fbpx

Turkiye persembahkan pesawat generasi kelimanya: TAI KAAN

tai kaan – the media line

TURKIYE hari ini mengumumkan nama rasmi bagi pesawat pejuang generasi kelima miliknya, iaitu KAAN. Nama itu diumumkan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyep Edrogan pada acara Century of the Future Promotion Program di Turkish Aerospace Industries (TAI).

Beliau mengumumkan nama pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu yang sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU).

Selain pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu, turut dipertontonkan adalah helikopter penyerang kelas berat ATAK-2, pesawat pejuang ringan HURJET, pesawat serangan darat dan latihan asas HURKUS, helikopter utiliti GOKBEY dan dron ANKA-3. Kesemua pesawat itu dihasilkan oleh TAI.

Gambar oleh: Air Data News

Dengan penampilan secara rasmi KAAN hari ini, Turkiye muncul sebagai negara kelima di dunia yang berkemampuan menghasilkan pesawat pejuang generasi kelima.

Ketua Pegawai Eksekutif TAI, Prof Temel Kotil sebelum ini menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu akan melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini, iaitu dua tahun lebih awal daripada jadual asalnya pada tahun 2025.

Pada mulanya, pihak TAI menjangkakan pesawat pejuang itu akan melakukan penerbangan sulungnya pada 2025 sebelum mengubah jadual itu kepada pada akhir tahun 2024.

“Program pembangunan pesawat generasi kelima TF-X (kini dinamakan KAAN) telah berjalan dengan amat baik, penerbangan sulung sepatutnya dijadualkan pada tahun 2025 tetapi jadual (penerbangan sulung) itu telah dijadualkan semula kepada akhir tahun ini (2023),” kata beliau kepada media tempatan.

Menurut Temel Kotil lagi, hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi anjal (ejection seat), enjin dan joystick (controller).

Gambar oleh: The Media Line

Bagaimanapun ketiga-tiga komponen asing pada pesawat KAAN tu akan digantikan dengan komponen buatan Turkiye apabila pembangunan pesawat itu memasuki fasa lebih maju.

Kesemua 10 buah pesawat prototaip KAAN akan dilengkapi dengan dua enjin buatan General Electric  F110, yang amat dikenali oleh pihak Turkiye kerana ia turut digunakan oleh pesawat-pesawat F-16C/D milik negara itu dan dipasang di dalam negara.

Bagaimanapun untuk pesawat-pesawat produksi bersiri (serial production) TF-X, ia akan menggunakan enjin-enjin yang lebih berkuasa dihasilkan oleh syarikat Turkiye sendiri dengan kerjasama syarikat luar sama ada Rolls-Royce atau syarikat lain.

Menurut sumber di dalam kerajaan Turkiye yang memberitahu media antarabangsa, ia mempunyai tiga program berasingan untuk membangunkan enjin buatan tempatan bagi digunakan oleh pesawat-pesawat produksi bersiri KAAN.

Pembangunan enjin bagi pesawa itu disifatkan cabaran paling utama yang boleh menghalang kejayaan pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye.

Berbanding pesawat F-35 yang hanya memiliki satu enjin, pesawat KAAN dilengkapi dengan dua enjin.

Pesawat pejuang generasi kelima Turkiye ini bakal menggabungkan beberapa ciri iaitu sebagai pesawat air-superiority (penguasaaan ruang udara) halimunan dengan kemampuan serangan darat, kepelbagaian sistem penderia (sensors), radar Active Electronically Scanned Array (AESA), kawalan jaringan drone dan peluru berpandu hipersonik.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved