Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan Pakej Jaminan Volkswagen (Volkswagen Assurance Package, VAP) dalam usaha untuk menawarkan perlindungan dan fleksibiliti yang diperlukan oleh para pemilik kenderaannya.
VAP ditawarkan ke atas semua model dilengkapi ciri IQ.Drive yang kini melibatkan model Golf GTI baharu dan Arteon R-Line 4Motion yang telah dinaik taraf.
Pakej berkenaan memberikan pemilik tambahan jaminan tanpa had perbatuan dan penyelenggaraan selama tiga tahun. Ia bernilai dari RM8,000 hingga RM10,000, bergantung pada model.
Pelanggan yang tidak memilih VAP akan menerima jaminan tanpa had perbatuan untuk dua tahun dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.
Pengarah Urusan VPCM, Denyu Bostandzhiev berkata, “Kami kekal komited untuk menawarkan pelanggan dengan produk terbaik yang boleh memenuhi keperluan mereka. Dengan VAP, pelanggan tidak lagi perlu rasa bimbang.”
“Bukan itu sahaja, pasukan juruteknik berpengalaman kami akan memastikan kenderaan pelanggan diperiksa dengan terperinci. Jika ada alat ganti yang perlu diganti, ia akan diganti. Harus tahu juga bahawa kami hanya menggunakan alat ganti tulen bagi memastikan ketahanan dan prestasi terbaik kenderaan,” kata Denyu.
SELEPAS beberapa sesi pratonton, Chery Omoda 5 akhirnya rasmi dilancar di Malaysia. Pelancarannya dibuat serentak dengan Tiggo 8 Pro.
Chery Omoda ialah SUV segmen-B+ lima tempat duduk yang akan bersaing dengan Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross.
Dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu Omoda 5 C pada harga RM108,800 dan Omoda 5 H dengan harga RM118,800.
Chery Omoda 5 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 4-silinder turbo yang mampu menjana 154hp dan 230Nm tork, maka sebab itu ada lencana 230T di belakangnya. Output disalurkan ke roda depan melalui kotak gear CVT 9-kelajuan.
Ciri luaran yang anda dapat lihat pada Omoda 5 ialah gril besar cukup agresif yang nampak seperti sisik, dan ia diintegrasikan dalam bampar depan serta diapit dengan lampu LED nipis.
Anda boleh pilih Chery Omoda 5 dengan tujuh pilihan warna satu tona atau dwi-tona, tetapi kesemuanya mendapat kemasan merah pada cermin sisi, rim, dan bawah pintu, menjadikan SUV ini nampak cukup bergaya dan menonjol.
Kabin Omoda 5 menampilkan rekaan futuristik dan minimalis dengan paparan skrin 20-inci melintang untuk instrumen dan infotainmen. Ia juga dilengkapi dengan mod pemanduan (Eco dan Sport), sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem audio Sony, tempat duduk sports, dan sistem ADAS.
Omoda 5 juga mendapat pengecas tanpa-wayar, sistem audio Sony, stereng flat-bottomed sebagai standard.
Bercakap mengenai ADAS, Chery Omoda 5 lengkap dengan ciri terkini seperti Lane Departure Warning, Blind Spot Detection, Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Traffic Jam Assist, Traffic Sign Recognition, dan kamera 360-darjah.
Oh ya, semua kenderaan Chery di Malaysia hadir dengan jaminan 7-tahun dan servis percuma 5-tahun. Untuk 3,000 pelanggan terawal juga, anda akan menerima jaminan enjin sehingga 10 tahun atau perbatuan 1,000,000km!
CHERY begitu giat memperkukuhkan kehadiran semula jenamanya di Malaysia dengan preview sejak hujung tahun lepas.
Kini mereka telah melancarkan secara rasmi model untuk pasaran negara ini, iaitu Tiggo 8 Pro. SUV tujuh tempat duduk ini dilancarkan serentak bersama Omoda 5. Hanya satu varian ditawarkan iaitu Premium, dengan harga RM159,800.
Kita mendapat variasi terkini yang dinamakan Chery Tiggo 8 Pro Max seperti di China, ya kami tahu namanya seperti telefon pintar terkemuka. Tetapi perkataan “Max” digugurkan untuk lebih memudahkan.
Chery Tiggo 8 Pro kali ini sedikit berbeza dari unit yang dipertonton pada Oktober lepas, dimana unit ini mendapat rekaan gril “galaxy” baharu dengan lampu LED belakang terkini. Rim juga lebih besar, kini 19-inci dengan tayar berprofil 235/50. Menarik juga ialah logo yang menyala.
Di bawah but depan Tiggo 8 Pro ialah enjin 2.0-liter 4-silinder turbo yang menjana 250hp dan 390Nm tork. Enjin GDI ini dipadandakan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, dan output disalurkan ke roda depan. Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.
Anda kagum dengan rekaan luarannya? Jemput ke dalam, Tiggo 8 Pro ini nampak begitu moden dan kontemporari dengan skrin melintang besar bersaiz 24.6-inci. Ia merangkumi skrin instrumen untuk pemandu dan infotainmen untuk hiburan dan fungsi lain.
Chery Tiggo 8 Pro juga dilengkapi dengan stereng baharu, sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara, lampu ambien, tempat duduk berkuasa dengan pemanas dan penyejuk, sistem pendingin hawa dwi-zon, bumbung panoramik, pengecas tanpa-wayar, dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto.
Dari segi saiz, Tiggo 8 Pro mempunyai dimensi 4,722mm panjang, 1,860mm lebar, dan jarak roda 2,710mm. Ia mempunyai kapasiti kargo 193 liter jika tempat duduk barisan ketiga dinaikkan, tetapi boleh meningkat hingga 892 atau 2,101 liter jika tempat duduk barisa ketiga dan kedua diturunkan.
Ciri keselamatan juga pada tahap agak tinggi, dengan sistem ADAS seperti Lane Departure Warning/Keeping, Blind Spot Detection, Door Opening Warning, Rear Cross Traffic Alert, Front Collision Warning, dan Autonomous Emergency Braking.
Dari segi segmen dan spesifikasi, ia merupakan pesaing kepada Proton X90 yang juga sebuah SUV tujuh tempat duduk yang direka dan dibangunkan di China. X90 dijual pada harga antara RM123,800 hingga RM152,800, cumanya X90 dipacu oleh enjin lebih kecil iaitu 1.5-liter turbo mild hybrid.
Oh ya, semua kenderaan Chery di Malaysia hadir dengan jaminan 7-tahun dan servis percuma 5-tahun. Untuk 3,000 pelanggan terawal juga, anda akan menerima jaminan enjin sehingga 10 tahun atau perbatuan 1,000,000km!
DALAM laporan prestasi jualannya bagi bulan Jun 2023, UMW Toyota Motor turut mengumumkan pembukaan tempahan bagi Toyota Alphard dan Vellfire generasi baharu.
Untuk pasaran Malaysia, syarikat itu akan menawarkan Alphard 2.4T Executive Lounge dan Vellfire 2.5. Kedua-dua model ini boleh ditempah di semua bilik pameran sah Toyota di seluruh negara dengan harga anggaran RM538,000 untuk Alphard dan RM438,000 untuk Vellfire.
Terdapat empat warna yang ditawarkan iaitu Platinum White Pearl, Precious Metal, Precious Leo-Blond (Alphard sahaja) dan juga Black.
Berbeza dengan pasaran Jepun di mana Alphard ditawarkan dengan enjin 2.5-liter NA atau hibrid, Alphard untuk pasaran Malaysia dikuasakan oleh enjin turbo 2.4-liter DOHC yang dipadankan dengan transmisi automatik Direct Shift lapan kelajuan.
Sementara itu, Vellfire pula menampilkan enjin 2.5-liter (tidak pasti sama ada NA atau hibrid) dengan transmisi Super CVT-i tujuh kelajuan denan teknologi Sports Sequential Shiftmatic.
Menurut UMW Toyota Motor, model ini dilengkapi dengan Front Performance Brace yang dikatakan mampu memberikan pecutan yang lebih lancar serta pengendalian yang mantap dan stabil.
Selain itu, kedua-dua model itu juga akan didatangkan secara standard dengan lampu LED sepenuhnya, lampu isyarat berjujukan pada bahagian depan dan belakang, upholsteri kulit, trim kayu dan bumbung kaca panoramik.
Turut disertakan adalah sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, lampu membaca panel instrumen digital TFT berukuran 12.3 inci dengan gandingan paparan head-up, serta fungsi pemanas dan ventilasi pada tempat duduk depan dan barisan tengah.
Sebagai tambahan, tempat duduk kapten pada Alphard mempunyai fungsi urutan. Terdapat juga ciri Hybrid Long Slide yang membolehkan tempat duduk barisan kedua di dalam Alphard dan Vellfire digelongsor sehingga 480 mm.
Semua tempat duduk di dalam kedua-dua model MPV ini turut dilengkapi dengan struktur anti-getaran yang bertindak untuk mengurangkan rasa impak ketika melalui jalan yang tidak rata.
Dari segi keselamatan, Alphard dan Vellfire menampilkan Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA), Road Sign Assist (RSA) dan Adaptive High-beam System (AHS).
KERAJAAN akan mempertimbangkan cadangan mengambil alih konsesi lebuh raya bagi mengurangkan kadar tol di seluruh negara sekiranya kedudukan kewangan negara stabil pada masa depan.
“Kerajaan sentiasa komited dan fokus terhadap sebarang usaha untuk menangani kenaikan harga barang serta mengurangkan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.
“Namun kerajaan pada masa ini tidak bercadang mengambil alih mana-mana lebuh raya yang sedang beroperasi kerana memerlukan implikasi kewangan yang sangat tinggi.
“Kerajaan bersedia mempertimbangkan semula cadangan ini sekiranya keadaan kewangan dan fiskal negara mengizinkan kelak,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanyakan komitmen kerajaan dalam mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangkan kadar tol di seluruh negara bagi meringankan beban rakyat.
Tahun lalu, kerajaan mengumumkan inisiatif pengambilalihan empat konsesi lebuh raya di Lembah Klang menerusi Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR), sebuah syarikat swasta yang semua pemegang sahamnya bukan berasaskan keuntungan.
ALR yang dipengerusikan Tan Sri Azlan Mohd Zainol, akan mengambil alih Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).
Menerusi pengambilalihan itu, tiada kenaikan kadar tol di empat lebuh raya berkenaan sehingga tamat tempoh konsesi, sekali gus bakal memberi penjimatan bayaran pampasan dari 1 Januari tahun lalu yang dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion namun, tempoh konsesi dilanjutkan.
BOON Siew Honda telah melancarkan model flagship CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary Edition ke pasaran Malaysia.
Jentera istimewa ini boleh didapati dalam satu warna sahaja iaitu Pearl Glare White dan dijual pada harga RM208,800 tidak termasuk insurans.
Secara asasnya, CBR1000RR-R Fireblade SP adalah model yang dibangunkan untuk prestasi semata-mata menggunakan teknologi enjin dan casis RC213V-S, yang secara asasnya merupakan jentera MotoGP jalanan.
Ia dikuasakan oleh enjin 999 cc empat silinder sebaris yang menghasilkan 214 hp pada 14,500 rpm dan 113 Nm pada 12,500 rpm. Enjin ini dilengkapi dengan semi-cam gear train dan con-rod titanium bagi mengurangkan geseran dalaman.
Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan teknologi quickshifter dan klac jenis Slipper & Assist.
Selain itu, bilangan gigi sprocket belakang bertambah dari 40 ke 43 untuk mendapatkan prestasi pecutan yang lebih baik. Kotak udara dan saluran intake juga direka semula untuk aliran udara yang lebih lancar.
Satu lagi penambahbaikan yang telah dilakukan oleh Honda adalah mengurangkan beban spring Throttle-by-Wire bagi meningkatkan respon pendikit. Honda Selectable Torque Control (HSTC) juga telah ditala semula mengikut maklum balas dari pelumba dari seluruh dunia.
Seperti sebelum ini, terdapat tiga mod tunggangan yang membolehkan penunggang melaraskan aspek kuasa, brek enjin, kawalan wheelie dan HSTC. Pakej elektronik motosikal ini turut merangkumi Start Mode.
Untuk aspek casis pula, CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary Edition kekal dengan kerangka aluminium diamond-style, lengan ayun RC213V-S, Inertial Measurement Unit (IMU) dan Honda Electronic Steering Damper (HESD) dengan tiga peringkat pelarasan.
Suspensi yang digunakan adalah daripada Ohlins yang terdiri daripada fork NPX 43 mm di depan dan penyerap hentak tunggal TTX36 di belakang. Sistem brek pula dibekalkan oleh Brembo.
Bukan itu sahaja, model ini juga mempunyai winglet untuk meningkatkan downforce dan menambah baik kestabilan ketika membrek, skrin TFT lima inci dengan animasi ‘Ring of Fire’, ukiran laser nombor siri produksi pada bar hendal, serta logo ulang tahun pada tangki, kunci dan ekzos Akrapovic.
Kini, kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi projek pelebaran jalan bagi membendung masalah itu yang semakin kritikal.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata projek langkah jangka pendek itu membabitkan dua lorong sepanjang satu kilometer.
“Projek dijangka siap akhir tahun ini. Namun untuk langkah jangka panjang, kita akan tambah satu lagi lorong di kedua-dua hala memandangkan lokasi ini adalah jalan utama selain bertembung dengan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).
“Projek akan dilaksanakan dua tahun lagi dengan anggaran RM20 juta termasuk kos utiliti. Bagaimanapun ia ditanggung Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan syarikat Teguh Mantap yang memajukan kawasan berkenaan,” tambahnya.
Pada 26 Oktober tahun lalu, media melaporkan pihak berwajib dirayu segera melaksanakan pelebaran laluan sedia ada yang sering mengalami kesesakan teruk membabitkan anggaran lebih 100,000 pengguna, terutama pada waktu puncak.
Ia adalah laluan utama penduduk di beberapa kawasan penempatan sekitar, terutama dari Alam Budiman, Kampung Meru, Setia Alam, dan Puncak Alam, yang kini terpaksa menempuh kesesakan hampir sejam berbanding perjalanan hanya lima minit sebelum ini.
Malah, kekurangan lorong untuk menampung peningkatan aliran trafik di laluan terbabit kerap menyaksikan kesesakan berlaku hingga sepanjang lebih tiga kilometer.
PROTON baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan Aapico Hitech Public Company Limited (Aapico) menerusi anak syarikatnya, Advance Vehicle Engineering Global Sdn Bhd (AVEE Global) untuk pengeluaran komponen dan alat ganti.
Menerusi kerjasama ini, Aapico akan mengambil alih 60 peratus pegangan dalam AVEE Global daripada Proton, manakala baki 40 peratus pegangan yang dimiliki Proton dalam syarikat itu akan dinamakan semula sebagai Aapico Avee Sdn Bhd.
Perkongsian ini akan menyaksikan Aapico, salah sebuah syarikat alat ganti kenderaan terbesar di Thailand, melaksanakan pelaburan awal sebanyak RM40 juta ke atas kemudahan seluas 20 ekar AVEE Global.
Ini akan disusuli dengan pelaburan sebanyak RM100 juta untuk perluasan kilang dan pemerolehan jentera baharu pada 2024.
Aapico akan menguruskan operasi dan memperkenalkan penggunaan teknologi baharu untuk mengeluarkan alat ganti yang lebih berkualiti, menambah baik pengeluaran dan menjimatkan kos.
Syarikat itu juga merancang untuk melaksanakan pembangunan modal insan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk menarik pekerja berkemahiran tinggi ke negara ini.
Bagi Proton, kerjasama ini mengukuhkan lagi cita-citanya untuk menjadi pemain utama dalam pasaran automotif ASEAN.
Dengan skala ekonomi dan pelaburan Aapico, serta teknologi sedia ada Proton seperti hot press forming, syarikat berkenaan berharap untuk berada di barisan hadapan dalam rantau automotif yang paling pesat berkembang di dunia.
Kerjasama strategik Aapico-Proton merupakan usaha sama kedua Aapico dalam sektor alat ganti kenderaan di Malaysia. Awal tahun ini, syarikat dari Thailand itu menandatangani perjanjian usaha sama dengan Purem, salah satu pembekal sistem ekzos terbesar di dunia.
Sebelum ini, kehadiran Aapico di Malaysia adalah menerusi perniagaan pengedaran keretanya, yang mana ia memiliki dan menjalankan operasi enam syarikat pengedar kereta termasuk empat pengedar Proton.
SELEPAS diperkenalkan pada Arteon R-Line 4Motion bulan lalu, sistem bantuan pemandu Volkswagen iaitu IQ.DRIVE kini diperkenalkan pula pada barisan Tiguan Allspace.
Ini bermakna sistem berkenaan disertakan secara standard pada ketiga-tiga varian Tiguan Allspace iaitu R-Line 4Motion, Elegance dan Life.
Tiguan Allspace Elegance
IQ.DRIVE membawakan beberapa ciri bantuan pemandu termasuk Front Assist, Adaptive Cruise Control, Side Assist, Rear Cross Traffic Alert dan Lane Assist. Selain itu, semua varian Tiguan Allspace juga mendapat pengecas tanpa wayar.
Seperti sebelum ini, Tiguan Allspace didatangkan standard dengan Digital Cockpit dan skrin sistem infohibur Discover Pro berukuran 9.2 inci bersama App-Connect tanpa wayar.
Sebagai varian tertinggi, Tiguan Allspace R-Line 4Motion dikuasakan oleh gabungan enjin 2.0 TSI turbo dan transmisi DSG tujuh kelajuan yang mampu menjana 220 PS dan 350 Nm.
Varian flagship itu juga mempunyai rim aloi Sebring 19 inci, serta sistem audio digital Harman Kardon 480W yang terdiri daripada amplifier 16 saluran dan 10 unit pembesar suara.
Sementara itu, Tiguan Allspace Elegance dan Allspace Life pula dilengkapi enjin 1.4 TSI turbo yang mampu menghasilkan 150 PS dan 250 Nm yang dipadankan bersama kotak gear DSG enam kelajuan.
Menurut Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), gandingan itu menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.7 l/100 km.
Ketiga-tiga varian Tiguan Allspace boleh didapati dengan Pakej Jaminan Volkswagen (VAP) yang memberikan pelanggan jaminan lanjutan tanpa had perbatuan dan penyelenggaraan selama tiga tahun.
Bergantung kepada model, VAP dijual pada harga dari RM8,000 hingga RM10,000. Pelanggan yang tidak mahu membeli pakej jaminan itu akan menerima jaminan tanpa had perbatuan selama dua tahun dan bantuan tepi jalan untuk lima tahun.
Tiguan Allspace dengan IQ.DRIVE dijual pada harga bermula dari RM165,990 untuk varian Life, RM194,990 untuk Elegance dan RM245,990 untuk R-Line 4Motion. Harga-harga yang disebutkan ini tidak termasuk VAP.
DINAMIKJAYA Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, secara rasminya melancarkan satu lagi model kenderaan elektrik ke pasaran tempatan iaitu Kia Niro EV.
Diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan, Niro EV dibuka untuk tempahan pada harga jualan bermula dari RM255,888. Ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km, serta jaminan untuk pek bateri voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000 km.
Kini dalam generasi kedua, Niro EV tampil lebih menonjol dan berani dengan rekaan signatur ‘Tiger Face’, lampu nyalaan siang bermotifkan degupan jantung dan juga skid plate. Di dalam gril pula terdapat Active Air Flap yang menyumbang kepada pekali seretan (Cd) serendah 0.29.
Rekaan ruang dalamannya tidak jauh berbeza dengan Kia EV6, dengan papan pemuka melengkung, dua skrin definisi tinggi berukuran 10.25 inci, panel kawalan sistem pendingin hawa di bawah skrin tengah dan tombol penukar gear pada konsol tengah.
Turut disertakan adalah Apple CarPlay, Android Auto, pengecas wayarles dan port pengecas USB-C. Kerusi dibalut upholsteri leatherette berwarna hitam, manakala pelapik bumbung diperbuat daripada kertas dinding yang dikitar semula.
Selain itu, Kia turut menggunakan cat bebas bahan BTX pada panel pintu dalam usahanya untuk meminimumkan impak kepada alam sekitar serta mengurangkan sisa.
Niro EV dibina menggunakan platform K generasi ketiga yang memberikannya dimensi yang lebih besar berbanding model sebelum ini, dengan ukuran panjang 4,420 mm, lebar 1,825 mm, tinggi 1,570 mm dan tapak roda 2,720 mm.
Ia mempunyai ruang but berkapasiti 475 liter atau 1,392 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan. Pada bahagian depan pula terdapat ruang simpanan 20 liter untuk menyimpan kabel pengecas dan adapter Vehicle-to-Load (V2L).
Untuk pasaran Malaysia, Niro EV didatangkan dengan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 150 kW (201 hp) dan 255 Nm. Ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 167 km/j.
Dengan pek bateri litium-ion 64.8 kWj, crossover elektrik ini dikatakan mampu bergerak sejauh 460 km dengan satu cas penuh. Pengecasan dari 10 hingga 80 peratus mengambil masa kira-kira 43 minit menggunakan pengecas pantas DC.
Selain ciri V2L, Niro EV juga didatangkan dengan Smart Regeneration Braking System yang membolehkan pemandu memilih tahap janaan semula untuk memberhentikan kereta dengan cepat dan memulihkan tenaga kinetik untuk memaksimumkan jarak gerak.
Model ini juga dilengkapi dengan sistem ADAS seperti High Beam Assist (HBA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Rear Cross-Traffic Collision Assist (RCCA), Lane Keeping Assist (LKA), Driver Attention Warning (DAW), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Lane Following Assist (LFA) dan Smart Cruise Control (SCC).
ISUZU Malaysia telah mengumumkan kemaskini untuk Isuzu D-Max, di mana semua model Double Cab kini didatangkan dengan kamera undur sebagai ciri standard.
Sebelum ini, kamera undur hanya terdapat pada varian tertinggi seperti X-Terrain dan Premium. Kini, varian 1.9L Standard menerima kelengkapan yang sama atas permintaan pelanggan yang mahukan lebih keselamatan dan bantuan ketika masuk ke ruang parkir.
Ini menjadikan Isuzu sebagai pengeluar pertama di Malaysia yang menyediakan kamera undur sebagai ciri standard untuk semua model Double Cab dalam barisan trak pikapnya.
Kamera undur ditempatkan dengan kemas di sisi pemegang ruang barangan belakang. Imej dari kamera tersebut dipaparkan secara jelas menerusi skrin sentuh tujuh inci yang turut mempunyai ciri sambungan Bluetooth.
“Dengan menawarkan ciri tersebut sebagai memenuhi keperluan penggunaan, ia tidak hanya melindungi pelaburan mereka, malahan juga memastikan kenderaan bergerak dengan selamat dan boleh diharap,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.
Selain itu, varian 1.9L Standard juga mendapat dua slot USB – Type A dan Type C – pada bahagian depan untuk memudahkan penumpang mengecas peranti mereka.
Dari luar, varian ini boleh dibezakan dengan varian-varian lain menerusi pemegang pintu dan ruang barangan belakang dalam warna badan, berbanding warna perak sebelum ini.
Boleh didapati dengan transmisi manual atau automatik, D-Max 1.9L Standard yang dipertingkat ini dijual pada harga RM105,599.20 di Semenanjung Malaysia. Harga ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM1,500 berbanding sebelum ini.
EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), pengedar rasmi Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), mengumumkan pelaksanaan program jaminan dua-tahun tanpa had perbatuan untuk semua model Kawasaki dan Modenas.
Perkara itu berkuatkuasa bermula 1 Julai 2023, untuk semua model dari 250cc hingga 1,000cc. Jaminan ini merupakan penambahan dari sebelum ini yang mengehadkan perbatuan sebanyak 20,000km untuk tempoh dua tahun.
Program jaminan ini akan datang sebagai piawaian standard kilang yang terdiri daripada:
Kawasaki menjamin setiap produk baharu bebas daripada kecacatan pembuatan untuk tempoh 24 bulan dari tarikh asal jualan oleh pengedar Kawasaki yang sah.
Terma dan syarat yang sama dikenakan kepada pemilik baharu tetapi ambil perhatian bahawa jaminan tamat dalam semua kes selepas tempoh tertentu dari tarikh jualan kepada pembeli asal.
Produk Kawasaki berprestasi terbaik dengan penyelenggaraan dan servis biasa, dan setiap model mempunyai jadual penyelenggaraan yang direka untuk memastikan ia beroperasi pada tahap prestasi optimumnya. Kami mengesyorkan kenderaan diservis oleh pengedar Kawasaki yang sah mengikut jadual servis yang diperincikan dalam manual pemilik anda.
Sebagai tambahan, perkhidmatan bantuan 24/7 juga akan disertakan dalam program jaminan baharu ini. Jaminan ini mempunyai terma dan syarat semasa yang sama seperti jaminan pengilang standard dan hendaklah kekal bersama motosikal apabila dijual atau dipindahkan kepada pemilik baru
Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas berkata: “Dengan menghapuskan sekatan jarak daripada jaminan sedia ada, pengguna kami akan dapat menikmati pengalaman tunggangan dengan bebas dan tenang.
“Program ini juga sebagai tanda keyakinan daripada Modenas kepada semua penggunanya di luar sana terhadap kualiti setiap produknya.
“Selain itu, kepada semua pemilik, sila pastikan untuk mengikuti jadual servis di pusat servis atau pengedar Kawasaki/Modenas yang sah anda dengan teliti untuk mengelakkan jaminan terbatal kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati,” katanya.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi KAWASAKI Malaysia di: http://www.kawasaki.com.my/home.
DENGAN sambutan luar biasa dari pengunjung pada edisi 2022, Art of Speed (AOS) kembali untuk tahun 2023, menjanjikan acara lebih besar dan lebih baik dari sebelumnya.
Tahun ini, acara dengan tema “Raikan Bezamu” itu mengambil tempat di lokasi sama, Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) pada 29 dan 30 Julai 2023.
Mereka kini akan menggunakan kesemua empat dewan di MAEPS meliputi ruang tertutup seluas 350,000 kaki persegi, ruang luar seluas 8.6 ekar – mengambil alih setiap dewan acara dengan menampilkan lebih banyak aktiviti demi memuaskan hati peminat dan pengunjung.
AOS 2023 bakal membawakan tetamu komuniti kustom dan media antarabangsa seperti:
Shige Suganuma, Emi Suganuma, “Sunny” Yano & Michi “NATQQ” dari MOONEYES; Jepun
Cycle Zombies; Amerika Syarikat
V-Twin Visionary; Amerika Syarikat
Wild Road Choppers; Jepun
Cosmic Chopper City; Jepun
Geoff dari Return of Cafe Racer; Amerika Syarikat
Dino Dalle Carbonare dari Speedhunters.com; Jepun
Side Yakotani; Jepun
Hopping Shower; Jepun
Boopin; Jepun
Ken Flat Top; Jepun
Jetwrench_artstudio; Jepun
Vondutch; Indonesia
Ya Seat; Thailand
Selain itu, aktiviti lain yang boleh anda jangkakan dari AOS 2023 termasuklah:
Outdoor ThunderCircus “Brotherhood Rally” – kawasan terbuka yang dikhaskan sepenuhnya untuk penunggang dan peminat motosikal.
Terbaharu untuk 2023: Dewan B akan diambil alih oleh Hot Wheels Collector Convention rasmi pertama di rantau Asia Tenggara. Pengunjung bakal menikmati lebih banyak lagi aktiviti Hot Wheels, paparan diorama – yang merangkumi Pameran Hot Wheels Rare & Collectibles, Hot Wheels Skate School, Hot Wheels Swap Buy & Sell, dan banyak lagi.
Peminat Hot Wheels juga bakal bertemu dan mengalukan kedatangan pereka Hot Wheels terkenal dari Amerika Syarikat. Dan menariknya, percubaan memecahkan rekod untuk pembuatan Hot Wheels terbesar di Malaysia turut diadakan.
Untuk memperingati ulang tahun ke-40 Hot Wheels di Malaysia, Mattel akan bekerjasama dengan jenama automotif nasional ikonik negara iaitu PROTON untuk mencipta sebuah kenderaan Hot Wheels – Proton Saga yang pertama.
Bersempena dengan peristiwa bersejarah ini, Mattel menjemput semua kanak-kanak di Malaysia datang melatih kreativiti mereka untuk menyertai Hot Wheels x PROTON Kids Design Competition. Reka bentuk yang menjadi pemenang akan diperingati melalui kad ‘blister’ Proton Saga ‘edisi khas’ dan akan dijual di seluruh negara di Malaysia pada awal 2024 nanti!
Hot Wheels Legends Tour bakal membuat kemunculan di AOS 2023. Pada tahun ini, pertandingan rasmi di Malaysia akan diadakan pada hari Ahad ketika berlangsungnya AOS 2023, menampilkan juri-juri tempatan dan antarabangsa untuk memilih johan yang akan mewakili Malaysia di pentas dunia. Pendaftaran untuk Jelajah Hot Wheels Legends akan diadakan di AOS 2023.
Kerjasama dengan NoEqual.co akan menampilkan Pesta NEAT di Dewan C, selain acara Off The Grid, Hail Vintage, dan Show & Shine.
Turut kembali ke AOS 2023 tahun ini adalah SoundCircus Festival yang disokong oleh Harley-Davidson dan BRO ASIA.
1,000 pembeli tiket pertama akan menyertai cabutan bertuah online AOS2023, dan akan ada hadiah tambahan untuk dimenangi oleh Harley-Davidson.
Untuk menamatkan acara pada hari Ahad, seorang pemegang tiket bertuah akan pulang dengan hadiah cabutan bertuah dengan sebuah Toyota Celica 1979 yang di kustom sepenuhnya oleh Art of Speed Malaysia (AOSM).
Satu lagi kolaborasi menarik yang anda boleh nantikan adalah kasut Vans edisi khas Art of Speed 2023 dengan ciri unik ‘kepala kain’ padanya.
Art of Speed juga menawarkan motosikal Honda Dax e: kepada pembeli tiket dalam talian bertuah, terpakai untuk kedua-dua tiket AOS dan SCF. Tiket AOS dan SCF boleh dibeli melalui laman web rasmi www.artofspeedmy.com
Tiket kini boleh didapati di https://scf.artofspeedmy.com/ticket/ (Tiket Early Bird sudah habis dijual). Tiket SoundCircus Festival untuk akses di pentas luar boleh didapati pada harga RM120 setiap orang atau RM360 untuk kumpulan 4 orang (RM90 setiap orang).
KEMENTERIAN Pengangkutan bersetuju untuk melanjutkan had usia kenderaan yang digunakan di institut memandu kepada 10 tahun berbanding tujuh tahun sebelum ini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dasar baharu itu adalah bagi membantu kos pengoperasian institut pemandu yang terjejas sebelum ini akibat Covid-19.
“Kementerian mengambil sedikit pertimbangan untuk memberi kelonggaran tersebut. Kalau kita ‘rigid’ dan tidak tukar apa-apa peraturan itu maka kebanyakan kenderaan yang masuk ke tahun ketujuh sudah tidak boleh dipakai, sudah menambah beban pengusaha dan ia tidak adil,” katanya.
Dalam pada itu, Loke turut mengumumkan pengecualian pemeriksaan berkala Puspakom bagi kenderaan baharu di bawah institut memandu selama dua tahun.
Gambar oleh: MalayMail
“Untuk tahun seterusnya hingga tahun ke-10, pemeriksaan berkala yang diwajibkan adalah setahun sekali berbanding dua kali setahun,” katanya sambil menambah langkah itu diambil bagi meningkatkan produktiviti aset institut memandu tanpa berkompromi terhadap isu keselamatan.
“Saya mengambil satu pendekatan di mana dari segi dasar kita longgarkan tetapi meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak industri,” katanya.
Tegas beliau, sekiranya didapati kenderaan institut memandu tidak diselenggara dengan baik sehingga melibatkan kemalangan, maka pihak kementerian tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha institut memandu terbabit.
“Sebenarnya sudah banyak institut memandu telah dikenakan tindakan digantung operasi. Bukan disebabkan isu kemalangan tetapi tidak mengikut syarat-syarat dan sebagainya,” ujarnya.
KITA memasuki bulan Zulhijjah dalam kalendar Islam dan ini bermakna kita dalam musim haji. Semasa kita di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha, para jemaah akan pergi menunaikan haji di Mekah, Arab Saudi.
Tempoh haji adalah antara 14 hingga 40 hari, bergantung kepada beberapa perkara. Tetapi pernahkah kita terfikir bagaimana keadaan suasana haji pada masa lampau?
Video bermula dengan keadaan di pelabuhan, dimana para jemaah sedang menaiki kapal dan dilihat orang ramai (ahli keluarga dan rakan-rakan) meraikan serta melambai kepada keluarga mereka yang akan menunaikan haji. Ada yang tersenyum, ada juga yang dilihat menangis.
Ini kerana menurut maklumat dalam video, tempoh pelayaran akan mengambil masa 14 hingga 16 hari sehala, berbanding jika menaiki kapal terbang hari ini dengan tempoh lapan atau sembilan jam sahaja.
Jadi jika dikira dari tempoh belayar hingga pulang ke tanah air, ia boleh mengambil masa berbulan. Waktu ini juga mungkin menjadi kali terakhir kita melihat ahli keluarga kita yang menunaikan haji kerana ada kemungkinan mereka meninggal dunia semasa dalam pelayaran atau di Tanah Suci.
Setiap kapal boleh memuatkan antara 2,000 hingga 2,500 penumpang, berbanding pesawat yang mampu membawa kira-kira 300 penumpang. Tambang pula adalah kira-kira RM800 sahaja.
Jika dikira faktor inflasi, jumlah RM800 pada 1965 adalah bersamaan kira-kira RM7,400, masih lebih rendah berbanding harga pakej hari ini sekitar RM30,000.
Menurut video juga, ada juga jemaah yang membawa bekalan makanan mereka sendiri. Sekurang-kurangnya mereka boleh makan sendiri beberapa hari sebelum membeli makanan yang dijual di atas kapal.
Video diakhiri dengan saat kapal berlabuh, jemaah turun, dan suasana di Mekah pada masa itu. Agak menarik untuk kita kenang bagaimana datuk dan nenek kita menunaikah haji pada masa dulu jika dibandingkan dengan suasana hari ini.
BOON Siew Honda hari ini mengumumkan pilihan warna baharu untuk Honda BeAT, skuter bersaiz kecil yang dilancarkan di Malaysia pada 2015.
Untuk model 2023, BeAT akan ditawarkan dengan empat pilihan warna menarik iaitu merah, biru, hitam dan kuning. Setiap warna dipadankan dengan grafik bertemakan ‘abstrak moden’ yang direka untuk menarik minat pembeli dari kalangan golongan muda.
Model ini akan tersedia di semua pengedar sah Honda bermula 30 Jun 2023. Harga jualannya bermula dari RM5,990 dan ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.
Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal. BeAT masih dikuasakan oleh enjin 109.5 cc silinder tunggal dengan teknologi suntikan bahan api PGM-FI yang menghasilkan 8.7 hp pada 7,500 rpm dan 9.5 Nm pada 6,000 rpm.
Enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 4 ini dan mampu menawarkan penggunaan bahan api serendah 59.1 km per liter.
BeAT mempunyai rangka Smart Architecture Frame (eSAF) dan menggunakan suspensi jenis fork teleskopik dan penyerap hentak tunggal.
Sistem brek adalah jenis kombi (CBS) di mana tuil brek belakang disambung kepada kedua-dua brek depan dan belakang dan akan mengagihkan tekanan secara optimum untuk jarak brek selamat.
Selain itu, BeAT didatangkan dengan ruang simpanan 11.7 liter di bawah tempat duduk, lampu depan LED, kunci brek parkir dan Side Stand Switch yang akan mematikan enjin secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan.
PROTON mengumumkan kerjasama strategik dengan Affin Bank menerusi pelancaran kad kredit/-i afiliasi yang disasarkan kepada pemilik Proton.
Dikenali sebagai Kad Kredit/-i Afiliasi Affin Avance Proton, ia memberikan keistimewaan dan faedah eksklusif kepada pelanggan Proton apabila mereka menggunakannya untuk membuat pembayaran di cawangan terpilih.
Senarai keistimewaan yang dinikmati oleh pemegang kad termasuk:
Pengecualian yuran tahunan seumur hidup
3X Mata Ganjaran Affin untuk menjamu selera, pembelian dalam talian/e-dagang dan transaksi di outlet Proton
1X Mata Ganjaran Affin untuk transaksi runcit lain
Permohonan Overdraf/Tunai tanpa kerumitan
0% Pelan Ansuran Mudah sehingga 24 bulan – 0% Kadar Faedah/ Keuntungan untuk pembelian di cawangan Proton termasuk servis
“Kad Kredit/-i Afiliasi Affin Avance Proton dicipta khusus untuk pelanggan Proton. Dengan menawarkan pelbagai faedah dan keistimewaan, kami percaya kad ahli gabungan akan meningkatkan lagi pengalaman pemilikan sambil memberi ganjaran kepada mereka apabila mereka servis kereta mereka atau membeli produk kami,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Menurut Roslan lagi, mana-mana pembeli Proton yang membiayai pembelian mereka dengan Affin Bank secara automatik akan ditawarkan kad baharu ini.
“Affin Bank berbangga menjadi rakan kongsi dengan Proton, syarikat automotif Malaysia, pada tahun ia meraikan ulang tahunnya yang ke-40. Kami percaya kerjasama itu menunjukkan semangat inovasi yang wujud dalam kedua\ dua Affin Bank dan Proton sambil membantu memberi ganjaran dan mengembangkan asas pelanggan untuk kedua-dua jenama,” kata Datuk Wan Razly Abdullah, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank.
MUNGKIN ada di antara anda yang menyangka bahawa meletakkan telefon pintar di riba semasa memandu bukan satu kesalahan.
Perbuatan ini sebenarnya salah di sisi undang-undang dan pemandu yang disabitkan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1,000 dan penjara tiga bulan untuk kesalahan pertama.
Sementara itu, pesalah kali kedua boleh didenda sehingga RM2,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-dunya sekali. Menggunakan telefon semasa memandu adalah kesalahan yang tidak boleh dikompaun, bermakna pesalah perlu hadir ke mahkamah.
Bercakap kepada The Star, Ketua Polis Daerah Georgetown, Asisten Komisioner Sofian Santong berkata pemandu tidak boleh meletak telefon pintar di atas riba kerana mereka akan menunduk untuk melihat skrin dan ini boleh mengakibatkan kemalangan.
Sebaliknya, beliau menasihatkan pemandu yang perlu menggunakan sistem navigasi untuk menggunakan pemegang telefon.
Tambah beliau lagi, walaupun meletakkan telefon di pemegang dibenarkan untuk tujuan navigasi, pemandu dilarang menatal skrin telefon sewenang-wenangnya.
Bukan itu sahaja, pemandu juga tidak boleh memegang telefon ketika menunggu di lampu isyarat merah kerana ia boleh mengganggu trafik apabila mereka tidak sedar lampu isyarat telah bertukar menjadi hijau.
ENERGICA Motor Company telah mengumumkan kerjasama dengan Petronas Lubricants International yang menyaksikan syarikat minyak dan gas nasional itu menjadi rakan industri Energica dan penaja utama Energica bagi Racing America musim 2023.
Energica merupakan pembekal jentera kepada pasukan Tytlers Cycle Racing dalam Super Hooligan National Championship yang merupakan sebahagian daripada siri MotoAmerica.
Apa yang menarik, Energica adalah satu-satunya pengeluar motosikal elektrik yang bertanding dalam kejohanan itu di samping pengeluar ICE (enjin pembakaran dalaman) lain.
Untuk musim ini, pasukan Tytlers Cycle Racing akan mempertaruhkan jentera Eva Ribelle RS, motosikal jenis hypernaked bernadikan elektrik yang ditunggang oleh pelumba dari Colombia iaitu Stefano Mesa.
Stefano Mesa
Sebagai penaja utama, Petronas Lubricants International membawakan bendalir generasi seterusnya yang dirumus khas untuk kenderaan elektrik iaitu Petronas Iona. Ini termasuk bendalir transmisi, bendalir penyejukan dan gris.
“Kami mencipta sejarah sekali lagi. Perlumbaan sentiasa ada dalam DNA kami sejak mula, dan selepas mencipta sejarah dalam MotoE selama empat tahun, kami menerima cabaran baru bersama Tytlers Cycle Racing. Apa yang menjadikan ini lebih luar biasa ialah mempunyai Petronas Lubricants International bersama kami untuk meletakkan pencapaian baharu dalam sejarah sukan permotoran,” kata Giampiero Testoni, ketua pegawai teknikal Energica Motor Company.
Sementara itu, Hezlinn Idris, pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Petronas Lubricants International berkata, “Kerjasama ini membuka peluang kepada kami dalam pembangunan bendalir EV yang meliputi semua jenis kenderaan elektrik termasuk trak, kenderaan komersial ringan, kereta penumpang dan motosikal. Ini adalah bukti keupayaan kami dalam menyesuaikan penyelesaian untuk rangkaian penuh aplikasi bendalir dalam rangkaian kuasa elektrik.”
CHERY beberapa bulan ini telah mempersiapkan kehadiran mereka ke pasaran Malaysia. Pada Oktober lepas, mereka telah mmebuat preview dengan memberi kami para media peluang memandu model-model seperti Tiggo Pro, Tiggo 4 Pro, Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro.
Turut dipamerkan pada waktu itu adalah Chery Omoda 5 dan kini, SUV dengan rupa dramatik dan sporti ini sah akan dilancarkan pada bulan ini.
Turut menemani Omoda 5 dalam pelancaran pada 6 Julai depan adalah Chery Tiggo 8 Pro yang merupakan SUV segmen-D tujuh tempat duduk yang berada dalam segmen sama dengan Proton X90, Mazda CX-8 dan Kia Sorento.
Chery Omoda 5 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 4-silinder turbo yang mampu menjana 154hp dan 230Nm tork, maka sebab itu ada lencana 230T di belakangnya. Output disalurkan ke roda depan melalui kotak gear CVT 9-kelajuan.
Menariknya, enjin Chery Omoda 5 dikatakan ditawarkan dengan jaminan 10 tahun atau 1,000,000km (yang mana dahulu).
Omoda 5 turut hadir dengan ciri seperti mod pemanduan (Eco dan Sport), skrin 20-inci untuk instrumen dan infotainmen, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem audio Sony, pengecas tanpa wayar, tempat duduk sports, dan sistem ADAS.
Bagaimana dengan khidmat selepas jualan? Pihak Chery berkongsi dengan kami bahawa menjelang pelancaran nanti, mereka akan membuka 20 cawangan pusat servis seluruh negara, dan jumlah itu akan ditambah dari masa ke masa.
Selain itu, perkara yang mungkin membelenggu anda pastinya bab penjimatan bahan api. Chery berkata Omoda 5 dan Tiggo 8 telah menerima penarafan EEV. Maklumat terperinci pada pelancaran nanti. Sementara itu, jemput cuci mata dengan galeri di bawah.