fbpx

Kia Niro EV generasi kedua dilancarkan di Malaysia – CBU Korea, harga RM255,888

Kia Niro EV 01

DINAMIKJAYA Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, secara rasminya melancarkan satu lagi model kenderaan elektrik ke pasaran tempatan iaitu Kia Niro EV.

Diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan, Niro EV dibuka untuk tempahan pada harga jualan bermula dari RM255,888. Ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km, serta jaminan untuk pek bateri voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000 km.

Kini dalam generasi kedua, Niro EV tampil lebih menonjol dan berani dengan rekaan signatur ‘Tiger Face’, lampu nyalaan siang bermotifkan degupan jantung dan juga skid plate. Di dalam gril pula terdapat Active Air Flap yang menyumbang kepada pekali seretan (Cd) serendah 0.29.

Rekaan ruang dalamannya tidak jauh berbeza dengan Kia EV6, dengan papan pemuka melengkung, dua skrin definisi tinggi berukuran 10.25 inci, panel kawalan sistem pendingin hawa di bawah skrin tengah dan tombol penukar gear pada konsol tengah.

Turut disertakan adalah Apple CarPlay, Android Auto, pengecas wayarles dan port pengecas USB-C. Kerusi dibalut upholsteri leatherette berwarna hitam, manakala pelapik bumbung diperbuat daripada kertas dinding yang dikitar semula.

Selain itu, Kia turut menggunakan cat bebas bahan BTX pada panel pintu dalam usahanya untuk meminimumkan impak kepada alam sekitar serta mengurangkan sisa.

Niro EV dibina menggunakan platform K generasi ketiga yang memberikannya dimensi yang lebih besar berbanding model sebelum ini, dengan ukuran panjang 4,420 mm, lebar 1,825 mm, tinggi 1,570 mm dan tapak roda 2,720 mm.

Ia mempunyai ruang but berkapasiti 475 liter atau 1,392 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan. Pada bahagian depan pula terdapat ruang simpanan 20 liter untuk menyimpan kabel pengecas dan adapter Vehicle-to-Load (V2L).

Untuk pasaran Malaysia, Niro EV didatangkan dengan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 150 kW (201 hp) dan 255 Nm. Ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 167 km/j.

Dengan pek bateri litium-ion 64.8 kWj, crossover elektrik ini dikatakan mampu bergerak sejauh 460 km dengan satu cas penuh. Pengecasan dari 10 hingga 80 peratus mengambil masa kira-kira 43 minit menggunakan pengecas pantas DC.

Selain ciri V2L, Niro EV juga didatangkan dengan Smart Regeneration Braking System yang membolehkan pemandu memilih tahap janaan semula untuk memberhentikan kereta dengan cepat dan memulihkan tenaga kinetik untuk memaksimumkan jarak gerak.

Model ini juga dilengkapi dengan sistem ADAS seperti High Beam Assist (HBA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Rear Cross-Traffic Collision Assist (RCCA), Lane Keeping Assist (LKA), Driver Attention Warning (DAW), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Lane Following Assist (LFA) dan Smart Cruise Control (SCC).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved