Semua kiriman oleh Amirul Hazmi

Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.

Goodyear Assurance Maxguard dilancar dengan jaminan 2 dalam 1, dari RM250 seunit

GOODYEAR Malaysia hari ini melancarkan Assurance MaxGuard, ahli terbaru dalam keluarga Assurance. Tayar ini disokong oleh jaminan “perlindungan dua dalam satu”, bak kata Goodyear.

Teknologi ActiveGrip – perlindungan cengkaman

Diinspirasikan oleh tayar konsep Gooedyear 360, Assurance MaxGuard dilengkapi dengan Teknologi ActiveGrip yang dapat membantu kenderaan mengurangkan jarak berhenti.

Reka bentuk perintis corak pelindung gelombang air membantu meningkatkan cengkaman dan bentuk kaviti yang dioptimumkan meningkatkan saiz kontak dengan jalan sebanyak 10 peratus. Kedua-dua ciri tersebut menyumbang kepada prestasi brek dalam keadaan basah yang lebih singkat.

Kompaun bunga tayar silika penuh generasi baharu dengan 80 peratus lebih silika yang digabungkan dengan resin penggalak basah berubah mengikut permukaan jalan dengan lebih banyak kontak mikro, menghasilkan cengkaman yang lebih kuat pada jalan terutamanya dalam keadaan basah.

Teknologi DuraGuard – perlindungan impak

Untuk membina tayar lebih kuat dan tahan lasak yang dapat menangani impak jalan, jurutera Goodyear memanfaatkan Teknologi DuraGuard bagi mengoptimumkan bahan kompaun dan pembinaan tayar.

Ketahanan tambahan disokong oleh dua lapisan rangka dengan ketumpatan serta kekuatan wayar tayar yang lebih tinggi dan dua lingkaran dengan besi ketegangan tinggi bagi menangani kesan luka serta hentakan yang tidak dijangka.

“Assurance MaxGuard direka bentuk untuk memberikan tahap keselamatan yang lebih tinggi, membolehkan pengguna kami meneroka segala kemungkinan yang tiada batasannya di atas jalan,” ujar Naib Presiden Pembangunan Produk dan Kualiti, Goodyear Asia Pasifik, Greg Hanna.

“Prestasi dalam keadaan basah yang luar biasa dan ketahanan produk yang boleh dipercayai memberikan perlindungan menyeluruh,” tambahnya.

Assurance MaxGuard boleh didapati dalam 18 saiz di Malaysia, harga dari RM250 hingga RM485 sebiji. Ia sesuai untuk pelbagai jenis sedan saiz pertengahan seperti Toyota Camry, Honda Civic, Volkswagen Passat dan model-model popular lain dalam pasaran APAC.

Selain itu, dengan pembelian mana-mana tayar pengguna Goodyear, anda boleh mendaftar untuk Jaminan Worry Free Assurance (WFA) yang menawarkan jaminan bahaya jalan selama setahun untuk melindungi pelanggan dari kerosakan bahaya jalan, dua kali pemeriksaan keselamatan tayar percuma untuk ketenangan tambahan semasa memandu, dan lima tahun jaminan untuk sebarang kerosakan pembuatan tayar yang dibeli.

Dari hari ini hingga 30 November 2023, pelanggan yang membeli dua atau empat biji tayar Assurance MaxGuard akan diberikan ganjaran kredit Touch ‘n Go eWallet sebanyak RM40. Ikuti langkah-langkah mudah berikut untuk menyertai:

Langkah 1: Beli tayar Goodyear Assurance MaxGuard dari mana-mana kedai penyertaan Goodyear atau Kedai Rasmi Goodyear Malaysia di Lazada atau Shopee atau gunakan baucar Goodyear Grab (SNPL).

Langkah 2: Daftarkan tayar anda untuk Jaminan Worry Free Assurance (WFA) di https://www.goodyear.com.my/warranty/register-your-tyres.

Langkah 3: Terima mesej WhatsApp dari Goodyear Malaysia di 012-998 8410 untuk tujuan pengesahan dan  bayaran semula kredit Touch ‘n Go.

Langkah 4: Terima kredit Touch ‘n Go eWallet anda dalam tempoh 14 hari bekerja selepas penghantaran yang berjaya.

Tertakluk kepada terma dan syarat.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai saiz Goodyear Assurance MaxGuard yang disediakan di Malaysia, sila lihat senarai di bawah atau lawati Goodyear Autocare terdekat anda untuk maklumat lanjut.

Servis kenderaan GoCar anda tanpa perlu keluar rumah dengan promosi khas hingga 31 Oktober ini

RAMAI antara kita yang kadang-kadang tidak sempat untuk servis kenderaan atas faktor kekangan masa. Jika anda selalu menghadapi isu ini, jangan risau, kerana GoCar Malaysia kini menawarkan perkhidmatan mengambil dan pulang GoValet secara percuma.

Peneraju platform mobiliti itu menawarkan promosi tersebut sebagai servis berdasarkan kepada permintaan untuk menjimatkan masa dan memudahkan pelanggan untuk menyelanggara kenderaan. Promosi ini bermula sekarang hingga 31 Oktober 2023.

Boleh didapati di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, GoValet merupakan perkhidmatan dari pintu ke pintu yang akan mengambil dan memulangkan kereta yang telah diservis kepada pelanggan dalam jarak sehingga 40km.

Sepanjang tempoh kempen ini, perkhidmatan GoValet adalah percuma untuk jarak 10km pertama kereta diambil dan dipulangkan. Ia melibatkan semua kerja-kerja penyelenggaraan dengan pakej penukaran minyak enjin TotalEnergies Quartz dan Rubia seperti berikut:

TotalEnergies Quartz Semi-synthetic 10W-40: RM198
TotalEnergies Quartz Fully-synthetic 5W-40: RM328
TotalEnergies Rubia Semi-synthetic 10W-40 (diesel): RM198

Setiap pakej servis minyak ini merangkumi empat liter minyak pelincir, satu penapis minyak, satu pembersih drain plug dan kos buruh. Tambahan minyak enjin boleh didapati dengan caj berasingan.

Pelanggan boleh mengetahui lokasi rakan bengkel GoCar Garage yang mengambil bahagian dalam kempen servis penukaran minyak enjin TotalEnergies Quartz dan Rubia menerusi aplikasi mudah alih GoCar.

Untuk mengetahui lokasi GoCar Garage dan menempah temu janii servis, download aplikasi mudah alih GoCar atau layari laman web GoCar Garage website (https://gocargarage.my/).

Prototaip Porsche Panamera 2024 giat jalani ujian, bakal dilancar 24 November ini

PORSCHE telah melancarkan Cayenne baharu pada April lepas, dan kini mereka sibuk pula dengan satu lagi pengenalan penting sebelum hujung tahun. Panamera generasi ketiga bakal didedahkan pada 24 November depan di acara Icons of Porsche Festival.

Pengeluar Jerman itu melabelkan Panemera sebagai generasi baharu, dan bukannya facelift. Buat masa ini, sedan prestasi tinggi itu sedang menjalani ujian-ujian dan penilaian di Amerika Syarikat, Scandinavia, Afrika Selatan, Asia, dan Sepanyol.

Kereta sports empat pintu itu bakal ditawarkan dengan lebih dari empat versi powertrain plug-in hybrid (PHEV). Generasi sebelum ini sudah pun mempunyai tiga versi PHEV, tetapi generasi baharu akan ditambah dengan varian PHEV keempat, dengan talaan prestasi tinggi.

Dalam ujian yang dijalankan setakat ini, Porsche membuat perkiraan dan prototaip Panamera telah menggunakan lebih 70 peratus pemanduan dengan kuasa elektrik berbanding sebelumnya.

Kesemua model E-Hybrid akan mendapat motor elektrik lebih berkuasa, diintegrasikan sepenuhnya dalam perumah kotak gear 8-kelajuan dwi-klac PDK baharu. Motor itu dibekalkan kuasa dari pek bateri 25.9kWh yang boleh dicas melalui pengecas dalaman 11kW.

Beberapa pilihan enjin pada Panamera akan ditawarkan, termasuklah 3.0-liter V6 twin-turbo dan 4.0-liter V8 twin-turbo. Kesemua enjin juga telah direka untuk menepati piawaian Euro 7 yang akan berkuat kuasa pada 2025.

Panamera baharu juga akan mendapat suspensi udara dengan penyerap hentak dwi-injap baharu yang membolehkan compression dan rebound secara berasingan. Sebagai opsyen tambahan, anda juga boleh pilih untuk mendapatkan kawalan penyerap hentak aktif untuk kawalan dinamik dan keselesaan lebih mantap.

Selepas pelancaran pada November nanti, Porsche Panamera 2024 ini bakal memasuki pasaran awal tahun depan.

Logo Tesla di ibu pejabat Cyberjaya sudah dinaikkan

LOGO Tesla dilihat sudah dinaikkan dan dipasang di depan bangunan ibu pejabat serantau mereka di Cyberjaya. Gambar itu dikongsi oleh Richard Ker di Facebook miliknya.

Terdapat gambar waktu siang dan malam menunjukkan kerja-kerja pemasangan dan menaikkan logo besar berbentuk huruf T dan tulisan “TESLA” tersebut.

Tesla pada Julai mengumumkan akan menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor.

Pejabat itu akan digunakan untuk semua operasi korporat, pemasaran, latihan, aktiviti sokongan pelanggan dan perkhidmatan kenderaan, dilengkapi dengan alat diagnostik termaju dan kakitangan dengan juruteknik Tesla yang terlatih.

Ia juga akan menubuhkan pusat pengalaman di kawasan metropolitan utama di seluruh Malaysia, memberikan pelanggan pengalaman secara langsung memandu model EV terkini.

Dalam laporan pada Julai itu juga, Tesla bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia berkata, langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Memandangkan Tesla berazam untuk memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan rakyat Malaysia, lebih banyak modelnya akan diperkenalkan pada masa hadapan.

“Pelanggan Malaysia kini boleh mengakses laman sesawang rasmi Tesla untuk membuat pesanan mereka,” katanya.

Tesla pada masa ini telah melancarkan dua model di Malaysia dalam masa beberapa bulan, bermula dengan Model Y dan terkini, Model 3.

Litar RC taraf antarabangsa akan dibina di Melaka

LOKASI parkir di Pantai Tanjung Bidara di sini, akan dibangunkan sebagai litar terbesar kereta kawalan radio (RC) bertaraf antarabangsa bermula pertengahan tahun hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu bagi menarik peminat sukan itu, bukan sahaja di Malaysia malah luar negara sekali gus bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Litar TRCC Raceway di Tampin, Negeri Sembilan.

Menurutnya, Jabatan Belia dan Sukan negeri dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan berbincang supaya perancangan di atas tanah seluas 0.809 hektar dapat direalisasikan tidak lama lagi untuk menambahkan hab pelancongan sukan.

Katanya, pihak berkaitan akan melihat reka bentuk pembinaan litar tersebut dari segi panjang dan kelengkapan kemudahan lain seperti meja pit, tempat mengecas dan bengkel RC.

Gambar oleh: RC Car Action

“Saya akan mencadangkan kawasan itu dijadikan kawasan litar baharu yang bertaraf antarabangsa untuk peminat-peminat RC di seluruh negara.

“Kita lihat pada hari ini lebih 100 orang termasuk peserta yang hadir, dan ini merupakan hobi terbaik bagi memastikan anak-anak muda terlibat dengan aktiviti berfaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Kejohanan Melaka Master RC Challenge 2023 di BBRC Kupang, Kampung Balik Batu Tanjung Bidara.

Sementara itu, pengerusi penganjur, Anuar Tompang, 52, berkata, sebagai penduduk tempatan dia menyambut baik hasrat Ketua Menteri yang mahu memberi limpahan rezeki kepada penduduk menerusi tapak trek baharu.

Menurutnya, meskipun trek di kampung itu sepanjang lebih 200 meter, namun dengan adanya kemudahan yang lebih lengkap, pelancong akan lebih ramai.

“Sedangkan pengajaran kecil ini banyak rumah inap desa dan chalet berdekatan tempat ini telah penuh disewa peserta.

“Bayangkan kalau penganjuran peringkat antarabangsa, lagi bertambah ramai pelancong di pusat peranginan Tanjung Bidara,” katanya.

Jaminan dan servis percuma 7-tahun untuk model Peugeot terpilih, hingga 31 Oktober sahaja

BERMAZ Auto Alliance Sdn Bhd, pengedar tunggal Peugeot di Malaysia kini menawarkan jaminan dan penyelenggaraan percuma 7-tahun, selain subsidi insurans kenderaan untuk tempoh masa terhad.

Untuk subsidi, perkara ini tertakluk kepada terma dan syarat.

Promosi jaminan 7-tahun tersebut sah untuk model Peugeot 2008, 3008, dan 5008. Anda juga perlu membuat tempahan sebelum 31 Oktober 2023 bagi melayakkan diri mendapat jaminan 7-tahun tersebut.

Pendaftaran juga perlu dibuat dalam tempoh dinyatakan dan dibuat di wakil-wakil pengedar sah Peugeot. Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh lawati mana-mana bilik pameran atau terus ke BAuto Roadshow yang akan diadakan di 1 Utama Shopping Centre dari 11 hingga 15 Oktober depan.

Suzuki mahu tambah pelaburan motosikal di Malaysia

SUZUKI Motor Corp berhasrat meningkatkan lagi pelaburan dalam bidang pembuatan motosikal di Malaysia selain mengeratkan kerjasama dengan rakan teknikal tempatannya, KMSB Motors Sdn Bhd.

Gambar oleh: Twitter Anwar Ibrahim

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ciapan di X (Twitter). Katanya, penambahan pelaburan dan peningkatan kerjasama itu dimaklumkan sendiri Presiden Suzuki Motor Corp, Toshihiro Suzuki kepada beliau dalam satu kunjungan hormat yang berlangsung petang Jumaat.

“Sayugia, keputusan pelaburan ini amat saya alukan hatta ia akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak dalam rantaian industri pembuatan motosikal,” tulisnya di hantaran X tersebut.

Pertemuan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Isham Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman, dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, KMSB Motors Sdn Bhd, Ahmad Faez Yahaya.

“Saya singgung bahawa Kerajaan Perpaduan mengamalkan dasar memudahkan urusan pelabur dalam dan luar negara.

“Dengan kerjasama ini, saya berharap Malaysia akan terus menjadi pilihan pelabur dari negara Jepun,” kata Anwar.

Mercedes GLC300 versi CKD diperkenal, RM51k lebih murah, kini RM378,888

KIRA-kira lima bulan selepas Mercedes-Benz GLC serba baharu generasi X254 menjengah pasaran Malaysia, kini seperti biasa, versi pemasangan tempatan (CKD) pula ditawarkan. Ia hadir dalam varian GLC300 4Matic dengan harga RM378,888, iaitu RM51,000 ‘lebih murah’ dari harga CBU RM429,888.

Dengan pengurangan harga, anda masih mendapat sebuah SUV premium dengan penuh kelengkapan. Ciri luaran pada GLC300 ini termasuklah lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, rim AMG aloi 20-inci, dan rel bumbung aluminium.

Ia juga dilengkapi dengan bumbung suria panoramik jenis gelungsur yang tiada pada versi CBU, serta Handsfree Access iaitu pintu but berkuasa dengan pengesan kaki.

Di bahagian kabin pula, Mercedes GLC300 kelahiran Pekan ini didatangkan dengan pakej AMG Line yang merangkumi stereng sports dengan balutan kulit Nappa, dan kemasan kulit papan pemuka Artico.

Terdapat juga karpet AMG, kemasan kulit dengan trim metal, pemijak sisi menyala, pakej Keyless Go, Boot Comfort, sistem penghawa dingin automatik, lampu ambien, cermin akustik, dan soket 12-volt di ruang kargo.

Unit infotaimen dikekalkan, iaitu sistem MBUX dengan paparan tengah 11.9-inci dan paparan instrumen 12.3-inci. Ciri lain termasuklah pengecas tanpa wayar, sistem audio Burmester 3D, pakej USB, dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto.

Aspek mekanikal turut dikekalkan pada GLC300, iaitu unit 2.0-liter petrol 4-silinder bersama sistem mild hybrid 48v. Enjin ini menghasilkan 258hp pada 6,000rpm dan 400Nm tork dari 2,000 hingga 3,200rpm. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 9G-Tronic 9-kelajuan dan sistem pacuan 4Matic.

Pahang sedia jadi tuan rumah Himpunan RXZ Members 6.0

PAHANG sedia menjadi tuan rumah Himpunan RXZ Members 6.0 tahun depan selepas kerajaan negeri bersetuju menganjurkan himpunan itu.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Hari ini saya ingin mengumumkan bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dengan rasa berbesar hati menawarkan lokasi di Kuantan sebagai Himpunan RXZ Members, awal tahun depan,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Fadzli berkata, satu perbincangan akan diadakan dan beliau memberitahu akan berhubung rapat dengan kelab permotoran di dalam mahu pun di luar negeri Pahang bagi membincangkan pengisian program sepanjang himpunan itu nanti.

“Insya-Allah berbagai acara menarik akan dianjurkan sepanjang himpunan ini berlangsung.

“Saya percaya jika acara ini diuruskan dengan baik, ia akan menjadi acara yang terkemuka bukan sahaja di negara ini tetapi juga mendapat sambutan dari negara luar,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih terhadap keprihatinan menteri besar dengan minat generasi muda.

Himpunan Yamaha RXZ terbesar di Malaysia itu sudah memasuki edisi kelima penganjurannya tahun ini selepas kali pertama diadakan bermula 2017 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak.

Walaubagaimanapun edisi kelima baru-baru ini menjadi isu hangat apabila ramai motosikal peserta himpunan yang ‘dipukat’ dalam operasi besar-besaran oleh pihak berkuasa. Jadi adakah wajar lokasi acara ini ditukar?

Dan jika ditukar, adakah ia menjamina tiada operasi akan dijalankan? Paling penting, setiap peserta wajarlah menunggang motosikal dengan mematuhi semua undang-undang jalan raya.

Kawasaki ZX-25R kini di Malaysia! Dua warna, RM33,900

INI dia satu motosikal yang dinanti-nanti ramai peminat sportbike, Kawasaki Ninja ZX-25R telah secara rasmi dilancar di Malaysia.

Dibawakan secara rasmi oleh Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), ZX-25R ditawarkan pada harga RM33,900 dan hadir dengan dua warna – Metallic Matte Graphensteel Gray dan Lime Green.

Untuk pasaran tempatan, Ninja ZX-25R akan ditawarkan dalam dua versi iaitu SE dan RR. Sebagai model varian lebih sporty, RR dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock Showa BFRC pada bahagian belakang.

Untuk enjin, kedua-dua versi dikuasakan oleh enjin 249.8cc 4-silinder sebaris yang menghasilkan 47hp pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm pada 14,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan dengan Quickshifter dan Assist & Slipper Clutch.

Dari segi dimensi, sportbike ini mempunyai panjang 1,980mm, lebar 750mm, dan tinggi 1,100mm serta jarak roda 1,380mm. Ia mempunyai tinggi tempat duduk 785mm, berat 184kg dan kapasiti tangki bahan api 15 liter.

Selain itu, Ninja ZX25-R juga didatangkan dengan panel instrumen TFT, Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Modes, serta brek cakera berukuran 310mm dengan angkup monobloc empat piston di hadapan dan cakera 210mm dengan angkup piston tunggal di belakang.

Ford F-150 2024 dengan rupa lebih rugged, ciri Pro Acces, pilihan 5.2 V8 supercaj

FORD  F-150 2024 serba baharu telah diperkenalkan, dan trak pikap paling popular di Amerika ini mendapat rupa yang dikemaskini, pintu kargo belakang Pro Access, dan lebih banyak ciri standard.

F-150 2024 hadir dengan pelbagai varian dan kebanyakannya dengan harga lebih tinggi dari sebelumnya. Varian asas ialah XL dengan single-cab dan konfigurasi pacuan dua-roda, kini dengan harga bermula USD36,570 (RM171,257).

Kesemua varian Ford F-150 2024 akan dilengkapi dengan skrin 12-inci untuk pemandu dan infotainment di tengah sebagai standard. Tiada lagi enjin 3.3-liter V6, tetapi varian XL dipacu oleh enjin 2.7-liter V6 EcoBoost dengan 325hp.

Terdapat trim STX baharu, dan varian Limited kini dihentikan dan digantikan dengan Platinum Plus. Sementara itu F-150 Raptor dilengkapi dengan pakej Raptor R, menjadikannya varian F-150 paling mahal.

F-150 Raptor R kini tidak ditawarkan dengan enjin 3.5-liter V6 dengan 450hp, sebaliknya diberikan nadi lebih berkuasa, iaitu 5.2-liter V8 supercaj, dengan output melebihi 700hp. Berbaloilah dengan tambahan USD31,575 (RM147,865) pada harga asal, bukan? Jika dicampur semua, harga F-150 Raptor R boleh mencecah USD118,590 (RM555,356).

Dari segi rupa, perubahan adalah minima. Tetapi ini termasuklah lampu depan yang dilingkari dengan DRL LED baharu, dan gril petak besar. Varian Tremor mendapat kemasan oren di muka depan. Lampu belakang dan bampar juga direka semula dan beberapa versi datang dengan kemasan hitam.

F-150 2024 juga diberikan logo Blue Oval klasik yang diperbaharui, dengan tulisan putih lebih besar dan jelas.

Susun atur kabin dalaman masih tidak banyak berubah, tetapi buat kali pertama dilengkapi dengan Head Up Display dan menu untuk fungsi BlueCruise, tunda, dan pemanduan off-road.

Di belakang, F-150 baharu didatangkan dengan pintu kargo ProAccess. Ia boleh dibuka di bahagian tengah pada tiga sudut; 37-darjah, 70-darjah, dan 100-darjah. Ini membolehkan akses mudah ke ruangan kargo tanpa perlu membongkokkan badan untuk mencapai barang.

Untuk ciri keselamatan, ia dilengkapi lebih 10 sistem bantuan pemandu, antaranya Pre-Collision Assist dengan Emergency Braking, Lane-Keeping, dan Blind-Spot Warning.

Satu ciri tambahan ialah Exit Warning yang memberi amaran apabila hendak keluar dari kenderaan jika terdapat kenderaan lain, pejalan kaki atau penunggang basikal mendekati.

Untuk mereka yang akan menunda – yang mana Ford berkata 75 peratus dari pelanggan mereka – Ford terus menawarkan Pro Trailer Backup Assist, Pro Trailer Hitch Assist, dan penimbang yang mengira berat agar anda tidak melebihi had trak pikap itu.

Proton X90 berasap: Punca dari kabel grounding, bukan bateri mild hybrid 48v

PROTON telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai jumpaan mereka dari siasatan berkenaan kes kebakaran melibatkan sebuah X90 bulan lepas. Video itu telah tular dan tersebar di media sosial.

Kini, pengeluar nasional itu telah mengenal pasti bahawa sambungan grounding menjadi punca kebakaran. Mereka juga mengingatkan kepada pemilik bahawa bateri mild hybrid 48volt bukan punca kebakaran itu.

Proton berkara pemilik-pemilik X90 akan dihubungi secara terus oleh pihak pengedar 3S dan 4S bagi membawa kenderaan mereka untuk pemeriksaan. Jika perlu, kerja-kerja pemulihan akan dijalankan oleh pusat servis itu bagi membendung sebarang risiko lain.

Pemilik-pemilik juga boleh menghubungi pusat 3S/4S terdekat atau talian 1-800-88-8398 untuk maklumat lanjut.

Selain itu, Proton dan para vendor juga telah mengambil langkah “untuk meningkatkan kawalan proses bekalan” dan membuat pemeriksaan di kilang pemasangan X90.

Berikut adalah kenyataan penuh dari pihak Proton di Facebook:

Video rider Foodpanda jalan kaki bikin netizen sedih, motosikal disita JPJ

SEBUAH video memaparkan seorang penunggang p-hailing Foodpanda berjalan kaki sambil menggalas beg makanan di tepi jalan mengundang sedih para netizen.

Rider itu dipercayai terpaksa berjalan kaki selepas motosikalnya difahamkan disita anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sedang menjalankan sekatan jalan raya di Nilai, Negeri Sembilan.

Video berdurasi kira-kira 16 saat itu dimuat naik oleh pengguna Tiktok bernama @kikkycoco yang juga berada di lokasi operasi JPJ tersebut.

Menurut laporan Mstar yang dipetik oleh Funtasticko, motosikal itu disita atas kesalahan tiada cukai jalan. Siasatan ringkas kami juga mendapati cukai jalan.

Dari tinjauan kami di media sosial, terdapat tangkap layar komen dari Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia mengatakan LKM telah tamat tempoh dan tiada insurans, maka JPJ menahan serta menyita (motosikal) kerana jika berlaku kemalangan melibatkan rider tersebut, akan menyusahkan dirinya dan pengguna jalan raya lain.

Ada juga yang berkongsi menunjukkan cukai jalan rider itu telah tamat tempoh sejak Februari lalu. Pengguna Tiktok dan Facebook pula meluahkan hasrat mereka untuk membantu rider tersebut.

JPJ akan menyita penunggang motosikal yang didapati melanggar kesalahan jalan raya di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

@kikyycoco hina sangat ke kerja grab/foodpanda ? kesian abang tu nak cari rezeki , semoga abang dipermudahkan segala urusan 🤲🏻💪🏻 #fypシ #xyzbca #jpjmalaysia #riderfoodpanda ♬ Royalty – Egzod & Maestro Chives & Neoni

Laluan bas di Lembah Klang akan diintegrasikan, bilangan ditambah – Anthony Loke

KEMENTERIAN Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan menyelaraskan laluan perkhidmatan bas di Lembah Klang supaya lebih berintegrasi pada masa depan.

Gambr oleh: Facebook Rapid KL

Menterinya, Anthony Loke berkata ketika ini, terdapat tiga operator berlainan yang mengendalikan perkhidmatan bas di Lembah Klang iaitu Rapid Bus, bas percuma GoKL oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan bas Smart Selangor oleh kerajaan Selangor.

“Kita perlu selaraskan supaya laluan-laluan (bas) itu lebih berintegrasi, tidak overlap (bertindih) antara satu sama lain.

“Kita berharap bahawa integrasi dan kerjasama ini dapat membantu menyediakan mutu perkhidmatan bas yang lebih lancar, efisien dan bilangan penumpang juga dapat ditambah,” katanya.

Loke berkata buat masa ini, sebanyak 724 bas beroperasi di Lembah Klang setiap hari, iaitu satu jumlah yang kecil, berbanding keperluan hampir 4,000 bas bagi perkhidmatan yang efisien.

Bagaimanapun, beliau berkata Rapid Bus akan terus berusaha menambah bilangan itu dan dianggarkan 1,000 bas akan dapat beroperasi setiap hari menjelang akhir tahun ini.

“Sekarang ada 150 buah bas Rapid KL yang masih diselenggarakan dan boleh kembali untuk perkhidmatan.

“Selain itu, kita juga sedang melantik operator bas baharu, umpamanya laluan yang tidak mencukupi bas kita akan outsource kepada operator lain,” tambahnya.

Mengenai operasi lorong bas yang telah dimulakan sejak Julai lepas itu, Loke berkata terdapat peningkatan jumlah penumpang sebanyak 12 peratus, iaitu daripada 12,936 kepada 14,523 penumpang setiap hari dengan penjimatan masa perjalanan kira-kira 20 minit berbanding penggunaan kereta persendirian.

“Dari segi pengamatan saya, walaupun ada lorong bas, masih banyak kereta yang mengikuti lorong bas, mereka pada permulaannya terpaksa keluar dari lorong bas itu kerana ada anggota penguat kuasa di depan untuk masuk lorong kanan.

“Tetapi banyak kereta persendirian selepas melalui kira-kira 500 meter, mereka masuk kembali ke kiri (lorong bas) dan itu kadangkala menyusahkan bas kerana masih ada kereta.

“Perkara ini akan dibincangkan lagi pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet atasi kesesakan jalan raya pada bulan depan,” terangnya.

Pada 3 Julai lepas, DBKL dengan kerjasama Rapid Bus melaksanakan projek percubaan lorong bas iaitu Laluan 300 dari Pandan Indah hingga Lebuh Ampang dan Laluan 303 membabitkan laluan dari Taman Mulia Jaya hingga Lebuh Ampang.

Lorong bas yang beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula 6 pagi hingga 9 pagi itu memberi manfaat kepada komuniti di sekitar koridor Jalan Ampang yang ingin memasuki pusat bandar raya untuk bekerja.

Lebih 600 pemilik Isuzu D-Max berkumpul rai semangat Merdeka di 29 lokasi berbeza

KIRA-KIRA 600 pemilik Isuzu D-Max dan kenderaan mereka di seluruh negara telah berhimpun bagi menyambut Hari Merdeka menerusi acara Konvoi Merdeka 66.

Menariknya, program anjuran Isuzu Malaysia ini menyaksikan himpunan pemilik di 29 lokasi berbeza secara serentak pada jam 9:15 pagi, 31 Ogos lepas.

Konvoi Merdeka 66 menjadi perhimpunan terbesar di negara ini yang berlangsung pada masa yang sama melibatkan Isuzu D-Max, bagi meraikan sambutan Hari Merdeka ke-66 Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo yang merasmikan acara ini di cawangan Isuzu Jinjang di Kuala Lumpur berkata, acara Konvoi Merdeka 66 telah memberi peluang kepada pengedar untuk berinteraksi dengan pemilik D-Max dan meraikan kesepakatan serta keharmonian yang telah dikecapi atas semangat perpaduan di negara ini.

“Dengan matlamat kami untuk menjadikan sambutan Hari Merdeka kali ini lebih bermakna bersama pengedar dan pemilik D-Max, kami juga ingin meraikan semangat perpaduan dan sehati sejiwa yang unik, yang sudah terjalin antara rakyat Malaysia melalui sebuah acara yang melangkau sempadan seperti ini,” ujar Sogo.

Peserta acara Konvoi Merdeka 66 menikmati aktiviti bersama dengan pemilik Isuzu D-Max yang lain di seluruh negara dan dihidangkan dengan beberapa program istimewa yang telah dianjurkan oleh pengedar masing-masing.

Kenderaan peserta juga dihiasi dengan pelekat peringatan dan bendera, serta setiap peserta turut diberikan kemeja-T eksklusif.

Bagi kami, himpunan sebesar ini sangat baik malah bijak dilakukan di lokasi berbeza. Pertama, ia mengurangkan kesesakan trafik disebabkan konvoi. Keduanya, lebih ramai orang awam di lokasi berbeza dapat melihat dengan lebih dekat. Syabas geng-geng Isuzu D-Max semua!

Antara aktiviti berasingan yang dianjurkan oleh pengedar yang terlibat ialah lawatan ke ladang durian, kursus off-road ringkas, sepetang di pantai, destinasi resort terpencil dan kunjungan ke pusat beli-belah.

Maklum balas daripada pemilik sangat positif dengan ramai daripada mereka menyatakan keinginan untuk menyertai aktiviti berkumpulan bersama pemilik D-Max lain lagi pada masa akan datang untuk menjalin hubungan mesra dan membina rangkaian persahabatan.

Inilah casis Bugatti Bolide yang istimewa, lebih kukuh dari Chiron

BUGATTI Bolide bukan sekadar sebuah hypercar super-eksklusif. Ia sebuah pencapaian kejuruteraan dimana keselamatan tahap tertinggi bertemu dengan prestasi.

Hasil pengetahuan dan pengalaman Bugatti dalam sukan permotoran membawakan kepakaran menghasilkan teknologi maju seperti casis monocoque gentian karbon yang mematuhi piawaian FIA (Fédération Internationale de l’Automobile).

Casis monocoque yang menjadi ‘tulang’ kepada Bugatti Bolide telah menetapkan suatu aras baharu untuk industri ini. Ia juga lebih kukuh dan tegar dari casis Bugatti Chiron!

Ciri keselamatan Bolide bukan calang-calang, ia melepasi piawaian FIA yang ketat bagi ujian gulingan dan perlanggaran. Hypercar prestasi tinggi ini juga dilengkapi dengan sistem pemadam api automatik bergred tentera serta tali pinggang enam-poin yang membuatkannya sedia untuk menyertai perlumbaan.

Kokpitnya direka untuk keselamatan dan juga keselesaan, tetapi lengkap dengan sistem HANS (Head And Neck Support). Sistem penghawa dinginnya pula ditala khas untuk situasi perlumbaan.

Ciri keselamatan lain termasuklah Tracton Control, Electronic Stability Control, dan brek ABS, memastikannya sedia bersaing dalam apa jua keadaan cuaca.

Nadi kepada Bugatti Bolide ialah enjin 8.0-liter quad-turbo W16 yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,825hp dan 1,850Nm tork. Kombinasi keselamatan, prestasi, dan inovasi kejuruteraan menjadikan Bugatti Bolide suatu hypercar yang istimewa.

PDRM dapat kumpulan pertama empat juruterbang wanita!

EMPAT inspektor mencatat sejarah apabila menjadi kumpulan pertama juruterbang wanita bagi Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak unit itu ditubuhkan pada tahun 1979.

Inspektor Wan Aulia Hami Fariheen Wan Azulkefeli, 31; Inspektor Yeoh Yee Chee, 31; Inspektor Siti Nabila Abdullah, 33, dan Inspektor Nur Hidayah Mohd. Aisa, 33, merupakan antara 12 juruterbang PGU yang berjaya menamatkan kursus Private Pilot’s Licence (PPL) No 19, Siri 01/2021.

Gambar oleh: Facebook Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )

Mereka dianugerahkan lencana sayap juruterbang yang dipakaikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sempena Hari Ulang Tahun PGU ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) baru-baru ini.

Nur Hidayah yang juga menerima Anugerah Peserta Kursus PPL Terbaik berkata beliau terpanggil untuk menjadi juruterbang wanita bagi unit berkenaan kerana mahu mencabar kebolehan dirinya.

“Kami (juruterbang wanita) harus menunjukkan kami juga mempunyai kebolehan yang sama seperti golongan lelaki, bukan sahaja dari segi akademik malah dalam bidang penerbangan.

“Jika saya tidak sertai sekarang, saya mungkin tidak berpeluang untuk pengambilan seterusnya, sebab itu saya tidak mahu lepaskan peluang ini,” katanya.

Sementara itu, Yee Chee turut berkongsi semangat yang sama bagi membuktikan pegawai polis wanita juga mampu mengemudi pesawat.

“Sebelum ini unit PGU tidak mempunyai juruterbang wanita dan kami mahu menjadi yang pertama, agar ia dapat memberi inspirasi kepada masyarakat dan golongan wanita dalam pasukan.

“Dalam bidang penerbangan, golongan wanita dilihat agak minoriti kerana penglibatannya agak kurang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Komander PGU, Datuk Noor Sham Md Jani berkata, empat pegawai polis wanita tersebut dipilih menyertai kursus PPL selepas tapisan ketat dilakukan ke atas 36 peserta.

“Mereka ini kumpulan pertama untuk juruterbang kapal terbang, insya-Allah bulan depan ada enam lagi juruterbang wanita untuk helikopter.

“Pertama kali dalam sejarah PLPGU melatih enam juruterbang berpangkat inspektor wanita. Ini satu perkembangan terbaik untuk generasi akan datang,” katanya.

Tambah beliau, PDRM memang menggalakkan pegawai polis wanita yang berkebolehan dan berkelayakan untuk menyertai PGU bagi memantapkan lagi keberkesanan operasi.

Dua supercharger Tesla baharu ditambah, kini 14 lokasi

BULAN lepas, Tesla Malaysia mengumumkan supercharger mereka di Pavilion Kuala Lumpur telah diaktifkan, dengan ikon dalam peta rangkaian di laman web menyala merah.

Tesla berkata semasa pelancaran bahawa mereka mempunyai 12 supercharger di negara ini. Kini mereka telah menambah dua lagi lokasi baharu, iaitu di Petaling Jaya, Selangor dan Alor Gajah, Melaka.

Supercharger di Petaling Jaya menjadi yang kedua di bandar raya itu. Supercharger di Alor Gajah pula sesuatu yang penting, ia bermakna pemilik-pemilik boleh memandu ke selatan tanah air dengan lebih mudah.

Belum ada maklumat terperinci mengenai lokasi-lokasi lain, tetapi pertambahan rangkain pengecas mereka setakat ini nampak menjanjikan dan agak cepat.

Seperti disebut, lokasi pengecas Tesla Supercharger di Pavilion Kuala Lumpur merupakan satu-satunya yang telah diaktifkan, dengan lapan ruang pengecas yang mampu menyokong sehingga 250kW.

Kadar pengecasan ialah RM1.25/kWh, dan terdapat juga bayaran idle (menunggu) sebanyak RM4 per minit.

BMW iX5 Hydrogen selesai jalan ujian cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu

UNTUK emisi sifar, BMW percaya ada beberapa cara lain lagi selain elektrik (EV), salah satunya adalah dengan tenaga hidrogen.

BMW iX5 Hydrogen merupakan sebuah platform untuk cara ini, dan baru-baru ini beberapa unit SUV itu telah selesai ujian cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu (EAB).

Walaupun berdepan dengan suhu sehingga 45-darjah Celsius serta mengharungi pasir, debu, dan pelbagai permukaan jalan, SUV hidrogen ini tetap cemerlang dan lulus.

Dari sistem bahan api sel, motor elektrik, hingga tangki hidrogen, segala perkakasan berfungsi dengan cara sepatutnya di samping pasukan pembangun terbang dari Munich untuk menjalankan analisis.

Timur Tengah bukan satu-satunya lokasi ujian BMW iX5, kerana terdapat sekumpulan prorotaip sedang diuji di Jepun, China, Korea Selatan, Eropah, dan Amerika Syarikat.

Sebenarnya, belum ada perancangan untuk menjual SUV ini, tetapi pihak atasan BMW ada menyebut untuk menawarkan model hidrogen sebelum penghujung dekad ini (2030).

Untuk spesifikasi, BMW iX5 Hydrogen mempunyai output keseluruhan sebanyak 401hp (295kW) dan menampilkan dua tangki CFRP yang mampu menampung kira-kira 6kg.

Ini memberikan iX5 Hydrogen jarak pemanduan sehingga 504km (menurut kitaran WLTP), iaitu serupa dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman. Hanya tiga hingga lima minit masa diperlukan untuk mengisi tangki hidrogen, juga sama dengan mengisi petrol pada kereta biasa.

Walaupun menekankan bab kecekapan, BMW menyebut bahawa iX5 tidaklah perlahan juga. Ia mampu memecut ke 100km/j dalam masa kurang enam saat. Ia juga dilengkapi mod Sport yang akan mengeraskan suspensi dan memberikan kuasa penuh.

Peluang tipis untuk anda menjumpai iX5 ini di jalan raya kerana kurang dari 100 unit sahaja dihasilkan. Kesemuanya dikeluarkan di kilang Spartanburg iaitu di fasiliti pemasangan BMW X5 biasa tetapi perubahan teknikal lain dibuat di Munich.

Insentif galak pembelian EV wajar dimasukkan dalam Belanjawan 2024 – Tengku Zafrul

KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berharap Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan pemberian insentif yang bertujuan menggalakkan pembelian kenderaan elektrik (EV) dalam Belanjawan 2024 akan datang.

Sumber gambar: Facebook/Tengku Zafrul

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata MITI telah menerima cadangan hebat daripada pemain industri dan rakyat untuk Belanjawan 2024, termasuk cadangan yang berkaitan dengan ekosistem EV.

“Indonesia merupakan satu-satunya negara (ASEAN) yang telah memperkenalkan subsidi untuk EV bagi motosikal mereka.

“Ini (insentif untuk menggalakkan pembelian EV di Malaysia) merupakan satu cadangan yang baik untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2024.

“Saya yakin Perdana Menteri (selaku) Menteri Kewangan akan memberi pertimbangan yang sewajarnya,” katanya kepada media baru-baru ini.

Perodua EMO EV Concept yang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2023 pada Mei lalu

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai kemungkinan insentif EV dimasukkan dalam Belanjawan 2024.

Sementara itu, Tengku Zafrul dalam ucapannya berkata MITI akan terus menyokong pertumbuhan infrastruktur pengecasan EV untuk kenderaan dua roda, sama seperti usaha kerajaan yang komited untuk memasang 10,000 pengecas EV menjelang 2030.

Kerajaan juga akan terus menyokong dan memudahkan inisiatif serupa yang menyumbang kepada matlamat bersama iaitu Malaysia yang lebih bersih, hijau dan lebih makmur, katanya.

“Memandangkan bateri EV merangkumi sehingga 70 peratus daripada kos, kaedah pertukaran bateri boleh mengurangkan kos pemilikan dengan ketara untuk pemilik e-motosikal.

“Dengan pemilikan sifar dan masalah penyelenggaraan, perkhidmatan langganan bateri ini mampu mempopularkan EV ke tahap baharu, yang mana pengguna boleh terus menghidupkan e-motosikal mereka dan menikmati tunggangan,” katanya.

Buat masa ini, sudah terdapat motosikal EV yang boleh ditukar baterinya, iaitu Blueshark R1 dan Tailg Ebixon Bold serta Torq. Anda boleh tonton video tunggang uji kami mengenai Blueshark R1 di bawah: