fbpx

Kerajaan pertimbang ‘lemon law’ untuk kereta baru dibeli yang rosak

lemon law

KERAJAAN kini di peringkat awal menyemak dan menyelidik kemungkinan mewujudkan “lemon law”, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali.

Gambar oleh: Malay Mail

Bercakap kepada FMT, Armizan berkata, Malaysia aktif menangani isu perlindungan pengguna berkaitan kenderaan rosak dan menganalisis amalan antarabangsa sebelum menyesuaikannya untuk kegunaan tempatan.

Beliau mengulas desakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya “lemon law” diperkenalkan, iaitu remedi undang-undang untuk pengguna membeli kenderaan rosak, sama ada baharu atau lama, yang gagal memenuhi kriteria kualiti serta prestasi dalam tempoh khusus.

Amerika Syarikat, Singapura, Korea Selatan, China dan Filipina adalah antara negara mengguna pakai undang-undang seperti itu.

Bagaimanapun, Armizan berkata, Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang diguna pakai Malaysia turut melindungi pengguna daripada kenderaan rosak.

“Akta itu melindungi pengguna berkait kenderaan rosak dalam beberapa cara, walaupun ia bukan secara jelas ‘lemon law’ dan tidak menawarkan remedi khusus seperti pembelian semula kereta untuk kerosakan tidak boleh dibaiki.

“Ia menyediakan pelbagai peruntukan yang boleh digunakan untuk menangani masalah kenderaan rosak.”

Baru-baru ini, dua laporan kenderaan baru dibeli rosak tular di media sosial.

Kerani, S Nagakanni dilaporkan berkata, Perodua Bezza barunya rosak lapan jam selepas dibeli dan beliau terpaksa melunaskan pinjaman bulanan RM537, walaupun kereta itu tersadai di pusat servis.

Noriya Mamat dari Terengganu pula berkata, Honda HR-V yang baru dibelinya juga tersadai di pusat servis berbulan-bulan selepas menghantarnya ke situ sebulan selepas pembelian untuk diservis apabila mencapai jarak perjalanan 1,000km.

Katanya, beliau terpaksa membuat bayaran bulanan RM1,500 untuk kereta itu yang langsung tidak dapat dipandunya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved