fbpx

Bentley Continental Le Mans Collection, 1 unit dibeli orang Malaysia

Bentley Le Mans Collection – 3

BAGI meraikan ulang tahun ke-20 sejak ia mencapai kejayaan keenamnya di 24 Hours of Le Mans, Bentley telah mengeluarkan model edisi terhad Continental GT dan Continental GTC yang digelar sebagai Le Mans Collection.

Untuk pengetahuan anda, hanya 48 unit dihasilkan untuk pasaran global dan satu daripadanya akan tiba di Malaysia pada suku ketiga atau keempat tahun ini. Ia akan dipamerkan di bilik pameran Bentley Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pemiliknya.

Apa yang menarik mengenai model edisi terhad ini? Dari segi penampilan, ia hadir dengan perincian luaran dan dalaman yang diinspirasikan daripada jentera lumba Speed 8 #7 yang memenangi Le Mans pada 2003.

Sebagai contoh, Continental Le Mans ini didatangkan dalam warna hijau Verdant, dengan jalur Moonbeam pada bahagian bonet serta kemasan hitam Beluga pada bahagian bampar, cermin sisi dan tailgate.

Selain itu, terdapat juga lakaran nombor 7 dalam warna putih Arctica pada gril sebagai tanda hormat kepada kereta lumba tersebut. Melengkapkan imejnya adalah rim berukuran 22 inci yang menyelindungi brek cakera karbon seramik dan angkup merah.

Ruang dalaman pula diserlahkan menerusi penggunaan upholsteri kulit Beluga, fabrik Dynamica serta jahitan kontras Hotspur. Turut disertakan adalah trim kayu Piano Black dan gentian karbon berkilat.

Semua model Le Mans Collection didatangkan dengan paparan berputar (Bentley Rotating Display) yang menampilkan skrin sentuh, veneer dan dail analog. Tidak cukup dengan itu, terdapat injap sebenar daripada enjin Speed 8 yang dipaparkan di dalam salah satu dial analog tersebut.

Menurut Bentley, enjin 4.0-liter twin-turbo V8 daripada kereta lumba itu telah dikeluarkan selepas perlumbaan untuk disimpan, namun 24 daripada 32 injapnya telah diambil bagi menghasilkan 48 artefak untuk setiap satu model Le Mans Collection.

Satu lagi sentuhan unik adalah jam digital dalam format 24 jam yang menggantikan jam analog 12 jam tradisional Bentley.

Kedua-dua Continental GT dan GTC Le Mans Collection dikuasakan oleh enjin TSI 6.0-liter W12 dengan kuasa mencecah 659 PS dan 900 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 335 km/j.

Untuk sistem suspensi, model ini menggunakan gabungan Bentley Dynamic Ride dan sistem suspensi udara dengan redaman adaptif yang memberikan prestasi pengendalian yang seimbang.

Sebagai tambahan, pelanggan juga boleh mendapatkan opsyen seperti brek karbon seramik, Variable Electronic Stability Control, All Wheel Steering dan Electronic Limited Slip Differential.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved