiga skrin, termasuk skrin penumpang hadapan sebagai kelengkapan pilihan.
10 inci: Paparan Digital Cockpit untuk pemandu.
15 inci: Skrin sistem maklumat hibur di bahagian tengah.
12 inci: Skrin penumpang hadapan sebagai kelengkapan pilihan.
Skrin penumpang hadapan membolehkan akses kepada kandungan hiburan, maklumat dan permainan tanpa mengganggu pemandu.
Fungsi mod privasi memastikan paparan tersebut tidak kelihatan dari tempat duduk pemandu.
Penumpang juga boleh mendengar audio menerusi fon kepala Bluetooth yang dipadankan.
Dari segi muatan, ruang bagasi belakang mempunyai kapasiti 534 liter, selain ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 32 liter.
Suis Fizikal Kembali Digunakan
Volkswagen mengambil kira maklum balas pelanggan dengan mengembalikan butang fizikal untuk fungsi utama dalam kabin.
Sistem pendingin hawa kini menggunakan bar butang di konsol tengah. Stereng pelbagai fungsi juga menggunakan butang fizikal menggantikan kawalan sentuh.
Pelarasan kelantangan serta pertukaran stesen radio atau trek boleh dilakukan menggunakan pengawal di konsol tengah.
Panel kawalan empat tingkap elektrik pada pintu pemandu turut direka semula, manakala pembuka pintu dalaman dioptimumkan supaya lebih selesa digunakan.
Di bahagian hadapan, terdapat dua pad pengecasan telefon secara induktif yang menyokong piawaian Qi2.
Paparan Retro Dengan Inspirasi Golf IV
ID. Tiguan turut menerima skrin retro yang diinspirasikan daripada meter Volkswagen Golf IV.
Apabila fungsi ini diaktifkan menggunakan butang View pada stereng, paparan Digital Cockpit menunjukkan meter berwarna biru dan merah dengan reka bentuk klasik.
Paparan tersebut merangkumi meter kelajuan di sebelah kiri dan meter yang menyerupai takometer di sebelah kanan.
Namun, meter kedua itu menunjukkan aliran tenaga sistem pemacu elektrik, bukannya putaran enjin.
Paparan retro pada skrin sistem maklumat hibur juga boleh disesuaikan.
Pemandu boleh memilih enam model Volkswagen untuk dipaparkan dalam garaj maya, iaitu Golf I, Golf II Country, Golf IV, Tiguan I, Race Touareg dan Beetle.
Teknologi Bantuan Pemandu dan Keselesaan
ID. Tiguan dilengkapi fungsi pemanduan satu pedal sebagai kelengkapan standard.
Sistem ini membolehkan pemandu memperlahankan kenderaan menggunakan pedal pemecut sahaja dalam had operasi sistem.
Teknologi Connected Travel Assist menawarkan sistem bantuan pemanduan canggih.
Sistem ini boleh membantu pertukaran lorong di lebuh raya dan memberhentikan kenderaan secara automatik apabila mengesan lampu isyarat merah, tertakluk pada had sistem.
Antara kelengkapan pilihan ialah:
Kerusi hadapan dengan pelarasan elektrik, fungsi urutan dan pengudaraan serta memori.
Sistem audio Harman Kardon berkuasa 480 watt.
Bumbung panoramik.
Digital Key untuk membuka, mengunci dan menghidupkan kenderaan menggunakan telefon pintar yang serasi.
PowerSocket untuk fungsi Vehicle-to-Load (V2L), membolehkan bateri kenderaan membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik.
Digital Key juga boleh dikongsi dengan ahli keluarga, rakan atau rakan sekerja melalui aplikasi Volkswagen.
Bagi fungsi V2L, penyesuai PowerSocket disambungkan pada soket pengecasan kenderaan untuk membekalkan kuasa kepada peralatan seperti pemanggang elektrik dan basikal elektrik.
Harga Volkswagen ID. Tiguan 2027 dan Pasaran
Volkswagen akan membuka tempahan awal ID. Tiguan di Jerman dan beberapa negara Eropah lain pada 13 Oktober 2026.
Harga bermula daripada €42,695 (RM195,400).
Sebagai imbasan, Volkswagen pernah mempertontonkan ID.4 di dalam negara pada Oktober 2022 namun model ini tidak kunjung tiba.
Di tengah-tengah kerancakan penawaran kenderaan elektrik, menarik sekiranya ID. Tiguan dapat dibawa masuk ke pasaran tempatan.
Boon Siew Honda secara rasmi melancarkan skuter kembara Honda ADV160 2026 Trico Edition yang membawakan liveri ikonik Honda untuk pasaran tempatan.
Honda ADV160 edisi Trico ini dijual pada harga RM14,149.
Setiap pembelian akan disertakan dengan fon putik (earbuds) jenama JBL dan balaclava Motowolf sementara stok masih ada.
Spesifikasi
Edisi Trico ini menggunakan spesifikasi ADV160 with Honda RoadSync yang membawakan ciri seperti:
skrin paparan TFT 5-inci dengan sokongan sambungan peranti pintar
Honda Selectable Torque Control (HSTC)
sistem brek anti-kunci (ABS)
sistem kunci pintar
U-Box 30 liter
ADV160 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 157 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 15.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 14.7 Nm @ 6,500 rpm.
Kerangka jenis double cradle itu disokong dengan tetapan suspensi fork teleskopik di depan diikuti penyerap hentak berkembar lengkap dengan sub-tangki di belakang.
Antara kelengkapan lain termasuklah:
pelana 780 mm
tangki bahan api 8.1 liter
slot USB Type-C
lampu LED
skrin penghadang angin boleh laras
Selain edisi Trico (dan Spider-Man Edition), BSH masih menawarkan pilihan warna Matte Grey dan Brown pada harga RM13,649.
Sementara Honda ADV160 Standard (RM13,249) pula hadir dalam pilihan warna putih dan kelabu.
Wing Hin Motorsports kini secara rasmi dilantik sebagai pengedar global untuk rangkaian produk aftermarket T’Selection.
Pelantikan ini turut mengukuhkan kedudukan Wing Hin di dalam segmen aftermarket di Malaysia.
Perlindungan selepas tamat tempoh jaminan asal
T’Selection direka khusus untuk memberikan perlindungan tambahan bagi kenderaan yang telah tamat tempoh jaminan asal.
Barisan produk T’Selection dihasilkan mengikut piawaian ketat dari segi kualiti, perlindungan dan prestasi, selain turut mendapat kelulusan SIRIM.
Antara produk T’Selection termasuklah:
minyak enjin sintetik penuh dan separa
penapis minyak
penapis udara
cecair brek
cecair coolant
pembersih injektor
cecair pencuci cermin
Untuk makluman, kesemua produk dibangunkan di bawah lesen TCD Asia, iaitu subsidiari Toyota Customizing & Development yang merupakan sebahagian daripada Toyota Group.
Edaran seluruh negara
Sempena pelancaran, Wing Hin Motorsports turut menyerahkan plak pelantikan kepada 10 rakan pengedar sah.
Rangkaian pengedar ini akan merangkumi kawasan Tengah, Utara, Selatan, Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak.
Bertempat di Tokyo Auto Salon Malaysia 2026, Wing Hin Motorsports mempamerkan Toyota Alphard Modellista Concept.
Konsep ini diperkenalkan buat kali pertama di Tokyo Auto Salon 2026 dan merupakan interpretasi kemewahan baharu yang dihasilkan oleh Toyota Customizing & Development Co. Ltd.
Ia mewarisi falsafah reka bentuk “Modellista Embryo” yang digabungkan dengan “fungsi yang merangsang panca-indera” dan bakal menjadi simbol baharu Modellista.
Konsep baharu ini bertujuan untuk mentakrifkan semula kemewahan dengan menggabungkan keanggunan dan gaya minimalis bersama ketukangan serta kemasan yang lebih halus.
Luaran
Reka bentuk di bahagian luar Alphard diinspirasikan daripada gaun malam mewah robe de’collete’ yang menggabungkan reka bentuk organik dengan karakter yang melebar ke luar.
Rekaan tersebut turut diserlahkan dengan pencahayaan geometri yang mencerminkan falsafah reka bentuk organik-geometri.
Dalaman
Ruang kabin Alphard diserikan dengan penggunaan bahan kulit putih, digandingkan dengan kemasan batu sebenar.
Kemasan batu yang disebutkan itu tadi diperbuat daripada bahan asli sebenar untuk memberikan aksen visual dan pengalaman sentuhan yang lebih segar.
Elemen geometri turut diterapkan pada bahagian konsol atas yang mewujudkan keseimbangan antara rekaan luaran dan dalaman selain menghasilkan ruang yang lebih harmoni dan menyenangkan.
Serentak dengan pelancaran di Malaysia, turut dipamerkan sebuah Toyota GR Corolla Morizo Edition lengkap dengan komponen GROW Design.
Dalam masa yang sama, mereka turut memperkenalkan lampu belakang baharu untuk Toyota Alphard generasi keempat buat pertama kali di peringkat global.
Pihak Wing Hin Motorsports turut mengumumkan usaha sama bagi menubuhkan GROW International yang akan menjadi pengedar tunggal produk GROW Design di seluruh dunia.
Sejarah ringkas GROW Design
Jenama GROW Design ini ditubuhkan oleh pelumba Jepun Masahiro Sasaki pada tahun 2008, menggabungkan pengalaman perlumbaan dan reka bentuk yang berfungsi.
Jenama ini terkenal dengan gaya yang bersih serta meningkatkan rupa, prestasi dan pengendalian tanpa mengorbankan karakter asal kenderaan.
Sasaki sememangnya berpengalaman luas dalam pembangunan kenderaan seperti GR Yaris dan GR86 menerusi penglibatan bersama Toyota Gazoo Racing dan Rookie Racing sejak 2019.
Pada mulanya, jenama ini memberi fokus kepada pembangunan pemandu, pembinaan kereta lumba dan penyelenggaraan sebelum berkembang kepada produk aerodinamik dan talaan pada 2024.
Antara rangkaian produk yang ditawarkan oleh GROW Design termasuklah:
kit badan aerodinamik
komponen gentian karbon
spoiler dan sayap belakang
diffuser dan skirt sisi
overfender
sistem suspensi
sistem ekzos
tempat duduk berprestasi dan komponen dalaman
Kukuh kehadiran di Malaysia
Wing Hin Motorsports turut melantik SC Custom Styling & Autopart Sdn Bhd sebagai pengedar sah GROW Design.
Pelantikan ini mengukuhkan lagi portfolio jenama automotif khusus Wing Hin Motorsports seperti Modellista, TRD, Valenti, GR Parts dan HAL Springs.
Triumph memperkenalkan Bonneville T40 dan T40 Black 2027, sekali gus membuka akses Bonneville kepada lebih ramai penunggang.
Kedua-dua model menggunakan versi baharu enjin 400 cc TR Series dengan talaan khusus untuk Bonneville.
Ia menggabungkan reka bentuk klasik dan kemasan berkualiti dengan teknologi moden.
Platform 400 CC Triumph
Bonneville T40 dan T40 Black kini tampil dalam keluarga platform 400 cc Triumph yang telah mencatat lebih 60,000 unit jualan di lebih 50 negara di seluruh dunia.
Platform ini turut memainkan peranan dalam membawa penunggang baharu kepada jenama Triumph.
Rangkaian 400 cc Triumph kini merangkumi Speed 400, Scrambler 400 X, Scrambler 400 XC, Tracker 400, Thruxton 400 serta Bonneville T40.
Reka Bentuk Klasik Bonneville
Bonneville T40 dan T40 Black menampilkan reka bentuk yang diinspirasikan daripada karakter Bonneville sejak beberapa generasi, termasuk elemen yang membawa semangat era 1960-an.
Antara ciri reka bentuk utama ialah:
Tangki bahan api berbentuk titisan air (teardrop).
Lampu utama bulat.
Gayaan enjin klasik.
Rim jejari.
Suspensi belakang berkembar.
Madgad yang lebih panjang.
Penyenyap ekzos gaya peashooter.
Sepit udang hadapan dengan gaya klasik.
Tangki bahan api turut dilengkapi pad getah untuk bahagian lutut dan logo Triumph tiga baris.
Lampu utama LED turut mempunyai rekaan lampu siang signatur, menggabungkan fungsi moden dengan gaya klasik Bonneville.
Rekaan enjin satu silinder TR Series yang kemas menjadi antara elemen utama reka bentuk T40.
Sirip penyejuk pada kepala silinder dan header roses bersirip memberikan sentuhan yang diinspirasikan daripada Bonneville terdahulu.
Penutup klac dan alternator berbentuk klasik menggunakan kemasan aluminium dengan tekstur halus.
Rim aluminium ringan dengan jejari keluli digunakan pada kedua-dua roda.
Rim depan berukuran 18 inci manakala rim belakang 17 inci.
Kemasan dan Perincian
Setiap Bonneville T40 dan T40 Black diberi kemasan dengan perhatian terhadap bahan, kemasan dan perincian kecil.
Tiga pilihan warna dua tona untuk T40 menggunakan kemasan cat mendalam serta coach lining yang dicat menggunakan tangan.
Pilihan warna T40 ialah:
Aegean Blue dan Fusion White.
Meriden Blue dan Tangerine Orange.
New England White dan Jet Black.
Pada T40, cermin sisi dan pemegang belakang menggunakan kemasan krom, manakala pelindung tumit menggunakan kemasan aluminium dan sistem ekzos menggunakan kemasan keluli.
T40 Black pula menggunakan kemasan Matt Pewter Grey dan Matt Phantom Black.
Model ini menerima rim aluminium hitam berkilat dengan jejari keluli, penutup enjin berwarna hitam serta header dan penyenyap peashooter dengan kemasan hitam.
Kabel dan hos disusun supaya tidak kelihatan, sekali gus mengekalkan profil enjin satu silinder TR Series yang kemas.
Logo Triumph turut digunakan pada beberapa komponen seperti pemegang hendal, madgad depan, penutup enjin serta lampu depan dan belakang.
Enjin 400 CC Dengan Talaan Khusus Bonneville
Bonneville T40 dan T40 Black menggunakan enjin satu silinder TR Series 400 cc dengan penyejukan cecair.
Enjin ini menerima kemas kini pada kepala silinder serta talaan khusus Bonneville untuk menghasilkan karakter dan penghantaran kuasa tersendiri.
Spesifikasi utama:
Enjin: 400 cc, 1 silinder, penyejukan cecair.
Kuasa maksimum: 32 PS pada 7,000 rpm.
Tork maksimum: 36 Nm pada 5,000 rpm.
Talaan tersebut memberikan peningkatan tork pada julat putaran enjin lebih rendah.
Enjin turut direka untuk menghasilkan bunyi ekzos tersendiri dengan denyutan pembakaran yang jelas.
Penyenyap peashooter menambah kedalaman bunyi, manakala kelajuan melahu yang lebih rendah menyumbang kepada karakter Bonneville yang lebih santai.
Lima Mod Tunggangan
Bonneville T40 dan T40 Black mempunyai lima mod tunggangan.
Tiga mod disediakan secara prakonfigurasi, iaitu Road, Rain dan Eco, manakala dua lagi boleh disesuaikan.
Setiap mod melaraskan tindak balas pendikit, kawalan cengkaman dan ABS mengikut keadaan serta pilihan penunggang.
Ciri bantuan elektronik turut merangkumi:
Kawalan jelajah.
ABS selekoh dioptimumkan dengan mengambil kira sudut kecondongan.
Kawalan cengkaman selekoh dioptimumkan.
Kedua-dua sistem bantuan ketika mengambil selekoh memberikan sokongan tambahan dengan mengambil kira keadaan tunggangan.
Penunggang juga boleh memilih mod pilihan dan memasukkannya ke dalam menu akses pantas pada paparan TFT berbentuk bulat.
Tunggangan Santai
Bonneville T40 mempunyai kedudukan tunggang tegak dengan hendal dan pemijak kaki yang diletakkan untuk menghasilkan postur tunggangan semula jadi.
Pelana klasik menjadi ciri utama T40, manakala pelapik tebal memberikan keselesaan kepada penunggang dan pembonceng.
Reka bentuk beralur pula menguatkan gaya warisan motosikal.
Spesifikasi utama:
Ketinggian pelana: 790 mm.
Ketinggian dengan pelana rendah (aksesori): 770 mm.
Berat siap ditunggang: 191 kg.
Rim depan: 18 inci.
Rim belakang: 17 inci.
Pelana rendah aksesori tersedia dalam warna hitam atau coklat dan mengurangkan ketinggian pelana sebanyak 20 mm.
Tongkat tengah dipasang sebagai kelengkapan standard bagi memudahkan motosikal disimpan dalam keadaan tegak, selain memudahkan kerja pembersihan dan penyelenggaraan rantai.
Paparan TFT dan Kesalinghubungan
Bonneville T40 dan T40 Black dilengkapi paparan TFT warna penuh bersaiz empat inci yang ditempatkan dalam unit instrumen berbentuk bulat.
Penunggang boleh memilih Heritage Mode, yang menggantikan susun atur standard dengan paparan gaya analog yang diinspirasikan daripada Bonneville klasik.
Paparan turut menunjukkan maklumat seperti:
Kedudukan gear.
Penunjuk arah.
Suhu persekitaran.
Paras bahan api.
Lima widget boleh disesuaikan dan diakses melalui suis sebelah kiri yang mempunyai lampu latar.
Kesalinghubungan telefon pintar disediakan sebagai fungsi standard.
Penunggang boleh menjawab panggilan, mengakses kenalan dan mengawal muzik melalui paparan TFT serta suis sebelah kiri.
Navigasi Penuh
Navigasi peta penuh disediakan sebagai ciri standard melalui aplikasi Triumph Navigation.
Paparan TFT menunjukkan peta penuh dan maklumat had laju. Destinasi kegemaran, lokasi menarik dan carian terkini juga boleh diakses melalui paparan tersebut.
Aplikasi Triumph Navigation membolehkan penunggang merancang laluan sebelum perjalanan, mencari laluan, menambah waypoint dan mengurus maklumat perjalanan.
Laluan boleh disimpan, diimport menggunakan fail GPX dan dikongsi dengan penunggang lain.
Lampu LED dan Ciri Keselamatan
Sistem pencahayaan LED penuh digunakan pada kedua-dua model.
Lampu utama boleh bertukar secara automatik antara lampu nyalaan siang dan lampu rendah.
Ciri lain termasuk:
Lampu isyarat dengan fungsi pembatalan automatik.
Amaran Nyahpecutan Kecemasan.
Soket pengecasan USB-C.
Amaran Nyahpecutan Kecemasan akan mengelipkan lampu belakang ketika membrek kuat bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain.
Sistem brek depan menggunakan angkup dua omboh dan cakera brek jenis satu keping.
Hos brek berjalin (braided) pula membantu memberikan prestasi brek yang konsisten dan rasa yang lebih tepat pada tuil.
Aksesori dan Penyelenggaraan
Rangkaian aksesori tulen Triumph akan ditawarkan sejak pelancaran.
Antaranya:
Pelana rendah.
Pelana keselesaan.
Beg sisi gaya klasik.
Bonneville T40 turut mempunyai selang servis sejauh 10,000 batu atau 16,000 km.
Selang servis tersebut membantu mengurangkan kos pemilikan dan meminimumkan masa motosikal berada di luar jalan.
Tarikh Pelancaran
Harga Bonneville T40 dan T40 Black akan diumumkan pada awal 2027.
Motosikal ini akan tiba di pengedar Triumph di UK bermula musim bunga 2027 (Mac hingga Mei) dan tersedia di seluruh dunia pada penghujung musim bunga 2027 (Mei).
Bermaz Motor secara rasminya mengumumkan ketibaan SUV generasi baharu Mazda CX-5 2026 untuk pasaran Malaysia.
Ditawarkan dalam varian tunggal 2.5 High, CX-5 ini dijual pada harga RM171,510 atas jalan tanpa insurans.
Unit pacuan
CX-5 generasi baharu ini didatangkan dengan enjin Skyactiv-G 2.5L menghasilkan kuasa 185 hp @ 6,000 rpm dan 257 Nm @ 4,000 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada dua roda depan menerusi transmisi automatik 6-kelajuan.
Kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 7.6L per 100 km.
Casis & Dimensi
Mazda CX-5 menggunakan tetapan gantungan yang terdiri daripada topang MacPherson di depan dan multi-link di belakang.
Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,695 mm dan jarak antara roda 2,815 mm.
Jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm, sementara radius putaran pula 5.60 meter.
Secara standard, CX-5 dibekalkan dengan rim aloi hitam metalik bersaiz 19 inci (tayar 225/55 R19). Kapasiti tangki bahan api pula adalah sebesar 56 liter.
Kelengkapan
Berbeza dengan model generasi terdahulu, CX-5 baharu ini membawakan pendekatan bahasa rekaan Kodo yang telah dikemas kini, dengan rekaan lampu yang lebih tirus dan tajam.
Di bahagian luar, CX-5 hadir dengan ciri seperti lampu utama LED berserta DRL, pintu tailgate berkuasa elektrik, spoiler belakang, pelindung badan dan kemasan bampar berwarna Piano Black, serta rel bumbung.
Antara perubahan yang paling besar pada CX-5 terletak pada ruang kabin.
Ia kini tidak lagi menampilkan tombol kawalan sistem infohibur dan panel kawalan suhu kabin fizikal.
Hampir kesemua fungsi-fungsi kenderaan kini disumbatkan dalam skrin sentuh tengah sebesar 12.9 inci.
Ciri lain termasuklah:
sokongan Apple CarPlay tanpa wayar
port pengecasan USB Type-C
sistem audio Bose dengan 12-pembesar suara
skrin kluster digital 10.25 inci
skrin paparan head-up (HUD)
upholsteri kulit Sport Tan
tempat duduk pemandu larasan 10-tahap dengan fungsi memori
tempat pemandu larasan 6-tahap
fungsi pengudaraan untuk tempat duduk depan
Ciri keselamatan
Secara standard, CX-5 2026 didatangkan dengan tujuh beg udara, kamera 360 darjah, serta ciri keselamatan termaju termasuklah:
Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
Amaran Keluar Kenderaan
Amaran Lintasan Trafik Depan & Belakang (FCTA & RCTA)
Proton kini membuka tempahan untuk model X50 Sport Edition (SE) 2026 untuk pasaran Malaysia.
Penawaran terbaharu X50 SE ini adalah berasaskan varian Flagship, menampilkan sehingga 15 ciri eksklusif untuk penampilan yang lebih berani dan sporti.
Bahagian luar menampilkan kemasan serba hitam yang dipadankan dengan aksen merah.
Selain itu, ia turut mendapat kit badan terdiri daripada skirting depan, sisi dan belakang, emblem Sport Edition, serta rim aloi hitam 18 inci.
Pada ruang kabin, tema sporti diteruskan menerusi kemasan hitam dengan jahitan kontras merah pada roda stereng dan tempat duduk.
Tempat duduk depan turut menampilkan sulaman Sport Edition, diikuti dengan karpet SE dan tikar lantai TPE.
Akhir sekali, X50 SE mendapat scuff plate SE pada ambang pintu.
Tiada sebarang talaan diberikan pada unit enjin, bermakna X50 SE ini masih kekal dengan enjin 1.5L i-GT turbo menghasilkan kuasa 181 PS dan 290 Nm.
BYD Sime Motors baru-baru ini menganjurkan perhimpunan pemilik BYD terbesar di Malaysia.
Seramai lebih 800 orang menghadiri acara ini termasuk para pemilik, rakan niaga, kakitangan dan pihak pengurusan BYD.
Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran bintang bola sepak tersohor seperti:
Steven Gerrard
Michael Owen
Ryan Giggs
Aleesandro Del Piero
Dida
Javier Saviola
Acara bermula pada 2 Oktober dengan ketibaan tetamu jemputan ke Kuala Lumpur, diikuti kemunculan mereka di pusat pameran BYD Glenmarie dan TREC KL.
Bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pemilik BYD dan ahli keluarga berpeluang bertemu ikon bola sepak dalam sesi ramah mesra, bual bicara lagenda, makan malam gala, serta perlawanan bola sepak.
Selain itu, terdapat juga aktiviti pra-perlawanan di antara anak-anak terpilih daripada kalangan keluarga pemilik BYD masuk padang bersama wira-wira bola sepak.
Acara tersebut juga memberi peluang kepada pemilik untuk berkenalan dengan pemandu BYD lain dan berkongsi pengalaman di luar perjalanan harian dengan kenderaan masing-masing.
Ini merupakan sebahagian daripada usaha BYD Sime Motors untuk menambah baik pengalaman pemilikan melangkaui aspek mobiliti selain mencipta peluang untuk mengembangluaskan komuniti sedia ada.
Sempena GP Singapura hujung minggu ini, PUMA Southeast Asia melancarkan koleksi replika eksklusif McLaren Mastercard F1 Team.
Koleksi eksklusif ini terdiri daripada:
baju polo
baju T
topi besbol
Koleksi ini hadir dalam tona biru yang diinspirasikan daripada suasana perlumbaan malam di Singapura.
Selain itu, ia turut menampilkan corak tradisional yang mengambil ilham daripada seni bina Sino-Portuguese, pengaruh Art Deco, serta motif kraf tradisional dari serata Asia Tenggara.
Antaranya termasuklah batik Indonesia, tenunan Mudmee Thailand, kain broked Vietnam, batik Malaysia, tenunan tradisional Filipina serta rekaan jubin Peranakan.
Koleksi PUMA x McLaren Mastercard F1 Team Replica ini sudah mula dijual di Malaysia pada harga serendah RM199 menerusi laman web PUMA.com dan kedai PUMA terpilih.