Audi SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron EV pertama dengan setup tiga motor di Malaysia – dari RM520k
PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini melancarkan dua model elektrik (EV) terbaharu untuk pasaran Malaysia, iaitu Audi SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron. Kedua-dua model ini dibezakan melalui bentuk badan dimana Sportback ialah versi coupe lebih sporti.
Audi SQ8 e-tron ditawarkan pada harga bermula RM519,990 manakala SQ8 Sportback e-tron pada RM529,990.
Tiga motor elektrik
Audi SQ8 e-tron menjadi model EV pertama di Malaysia (secara rasmi) dengan setup tiga motor elektrik – satu di gandar depan dan dua di belakang. Ketiga-tiga motor elektrik ini adalah asynchronous iaitu berasingan.
Motor di depan menjana 166hp manakala motor di belakang menghasilkan 131hp setiap satu. Output keseluruhan untuk SQ8 e-tron setinggi 496hp dan 973Nm tork.
Ini membolehkan SUV EV berat ini memecut ke 100km/j dalam masa 4.5 saat sahaja, manakala kelajuan maksima pada 210km/j.
Dua motor elektrik di belakang yang tidak bersambung digunakan untuk menghantar kuasa dengan tepat bergantung kepada situasi pemanduan seperti jalan tidak rata atau di selekoh.
Pengecasan
Audi SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron boleh dicas sehingga 170kW untuk DC, membolehkan bateri dari 10 hingga 80 peratus dicapai dalam masa 31 minit sahaja. Dengan cas penuh, SUV ini boleh dipandu sehingga 471km.
Untuk pengecasan AC pula, ia menggunakan kapasiti 22kW, jadi masa diperlukan adalah sembilan hingga 11 jam setengah bergantung kepada beberapa faktor.
Rupa mewah dan sporti
Kedua-dua model didatangkan dengan kemasan S, bermakna ia lebih sporti. Rekaan bampar yang lebar kini lebih ekspresif, manakala panel arca roda dengan aliran udara telah dioptimumkan itu memberikan imej lebih maskular.
Gril Singleframe yang menjadi identiti Audi (dengan lampu projektor) diserlahkan lagi dengan lampu utama jenis Digital Matrix LED. Menariknya, lampu ini mempunyai 1.3 juta cermin mikro yang boleh disudutkan sehingga 5,000 kali sesaat untuk memberikan pencahayaan optima tanpa menyilaukan pemandu lain.
Aerodinamik menjadi elemen penting pada EV, dan Audi SQ8 e-tron ini mempunyai pekali seretan (Cd) yang rendah, antara 0.24 hingga 0.27 sahaja. Ini membantu memberikan jarak pemanduan lebih jauh.
Ciri-ciri lain termasuklah angkup brek merah, perumah cermin sisi gentian karbon, rel bumbung hitam, dan rim Audi Sport 22-inci Interferenz.
“Dengan kehadiran SQ8 e-tron baharu melalui rekaan klasik SUV dan rekaan Sportback yang lebih sporty, kami kini menawarkan varian Q8 e-tron berkuasa tinggi untuk mereka yang mahukan pengalaman pemanduan lebih mengujakan bersama teknologi Audi yang dinamik serta efisien,” kata Pengarah Urusan PHSAM, Denyu Bostandzhiev.
“Keluarga model Q8 e-tron and e-tron GT telah dilancarkan di Malaysia pada Jun tahun lalu dan menerima maklum balas positif,” tambahnya.
SQ8 e-tron didatangkan dengan tujuh pilihan warna – Magnet Gray, Ultra Blue, Chronos Gray, Mythos Black, Plasma Blue, Daytona Gray, dan Glacier White.
Kedua-dua model dilindungi dengan jaminan 5-tahun, pakej penyelenggaraan berjadual 3-tahun, dan bantuan tepi jalan 5-tahun.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.