TAI KAAN – Pesawat pejuang generasi kelima Turkiye berjaya buat penerbangan sulung
PESAWAT pejuang pertama buatan Turkiye, diberi nama KAAN, berjaya menyempurnakan penerbangan sulungnya di pangkalan udara Akinci, dekat Ankara.
CEO Turkish Aerospace Industries (TAI), Temel Kotil, menulis di Twitter (X) bahawa penerbangan sulung itu berlangsung selama 13 minit. Pesawat tersebut mencecah kelajuan 230 knot dan altitude 8,000 kaki, katanya.
Turkiye memulakan pembangunan pesawat pejuang ini pada Disember 2010. Kontrak reka bentuk konsep ditandatangan antara TAI dengan kerajaan pada Ogos 2011. Kontrak pembangunan pula menyusul pada Ogos 2016.
Program itu bertujuan menghasilkan pesawat pejuang generasi kelima yang menepati kehendak Tentera Udara Turkiye selepas 2030, menggantikan armada F-16 negara itu.
Turkiye mahu menjadi antara negara-negara yang mempunyai rantaian penghasilan pesawat pejuang, dari teknologi, infrastruktur, sumber manusia, dan kemampuan pengeluaran.
Dengan lebar 46 kaki dan panjang 69 kaki, KAAN mempunyai dua enjin. Prototaip awal dikuasakan oleh dua unit enjin turbofan General Electric F110-GE-129. Tetapi versi sebenar nanti akan menggunakan enjin rekaan Turkiye sendiri, oleh syarikat tempatan TRMotor.
TAI akan menghasilkan lima lagi unit prototaip, dan kerajaan Turkiye telah membeli 10 set enjin F110.
Pesawat pejuang generasi kelima Turkiye ini bakal menggabungkan beberapa ciri iaitu sebagai pesawat air-superiority (penguasaaan ruang udara) halimunan dengan kemampuan serangan darat, kepelbagaian sistem penderia (sensors), radar Active Electronically Scanned Array (AESA), kawalan jaringan drone dan peluru berpandu hipersonik.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.