PROTON X50 Sport Edition, tampil lebih sporty dengan tambahan RM1,999

Proton X50 SE 2026 15

Proton hari ini secara rasmi memperkenalkan Proton X50 Sport Edition (SE) yang tampil dengan imej lebih agresif dan sporty menerusi 15 penambahbaikan eksklusif pada bahagian luaran serta dalaman.

Dibangunkan berasaskan varian X50 Flagship, model ini bukan ditawarkan sebagai varian berasingan.

Sebaliknya ia hadir sebagai pakej penambahbaikan gaya yang bersepadu dengan tambahan harga hanya RM1,999 berbanding varian Flagship standard.

15 penambahbaikan eksklusif

Dari segi luaran, X50 Sport Edition menampilkan kemasan serba hitam yang digabungkan dengan aksen merah bagi menyerlahkan karakter sporty.

Antara aksesori yang ditambah termasuk:

  • Black Front Upper Garnish
  • Black Front Side Port Trim Garnish
  • Black Lower Bumper Garnish
  • Black Rear Side Port Trim Garnish
  • Rim aloi 18 inci berwarna hitam
  • Skirting hadapan, sisi dan belakang khas Sport Edition
  • Lencana Sport Edition

Masuk ke ruang kabin, tema sporty diteruskan menerusi jahitan merah pada stereng, perehat tangan, panel pintu dan tempat duduk.

Tempat duduk hadapan turut menerima sulaman Sport Edition, manakala ruang lantai dilengkapi kemasan eksklusif bersama tikar lantai TPE serta plat ambang pintu khas Sport Edition.

Menurut PROTON, semua komponen tambahan ini telah menjalani lebih 13,700 jam ujian, termasuk aspek ketahanan, rintangan kakisan, rintangan UV serta kesesuaian untuk iklim tropika Malaysia.

Prestasi kekal sama seperti varian Flagship

Walaupun menerima perubahan dari segi penampilan, aspek mekanikal dan teknologi dikekalkan seperti varian Flagship.

X50 Sport Edition masih menggunakan enjin 1.5-liter i-GT turbo yang menghasilkan 181 PS dan 290 Nm, dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan klac berkembar (DCT).

SUV segmen-B itu turut dilengkapi:

  • Skrin infohibur 14.6 inci
  • Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • Sistem arahan suara Hi PROTON
  • Aplikasi PROTON Link 2.0

Dari aspek keselamatan pula, ia mengekalkan sehingga 15 ciri ADAS, termasuk Auto Park Assist (APA), kamera HD 360 darjah dengan paparan telus 180 darjah serta Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

PROTON Link 2.0 lebih praktikal

Menerusi aplikasi PROTON Link 2.0, pemilik boleh mengakses pelbagai fungsi kenderaan dari jauh menggunakan telefon pintar.

Antara fungsi yang tersedia termasuk menghidupkan enjin, mengawal penyaman udara, membuka dan mengunci pintu, mengendalikan tingkap kuasa, membuka ruang bagasi serta mengaktifkan hon dan lampu.

Menariknya, aplikasi itu juga serasi dengan jam tangan pintar Huawei tertentu yang menggunakan sistem operasi HarmonyOS.

Pakej pelancaran

Sempena pelancaran rasmi, pelanggan boleh menikmati penambahbaikan eksklusif bernilai RM7,000 pada harga tambahan hanya RM1,999 berbanding X50 Flagship standard.

Untuk makluman, Proton X50 Flagship kini ditawarkan pada harga RM100,300 selepas rebat Oktober 2026 sehingga RM13,000.

Pakej pemilikan turut merangkumi:

  • Pro-Warranty: Jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta enam kali servis buruh percuma
  • Pro-Connect: Data kenderaan percuma selama lima tahun dengan kuota 2GB sebulan

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved