fbpx

Isuzu D-Max 1.9L Standard mampu penuhi keperluan gaya hidup

Isuzu D-Max Standard main pic

Berdasarkan pengamatan penulis, sudah menjadi kebiasaan bagi pembeli kereta untuk memilih varian atau spesifikasi tertinggi kerana bagi mereka, itulah penawaran terbaik yang ada.

Memang benar, varian tertinggi bagi sesuatu model itu membawakan segala yang terbaik dari segi reka bentuk, prestasi dan teknologi namun ini tidak bermakna varian-varian lain tidak cukup bagus.

Sebagai contoh, Isuzu D-Max 1.9L 4×4 AT Standard yang dilancarkan ke pasaran Malaysia pada Julai lalu dilihat mempunyai ciri-ciri yang serba lengkap untuk memenuhi keperluan harian pemiliknya sama ada sebagai kenderaan harian atau gaya hidup.

Trak pikap ini juga sesuai untuk pemilik perniagaan yang ingin menjimatkan kos operasi kerana D-Max 1.9L 4×4 AT Standard sememangnya terkenal sebagai kenderaan jimat bahan api.

Bagi mereka yang ingin menjadikan D-Max 1.9L 4×4 AT Standard sebagai kenderaan harian, anda tidak perlu gusar kerana model ini bergaya dengan pemegang pintu yang kini didatangkan dalam warna yang sama dengan warna badan, serta rim aloi 17 inci dalam rekaan terkini.

Terdapat lima warna luaran untuk dipilih iaitu Valencia Orange, Biarritz Blue, Splash White, Mercury Silver dan Onyx Black.

Bukan itu sahaja, versi automatik didatangkan dengan lampu projektor Bi-LED dengan lampu nyalaan siang LED dan ciri Follow Me Home yang amat berguna pada waktu malam.

Masuk ke dalam, anda akan menemui skrin sentuh berukuran tujuh inci yang boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi teknologi Bluetooth.

Bercakap tentang telefon, anda dan penumpang tidak akan mempunyai sebarang masalah bateri lemah kerana D-Max 1.9L Standard mempunyai tiga port pengecas USB – satu Type A dan satu Type C pada bahagian hadapan, serta satu Type A pada bahagian belakang.

Tidak cukup dengan itu, model ini juga mendapat satu lagi ciri baharu iaitu kamera undur secara standard. Menurut Isuzu Malaysia, mereka adalah pengeluar pertama di negara ini yang menyediakan kamera undur sebagai ciri standard dalam rangkaian trak pikap double cab.

D-Max 1.9L Standard mungkin sebuah trak pikap namun ruang dalamannya cukup selesa untuk kegunaan harian dengan adanya ciri-ciri seperti paparan multi-info 4.2 inci, corong pendingin hawa belakang, pemegang kaca mata, upholsteri fabrik dan pelbagai lagi.

Bagaimana pula jika anda ingin membawa trak ini masuk ke hutan untuk aktiviti lasak atau membawa barang-barang yang besar dan berat?

Jangan risau kerana ia dikuasakan oleh enjin BluePower turbodiesel 1.9-liter empat silinder yang mampu menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm dari 1,800 hingga 2,600 rpm.

Anda ada pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan dengan ‘sequential shift’ untuk ‘manual mode’, kedua-duanya digandingkan dengan sistem pacuan empat roda.

Apa yang menarik, enjin bukan sahaja berkuasa malah sudah terbukti mampu mencapai jarak sejauh lebih 1,000 km dengan satu tangki penuh. Sesaran yang kecil bermakna cukai jalannya juga tidak tinggi iaitu sekitar RM399.20 setahun.

Lebih meyakinkan lagi, D-Max 1.9L 4×4 AT Standard juga tidak lekang dengan ciri-ciri yang sememangnya patut ada pada sebuah trak pikap seperti Rear Differential Lock.

Tidak cukup dengan itu, ia juga didatangkan dengan sembilan ciri keselamatan aktif iaitu Electronic Stability Control (ESC), Traction Control (TC), Hill Start Assist (HAS), Hill Descent Control (HDC), Anti-Lock Brake System (ABS), Electronic Brakeforce Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Brake Override System dan Emergency Stop Signal.

Harga jualan Isuzu D-Max 1.9L 4×4 AT Standard bermula dari RM107,599.20 untuk versi manual dan RM114,999.20 untuk versi automatik. Isuzu Malaysia menawarkan waranti selama lima tahun atau 150,000 km.

Untuk maklumat lanjut mengenai Isuzu D-Max 1.9L Standard, layari laman web rasmi Isuzu D-Max atau kunjungi laman Facebook Isuzu D-Max Malaysia.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved