fbpx

BYD Seal dapat sambutan, lebih 1,300 tempahan diterima dalam 4 hari

BYD Seal on road

SIME Darby Motors (SDM) mengumumkan ia menerima lebih 1,300 tempahan untuk BYD Seal dalam tempoh empat hari selepas pelancaran.

Atas permintaan yang menggalakkan, SDM mengumumkan lanjutan kempen tempahan awalnya sehingga 3 Mac 2024.

Menerusi kempen ini, pelanggan yang membuat tempahan untuk Seal menerusi laman web atau di bilik pameran BYD di seluruh negara sebelum 3 Mac akan mendapat pengecas kediaman dan kredit pengecasan Gentari/ChargEV bernilai RM800 secara percuma.

Seal ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium dan Performance, dengan harga masing-masing bermula dari RM179,800 dan RM199,800.

Sebagai perbandingan, pesaing terdekatnya iaitu Tesla Model 3 dijual pada harga RM189,000 untuk Standard Range Rear Wheel Drive dan RM218,000 untuk Long Range All-Wheel Drive.

Seal versi Premium didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menghasilkan 313 PS dan 360 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.9 saat.

Sementara itu, versi Performance mempunyai konfigurasi motor elektrik berkembar yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 530 PS dan 670 Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.8 saat untuk mencapai 100 km/j.

Kedua-dua varian menggunakan bateri LFP Blade berkapasiti 82.56 kWh namun dengan jarak pandu yang berbeza iaitu 650 km untuk Premium dan 580 km untuk Performance.

Seal didatangkan dengan waranti kenderaan selama enam tahun/150,000 km, waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km dan waranti unit pacuan selama lapan tahun/150,000 km.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, Asia Tenggara, SDM berkata, “Maklum balas daripada rakyat Malaysia jelas menunjukkan kesediaan mereka untuk menerima kenderaan elektrik (EV) daripada BYD.”

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved