fbpx

Ducati dan inovasi elektronik

Ducati Multistrada V4 Rally

MOTOSIKAL Ducati terhasil daripada gabungan kecantikan dan teknologi. Tidak kira sama ada Multistrada V4, Scrambler atau Panigale V4, setiap model direka untuk memberikan pengalaman menunggang yang tidak boleh dilupakan.

Dalam perkara ini, elektronik memainkan peranan yang sangat penting dan sebab itulah Ducati telah banyak melabur dalam pembangunan teknologi canggih terutamanya sejak 15 tahun yang lalu.

Pada 2008, Ducati muncul sebagai pengeluar motosikal pertama yang memperkenalkan ciri Traction Control. Setahun kemudian, syarikat itu memperkenalkan pula lampu depan LED menerusi model Streetfighter 1100.

Tahun 2010 menyaksikan kemunculan motosikal pertama yang dilengkapi dengan mod tunggangan iaitu Multistrada 1200 S.

Kelengkapan elektronik lain yang diperkenalkan oleh Ducati termasuk panel instrument TFT pada Diavel pada 2011. Pada 2012 pula, 1199 Panigale dilancarkan sebagai motosikal pertama yang dilengkapi dengan kluster lampu LED sepenuhnya dan pengurusan brek enjin elektronik.

Apa yang menarik, 1199 Panigale juga pernah merangkul anugerah reka bentuk Compasso d’Oro pada tahun 2014.

Teknologi keselamatan juga menjadi keutamaan bagi Ducati. Oleh itu, pada tahun 2014, Ducati dan Dainese melancarkan Multistrada 1200 Touring D|Air, iaitu motosikal pertama dengan sistem terintegrasi yang boleh berkomunkasi dengan beg udara di dalam jaket.

Tahun 2018 menyaksikan kemunculan sistem Slide By Brake pada Panigale V4, manakala pada 2020, Ducati memperkenalkan radar untuk Adaptive Cruise Control dan Blind Spot Detection pada Multistrada V4 Rally.

Untuk tahun ini, Multistrada V4 Rally mendapat satu lagi teknologi baharu iaitu extended deactivation, yang berfungsi untuk menyahaktifkan dua silinder belakang bagi mengurangkan penggunaan bahan api dan haba.

Dari segi pembangunan dan penyelidikan (R&D), Ducati sentiasa berusaha untuk menambahbaik model-model sedia dari tahun ke tahun.

Sebagai contoh, pemilik Multistrada V4 sedia ada menerima sistem Minimum Pre Load dan Easy Lift secara percuma selepas ciri-ciri itu diperkenalkan pada model-model baharu.

Dalam aspek keselamatan pula, setiap motosikal Ducati didatangkan standard dengan ABS Cornering dan Traction Control.

Pendekatan yang diambil oleh Ducati ialah dengan membangunkan teknologi-teknologi secara dalaman menerusi kerjasama dengan syarikat-syarikat terkemuka seperti Pirelli, Brembo dan Bosch.

Tambah Ducati lagi, pendekatan ini juga membolehkan mereka mengambil kawalan penuh ke atas teknologi-teknologi yang dipasang pada motosikal Ducati. Dengan cara ini, teknologi tersebut boleh disesuaikan mengikut keperluan tanpa sebarang sekatan.

Inovasi dalam elektronik bergerak seiring dengan pertumbuhan jabatan Sistem Elektrikal & Elektronik. Menerusi penyelidikan mereka, Ducati mampu mengkaji, membangunkan dan memperkenalkan sistem-sistem baharu dan berinovatif ke model produksi.

Turut menyumbang adalah pengalaman Ducati dalam kancah sukan permotoran. Usaha-usaha pembangunan solusi teknikal dan teknologi yang berterusan telah memberikan banyak ciri-ciri seperti Ride-by-Wire, Traction Control, Quickshift, Riding Mode, Cornering ABS dan instrument TFT kepada barisan model Ducati.

Ducati mempunyai pelbagai kemudahan untuk menjalankan ujian semasa fasa pembangunan tanpa perlu bergantung kepada pembekal luaran.

Antara kemudahan yang dimaksudkan adalah jabatan Ujian Elektrikal dan Elektronik yang bertanggungjawab untuk menguji kualiti komponen elektrikal dan elektronik dalam satu tempoh masa tertentu.

Kaedah ini membolehkan syarikat itu menyelesaikan masalah yang mungkin timbul semasa fasa pembangunan dan memantau kualiti model yang sedia ada.

Antara ujian yang dijalankan oleh jabatan berkenaan termasuk ujian suhu ekstrem, ujian operasi menggunakan robot, serta software debugging.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved