fbpx

Begini rupanya pergi haji 1965, tambang RM800 sahaja

haji 1965 thumb

KITA memasuki bulan Zulhijjah dalam kalendar Islam dan ini bermakna kita dalam musim haji. Semasa kita di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha, para jemaah akan pergi menunaikan haji di Mekah, Arab Saudi.

Tempoh haji adalah antara 14 hingga 40 hari, bergantung kepada beberapa perkara. Tetapi pernahkah kita terfikir bagaimana keadaan suasana haji pada masa lampau?

Baru-baru ini, satu video oleh FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia) telah disiarkan dan dikongsi di media sosial berkenaan suasana haji pada 1965.

Video bermula dengan keadaan di pelabuhan, dimana para jemaah sedang menaiki kapal dan dilihat orang ramai (ahli keluarga dan rakan-rakan) meraikan serta melambai kepada keluarga mereka yang akan menunaikan haji. Ada yang tersenyum, ada juga yang dilihat menangis.

Ini kerana menurut maklumat dalam video, tempoh pelayaran akan mengambil masa 14 hingga 16 hari sehala, berbanding jika menaiki kapal terbang hari ini dengan tempoh lapan atau sembilan jam sahaja.

Jadi jika dikira dari tempoh belayar hingga pulang ke tanah air, ia boleh mengambil masa berbulan. Waktu ini juga mungkin menjadi kali terakhir kita melihat ahli keluarga kita yang menunaikan haji kerana ada kemungkinan mereka meninggal dunia semasa dalam pelayaran atau di Tanah Suci.

Setiap kapal boleh memuatkan antara 2,000 hingga 2,500 penumpang, berbanding pesawat yang mampu membawa kira-kira 300 penumpang. Tambang pula adalah kira-kira RM800 sahaja.

Jika dikira faktor inflasi, jumlah RM800 pada 1965 adalah bersamaan kira-kira RM7,400, masih lebih rendah berbanding harga pakej hari ini sekitar RM30,000.

Menurut video juga, ada juga jemaah yang membawa bekalan makanan mereka sendiri. Sekurang-kurangnya mereka boleh makan sendiri beberapa hari sebelum membeli makanan yang dijual di atas kapal.

Video diakhiri dengan saat kapal berlabuh, jemaah turun, dan suasana di Mekah pada masa itu. Agak menarik untuk kita kenang bagaimana datuk dan nenek kita menunaikah haji pada masa dulu jika dibandingkan dengan suasana hari ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved