fbpx

Proton, Aapico jalin kerjasama keluarkan komponen, alat ganti

Document Exchange Ceremony between AAPICO & PROTON

PROTON baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan Aapico Hitech Public Company Limited (Aapico) menerusi anak syarikatnya, Advance Vehicle Engineering Global Sdn Bhd (AVEE Global) untuk pengeluaran komponen dan alat ganti.

Menerusi kerjasama ini, Aapico akan mengambil alih 60 peratus pegangan dalam AVEE Global daripada Proton, manakala baki 40 peratus pegangan yang dimiliki Proton dalam syarikat itu akan dinamakan semula sebagai Aapico Avee Sdn Bhd.

Perkongsian ini akan menyaksikan Aapico, salah sebuah syarikat alat ganti kenderaan terbesar di Thailand, melaksanakan pelaburan awal sebanyak RM40 juta ke atas kemudahan seluas 20 ekar AVEE Global.

Ini akan disusuli dengan pelaburan sebanyak RM100 juta untuk perluasan kilang dan pemerolehan jentera baharu pada 2024.

Aapico akan menguruskan operasi dan memperkenalkan penggunaan teknologi baharu untuk mengeluarkan alat ganti yang lebih berkualiti, menambah baik pengeluaran dan menjimatkan kos.

Syarikat itu juga merancang untuk melaksanakan pembangunan modal insan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk menarik pekerja berkemahiran tinggi ke negara ini.

Bagi Proton, kerjasama ini mengukuhkan lagi cita-citanya untuk menjadi pemain utama dalam pasaran automotif ASEAN.

Dengan skala ekonomi dan pelaburan Aapico, serta teknologi sedia ada Proton seperti hot press forming, syarikat berkenaan berharap untuk berada di barisan hadapan dalam rantau automotif yang paling pesat berkembang di dunia.

Kerjasama strategik Aapico-Proton merupakan usaha sama kedua Aapico dalam sektor alat ganti kenderaan di Malaysia. Awal tahun ini, syarikat dari Thailand itu menandatangani perjanjian usaha sama dengan Purem, salah satu pembekal sistem ekzos terbesar di dunia.

Sebelum ini, kehadiran Aapico di Malaysia adalah menerusi perniagaan pengedaran keretanya, yang mana ia memiliki dan menjalankan operasi enam syarikat pengedar kereta termasuk empat pengedar Proton.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved