fbpx

TUDM mula terima helikopter AW139 sewaan, langkah jangka pendek ganti Nuri

aw139 tudm 04

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima empat helikopter Leonardo AW139 bagi menggantikan helikopter Sikorsky S-61 Nuri yang ditamatkan operasi tiga tahun lalu.

Tiga daripada empat helikopter itu sudah diterima manakala satu lagi dijadualkan diperoleh Mei ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata helikopter itu diperoleh secara sewaan dari sebuah firma swasta sebagai langkah jangka pendek bagi menggantikan Nuri yang digunakan sejak 50 tahun lalu, selain mengurangkan kebergantungan penggunaan helikopter EC725AP.

“Sewaan helikopter AW139 ini dilaksanakan atas beberapa sebab, antaranya menampung penugasan helikopter Nuri yang tamat operasi selaras dengan keputusan Kabinet pada 7 Ogos 2019,” katanya.

“Ia juga bagi mengurangkan kebergantungan penggunaan helikopter EC725AP yang mana Kabinet pada 22 Januari 2020 bersetuju memilih helikopter AW139 menggunakan kaedah jangka pendek secara sewaan dan perolehan baharu sebagai langkah jangka sederhana.”

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja sempena Program Pengenalan Pesawat AW139 di TUDM Butterworth semalam (10 Februari 2022).

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Beliau berkata, pengoperasian keempat-empat helikopter yang diperoleh menerusi kaedah sewaan berkonsepkan Government Operate, Company Own and Maintain (GOCOM) itu akan dikendalikan oleh Skuadron No 3.

Menurutnya, kerajaan memilih mengguna pakai kaedah GOCOM kerana ia adalah pendekatan yang amat diperlukan ketika tumpuan kewangan kerajaan ketika ini terarah kepada usaha pemulihan negara dalam era pandemik.

Katanya, helikopter AW139 dipilih kerana kemampuan pesawat itu melaksanakan operasi yang memberikan kepentingan taktikal, operasi dan strategik kepada TUDM serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada masa sama, tegasnya, helikopter AW139 berupaya melaksanakan peranan dan tugas pelbagai guna serta mampu beroperasi waktu siang dan malam.

AW139 milik Pasukan Gerakan Udara PDRM. Imej oleh: malaysiandefence

Selain TUDM, agensi kerajaan lain yang menggunakan helikopter itu adalah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM), dan akan datang, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sumber foto: Facebook Hishammuddin Hussein

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved