fbpx

BMW i5 eDrive40 M Sport kini dengan pengecas AC 22 kW – RM400k

2. BMW i5 eDrive40 in Fire Red – Merino Silverstone

PADA November tahun lalu, BMW i5 membuat kemunculan sulungnya di Malaysia dalam versi eDrive40 M Sport. Kini, hanya selepas empat bulan berada di pasaran, sedan elektrik itu telah dinaik taraf dengan keupayaan pengecasan yang lebih tinggi serta beberapa ciri baharu.

Pertama sekali, i5 kini didatangkan dengan pengecas AC berkapasiti 22 kW yang mengambil masa kurang empat jam 15 minit untuk satu cas penuh. Ia empat jam lebih pantas berbanding pengecas AC 11 kW sebelum ini.

Selain itu, model ini akan terus dilengkapi dengan pengecas DC berkuasa tinggi hingga 205 kW, yang boleh melakukan pengecasan dari 0 hingga 80% dalam tempoh 34 minit sahaja.

Seperti sebelum ini, i5 eDrive40 menampilkan motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 313 hp dan 400 Nm. Dengan Launch Control, kuasa akan ditingkatkan kepada 340 hp dan 430 Nm untuk membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.0 saat dan mencapai kelajuan maksimum 193 km/j.

Jarak pandu juga tidak berubah iaitu 582 km berdasarkan kitaran WLTP, dengan tenaga elektrik dibekalkan oleh bateri berkapasiti 89.3 kWj yang terletak di bahagian bawah kenderaan.

Dari segi kelengkapan, bahagian luaran i5 ditonjolkan menerusi jalur LED vertikal pada lampu hadapan, gril kidney yang diinspirasikan daripada rekaan ikonik ‘Sharknose’, garis kontur BMW Iconic Glow dan pakej Shadow Line M berglos tinggi.

Pilihan warna yang tersedia adalah Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Brooklyn Grey Metallic dan Phytonic Blue Metallic.

Sebagai sebahagian daripada kemaskini ini, BMW Malaysia menawarkan empat pilihan warna baharu iaitu Sophisto Grey Metallic, Oxide Grey Metallic, Cape York Green Metallic dan Fire Red Metallic.

Di dalam, terdapat BMW Curved Display yang terdiri daripada panel instrumen 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci, kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Operating System 8.5.

Turut disertakan adalah BMW Intelligent Personal Assistant, BMW Maps, Digital Key Plus dan sistem audio Bowers & Wilkins dengan amplifier 655 W dan 18 pembesar suara.

Untuk ruang kabin, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan upholsteri kulit Merino dalam warna Black, Copper Brown dan Silverstone.

i5 juga didatangkan dengan pelbagai teknologi keselamatan dan sokongan pemanduan termasuk Proactive Care, Driving Assistance Professional, Speed Limit Assist, Side Collision Protection, Road Priority Warning, Wrong-way Warning dan Crossing-traffic Warning.

Harga jualan i5 eDrive40 M Sport yang dinaik taraf bermula dari RM399,800. Untuk waranti lanjutan lima tahun dan pakej servis, pelanggan perlu membayar tambahan RM20,300.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved