fbpx

BYD Seal dilancarkan di Malaysia – dua varian, harga dari RM180k

BYD Seal Launch 01

BYD Seal akhirnya dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia. Ia merupakan model kenderaan elektrik (EV) BYD ketiga yang dibawa masuk ke negara ini oleh Sime Darby Motors selepas Atto 3 dan Dolphin.

Untuk pasaran tempatan, sedan elektrik daripada barisan Ocean Series itu ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium dan Performance, dengan harga masing-masing bermula dari RM179,800 dan RM199,800.

 

Varian Premium didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menghasilkan 313 PS dan 360 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.9 saat.

Sementara itu, varian Performance didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik berkembar yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 530 PS dan 670 Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.8 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j.

 

Di samping itu, varian ini juga dilengkapi dengan Intelligent Torque Adaption Control (ITAC) dan penyerap hentak Frequency Selective Damping (FSD) pada bahagian hadapan dan belakang.

Kedua-dua varian menggunakan bateri LFP Blade berkapasiti 82.56 kWh namun dengan jarak pandu yang berbeza iaitu 650 km untuk Premium dan 580 km untuk Performance. Kedua-dua angka adalah berdasarkan kitaran NEDC.

Untuk pengecasan, Seal didatangkan standard dengan pengecasan AC 7 kW yang mengambil masa 15.2 jam untuk pengecasan 0% hingga 100%. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW yang boleh melakukan pengecasan 10% hingga 80% dalam 37 minit.

Senarai kelengkapan antara kedua-dua varian berkenaan tidak jauh berbeza. Untuk bahagian luaran, ciri-ciri seperti lampu LED depan dan belakang, lampu nyalaan siang LED, kaca kalis bunyi dua lapis dan rim aloi 19 inci disertakan secara standard.

Untuk pasaran Malaysia, Seal boleh didapati dalam warna Cosmos White, Aurora White, Atlantis Grey dan Arctic Blue. Bagaimanapun, warna Arctic Blue adalah eksklusif untuk varian Performance.

Di dalam, anda akan menemui upholsteri kulit, pelarasan lapan hala dan sokongan lumbar empat hala untuk tempat duduk pemandu, pemanas dan penyejuk tempat duduk hadapan, pendingin hawa dua zon dan sistem penapis udara PM2.5 pada kedua-dua varian.

Sistem infohibur pula merangkumi daripada skrin sentuh berputar 15.6 inci, kluster instrumen digital 10.25 inci, dua pengecas wayarles, empat port USB dan sistem audio Dynaudio dengan 12 pembesar suara.

Sistem bantuan pemandu juga sama pada kedua-dua varian, terdiri daripada Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Emergency Lane Keeping Assist, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Detection dan banyak lagi.

Seal didatangkan dengan waranti kenderaan selama enam tahun/150,000 km, waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km dan waranti unit pacuan selama lapan tahun/150,000 km.

Bukan itu sahaja, 800 pembeli pertama akan mendapat pengecas wallbox dan kredit pengecasan Gentari bernilai RM800 secara percuma.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved