fbpx

7 Honda Type-R paling ikonik sepanjang zaman

honda type-r thumb

SIAPA tidak kenal Honda Type-R. Imej warna badan Championship White dan penghormatan untuk ‘memakai’ logo H berwarna merah, ia jadi idaman kaki kereta.

Type-R bukanlah sekadar Honda dengan logo merah, tapi menerima DNA perlumbaan. Segala pengetahuan dan teknologi dari litar dibawa ke kereta harian yang anda boleh beli di bilik pameran.

Teknologi enjin VTEC menawarkan prestasi yang raw; enjin high-revving yang sedap dilenjan, dengan kuasa maksimum di hujung rpm.

Honda Type-R mampu mengubah hatchback mampu milik kepada model hardcore yang mampu mencapai status ikon. Dan hari ini kami akan kongsi model-model Honda Type-R paling ikonik sepanjang zaman.

7. Integra Type-R DC2

Baik, kita mulakan dari tempat ke-7, iaitu Honda Integra Type-R DC2. Dikeluarkan dari 1993 hingga 2001, ini merupakan Type-R pertama yang dieksport ke Amerika Syarikat (AS). Untuk varian JDM, ia hadir dengan lampu depan petak, tetapi pasaran AS menerima versi dengan lampu depan bulat.

Enjin B18C 1.8-liter DOHC VTEC menjana 197hp pada 8,000rpm, dan 176Nm tork. Enjin ini mendapat polished port, dan komponen-komponen lebih ringan dan lebih kukuh.

Casis juga sama, lebih ringan dan kukuh. Contoh: Sound insulation (penebat bunyi) dibuang, cermin depan pun lebih nipis dan ringan dari kereta biasa, dan tambahan seam-weld di beberapa bahagian casis.

Hasilnya, Integra DC2 dikatakan antara kereta FWD (pacuan roda-depan) dengan pengendalian paling mantap pernah dihasilkan.

6. Integra Type-R DC5

Model seterusnya yang jadi pilihan kami ialah Integra DC5. Ia merupakan pengganti DC2 dan dikeluarkan dari 2001 hingga 2006.

Sebagai pengganti, Integra DC5 ini ditambahbaik dari segala aspek; casis lebih kukuh, enjin lebih berkuasa, dan kabin lebih selesa (refined).

Mendapat nadi lebih berkuasa iaitu 2.0 K20A DOHC VTEC yang menghasilkan 220hp dan 206Nm, transmisi manual 6-kelajuan.

Kelengkapan lain juga memang motorsport habis; tempat duduk Recaro, brek Brembo 4-piston, kotak gear close ratio, LSD, dan suspensi lebih keras.

Harga di pasaran terpakai masih agak keras, di Malaysia juga menjadi pilihan popular untuk perlumbaan seperti Malaysia Speed Festival (MSF), Merdeka Millennium Endurance (MME) dan sebagainya.

Oh ya, DC5 juga antara model popular yang ‘diimport’ melalui Singapura. Faham-faham lah ya.

5. Civic Type-R FK8

Zaman FK8 (dan FK2 sebelumnya) menandakan satu era baharu dan titik perubahan penting untuk Type-R. Ini kerana Honda Type-R mula menjadi model global dan menerima tambahan turbo pada VTEC buat kali pertama.

Dengan status model global, Civic Type-R FK8 – model terkini yang dikeluarkan sejak 2017 – agak advanced dengan suspensi boleh laras secara elektronik (electronically-adjustable) untuk disesuaikan dengan semua permukaan jalan.

Dengan turbo, kuasa pun makin tinggi, 310hp dan 400Nm, setanding dengan hot hatch lain dalam pasaran seperti Megane RS dan Golf R, cuma FK8 masih kekal pacuan roda-depan.

Menurut jurutera Honda, FK8 kekal FWD dan manual untuk menepati syarat mereka iaitu mestilah ringan, sedap dipandu dan ada hubungan telus dengan pemandu.

Dengan generasi ini juga Honda semakin aktif memberikan saingan laptime di litar Nurburgring. Semasa baru dikeluarkan, Civic Type-R FK8 menjadi King of FWD di Nurburgring, dengan masa 7 min 43.8 saat, mengalahkan VW Golf GTI Clubsport S.

4. Civic Type-R EP3

Kita kembali semua ke era Civic dua-pintu, iaitu EP3. Ia dikeluarkan dari 2001 hingga 2005 dan uniknya, Civic Type-R EP3 ini dibangunkan sendiri oleh Honda UK yang berpangkalan di Swindon.

Masih menggunakan enjin K20 2.0-liter, outputnya berbeza mengikut pasaran. Sebagai contoh di Eropah, ia berkuasa 197hp tetapi untuk versi JDM, enjin ini menjana 212hp. Versi JDM ini juga didatangkan dengan LSD.

3. Civic Type-R FD2

Dilancarkan pada 2007, Civic Type-R FD2 ialah Civic Type-R 4-pintu pertama. Berasaskan dari Honda Civic FD biasa, versi Type-R lebih dari sekadar enjin K20A dan transmisi manual 6-kelajuan.

Selain dari enjin berkuasa 220hp dan 215Nm, FD2 Type-R mendapat komponen istimewa seperti casis khas yang lebih tegar dan keras, tempat duduk Recaro, brek Brembo, tayar Bridgestone Potenza RE070, dan kit badan yang ringkas tetapi sporti.

Asalnya FD2R ini merupakan model JDM, tetapi tahukah anda, Malaysia ialah satu-satunya negara selain Jepun yang diberi hak untuk menjual Civic Type-R FD2 ini secara rasmi? Ya, begitu istimewa hubungan Jepun dengan Malaysia.

Disebabkan itu juga, FD2R menjadi model yang masih digilai hingga hari ini. Walaupun berharga hampir RM200k masa dilancarkan, harganya masih kekal sekitar RM120k hingga RM140k hari ini untuk yang dalam keadaan baik dan original.

Pada zaman ni juga Honda Type-R dikeluarkan untuk UK dan Eropah ialah model hatchback FN2, tetapi ramai berpendapat FD2 lebih hardcore dan memuaskan untuk dipandu.

2. NSX Type-R (NA1 dan NA2)

Dalam banyak-banyak Type-R, mungkin model ini paling berbeza. Ya, NSX.

Ia model sports mid-engined dan pacuan roda-belakang, direka untuk menyaingi supercar eksotik dari Itali seperti Ferrari F355, tetapi dengan pakej lebih mampu milik dan lebih tahan lasak. Ada yang menggelarnya ‘Ferrari killer’.

Pembangunannya mendapat sentuhan dan input dari legenda F1, mendiang Ayrton Senna.

NSX Type-R NA1 dikeluarkan pada 1992, kira-kira 120kg lebih ringan dari NSX biasa, hasil dari cermin penutup enjin di belakang yang lebih nipis, beg udara dibuang, dan penebat bunyi pun dibuang.

Enjin 3.0-liter V6 menjana 276hp, menghantar kuasa ke tayar belakang melalui transmisi manual 5-kelajuan.

Kemudian pada 2002 versi facelift NA2 diperkenalkan, paling ketara beza pada lampu depan baharu yang menggantikan lampu pop-up NA1.

NSX Type-R NA2 juga menerima resepi sama iaitu badan lebih ringan dengan penggunaan gentian karbon pada banyak komponen seperti spoiler, vented hood dan deck lid. Selain dari beg udara, sistem audio dan penebat bunyi yang dibuang, power steering pun tiada.

Enjinnya kini 3.2-liter V6 DOHC, dikatakan menghasilkan 290hp, tapi ramai berkata output sebenarnya lebih. Hasilnya, prestasi keseluruhan NSX Type-R NA2 ini dikatakan setanding dengan Ferrari 360 Challenge Stradale.

1. Civic Type-R EK9

Inilah dia titik permulaan Honda Type-R, Civic EK9. Bukan paling berkuasa, tapi disebabkan ia model pertama Type-R, kami letak dia nombor satu.

Enjin B16B VTEC 1.6-liter yang menjerit hingga 8,200rpm menghasilkan 182hp memang dikira menakjubkan pada masa itu, 1997.

EK9 Type-R juga menjadi perhatian dunia bahawa Jepun mampu menghasilkan kereta FWD hot hatch berprestasi tinggi.

Hingga ke hari ini masih menjadi kegilaan, malah baru-baru ni sebuah EK9 original di Jepun dengan mileage kurang 500km terjual pada harga lebih RM400k! Gila betul.

Civic EK9 dibekalkan dengan komponen berinspirasikan perlumbaan, dari kotak gear 5-kelajuan close ratio, LSD, suspensi double-wishbone, tempat duduk Recaro hinggalah stereng Momo. Pelengkap kepadanya ialah kit badan yang lebih sporti.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved