Arkib Tag: EV

iCaur 03 2026 kini unit pemasangan tempatan (CKD), harga RM129,880

iCaur Malaysia mengumumkan SUV elektrik iCaur 03 versi CKD bakal tiba di pengedar menjelang akhir bulan Mei ini.

Program pemasangan model CKD tersebut telah bermula pada suku kedua 2026 di kilang Chery Corporate Malaysia di Shah Alam.

Spesifikasi kekal tidak berubah

iCaur 03 CKD akan ditawarkan dalam varian tunggal iWD tanpa sebarang perubahan spesifikasi.

Ia dipacu tetapan dwi-motor menghasilkan 279 PS dan 385 Nm, sementara pek bateri 69.8 kWh pula menawarkan jarak pandu sejauh 418 km (data NEDC).

SUV ini menyokong pengecasan AC 6.6 kW, pengecasan pantas DC 80 kW, serta fungsi Vehicle-to-load (V2L) 3.2 kW.

Harga jualan bermula dari RM129,880 atas jalan tanpa insurans.

iCaur Malaysia turut menawarkan pakej merangkumi pengecas rumah AC 7 kW serta pakej servis berjadual percuma selama 2-tahun atau had perbatuan 45,000 km yang mana tiba dahulu.

Prestasi jualan April 2026

Sepanjang April 2026, iCaur merekodkan 547 unit berdaftar merentasi modelnya.

Pencapaian ini menandakan minat pasaran yang semakin meningkat terhadap kenderaan tenaga baharu (NEV) keluarannya yang menggabungkan rekaan retro, teknologi pintar dan praktikal.

Menurut Francis Chin selaku Pengarah Kanan iCaur Malaysia menjelaskan peralihan kepada pemasangan tempatan merupakan satu langkah penting.

“Ia menggabungkan kebanggaan tempatan dengan teknologi global, sambil membolehkan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat tanpa mengubah apa yang pelanggan sedia gemari pada iCaur 03,” ujarnya lagi.

iCaur Malaysia kekal fokus terhadap strategi jangka panjang untuk memperkenalkan lebih banyak model NEV pada masa akan datang.

Spesifikasi penuh iCaur 03 boleh baca di SINI.

iCaur 03 CBU

BYD Malaysia rasmi buka BYD Mansion Macalister di Pulau Pinang

BYD Malaysia secara rasmi melancarkan pembukaan BYD Mansion Macalister di tengah-tengah bandar George Town, Pulau Pinang.

Majlis pelancaran tersebut dihadiri oleh YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang dan YB H’ng Mooi Lye, ahli Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Pulau Pinang.

Turut diraikan pemilik BYD yang ke-5,000 di wilayah utara menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap EV di luar Lembah Klang.

Kemudahan di BYD Mansion Macalister

BYD Mansion mempunyai keluasan binaan sekitar 9,000 kaki persegi yang dibina atas tanah seluas 26,994 kaki persegi.

Ia mempunyai kemudahan ruang pameran yang boleh menempatkan empat model BYD, ruang konsultansi serta bilik serahan peribadi.

Sementara pusat servis pula mempunyai lima ruang kerja, satu ruang penjajaran dan tiga ruang penerimaan servis.

Terdapat juga hab pengecasan pantas DC 60 kW dan tujuh pengecas AC bagi menyokong ekosistem EV yang semakin berkembang.

Perkukuh kedudukan di Malaysia

BYD Malaysia dan Sime Motors terus memperkukuh pengalaman pemilikan EV menerusi rangkaian 40 bilik pameran dan lebih 30 pusat perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara.

Selain infrastruktur fizikal, BYD Malaysia dan Sime Motors terus membuat pelaburan besar dalam modal insan.

Program latihan untuk juruteknik, penasihat jualan, dan profesional lepas jualan terus diperkembangkan secara aktif untuk memastikan rakyat Malaysia memanfaatkan kepakaran EV bertauliah global di dalam negara.

Disokong oleh kadar ketersediaan alat ganti selepas jualan sebanyak 95%, pelanggan dapat menikmati sokongan yang lebih pantas serta pengalaman pemilikan yang lebih lancar.

Liu Xueliang, Naib Presiden BYD Co. Ltd dan Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasific berkata, komitmen BYD terhadap Malaysia mencerminkan wawasan global BYD untuk menjadikan pengangkutan lestari mudah dicapai oleh semua.

“Kami terus menyalurkan inovasi teknologi dan keupayaan penyelidikan kami ke dalam pasaran ini kerana kami yakin terhadap masa depan elektrik Malaysia.

“BYD Mansion Macalister mencerminkan komitmen ini yang menggabungkan inovasi bertaraf dunia dengan penghormatan kepada warisan tempatan.”

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors berkata pihaknya membina rangkaian tempatan bagi memastikan sokongan terhadap pemilik BYD yang memuaskan dan meyakinkan.

“Disokong lebih 30 pusat lepas jualan, pasukan juruteknik bertauliah dan penasihat servis dari Malaysia, di samping bilik pameran bersepadu seperti BYD Mansion Macalister, kami mengutamakan pelanggan dalam teras ekosistem ini.”

 

Volvo Car Malaysia tawar 100 unit SUV pra-milik Volvo Selekt – harga serendah RM153k

Susulan sambutan luar biasa, Volvo Car Malaysia sekali menawarkan peluang kepada pelanggan untuk mendapatkan barisan SUV terpakai menerusi Volvo Selekt Certified Used Car.

Untuk tempoh masa terhad, sebanyak 100 unit kenderaan pra-milik kini tersedia di semua bilik pameran Volvo di seluruh negara.

Tidak seperti penawaran kereta terpakai biasa, 100 unit eksklusif ini datang terus daripada armada korporat eksekutif VCM serta unit demo pengedar.

Kelebihan kenderaan Volvo Selekt

Setiap unit dipastikan menjalani pemeriksaan ketat 125 poin oleh juruteknik terlatih Volvo, kemas kini perisian terkimi dan dipasang alat ganti tulen Volvo.

Kenderaan yang ditawarkan dalam program ini hadir dalam jarak perbatuan serendah 7,000 km dan tidak melebihi 16,000 km.

Selain itu, setiap unit masih lagi dilindungi baki jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan 24 jam dan sambungan perkhidmatan digital.

Antara model yang tersedia:

  • Volvo EX30 – serendah RM153,000
  • Volvo EC40 – serendah RM183,000
  • Volvo XC60 – serendah RM249,000
  • Volvo XC90 – serendah RM283,000
  • Volvo EX90 – serendah RM339,000

Pelanggan juga boleh membandingkan kos penggunaan kenderaan semasa dengan model elektrik atau hibrid Volvo menerusi laman web volvocarmalaysia.com/calculator.

Hongqi bakal masuk Malaysia menerusi Quill Group – CKD, pelancaran menjelang pertengahan 2026

Quill Group telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan FAW Group, menyaksikan kumpulan itu dilantik sebagai pengimport rasmi dan pengedar kenderaan pemasangan tempatan (CKD) bagi jenama automotif mewah China, Hongqi.

Kerjasama strategik ini membuka laluan kepada Hongqi untuk menembusi pasaran kenderaan ultra-mewah dan kenderaan elektrik (EV) premium di Malaysia.

Bakal lancar menjelang pertengahan tahun ini

Hongqi, yang bermaksud “Bendera Merah,” terkenal sebagai kenderaan rasmi pemimpin negara China dan melambangkan kebanggaan industri automotif negara itu. Jenama ini dijangka dilancarkan secara rasmi di Malaysia menjelang pertengahan tahun 2026.

Melalui MoU ini, Quill Group akan bertindak sebagai rakan strategik dan pengedar utama, di samping menerajui aspek pengimportan, operasi CKD, serta pelantikan pengedar sah di seluruh negara.

Quill Group manfaat kepakaran untuk pemasaran dan sokongan perkhidmatan

Pengarah Urusan Quill Group, Dato’ Dr. Jennifer Low berkata pelantikan ini mencerminkan keyakinan Hongqi terhadap kepakaran korporat Quill Group serta potensi pasaran Malaysia.

“Dengan memanfaatkan kepakaran korporat luas Quill Group serta komitmen terhadap kecemerlangan, kami akan memperkukuh keyakinan pengguna melalui program pemasaran yang komprehensif, sokongan perkhidmatan selepas jualan yang menyeluruh tanpa kompromi, serta ketersediaan alat ganti yang lancar,” katanya.

Model apa yang bakal dilancar?

FAW Group kini mengeksport kenderaan Hongqi ke lebih 87 negara dan wilayah di seluruh dunia. Pelaksanaan operasi CKD di Malaysia turut mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan industri automotif tempatan serta kedudukan strategik negara dalam rantau ASEAN.

Maklumat lanjut mengenai tarikh pelancaran rasmi, barisan model awal dan rangkaian pengedar akan diumumkan dalam masa terdekat.

Perodua, UTM jalin kerjasama laksana Program Kejuruteraan xEV

Perodua baru-baru ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi pelaksanaan Program Kejuruteraan xEV Perodua-UTM.

Kolaborasi strategik selama lima tahun ini memfokuskan kepada pemerkasaan modal insan dan penyelidikan teknologi kenderaan elektrik (xEV).

Program khas di bawah seliaan Perodua

Seramai 10 hingga 15 pelajar cemerlang daripada program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian akan dipilih setiap tahun untuk program khas ini.

Program selama satu tahun setengah ini akan bermula pada semester kedua tahun ketiga pengajian.

Antara manfaat yang bakal diterima oleh pelajar yang menyertai program ini ialah:

  • Peluang untuk menjalani latihan industri di Perodua selama 10 minggu
  • Peluang memperoleh pensijilan antarabangsa Tahap 3 daripada Institute of the Motor Industry (IMI)
  • Projek Sarjana Muda (FYP) akan diselia secara bersama oleh jurutera pakar Perodua

Perodua sumbang 2 QV-E untuk tujuan pembelajaran

Sebagai sokongan kepada program tersebut, Perodua akan menyumbangkan peralatan teknikal untuk digunakan di Makmal Kejuruteraan xEV Perodua-UTM.

Tidak cukup dengan itu, dua unit EV Perodua QV-E akan turut disumbangkan untuk tujuan pembelajaran praktikal.

Pelaburan jangka panjang

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Abdul Rahim menyifatkan kolaborasi ini sebagai anjakan paradigma dalam merapatkan jurang antara akademik dan keperluan industri.

“Melalui penubuhan Makmal Kejuruteraan xEV Perodua-UTM yang dilengkapi peralatan canggih, graduan kami akan memiliki kelebihan daya saing yang tinggi.

“Integrasi kursus elektif kejuruteraan kenderaan elektrik bateri (BEV) dalam kurikulum dan akses kepada teknologi simulasi terkini seperti sistem Hardware in the Loop (HIL) pula akan menjadikan graduan UTM sentiasa relevan dan ‘future-ready‘,” jelas beliau.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, inisiatif itu adalah langkah proaktif syarikat dalam membina ekosistem xEV yang mampan serta kompetitif di peringkat global.

“Kerjasama ini bukan sekadar pemindahan teknologi, malah ia adalah pelaburan jangka panjang untuk melahirkan jurutera ‘masa hadapan’ yang mahir dalam kejuruteraan EV.

“Dengan bimbingan terus daripada jurutera kami, pelajar akan didedahkan kepada realiti sebenar industri automotif moden,” katanya.

Mercedes-Benz C-Class EV 2027 tawar jarak pandu 762 km tanpa imej ‘telur’ EQS & EQE

Ucapkan selamat datang kepada Mercedes-Benz C-Class Electric, jawapan dan pesaing terus kepada sedan elektrik BMW i3.

Nama EQ tidak lagi digunakan untuk merujuk kepada penawaran model EV, malah imej ‘telur’ yang wujud pada sedan EQS dan EQE juga lesap habis.

Luaran

Sekali imbas, anda boleh bayangkan sebuah GLC Electric yang tampil dalam bentuk badan sedan.

C-Class EV ini membawakan rekaan jeriji retro moden yang diinspirasikan daripada model klasik (W111 & W108) serta konsep Vision Iconic.

Untuk lebih menonjol, Mercedes memadankan 1,050 lampu piksel pada struktur tersebut.

Motif bintang juga turut dikekalkan pada bahagian depan dan belakang, diikuti 162 bintang bercahaya pada bumbung kaca panoramik.

Secara keseluruhan, C-Class EV mempunyai angka pekali seretan 0.22 Cd.

Ruang kabin

Untuk sedan elektrik ini disediakan dengan dua pilihan skrin lebar:

  • Hyperscreen bersaiz 39.1 inci
  • Superscreen yang terdiri daripada skrin kluster 10.3 inci dan dua skrin 14 inci

Varian asas pula hadir dengan skrin kluster digital pemandu dan skrin infohibur tengah, manakala skrin penumpang digantikan dengan panel animasi digital (atau rangka gambar digital).

Antara ciri lain termasuklah kaca tingkap berlamina, sistem pendingin hawa yang lebih senyap dan penebat tambahan untuk ruang kabin yang lebih selesa.

Dengan platform EV baharu, C-Class EV mampu menawarkan jarak roda 97 mm lebih panjang, menjadikannya C-Class yang paling luas.

Ruang kargo belakang adalah sebesar 470 liter, diikuti dengan ruang frunk sebesar 101 liter.

Jarak pandu cecah 762 km

Untuk permulaan, C-Class EV ditawarkan dalam varian C400 4Matic yang dipacu motor elektrik berkembar 482 hp/800 Nm.

Ia dipadankan dengan pek bateri 94.5 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 762 km (data WLTP).

Sedan elektrik ini turut menyokong pengecasan pantas DC 330 kW, membolehkan jarak 325 km dicapai dalam tempoh 10 minit sahaja.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 209 km/j.

Terdapat juga perancangan untuk memperkenalkan varian RWD dengan jarak pandu sekitar 800 km.

Aspek pemanduan

C-Class Electric ini dilengkapi dengan sistem stereng gandar belakang (sehingga 4.5 darjah) bertujuan untuk mengurangkan radius putaran kepada 11.2 meter.

Ia juga turut berguna untuk kestabilan kenderaan sewaktu pemanduan berkelajuan tinggi.

Selain itu, Mercedes bakal menawarkan opsyen suspensi udara adaptif dengan ramalan redaman menggunakan data Google Maps dan maklumat masa nyata untuk mengesan permukaan jalan.

Mugen beri sentuhan ‘racing’ pada Honda Super-One

Kereta elektrik kompak Honda Super-One kini menerima sentuhan magis daripada Mugen, dan hasilnya memang nampak seperti jentera litar yang mampu menggugat iman peminat kei-car.

Gaya retro dengan sentuhan motorsport

Super-One sendiri sudah membawa elemen retro yang diinspirasikan daripada City Turbo II, tetapi Mugen menaikkan lagi tahap agresifnya. Bahagian hadapan kini dilengkapi spoiler bawah berwarna hitam serta bonet dengan liang udara.

Perubahan paling ketara terletak pada sisi, dengan tambahan fender lebar lengkap dengan liang udara yang membedrikan imej jentera litar. Ia turut dipadankan dengan skirt sisi lebih besar, cermin sisi gentian karbon, serta rim forged aluminium 16 inci. Di belakang pula, terdapat spoiler bumbung besar dan bampar lebih sporty.

Kabin lebih sporty dan fokus pemandu

Masuk ke dalam, tempat duduk standard digantikan dengan kerusi semi-bucket daripada Recaro, lengkap dengan logo Mugen pada perehat kepala.

Di samping itu, pelbagai aksesori tambahan turut ditawarkan seperti karpet lantai, pelapik ruang kargo, scuff plate, serta kemasan pelindung pintu dengan logo Mugen. Logo tersebut juga boleh dilihat pada bahagian stereng.

Pengendalian lebih tajam namun kuasa tidak berubah

Dengan suspensi lebih rendah dan trek lebih lebar, Super-One sememangnya mempunyai talaan casis yang lebih agresif berbanding model asasnya iaitu N-One. Walau bagaimanapun, untuk pengendalian lebih mantap, Mugen menawarkan peredam prestasi yang dibangunkan dengan kerjasama Yamaha.

Namun begitu, trenkuasa elektriknya tidak disentuh. Ia kekal dengan motor tunggal yang menghasilkan 94 hp dalam mod Boost. Untuk menambah sedikit ‘emosi’, Honda menyertakan sistem bunyi tiruan yang mensimulasikan pertukaran gear dan bunyi enjin melalui pembesar suara.

Masih dalam pembangunan

Setakat ini, Mugen belum mengumumkan harga bagi pakej naik taraf ini kerana ia masih dalam peringkat pembangunan. Pelancarannya di Jepun dijadualkan sekitar Mei 2026, sebelum diperluaskan ke pasaran lain termasuk Eropah dan Australia.

Honda Access lancar pakej aksesori “Bulldog Style” untuk Super-ONE, imbau kenangan City Turbo II

Bakal pembeli Honda Super-ONE EV kini boleh dapatkan pakej aksesori tulen “Bulldog Style” daripada Honda Access.

Ia direka untuk menonjolkan karakter yang lebih sporti, serta personaliti unik untuk EV kompak ini.

Senarai aksesori menarik untuk Super-ONE

Sekali imbas, ia dilihat sebagai satu penghormatan kepada model klasik Honda City Turbo II 1983 yang turut digelar “Bulldog” oleh golongan peminatnya.

Lebih-lebih lagi jika dilihat pada set decal sisi Bulldog yang menggunakan semula gaya tulisan City Turbo II.

Model asal memaparkan tulisan “Turbo II With Intercooler”, namun pada Honda Super-ONE ia membawakan mesej era baharu: “Bulldog With Electric Power”.

Terdapat juga spoiler tailgate berlekuk untuk imej yang lebih agresif, diikuti lampu kabus dwi-warna (putih atau kuning), serta rim ME-027 saiz 15 inci.

Akhir sekali, Super-ONE ini dikemaskan dengan pakej logo H hitam, serta emblem nama model dalam kemasan gelap.

Pelancaran rasmi tahun ini

Honda dijangka akan melancarkan model ini di pasaran Jepun menjelang pertengahan tahun ini.

Dengan berat sekitar 1,090 kg, Super-ONE EV merupakan antara kereta elektrik yang ringan di dalam kelasnya.

Ia juga mempunyai titik graviti yang lebih rendah berbanding kereta petrol setara, dan mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 274 km (data WLTC).

EV ini juga menawarkan mod pemanduan khas “Boost” yang mampu melonjakkan kuasa daripada 63 hp kepada 94 hp untuk pecutan yang lebih bertenaga.

Selain itu, ia mampu mensimulasikan penukaran gear tujuh-kelajuan dan sistem kawalan bunyi aktif yang meniru bunyi enjin pembakaran dalaman.

Mengikut laporan rakan media Paultan, model ini juga dijangka masuk pasaran Malaysia kelak.

Pusat 3S Leapmotor Glenmarie Cycle & Carriage dibuka secara rasmi

Cycle & Carriage mengumumkan pembukaan rasmi pusat 3S penuh pertama Leapmotor di Lembah Klang yang terletak di Glenmarie.

Ia merupakan outlet Leapmotor Cycle & Carriage yang kedua di Lembah Klang dan yang keempat di seluruh negara.

Kemudahan tersedia

Pusat 3S Leapmotor Glenmarie ini menampilkan identiti korporat yang terkini yang menawarkan persekitaran yang moden dan premium.

Dengan keluasan 22,497 kaki persegi dan keluasan binaan 14,120 kaki persegi, ia menawarkan kemudahan seperti:

  • ruang pameran yang boleh memuatkan tujuh kenderaan
  • ruang istirehat pelanggan
  • ruang mezanin
  • bilik perbincangan peribadi
  • bilik serahan khas
  • ruang pejabat khusus

Bahagian bengkel pula menempatkan lima ruang servis dan pembaikan, ruang cuci kereta dan ruang perincian kereta yang disokong oleh gudang alat ganti yang besar.

Terdapat sehingga 18 ruang parkir, dua pengecas AC dan satu pengecas DC yang disediakan.

Waktu operasi adalah seperti berikut:

  • Isnin-Sabtu (8 pagi-6 petang)
  • Ahad & Cuti Umum (11 pagi-5 petang)

Pusat servis pula dibuka dari jam 8 pagi-5 petang setiap Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi-12 tengah hari setiap Sabtu. Ia ditutup setiap Ahad & cuti umum.

Pusat 1S dan 3S baharu

Cycle & Carriage turut merancang memperluas rangkaian Leapmotor dengan pusat 3S dan 1S baharu pada masa akan datang.

Ia termasuklah pusat 3S di Johor Bahru serta pusat 1S tambahan di Petaling Jaya dan tanah besar Pulau Pinang.

Mforce umum program rebat RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik

Mforce Bike Holdings mengumumkan inisiatif Mforce.Cas bagi menggalakkan penggunaan motosikal elektrik di kalangan rakyat Malaysia.

Program tersebut menawarkan rebat sehingga RM2,400 sebagai alternatif untuk menghadapi ketidaktentuan harga bahan api yang dihadapi pada ketika ini.

Tempoh terhad

Program Mforce.Cas ini akan berlangsung bermula 1 April 2026 hingga 30 Jun 2026.

Menerusi program ini, pengguna boleh menikmati rebat bagi pembelian motosikal elektrik daripada jenama-jenama seperti EZI, Zeeho, Yadea dan QJMotor.

Kesemua motor elektrik yang ditawarkan di bawah program ini mempunyai sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.

Permohonan dalam talian

Rakyat Malaysia yang berminat boleh memohon menerusi portal rasmi dalam talian https://mforcecas.my.

Pendaftaran adalah percuma sepenuhnya dan proses kelulusan akan dibuat dalam tempoh 24 jam sahaja.

Denza Z bakal muncul di Goodwood FOS, sedia cabar Porsche 911

Jenama premium BYD, iaitu Denza bakal memeriahkan acara Goodwood Festival of Speed pada tahun ini dengan sebuah model flagship baharu.

Model tersebut sebelum ini diperlihatkan dengan nama Z Concept pada Shanghai Auto Show tahun lepas.

Versi produksi warna jingga terang

Denza turut mendedahkan imej awal versi produksi warna jingga terang yang berselindung di sebalik Stella Li (Naib Presiden Eksekutif BYD) dan Daniel Craig (pelakon watak James Bond).

Berdasarkan gambar tersebut, ia masih lagi mengekalkan reka bentuk seperti model konsep asal.

Antara ciri yang boleh dilihat termasuklah:

  • lampu utama bentuk berlian yang tajam
  • bampar hadapan agresif
  • rim dua tona

Apa yang tidak disertakan pada model versi produksi itu ialah splitter hadapan dan spoiler belakang yang besar.

Spesifikasi asas masih rahsia

Denza masih belum mengesahkan spesifikasi penuh unit rangkaian kuasa yang bakal menggerakkan model Z ini.

Namun, besar kemungkinan ia akan menggunakan sistem yang sama seperti model Z9 GT, terdiri daripada tiga motor elektrik, kuasa melebihi 952 hp dan bateri Blade 100 kWh.

Angka tersebut ternyata mudah untuk membuatkan Porsche 911 mengeluarkan peluh sejuk.

Ia juga dijangka menampilkan teknologi canggih seperti:

  • suspensi magnetorheological
  • sistem stereng steer-by-wire
  • keupayaan crab-walk

Bekas ejen rahsia bantu promosi Denza Z

BYD turut menjalinkan kerjasama dengan pelakon terkenal Daniel Craig untuk kempen global Denza.

Ia bertujuan untuk mengukuhkan kehadiran jenama itu di Eropah, Amerika Latin, Timur Tengah dan Afrika.

 

Jenama EV milik Sony-Honda berkubur

Belum pun sempat dilancarkan secara rasmi, jenama Afeela milik Sony Honda Mobility (SHM) akhirnya berkubur terlebih dahulu.

Dalam kenyataan rasmi, SHM mejelaskan mereka akan meneruskan perbincangan dengan pihak Sony dan Honda berkenaan hala tuju dan masa depan syarikat.

Mengikut perancangan awal, syarikat kerjasama Honda dan Sony itu bakal melancarkan sebuah sedan elektrik Afeela 1 pada hujung tahun ini.

Sebuah lagi model SUV bakal diperkenalkan pada tahun 2028.

Punca utama: Rombakan strategi EV Honda

Antara sebab utama kenapa projek ini terhenti berkait rapat dengan rombakan besar strategi Honda yang diumumkan awal bulan ini.

Bagi mengelakkan kerugian bernilai 2.5 trilion yen (RM62 bilion), Honda dilapor membatalkan beberapa program EV penting termasuklah:

  • 0 Saloon
  • 0 SUV
  • Acura RSX

Tanpa sokongan perkakasan, platform dan aset teknikal, SHM mengakui mereka tidak lagi mempunyai laluan realistik untuk membawa model tersebut ke pasaran seperti yang dirancang.

Lebih mengejutkan, pengumuman ini hadir tidak lama selepas SHM Amerika merasmikan Afeela Studio dan hab pengedaran di Torrance, California pada 16 Mac lepas.

Dengan pembatalan ini, pelanggan yang telah membuat tempahan Afeela 1 akan menerima bayaran balik penuh.

Vision-S 01 sebagai titik mula

Sony mengejutkan dunia dengan pengenalan model Vision-S 01 pada CES 2020, diikuti Vision-S 02 dua tahun berikutnya.

Kerjasama antara Honda dan Sony (Sony Honda Mobility) pula ditubuhkan pada tahun 2022.

Jenama Afeela diumumkan secara rasmi pada tahun 2023, diikuti pengenalan model produksi sebenar Afeela 1 pada tahun 2025 dengan sasaran harga US$89,900 (RM356 ribu).

Afeela 1 dikuasakan oleh dua motor elektrik (483 hp) yang dipadankan dengan pek bateri lithium-ion 91 kWh dan keupayaan pengecasan pantas DC 150 kW.

Untuk sekali cas penuh, sedan elektrik ini boleh bergerak sejauh 480 km.

Penamat buat jenama Afeela?

Usah risau, sedan ini sebenarnya masih lagi boleh dipandu ‘secara halal’ menerusi platform Gran Turismo 7.

Menerusi kerjasama antara SHM dan Polyphony Digital, Afeela 1 telah ditambah secara rasmi ke dalam GT7 pada April tahun lepas.

Pihak Polyphony Digital turut menghasilkan bunyi e-motor, diikuti audio khas yang dapat memberikan perasaan kelajuan, brek dan daya selekoh untuk Afeela 1.

Lotus Eletre & Emeya 600 2026 kini di Malaysia – harga dari RM489,000

Lotus Cars Malaysia mengumumkan ketibaan model EV Lotus Eletre dan Emeya yang telah dikemas kini untuk pasaran tempatan.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Lotus Emeya 600 2026 – RM489,000
  • Lotus Eletre 600 2026 – RM499,000

Naik taraf spesifikasi

Kedua-dua model itu tadi mendapat naik taraf kelengkapan, seperti:

  • Active Rear Spoiler
  • tempat duduk balutan kulit Nappa
  • tali pinggang keledar tiga-warna gelap
  • sistem pencahayaan ambien

Selain itu, terdapat juga pilihan naik taraf rim saiz besar (21 inci untuk Emeya atau 22 inci untuk Eletre), tayar Pirelli P Zero dan angkup brek 6-omboh.

Kelengkapan standard lain masih lagi dikekalkan seperti:

  • sistem suspensi udara adaptif dengan Continuous Damping Control (CDC)
  • sistem audio premium KEF
  • kawalan iklim empat-zon
  • skrin paparan head-up 29 inci
  • lampu matriks LED

Terdapat pelbagai pilihan warna tersedia seperti Zenith White, Kaimu Grey dan Stellar Black, serta warna istimewa seperti:

  • Galloway Green
  • Boreal Grey
  • Fireglow Orange
  • Solar Yellow

Prestasi

Lotus Eletre dan Emeya varian 600 ini dikuasakan oleh sistem motor elektrik berkembar dan pacuan semua roda (AWD).

Dengan hamburan kuasa 610 hp dan 710 Nm, Lotus Emeya 600 boleh memecut sepantas 4.15 saat dari 0-100 km/j.

Sementara Eletre 600 pula mengambil masa 4.5 saat.

Kedua-dua model ini dilengkapi pek bateri 102 kWh, dengan jarak pandu sejauh 580 km (Emeya cecah 610 km) untuk sekali cas penuh.

Lebih 300 EV Lotus atas jalan raya

Menurut Reza Mutalib selaku Pengarah Eksekutif Karrus Automotive Group, “Pengenalan Lotus Eletre dan Emeya MY27 ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk membawakan kenderaan elektrik berprestasi terbaik Lotus ke Malaysia.”

Jelasnya lagi, sehingga kini sudah lebih 300 kenderaan elektrik Lotus didaftarkan di Malaysia.

TQ Wuling serah kumpulan pertama Bingo EV, ADAS kini sebagai ciri standard

TQ Wuling baru-baru ini mencatatkan satu pencapaian penting apabila kumpulan pertama Bingo EV versi CKD telah diserahkan kepada pelanggan di Malaysia.

Ia menandakan peralihan jenama itu daripada fasa pengenalan kepada pemilikan sebenar.

Menurut Wan Wei Sun selaku Ketia Perniagaan TQ Manufacturing Sdn Bhd berkata, “Detik ini lebih daripada sekadar menyerahkan kenderaan, ia melambangkan kepercayaan, keyakinan dan permulaan kepada lebih banyak perjalanan pemilikan.

“Kami amat menghargai pelanggan pertama kami kerana mempercayai TQ Wuling dan menjadi sebahagian daripada perjalanan EV kami di Malaysia.

Pelanggan awal Bingo EV kongsi pengalaman

Kebanyakan pemilik awal berkongsi faktor seperti praktikaliti, nilai dan ketenangan minda merupakan ciri utama yang menentu keputusan pembelian mereka.

“Saya amat tertarik dengan rekaan retro-moden Bingo EV sejak dari mula.

“Selepas memandu uji, saya amat teruja dengan respons dan mudah untuk dipandu di dalam bandar.

“Selain rupa paras, sokongan penyelenggaraan yang wujud di Malaysia memberikan ketenangan minda. Ia bergaya, praktikal dan sesuai dengan bajet saya,” ujar Intan, salah seorang pemilik terawal Bingo EV.

Seorang lagi pelanggan, Christine berkata, “Sejak menerima unit Bingo EV, kami sangat menikmatinya. Ia mempunyai ruang yang luas, sistem pendingin hawa yang sesuai dengan cuaca panas kita, dan keupayaan pemanduan yang hebat.

“Untuk kegunaan harian, ia satu pilihan yang tepat. Apa yang mengagumkan ialah harga yang berpatutan dan betapa mudahnya ia bergerak dalam kesesakan trafik.

ADAS sebagai ciri standard

Seiring dengan penyerahan pertama, TQ Wuling turut mengumumkan Bingo EV CKD ini hadir dengan ciri bantuan ADAS sebagai ciri standard untuk kedua-dua varian.

Antara ciri ADAS yang dimuatkan termasuklah:

  • Amaran Titik Buta (BSW)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

Bingo EV turut dilengkapi pengelap cermin automatik, sistem kunci/nyahkunci ketika beredar dan sistem nyahkunci automatik selepas impak.

Tambahan pula, Bingo EV didatangkan dengan enam beg udara, menjadikan Malaysia pasaran pertama menerima konfigurasi ini.

Spesifikasi serta perincian bagi model TQ Wuling Bingo EV boleh dibaca pada PAUTAN INI.

Honda batal EV 0 Series, Acura RSX – kerugian dijangka cecah RM62 bilion

Honda telah membatalkan tiga model kenderaan elektrik (EV) yang sebelum ini dirancang untuk pengeluaran di Amerika Utara, iaitu Honda 0 SUV, 0 Saloon serta Acura RSX.

Langkah ini dibuat selepas syarikat itu menilai semula strategi EV mereka susulan perubahan dalam keadaan pasaran global.

Permintaan EV perlahan, persaingan semakin sengit

Menurut Honda, pertumbuhan pasaran EV di AS semakin perlahan berikutan pelonggaran peraturan bahan api fosil serta perubahan insentif EV.

Pada masa sama, syarikat itu turut berdepan tekanan dari beberapa aspek lain, termasuk perubahan dasar tarif AS yang menjejaskan keuntungan kenderaan petrol dan hibrid mereka.

Di Asia pula, khususnya di China, persaingan semakin sengit apabila pengeluar EV baharu bergerak lebih pantas dengan kitaran pembangunan produk yang lebih pendek serta kelebihan dalam teknologi perisian.

Honda mengakui ia sukar menandingi nilai yang ditawarkan oleh pengeluar EV baharu, terutamanya dalam aspek kenderaan berasaskan perisian serta ADAS

Impak kewangan yang besar

Pembatalan tiga model EV tersebut dijangka memberi kesan kewangan besar terhadap syarikat itu.

Ini termasuk perbelanjaan operasi antara 820 bilion yen hingga 1.12 trilion yen, serta kerugian daripada pelaburan kaedah ekuiti yang dianggarkan antara 110 bilion hingga 150 bilion yen.

Sementara itu, kerugian khas dalam keputusan bukan konsolidasi pula dianggarkan antara 340 bilion hingga 570 bilion yen.

Jika diambil kira kos tambahan pada tahun-tahun akan datang, jumlah keseluruhan impak daripada penilaian semula strategi ini boleh mencecah sehingga 2.5 trilion yen.

Fokus lebih kepada hibrid

Untuk masa hadapan, Honda akan memberi tumpuan lebih besar kepada model hibrid sambil terus memantau perkembangan pasaran EV.

Syarikat itu juga merancang untuk mengukuhkan barisan model serta meningkatkan daya saing kos di pasaran utama seperti Jepun, Amerika Syarikat dan India, selain memperkukuh kedudukannya di Asia.

Walaupun kerugian dijangka berlaku, Honda menyatakan ramalan dividen bagi tahun fiskal semasa kekal tidak berubah. Perincian lanjut mengenai strategi jangka sederhana dan panjang syarikat akan diumumkan pada bulan Mei.

Kemas kini OTA baharu untuk Leapmotor B10 tambah ciri pintar

Stellantis Malaysia mengumumkan kemas kini over-the-air (OTA) untuk SUV Leapmotor B10.

Antara ciri utama yang ditambah termasuklah:

  • keupayaan pemanduan pedal tunggal
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto (berwayar dan tanpa wayar)
  • fungsi arahan suara yang lebih meluas

Terima kasih kepada naik taraf ini, operasi sistem infohibur menjadi lebih pantas diikuti format split screen untuk memudahkan pemandu.

Ciri keselamatan turut ditambah baik dengan sistem pengesan kehadiran dalam kabin yang dioptimumkan, diikuti fungsi ACC & LCC yang diperhalusi untuk mengurangkan nyahpecutan mendadak ketika di selekoh.

Pengedaran OTA bermula Februari 2026

Kemas kini OTA ini telah mula diedarkan kepada para pemilik seawal Februari.

Pemilik Leapmotor B10 hanya perlu menunggu notifikasi dalam kenderaan dan boleh mengemas kini secara terus melalui sistem kenderaan.

 

Proton tawar rebat raya RM500 untuk e.MAS 5

Pro-Net mengumumkan promosi istimewa untuk kereta elektrik e.MAS sempena musim perayaan yang bakal menjelang.

Promosi berupa rebat bernilai RM500 itu sah untuk semua tempahan yang dibuat antara 31 Oktober 2025 hingga 23 Mac 2026.

Pelanggan perlu melengkapkan pendaftaran kenderaan selewat-lewatnya 30 September 2026.

Prestasi jualan cemerlang

Sehingga Februari 2026, Proton mencatatkan pendaftaran e.MAS 5 melepasi 5,000 unit di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,068 unit telah diserahkan kepada pelanggan pada bulan Januari, dan lagi 1,562 unit pada bulan Februari.

Ini mencerminkan permintaan yang berterusan serta keyakinan pengguna yang semakin meningkat terhadap model ini.

Proton e.MAS 5 dilancarkan secara rasmi tahun lepas dengan tanda harga bermula dari RM59,800 untuk varian Prime, dan dari RM72,800 untuk varian Premium.

BYD Sime Motors perluas rangkaian bilik pameran dan pusat servis di seluruh negara

BYD Sime Motors terus memperluaskan lagi rangkaian jualan dan servis EV di seluruh negara bagi menjadikan pengalaman pemilikan yang lebih mudah diakses.

Sehingga kini, BYD sudah mempunyai lebih 40 buah bilik pameran di seluruh negara.

BYD turut menyasarkan 34 buah pusat servis beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 selepas sembilan lagi fasiliti siap dibangunkan.

BYD tembus beberapa lokasi strategik

Jenama EV itu turut meluaskan kehadirannya di beberapa lokasi strategik termasuklah di Muar, Kluang, Kuala Terengganu, Sungai Petani dan Juru.

Pusat 3S BYD Ipoh turut menyediakan hab pengecasan EV yang pertama di bandar tersebut dengan kemudahan pengecas DC 180 kW dan 240 kW.

Sementara Pusat 3S BYD Sri Hartamas pula terletak di dalam pusat membeli belah yang menggabungkan aspek jualan, servis dan juga alat ganti.

Selain itu, terdapat 12 pusat badan & cat (B&P) yang telah beroperasi di seluruh negara.

Aspek selepas jualan turut disokong oleh 80 juruteknik EV bertauliah daripada BYD Academy serta gudang alat ganti berpusat untuk memastikan stok mencukupi dan tempoh menunggu lebih singkat.

Pembukaan BYD Mansion di Pulau Pinang

BYD Sime Motors turut mengumumkan BYD Mansion di Macalister, Pulau Pinang akan mula beroperasi tahun ini.

Fasiliti baharu itu menggandingkan elemen kebudayaan tempatan ke dalam falsafah rekaan bagi mencipta ruang yang unik dan premium.

Rekaan baharu itu akan dijadikan sebagai satu standard untuk diterapkan pada bilik pameran BYD yang lain.

Prestasi cemerlang BYD tahun 2025

Berikut merupakan pencapaian BYD sepanjang tahun 2025:

  • Penyerahan kenderaan sebanyak 14,407 unit atau peningkatan 68 peratus berbanding 2024
  • 10,000 pelanggan pertama dicapai dalam 20 bulan, 10,000 seterusnya dalam masa 13 bulan
  • Jenama ke-6 paling laris dan jenama bukan nasional no.4 di Malaysia

Melihatkan perkembangan semasa, BYD optimis untuk mencapai sasaran 30,000 pelanggan di Malaysia pada April 2026.

 

Volvo EX30 dikemas kini untuk 2026, tampil dengan trenkuasa entry-level, UX baharu dan ciri V2L

Volvo mengumumkan naik taraf untuk EX30, SUV elektrik terkecil mereka, untuk model tahun 2026 dan seterusnya. Antara penambahbaikan utama termasuk trenkuasa entry-level baru, pilihan dalaman premium, pengembangan Black Edition, dan ketersediaan fungsi Vehicle-to-Load (V2L).

Pilihan kuasa dan jarak perjalanan

Bermula tahun ini, EV kompak akan hadir dengan trenkuasa motor tunggal dengan 150 PS (110 kW), dengan dua pilihan bateri iaitu LFP 51 kWj yang menawarkan jarak perjalanan 339 km, dan NMC 69 kWj yang mampu capai jarak sehingga 476 km untuk perjalanan lebih jauh.

Untuk EX30 Cross Country, Volvo menambah trim Plus dan pilihan motor tunggal yang lebih cekap.

Reka bentuk baharu ruang dalaman

Pelanggan kini boleh memilih dua tema baharu untuk ruang dalaman. Harvest menampilkan tekstil kitar semula tona cerah dan dekorasi flax gelap untuk rasa Scandinavia semula jadi. Sementara itu, Black pula menggabungkan upholsteri hitam licin dengan dekor flax gelap untuk gaya klasik.

Black Edition kini boleh dipilih dengan dalaman Black dan tiga warna luaran baharu iaitu Onyx Black, Vapour Grey dan Crystal White.

Pengalaman pengguna lebih mudah

Antaramuka pengguna (UX) direka semula untuk akses lebih mudah ke kawalan penting, lengkap dengan bar kandungan yang boleh diubah suai untuk tindakan yang paling kerap digunakan.

Ciri V2L, yang pada mulanya ditawarkan di pasaran terpilih, membolehkan EX30 membekalkan tenaga ke peranti seperti e-bike, perkakasan elektrik, sistem audio, dan peralatan camping dengan adaptor.

Semua naik taraf ini akan dihantar melalui over-the-air kepada pelanggan baru dan sedia ada mulai musim panas ini.

Tarikh pelancaran

Menurut Volvo, EX30 baharu dijangka diperkenalkan di pasaran global bermula model tahun hadapan, dengan ciri V2L dan UX diberikan melalui kemas kini over-the-air pada musim panas.

Nissan perkenal Sijil Keadaan Bateri, status EV terpakai lebih jelas

Dengan kebanjiran kenderaan elektrik (EV) timbul persoalan mengenai unit terpakai seperti keadaan bateri dan pelupusan dan Nissan sebagai pelopor EV massa sedar mengenainya.

Nissan Motor Co., Ltd. mengumumkan pelancaran operasi percubaan bagi Sijil Keadaan Bateri Nissan bermula 27 Februari 2026.

Inisiatif ini diperkenalkan khusus untuk mengesahkan tahap kesihatan bateri atau State of Health (SOH) bagi unit EV terpakai keluaran Nissan.

Langkah ini diambil bagi menangani isu utama pasaran EV  iaitu ketidaktentuan jangka hayat bateri yang sering menjadi keraguan utama pembeli.

Dengan adanya sijil rasmi daripada pihak pengeluar, Nissan berharap dapat membina kepercayaan pembeli dan merancakkan lagi ekosistem jual beli EV terpakai.

Melalui pengesahan ini, nilai jualan semula kenderaan juga dapat ditentukan dengan lebih adil dan telus berdasarkan data sains.

Ketelusan Maklumat Melalui Data Rasmi Pengeluar

Sijil Keadaan Bateri Nissan bukan sekadar laporan pemeriksaan biasa. Ia merupakan dokumen rasmi yang membuktikan tahap kesihatan bateri berdasarkan data teknikal yang tepat.

Melalui sijil ini, pembeli tidak lagi perlu berpandukan kepada jarak perbatuan atau keadaan luaran kenderaan semata-mata untuk menilai harga dan kualiti.

Kandungan sijil tersebut merangkumi tiga maklumat kritikal iaitu tahap kesihatan bateri (SOH), baki kapasiti bateri semasa serta anggaran jarak pemanduan maksimum apabila bateri dicas sepenuhnya.

Maklumat ini sangat penting bagi membantu bakal pemilik memahami prestasi sebenar kenderaan yang ingin dibeli.

Penggunaan piawaian rasmi ini juga mengelakkan sebarang manipulasi data oleh pihak ketiga.

Sebagai pengeluar, Nissan menjamin bahawa setiap angka yang tertera pada sijil tersebut adalah refleksi tepat kepada keupayaan simpanan tenaga kenderaan pada waktu pemeriksaan dilakukan.

Proses Pengesahan Menggunakan Teknologi Nissan CONSULT

Bagi memastikan ketepatan data, proses diagnosis dilakukan oleh pihak pengedar menggunakan alat elektronik khas Nissan yang dikenali sebagai CONSULT.

Alat ini mempunyai keupayaan teknikal untuk mengukur keadaan setiap modul bateri secara terperinci bagi memastikan tiada sel yang bermasalah terlepas pandang.

Selepas pemeriksaan selesai, data mentah tersebut akan dihantar terus kepada sistem pusat Nissan Motor Co., Ltd.

Pihak pengeluar kemudiannya akan memproses data tersebut sebelum mengeluarkan sijil rasmi yang sah.

Sijil ini akan dipamerkan bersama maklumat jualan kenderaan bagi memudahkan pelanggan membuat perbandingan sebelum melakukan transaksi.

Langkah digital ini memastikan rekod kesihatan bateri disimpan dengan selamat dalam pangkalan data Nissan.

Ini memudahkan pemilik masa hadapan untuk menyemak sejarah servis dan kesihatan bateri secara berterusan sepanjang hayat penggunaan kenderaan tersebut di jalan raya.

Fasa Percubaan dan Rancangan Masa Depan Nissan

Sebagai permulaan, operasi percubaan ini akan dijalankan dengan kerjasama tiga syarikat pengedar utama di wilayah Chiba iaitu Chiba Nissan Motor Co., Ltd., Nissan Satio Chiba Co., Ltd. dan Nissan Prince Chiba Sales Co., Ltd.

Model pertama yang dipilih untuk program ini adalah Nissan LEAF kedua (ZE1).

Nissan akan memantau maklum balas daripada pengguna dan trend pasaran sepanjang tempoh percubaan ini.

Sekiranya berjaya, syarikat merancang untuk meluaskan penggunaan sijil ini kepada lebih banyak model EV yang lain serta merangkumi kawasan pasaran yang lebih luas pada masa akan datang.

Inisiatif ini juga dilihat sebagai langkah awal dalam menyokong ekonomi kitaran bateri.

Dengan data SOH yang tepat, bateri yang sudah tidak sesuai untuk kegunaan automotif boleh dikenal pasti dengan lebih awal untuk tujuan penggunaan semula (second-life) atau dikitar semula dengan cara yang lebih cekap.

Ringkasan Maklumat dan Sijil

  • Nama program: Operasi Percubaan Sijil Keadaan Bateri Nissan

  • Model sasaran: Nissan LEAF (ZE1)

  • Lokasi percubaan: Chiba (Chiba Nissan, Nissan Satio Chiba, Nissan Prince Chiba)

  • Komponen yang disahkan: Tahap kesihatan bateri (SOH), baki kapasiti dan jarak pemanduan

  • Kaedah pengukuran: Alat diagnostik elektronik CONSULT (ukuran tahap modul)

  • Definisi SOH: Keadaan kapasiti bateri semasa berbanding kapasiti asal semasa kenderaan baharu

  • Pengiraan jarak pemanduan: Jarak pemanduan WLTC asal didarab dengan peratusan SOH semasa