fbpx

Porsche 911 GT3 (992) 2021 kini di Malaysia – 510hp, manual 6-kelajuan, dari RM1.76 juta

porsche 911 gt3 malaysia 2021 01

JENTERA lumba untuk jalanan terkini iaitu Porsche 911 GT3 2021 telah tiba di Malaysia secara rasmi, dilancarkan di lokasi paling sesuai iaitu Litar Antarabangsa Sepang. 911 GT3 merupakan model paling sporti setakat ini untuk generasi 992 dan ditawarkan pada harga bermula RM1,766,244.

Ia mungkin tidak nampak istimewa pada orang biasa, tapi 911 GT3 merupakan jentera idaman bagi peminat Porsche dan mereka yang gemar memandu. Nadi kepada 911 GT3 ini ialah enjin 4.0-liter naturally-aspirated dengan output 510hp pada 8,400rpm dan 470Nm tork pada 6,100rpm.

Enjin dari jentera lumba GT3 Cup ini juga mampu rev sehingga 9,000rpm dan menampilkan individual throttle body serta solid valve lifter khas yang tidak perlu diselenggara.

Porsche 911 GT3 ini hadir dengan kotak gear manual 6-kelajuan sebagai standard (syukur!). Tetapi ia juga boleh dipilih dengan dwi-klac automatik PDK 7-kelajuan tanpa sebarang kos.

Pecutan 0-100km/j boleh dibuat dalam 3.4 saat. Tetapi prestasi jalan lurus bukanlah keutamaan GT3, sebaliknya di litar. Ia mampu mencatat masa pusingan di litar Nurburgring di bawah 7 minit. Lebih tepat lagi, 6 minit 59.927.

Semua ini dapat dicapai bukan sahaja dari enjin yang lebih berkuasa, tetapi juga aerodinamik badan yang ditala hasil dari pengalaman Porsche dalam dunia perlumbaan. Lebih banyak downforce dapat dijana tanpa menambah nilai drag coefficient.

Di bahagian casis, Porsche 911 GT3 dilengkapi dengan suspensi double-wishbone di depan buat kali pertama bagi 911.

Dari segi penampilan pula, GT3 baharu ini menampilkan rekaan muka depan dengan ruang kemasukan udara besar. Segala lip dan diffuser semuanya boleh dilaras mengikut keperluan di litar.

Perbezaan terbesar ialah spoiler belakang jenis leher angsa (swan neck) yang besar, sepasang ekzos di bahagian tengah bampar, dan diffuser di bahagian kiri kanan.

Kebanyakan panel badan seperti hud, spoiler dan sayap belakang semuanya dibuat dari campuran gentian karbon dan plastik untuk menjimatkan berat. Cermin juga dibina dari bahan ringan.

911 GT3 ini dipasangkan dengan rim 20-inci di depan, dan 21-inci di belakang. Rim ini lebih ringan dari GT3 sebelumnya, dan anda juga boleh memasang tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R yang lebih agresif dan mencengkam, tetapi tayar ini masih boleh dipandu di jalan raya.

Brek pula adalah 408mm di depan, iaitu 28mm lebih besar dari sebelum ini. Terdapat juga pilihan PCCB (Porsche Ceramic Composite Brake) bersaiz 410mm untuk prestasi brek lebih konsisten.

Jika anda tidak mahu gaya dengan segala spoiler dan sirip aerodinamik, Sime Darby Auto Performance (SDAP) juga menawarkan pakej 911 GT3 Touring untuk rupa kurang ‘menunjuk’.

Bahagian dalaman GT3 juga dinaiktaraf. Ia kini mendapat butang mod pemanduan di stereng, dan tombol gearnya menggunakan seperti tombol manual walaupun kereta itu menggunakan transmisi PDK. Ini berlainan dari 911 Carrera biasa yang menggunakan tombol kecil.

Ciri baharu ialah paparan litar. Dengan satu sentuhan butang, ia akan mengalihkan maklumat-maklumat kurang penting ke kiri dan kanan, dan hanya memfokuskan paparan rev di tengah-tengah.

Dan hanya maklumat penting seperti tekanan tayar, tekanan minyak, suhu minyak, dan suhu air akan diketengahkan. Ia juga akan memaparkan panduan penukaran gear dalam bentuk bar berwarna untuk penukaran gear tepat, satu ciri dari jentera lumba.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved