Lima perkara buat kami terpikat dengan Mitsubishi Xforce 2026 – pandu uji ringkas
Mitsubishi Xforce 2026 tiba pada saat pasaran SUV subkompak (segmen B) Malaysia semakin padat dan sengit persaingannya.
Berdasarkan sesi pandu uji ringkas pertama ini, jelas model baharu ini bukan sekadar cuba menumpang gelombang populariti SUV semata-mata.
Persoalannya, sejauh mana Xforce dapat menonjolkan diri dalam pasaran yang dibanjiri dengan bermacam pilihan dari pengeluar tempatan, China dan juga Jepun?
Berikut merupakan lima perkara yang buatkan kami terpikat dengan pakej terbaharu daripada Mitsubishi Motors Malaysia ini.
Rupa paras tersendiri
Mitsubishi Xforce diberikan pendekatan Dynamic Shield yang jauh lebih moden.
Dengan ciri seperti lampu utama yang besar dan tajam serta padanan rim 18 inci, tidak menghairankan apabila SUV ini nampak lebih menyerlah dan menonjol bila dipandu atas jalan raya.
Mujur juga Mitsubishi tidak terikut-ikut dengan trend bar lampu LED melintang seperti kebanyakan pengeluar.
Rekaan yang ditampilkan pada luaran Xforce ini turut menyumbang kepada aspek aerodinamik yang jauh lebih baik berbanding model pesaing.
Bila kali terakhir anda melihat sebuah kereta Mitsubishi yang hensem bergaya macam Xforce ini?
Ruang kabin moden
Pada pendapat penulis, susun atur ruang kokpit Mitsubishi Xforce merupakan antara yang paling kemas untuk sebuah SUV segmen B.
Paparan menu mudah untuk dibaca, dan skrin kluster digital pula sengaja diposisikan lebih dalam supaya rasa lebih natural.
Tidaklah terasa macam memandang dua keping iPad yang bertenggek atas papan pemuka.
Yang paling penulis suka? Ada paparan skor pemanduan gaya Pajero dan meter kapal terbang disediakan pada skrin tengah.
Butang kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa dan penukaran mod pemanduan direka besar dan mudah untuk dicapai pemandu.
Selain itu, Xforce turut menawarkan tempat duduk yang cukup selesa di baris depan dan belakang, biarpun hanya dilengkapi dengan larasan manual.
Ruang kargo cukup besar, sekitar 410 liter untuk memuatkan barangan keperluan harian.
Poin seterusnya akan meletakkan Xforce sebagai salah satu SUV unik dalam segmennya.
Sistem audio Yamaha
Unik dalam segmennya disebabkan oleh sistem audio yang dibangunkan secara khusus oleh Yamaha!
Terdapat sehingga lapan pembesar suara dipasang pada ruang kabin Xforce merangkumi komponen berikut:
- 25mm tweeter × 2 pada tiang A
- 160mm woofer × 2
- 160mm/25mm co-axial × 2 untuk penumpang baris kedua
Berdasarkan pengalaman ringkas tempoh hari, penulis mengakui kualiti dan lontaran bunyi yang dihasilkan daripada sistem audio Yamaha ini lebih dekat di hati berbanding model pesaing.
Terasa macam sedang pandu kenderaan yang jauh lebih mahal harganya.
Dinamik pemanduan inspirasi Evo
SUV ini dibina dengan meletakkan penggunaan harian di Asia Tenggara sebagai matlamat utama.
Biarpun menggunakan platform Xpander, Xforce diberikan struktur casis yang lebih tegar diikuti talaan suspensi yang lebih sesuai dengan keadaan jalan di sini.
Tidak menghairankan apabila Xforce mampu menawarkan dinamik pengendalian yang lebih baik berbanding Xpander.
Mungkin juga lebih baik berbanding kebanyakan pesaing di pasaran.
Rahsianya? Xforce mendapat sentuhan daripada Masahiro Tamura, Ketua Jurutera Produk MMC yang merangkap bekas jurutera jentera berprestasi tinggi Mitsubishi Lancer Evolution!
Buktinya ialah kehadiran ciri Active Yaw Control (AYC) untuk memastikan pengendalian SUV ini lebih meyakinkan atas jalan raya.
Kurang olengan badan dirasakan, malah maklum balas sistem stereng juga lebih tepat dan meyakinkan walaupun ada kalanya SUV ini dipandu sedikit agresif di kawasan berselekoh.
Enjin MIVEC 1.5 liter 4A91 berkuasa 103 hp dan 141 Nm itu dipadankan dengan transmisi CVT untuk menawarkan pemanduan permulaan yang lebih lancar.
Respons pendikit yang ringan, ditambah pula dengan sistem brek yang meyakinkan untuk memastikan SUV ini berhenti dengan baik.
Cuma ia mungkin tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai kaki kanan terlebih berat, disebabkan respons enjin yang tidak memberangsangkan ketika kuasa ekstra diperlukan.
Pendapat kami, Mitsubishi Xforce ini lebih sesuai dipandu santai sesuai dengan sifatnya sebagai SUV urban. Laju-laju nak pergi mana?
Mod pemanduan sesuai dengan keadaan cuaca ASEAN
Mitsubishi Xforce dilengkapi dengan beberapa mod pemanduan termasuklah Normal, Gravel, Mud dan juga Wet.
Tidak terhad kepada sekadar talaan output kuasa, mod pemanduan Xforce melaraskan tetapan respons pendikit, kawalan cengkaman, pengendalian serta ciri Active Yaw Control bergantung kepada situasi.
Mod pemanduan yang paling berguna untuk keadaan cuaca sekarang sudah semestinya mod Wet.
Kami diberikan peluang untuk menilai kecekapan mod ini di atas jalan yang sengaja dibasahkan untuk mensimulasi keadaan basah bila hujan.
Dalam keadaan biasa, SUV akan membuang keluar ketika kelajuan ditingkatkan.
Namun pengendalian menjadi lebih mudah dikawal apabila mod Wet diaktifkan dan Xforce dirasakan lebih melekat di atas jalan yang licin.
Menurut Mitsubishi, mod Wet ini merupakan mod baharu yang dibangunkan khusus untuk pelanggan ASEAN di kawasan yang mempunyai kadar kekerapan hujan yang tinggi.
Kesimpulan
Mitsubishi Xforce merupakan satu produk menarik yang ditawarkan MMM untuk pasaran tempatan.
Reka bentuk yang lebih matang, kabin yang jauh lebih moden, serta talaan pemanduan yang disesuaikan untuk jalan Asia Tenggara, ia memberi gambaran awal bahawa Mitsubishi benar‑benar mahu kembali menjadi pilihan utama dalam kelas ini.
Mitsubishi Xforce 2026 bakal dilancarkan tidak lama lagi, dan bagi kami harga jualan anggaran dari RM110,000 bukanlah satu masalah besar untuk para peminat tegar Mitsubishi.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.


































