Arkib Kategori: MPV/SUV

Mazda CX-5 facelift masih lagi relevan – Pandu Uji

Sejak dilancarkan ke pasaran Malaysia pada 2017, Mazda CX-5 telah melalui sekurang-kurangnya enam kemaskini.

Tidak seperti pesaing-pesaing terdekatnya yang sudah mula memasuki generasi baharu, CX-5 masih lagi kekal dalam generasi kedua namun sambutan yang diberikan tetap hangat.

Apa rahsia Mazda? Secara peribadi saya berpendapat CX-5 masih mempunyai permintaan kerana ia terus menawarkan apa yang diinginkan oleh pembeli dalam segmen ini, dalam pakej yang sangat menarik.

Untuk model tahun 2024, penawaran CX-5 dilihat menjadi menjadi lebih menggoda dengan pelancaran model facelift yang membawakan reka bentuk lebih segar serta lebih banyak kelengkapan.

Barisan CX-5 terdiri daripada lima varian iaitu 2.0G 2WD Mid (RM146,879.20), 2.0G 2WD High (RM163,879.20), 2.5G 2WD High (RM177,370.40), 2.2D 2WD High (RM182,732.80) dan 2.5T AWD High (RM191,170.40).

Dari segi penampilan, CX-5 facelift boleh dibezakan dengan versi yang terdahulu menerusi gril baharu dengan bingkai krom lebih tebal, lampu lebih nipis dengan lampu nyalaan siang berbentuk L, bampar hadapan yang lebih kemas dan rim baharu.

Bercakap tentang rim, varian 2.0 Mid dan High didatangkan dengan rim aloi 17 inci dalam warna kelabu, manakala varian 2.5G, 2.2D dan 2.5T mendapat rim aloi 19 inci dengan kemasan dua tona.

Ada komen di sosial media yang mengatakan bahawa mereka sudah bosan dengan reka bentuk CX-5 namun bagi saya, model ini masih nampak segak di atas jalan raya walaupun sudah tujuh tahun dalam pasaran.

Sekali imbas, ruang dalaman CX-5 seperti tidak disentuh langsung namun jangan terpedaya kerana ada beberapa ciri baharu yang kini disertakan secara standard.

Ini termasuk Keyless Entry, sokongan Apple CarPlay wayarles untuk skrin infotainment 8 inci, pengecas wayarles, paddle shifter untuk varian 2.0G 2WD High ke atas, serta ciri pemanas dan penyejuk tempat duduk hadapan untuk 2.5G 2WD High ke atas.

Kedua-dua varian 2.0G didatangkan dengan paparan TFT LCD 4.6 inci pada panel instrument, manakala tiga varian lagi mendapat paparan lebih besar berukuran 7 inci.

Untuk pengetahuan, CX-5 facelift dalam pasaran lain didatangkan dengan skrin infohibur 10.25 inci namun entah mengapa ciri itu tidak ditawarkan di sini.

Sejujurnya, tidak banyak ciri baharu yang ditambah namun saya berpendapat apa yang disertakan sudah cukup untuk sebuah SUV. Lagipun, CX-5 sebenarnya sudah cukup sarat dengan segala ciri keselesaan.

Sebagai contoh, setiap varian mempunyai empat port USB, pendingin hawa automatik dwi zon, corong pendingin hawa belakang, stereng multifungsi yang dibalut kulit dan butang penghidup enjin.

Pilih varian 2.0G 2WD High ke atas dan anda juga akan mendapat upholsteri kulit, pelarasan 10 hala dan fungsi memori untuk kerusi pemandu, pelarasan enam hala untuk kerusi penumpang hadapan dan sistem kamera 360 darjah.

Mereka yang berkeluarga tidak perlu risau kerana tempat duduk belakang cukup luas dan selesa. Walaupun bukan yang terbesar dalam segmennya, ruang but 442 liter menjadikan CX-5 pilihan yang sesuai untuk perjalanan balik kampung.

Sistem bantuan pemandu tidak kurang hebatnya, dengan ciri-ciri Adaptive Front Lighting, High Beam Control, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning, Lane-Keep Assist, Driver Attention Alert, Radar Cruise Control, Smart City Brake Support, Smart Brake Support dan Cruising & Traffic Support.

Untuk prestasi pula, varian 2.0G 2WD High yang saya berpeluang pandu uji baru-baru ini terasa kurang bertenaga terutamanya dalam julat rpm rendah. Pedal perlu dikerah sedikit untuk memecut tetapi sebaik sahaja jarum rpm melepasi angka 2,000, barulah enjin SkyActiv-G ini ‘hidup’.

Apabila mencapai kelajuan cruising, CX-5 terbukti agak selesa dan meyakinkan. Bunyi dari ruang enjin dan jalan raya dikekalkan pada tahap yang memuaskan, manakala tempat duduk rekaan baharu memberikan sokongan yang baik.

Selain ‘wajah’ yang lebih menonjol, versi facelift juga mendapat manfaat daripada sistem suspensi yang ditala semula untuk mendapatkan kawalan yang lebih baik serta mengurangkan NVH.

Ia bukanlah satu rahsia yang CX-5 memang cemerlang dalam aspek pengendalian namun dalam kes ini, potensinya sedikit sebanyak dijejaskan oleh enjin yang ternyata tidak menjana kuasa dan tork yang mencukupi.

Mereka yang mahukan CX-5 yang lebih pantas boleh mendapatkan varian 2.5 turbo yang mempunyai 228 hp dan 420 Nm, pada harga yang tidak begitu jauh berbeza (antara RM10,000 hingga RM15,000) dengan 2.5G dan 2.2D.

Sepanjang memandu uji SUV ini, saya tertanya-tanya jika ia masih relevan dalam pasaran. Dari segi kelengkapan, varian CX-5 2.0G High boleh dikatakan setanding dengan Honda CR-V 1.5E yang berharga lebih mahal iaitu RM169,900.

Walaupun sudah tujuh tahun dijual, CX-5 kelihatan kekal segak walaupun dikelilingi model-model baharu – terima kasih kepada rekaan Kodo. Sudah tentu, reka bentuk adalah subjektif dan anda bebas untuk memilih apa yang anda suka namun jika anda mahukan sesuatu yang evergreen, ini adalah pilihan yang tepat.

Dengan ini, saya boleh katakan yang CX-5 masih lagi relevan terutamanya untuk mereka yang menghargai keseronokan pemanduan lebih daripada gajet-gajet canggih.

Spesifikasi Mazda CX-5 2.0G AWD High

Harga: RM163,879.20
Enjin: 2.0-liter, empat silinder
Kotak gear: Automatik enam kelajuan
Kuasa: 162 hp @ 6,000 rpm
Tork: 213 Nm @ 4,000 rpm

Range Rover Velar 2024 elegan tidak perlu beriya – Pandu uji

ANDA lihat setiap kali Apple iPhone baharu dikeluarkan, begitu sedikit perubahan dari segi rupa atau reka bentuknya. Mereka yang mementingkan rupa pasti akan berkata pereka bentuk Apple ini pemalas.

Tetapi betulkah mereka pemalas? Atau reka bentuk itu sebenarnya sudah hampir sempurna, hanya sedikit penghalusan diperlukan?

Reka bentuk seperti ini biasanya diterangkan sebagai elegan, minimalis, ringkas, atau kemas. Ia juga boleh menjadi evergreen; nampak relevan dan baharu walaupun sebenarnya lama dalam pasaran.

Begitu juga dengan Range Rover Velar ini. Velar bukan model baharu, bukan? Tetapi unit yang kami pandu uji ini sebenarnya model terkini 2024, dengan pembaharuan luar dan dalaman. Tak percaya?

Rekaan elegan dan bersahaja, tampak kekal segar

Sebagai contoh, DRL LED di lampu depan adalah rekaan baharu, corak gril diperbaharui, nyalaan lampu belakang juga direka semula; kini satu U lebar memanjang di kiri dan kanan, berbanding dua-U pada Velar sebelum ini.

Perubahan-perubahan ini tidak menghilangkan identiti Velar itu, kerana ia sejak azali sebuah SUV mewah yang kemas dan segak. Ia mendapat garisan-garisan lurus seperti semua model Range Rover, tetapi bumbung rendah ke belakang, badan belakang seolah-olah penyet atau menipis, menyuntik elemen sporti pada Velar.

Kesemua ini juga sesuai dengan kedudukan Velar itu di tengah-tengah model Range Rover, iaitu di bawah Range Rover dan Range Rover Sport, tetapi di atas Evoque. Jika dilihat, model-model lebih atas tampil lebih mewah dan premium, tidak begitu sporti.

Range Rover Velar unit ini juga mendapat Black Exterior Pack yang memberikan kemasan hitam pada tulisan di bonet depan, tulisan di pintu but, rongga udara di fender sisi, pada gril, dan corong udara atas bonet.

Pada penulis, Black Pack ini menyerlahkan rupa garang pada Velar. Inilah yang biasa dibuat secara kustom atau DIY oleh pemilik kereta-kereta seperti biasa. Cuma pakej pada Range Rover Velar ini berharga RM8,300. Biasalah, besar periuk nasi, maka besar jugalah keraknya, bukan?

Secara keseluruhan, Range Rover Velar 2024 ini tetap segak dan stailo, mengundang pandangan orang di sekeliling bila anda memandu perlahan di kawasan padat. Lagipun, ada ke yang berpendapat Range Rover Velar ini tidak cantik?

Kabin lebih minimalis, tetapi padat fungsi

Range Rover Velar 2024 ditawarkan pada harga bermula RM638,800 tetapi unit ini merupakan varian tertinggi P250 Dynamic HSE (L spec), berharga RM739,800. Baik, dengan harga sebegini, anda akan sangka ruang dalamannya nampak penuh dan kompleks, bukan?

Cuba lihat gambar ini. Macam spec kosong?

Sebenarnya Range Rover mahu kabin Velar ini tampil minimalis dan kemas. Tidak berserabut. Mungkin ini yang golongan T20 suka.

Paling utama, Velar sebelum ini mempunyai dua lapisan skrin di tengah – belah atas untuk infotainmen, manakala di bawah untuk kawalan penghawa dingin.

Tetapi dengan kemaskini 2024, hanya ada satu skrin utama dan ia telah diperbesarkan sedikit, kini berukuran 11.4-inci yang ‘terapung’ di konsol tengah. Bahagian skrin bawah sebelum ini dikosongkan untuk menjadi ruang simpanan dan terdapat pengecas tanpa-wayar.

Segala fungsi seperti pelarasan sistem penghawa dingin ‘disumbat’ ke dalam satu skrin ini yang menggunakan perisian Pivi Pro.

Tiada masalah besar bagi penulis. Cuma ada rakan penulis yang berkata kabin ini nampak terlalu ringkas. Tetapi penulis tidak salahkan dia kerana pada masa itu dia belum menyelongkar habis kesemua fungsi dan spesifikasi yang ada dalam skrin.

Keseluruhan kabin memang terasa premium dan bermutu tinggi. Dengan kulit lembut yang sedap disentuh, kemudian kemasan plastik keras dan logam di beberapa kawasan, terasa ianya kabin yang elegan.

Umpamanya jika anda baru keluar dari hotel penginapan 5-bintang untuk ‘business trip’ dan masuk ke dalam Velar ini untuk urusan seterusnya, tidak terasa kekok atau terlalu berbeza. Memang bahan dan kemasan yang biasa anda jumpa dalam hotel mewah.

Cuma jika Velar ini milik penulis sendiri, penulis akan pilih warna balutan kulit selain hitam. Mungkin warna coklat cerah atau maroon gelap. Sedikit ‘berani’ di situ kononnya.

Duit pergi ke kualiti pemanduan

Sesetengah model Range Rover yang lebih besar mungkin sesuai untuk kita upah pemandu peribadi, tetapi dengan Velar, anda mahu pandu ia sendiri. Ini kerana saiznya yang sederhana agak seronok untuk dipandu, selain tetap rasa sangat premium dan selesa.

Terdapat banyak fungsi dalam menu yang sebenarnya bukan gimik, tetapi praktikal dan boleh digunakan dalam pemanduan seharian.

Sebagai contoh, Wade Sensing di bawah fungsi Terrain Response. Dengan Wade Sensing, ia akan mempersiapkan suspensi dan semua sistem kereta ini untuk meranduk air. Klu: Kuala Lumpur, banjir kilat. Ehem.

Kemudian, fungsi Ride Height boleh melaras suspensi udara Velar ini dengan beberapa tetapan seperti Normal, Off-Road, dan Access. Dalam kebanyakan pemanduan, ia akan berada pada tetapan Normal. Access akan merendahkan kereta untuk memudahkan anda turun/naik selain memuatkan barangan di ruang kargo.

Untuk Off-Road, suspensi akan dinaikkan untuk anda meredah laluan mencabar dengan lebih mudah. Kami memang cuba untuk menaiki benteng tepi jalan semasa penggambaran video di bawah, jadi ia memang berguna.

Malah ada dua tahap ketinggian untuk Off-Road, bergantung kepada keperluan anda. Lagipun sesebuah Range Rover – sama ada anda mahu guna atau tidak – perlulah boleh off-road. Ya, semua Range Rover direka untuk off-road walaupun rupa bentuknya seperti SUV pejabat.

Terrain Response juga mempunyai mod-mod seperti Comfort, Grass/Gravel/Snow, Normal, Mud/Ruts, dan Sand. Ini semua akan melaras suspensi, respon minyak dan kotak gear, untuk memudahkan anda melepasi laluan-laluan sukar.

Manalah tahu ada taukeh mahu masuk ladang durian dia, yang penting dia tahu Range Rover Velar ini bersedia.

Velar dipacu oleh enjin 2.0-liter Ingenium 4-silinder turbo yang menghasilkan 250PS dan 365Nm tork, output yang lebih tinggi dari sebelumnya. Janaan kuasa yang dihantar ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan ini sangat lancar dan senyap.

Pertukaran gear hampir tidak terasa melainkan anda lihat pada meter rpm. Tetapi jika anda mahu bergegas ke mesyuarat untuk projek juta-juta, Range Rover Velar ini tetap sedia mengikut kemahuan anda.

Memandangkan ini enjin petrol, ia terasa sedap diperah hingga ke hujung rpm, dan tiada langsung bunyi tidak selesa. Segalanya terasa ada penghalusan yang tinggi, selesa, dan masih mampu laju. Kawalan badan pula dijamin dengan suspensi udara yang disebut tadi, jadi ia memberikan imbangan antara keselesaan dengan tindak balas positif pada setiap masa.

Oh ya, sistem audio Meridian pada Velar ini fuhhh, segala lagu kegemaran anda di Spotify akan dimainkan dengan kualiti bunyi lunak dan merdu sekali. Seronok penulis pandu sambil layan Goo Goo Dolls dan Bon Jovi.

Berbaloi untuk RM740,000?

Biasanya untuk produk atau barangan mewah, jarang untuk pengguna mempersoalkan sama ada ia berbaloi. Sebaliknya, lebih kepada eksklusiviti. Anda tidak mahu orang lain menggunakan barangan atau kereta yang sama dengan anda.

Anda mahu tergolong dalam kelompok elit.

Ya, untuk harga sekitar RM700,000, anda mungkin boleh dapat juga BMW X7 atau Mercedes GLE dan EQS. Tetapi jika dilihat dari sudut jenama, kedua-dua nama Jerman di atas adalah ‘lebih marhaen’, lebih biasa dilihat, dan lebih biasa.

Range Rover adalah lebih eksklusif dari sudut ini, menjadikannya lebih istimewa. Ini juga membuatkan sesebuah Range Rover itu masih nampak baharu walaupun sebenarnya sudah beberapa tahun dalam pasaran.

Memandu Range Rover Velar ini menyedarkan kita bahawa sesetengah kereta juga perlu dinilai lebih dari sekadar spesifikasi atas kertas. Anda perlu pandu sendiri untuk merasai sendiri kemana wang yang anda bayar itu telah pergi.

Penulis sentiasa senang hati memandu Velar ini, terasa mudah, teruja setiap kali mahu menghidupkan enjinnya, dan rasa lebih istimewa di atas jalan. Untuk itu, sudah terasa berbaloi.

Spesifikasi Range Rover Velar P250 Dynamic HSE

Harga: RM739,800
Enjin: 2.0-liter Ingenium turbo 4-silinder
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 250PS
Tork: 365Nm

Honda WR-V RS boleh buat Perodua Ativa tak duduk senang? – Pandu uji

BILA Honda Malaysia mengumumkan tidak akan membawa masuk BR-V generasi baharu, ramai netizen yang mengeluh kerana merasakan mereka perlu sebuah kenderaan tujuh tempat duduk mampu milik.

Segmen ini – selain Honda BR-V – juga dihuni oleh Mitsubishi Xpander, Toyota Avanza, Perodua Alza, dan Perodua Aruz. Ada pengeluar yang menggelarkan model mereka sebagai crossover, MPV, malah SUV.

 

Bagi penulis, kesemuanya dalam segmen yang sama, gelaran hanya diberi berdasarkan rupa dan bukannya fungsi. Tapi cerita kita hari ini ialah ‘pengganti’ BR-V, iaitu WR-V.

Seperti yang anda telah ketahui, WR-V ialah model segmen-A atau B kompak dengan rupa SUV, dan berkapasiti lima tempat duduk. Ini menjadikannya pesaing kepada Perodua Ativa.

Adakah Honda berpendapat pembeli mereka tidak mahu lagi MPV/crossover tujuh tempat duduk dan mahukan SUV kompak, atau Honda tidak mahu Perodua memonopoli pasaran SUV segmen-A?

Rupa trendy

Sebelum menjawab soalan di atas, kita lihatkan beza harga. Honda WR-V ditawarkan pada harga bermula RM89,900 untuk varian S, tetapi varian RS yang kami uji ini berharga RM107,900. Ativa pula berharga antara RM62,500 hingga RM72,600.

Sudah tentu Ativa lebih mampu milik kerana hadir dengan enjin berkapasiti lebih kecil selain tarafnya sebagai pengeluar kereta nasional.

Tetapi jika diamati penggayaan Honda WR-V, penulis dapati ianya direka untuk memenuhi kehendak dan minat golongan muda masa kini. Trend SUV menular dari segmen lebih atas (C, D, premium) dan kini tiba ke segmen-A. Lihat sahaja Toyota Corolla sedan dengan Corolla Cross, yang mana lebih mudah dijumpai?

Penulis suka rupa keseluruhan WR-V ini kerana ia nampak segar tetapi pada masa yang sama ada ‘family look’ dengan model-model Honda lain. Lampu depan LED mirip City lengkap dengan signal sequential, gril dengan titik-titik krom memberikan rasa premium, pembuka pintu belakang tersorok seperti HR-V, kemudian lampu belakang dengan garisan nyalaan seperti Civic FE.

Saiz WR-V ini terasa cukup-cukup sahaja, sempurna untuk kegunaan keluarga muda yang tinggal di bandar.

Kabin potong ‘stim’

Jujur kata, penulis mula-mula masuk ke dalam WR-V ini rasa sedikit kecewa. Entah kenapa, tapi kabinnya seperti ‘kosong’.

Bila diteliti balik, sebenarnya okay sahaja untuk harga ini. Cuma mungkin penulis terbawa-bawa dengan kecantikan badan luaran, jadi penulis ada harapan tinggi untuk bahagian dalaman.

Banyak plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu, tetapi terdapat elemen hitam glos dan merah dengan balutan kulit lembut di papan pemuka bahagian kiri, sedikit sebanyak menyerikan pemandangan.

Jelas kabin WR-V ini setaraf dengan City walaupun tidak serupa sepenuhnya. Jika dibandingkan, kabin HR-V lebih mempunyai rasa ‘wow’, setaraf dengan Civic. Tetapi harga pun dah jauh berbeza, bukan.

Kelengkapan Honda WR-V ini cukup banyak sebenarnya, ia mendapat kemasan kulit dengan jahitan merah, paddle-shifters, pedal sports, paparan TFT 4.2-inci di antara dua meter analog, sambungan Apple Carplay dan Android Auto, dua soket USB, dan barisan ciri keselamatan Honda Sensing.

 

Tempat duduk pula cukup selesa, penulis tiada rungutan untuk bab ini. Kabin juga terasa lapang di depan dan belakang, Honda memang sentiasa cemerlang memanfaatkan ruang yang ada.

Penawaran semua ini jelas menunjukkan Honda memahami kehendak dan trend pembali mereka masa kini. Spesifikasi semuanya memberikan cukup pilihan bagi mereka yang berkeluarga kecil dan golongan muda yang baru bekerja.

Pemanduan berorientasikan selesa, tetapi…

Honda WR-V dikuasakan oleh enjin 1.5-liter i-VTEC yang kita sudah kenali, ia menghasilkan 119hp dan 145Nm tork. Kuasa dihantar ke roda depan menggunakan transmisi CVT, pakej yang sama seperti Honda City.

Jadi, gaya pecutannya mirip model sedan dan hatchback itu, ramai yang sudah terbiasa dan memang ianya okey. Penghantaran kuasa terasa cukup responsif dan linear, CVT Honda merupakan antara yang terbaik untuk segmennya, bagi penulis.

Bezanya, Honda WR-V ini lebih tinggi dari City. Selain dari lebih mudah keluar dan masuk, anda akan dapat pandangan depan lebih jauh dan meyakinkan. Tetapi talaan suspensi adalah lebih lembut dari sedan, jadi olengan badan lebih jelas.

Bagus juga sebegini, kerana akan mengingatkan anda supaya tidak terlalu laju di selekoh. Yang penting, keselesaan lebih utama untuk WR-V ini.

Cuma satu isu kecil buat penulis, kerana didapati agak kerap penulis melawat stesen minyak. Bukan kerana enjinnya tidak jimat, mungkin kerana tangki minyak WR-V ini yang tidak begitu besar.

Kecekapan enjin elok sahaja, penulis dapat 13.5km per liter secara purata walaupun tidak terlalu mencuba. Tetapi tiada info berkenaan kapasiti tangki minyak WR-V ini yang dapat dijumpai, tidak mengapalah.

Apa pun, untuk perjalanan jauh, ciri keselamatan aktif dari Honda Sensing seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Assist System (LKAS), dan Auto High beam (AHB) sangat membantu mengurangkan ‘beban’ kepada pemandu.

Honda faham pembeli Malaysia?

Untuk kita jawab semula persoalan di atas tadi, bagi penulis, dua-dua sebenarnya. Honda faham keperluan pembeli mereka masa kini, dan juga mereka tidak mahu biarkan Perodua terlalu selesa dalam segmen SUV kompak ini.

Hal ini pastinya bagus untuk pengguna. Anda ada pilihan membeli model jenama tempatan, atau tambah sedikit untuk model bukan nasional. Pilihan seperti biasa, bukan?

Jadi, ada yang masih rindukan BR-V?

Spesifikasi Honda WR-V RS

Harga: RM107,900
Enjin: 1.5-liter i-VTEC 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: CVT
Kuasa: 121hp @ 6,600rpm
Tork: 145Nm @ 4,300rpm

Volvo XC60 Recharge T8 Ultimate: Pengalaman PHEV lebih mudah dan bermakna – Pandu uji

CUBA anda perhatikan kotoran dan percikan tanah yang naik di skirt sisi serta bampar Volvo XC60 ini, nampak seperti SUV yang betul-betul dimanfaatkan kemampuannya, bukan? Barulah Sports Utility Vehicle, cewah.

Penulis rasa rugi bagi pemilik SUV jika tidak pernah langsung mereka pandu kenderaan mereka melalui jalan off-road sekali-sekala, walaupun model premium seperti XC60 ini.

Sama macam Land Rover Defender 90 yang kami pandu sebelum ini, kami juga uji memasuki off-road, berlagak seperti taukeh ladang sawit.

Apa pun, Volvo XC60 yang anda lihat ini ialah varian Recharge T8 Ultimate versi terkini. Untuk yang belum tahu, Recharge bermaksud model itu plug-in hybrid (PHEV), T8 merujuk kepada tahap kuasa yang mampu dihasilkan, dan Ultimate bermaksud trim atau kemasannya.

Volvo XC60 Recharge T8 merupakan antara beberapa SUV premium PHEV dalam pasaran, sudah beberapa tahun ditawarkan, tetapi kemas kini yang terkini menjadikan ia model lebih menarik dan mudah dipandu.

Antara komen mengenai model PHEV sebelum ini ialah jarak dibekalkan bateri terlalu kecil, tidak berbaloi pemanduan mod elektrik terlalu singkat.

Jadi dengan teknologi bateri dan motor elektrik yang semakin matang, Volvo XC60 Recharge T8 kini boleh dipandu sehingga 81km tanpa menggunakan setitis petrol langsung.

Elektrifikasi dipertingkat, lebih mudah

Jarak 81km tadi disumbangkan oleh bateri 18.8kWh kini yang menggantikan bateri 11.6kWh sebelumnya, dengan jarak pemanduan 45km. Walaupun anda takkan dapat 81km dalam pemanduan harian sebenar, tapi pengikut pengalaman penulis, 65 hingga 70km adalah realistik, boleh dicapai.

Ini menjadikan pemanduan XC60 sebagai sebuah PHEV lebih menarik. Jika kena caranya, anda boleh pandu ulang-alik ke tempat kerja berminggu-minggu tanpa mengisi minyak!

Bagaimana? Katakan jarak tempat kerja dari rumah anda kira-kira 30km. Anda keluar rumah pagi dengan bateri dicas penuh, bekalan jarak 70km. Anda sampai ke pejabat berbaki 35km atau separuh bateri, anda cas di parkir pejabat beberapa jam, dan anda pulang ke rumah dengan bateri penuh.

Sampai di rumah, anda cas lagi untuk pagi esok semula. Isnin hingga Jumaat langsung tidak perlu isi petrol. Kemudian hujung minggu mungkin memandu menggunakan enjin dan petrol seperti biasa untuk bercuti ke Pulau Pinang semalaman, itu pun 70km pertama guna mod elektrik. Amacam?

Ini yang penulis katakan fungsi PHEV pada XC60 Recharge T8 kini lebih signifikan dan lebih bermakna.

Masa diperlukan untuk mengecas SUV ini ialah sekitar tiga jam dengan AC 3.6kW, sementara menggunakan soket rumah 220 volt adalah lebih perlahan, antara empat hingga lapan jam. Tetapi kita tidak mengejar masa jika mengecas di rumah waktu malam, bukan?

Dengan bateri lebih besar, motor elektrik XC60 ini juga kini lebih berkuasa, menghasilkan 158hp. Digandingkan pula dengan enjin petrol 2.0-liter turbo yang juga lebih berkuasa (317hp dan 400Nm), Volvo XC60 Recharge T8 Ultimate ini mempunyai output keseluruhan 462hp dan 709Nm tork!

Ya, sudah hampir menyamai supercar.

Enjin petrol tadi menyalurkan kuasanya ke roda depan melalui kotak gear 8-kelajuan, manakala motor elektrik menghantar kuasa ke roda belakang. Ini menjadikan XC60 ini sebuah SUV pacuan semua-roda sebenar.

Dengan kuasa maksima apabila bateri dicas penuh, Volvo XC60 Recharge T8 seberat 2.1 tan ini mampu mencapai 100km/j dalam masa 4.8 saat sahaja.

Kabin minimalis yang selesa, padat teknologi

Kabin XC60 seperti biasa seperti model-model lain dalam barisan Volvo hari ini, ringkas dan minimalis. Ia kemas, tidak menyemakkan mata, tetapi pada masa yang sama penuh fungsi praktikal.

Sekilas pandang, XC60 Recharge T8 ini tidak nampak berbeza kabinnya dengan versi-versi tahun sebelumnya. Tetapi perubahan terbesar ialah sistem infotainmen dengan pakej Google binaan dalam, lengkap dengan Google Maps yang boleh digunakan tanpa sambungan telefon pintar.

Lebih penting lagi, Google Maps di sini mempunyai menu tambahan untuk mencari lokasi pengecas awam. Sama seperti penulis katakan di atas tadi, ini menjadikan pengalaman PHEV bersama Volvo XC60 ini lebih menarik, praktikal, dan mudah digunakan.

@engear.tv Cara midah cari charging station dengan Volvo XC60! #volvo #volvoxc60 #xc60 #suv #hybrid #charging #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok #tiktokmalaysia ♬ original sound – Engear TV

Dan sebenarnya fungsi Google Maps dalam unit infotainmen ini juga terdapat pada model-model Recharge lain sama ada PHEV atau EV (elektrik sepenuhnya).

Kabin Volvo XC60 kekal sebagai suatu tempat yang selesa untuk diduduki dalam tempoh lama, sebagai contoh bila terperangkap dalam kesesakan trafik atau semasa memandu untuk perjalanan jauh. Ada yang berkata, “Beli kereta mahal-mahal pun sangku dalam ‘jem’, kena bawa 110km/j juga.”

Ya, tetapi apa salahnya kita berada dalam kenderaan yang jauh lebih selesa. Sekurang-kurangnya bila sampai destinasi, tidak perlu suruh orang rumah urut bahu kita. Dengan XC60 ini, penulis langsung tidak rasa penat walaupun memandu lebih tiga jam dalam sehari dan pergi ke banyak tempat.

Keselesaan ini bukan sekadar tempat duduk yang suportif dan empuk, tetapi juga dari segi rekaan kabin dan rasa semua tombol dan suis. Semuanya mudah dan sedap digunakan, sebagai contoh tuil lampu isyarat dan bilah corong pendingin hawa, rasa ‘berat’ cukup seimbang antara premium dan fungsi.

Sebenarnya perkara-perkara kecil sebegini yang membuatkan kita sedar kemana wang kita pergi bila membeli kereta premium. Bukan semuanya dapat dilihat atas kertas risalah atau gambar Google.

Panel instrumen digital juga telah dikemas kini dengan grafik baharu, sementara fungsi lain dalam sistem infotainmen dikekalkan. Semua mod pemanduan, kawalan pendingin hawa, serta fungsi-fungsi lain untuk kereta ‘disimpan’ dalam skrin potret menegak.

Ia mudah untuk dipelajari, cuma sama seperti komen penulis dalam laporan pandu uji sebelum-sebelum ini, pelarasan fungsi asas melalui skrin sesentuh bukanlah sesuatu yang paling ideal. Diharapkan Volvo akan mengubah aspek ini untuk kenderaan generasi baharu nanti.

SUV premium saiz paling ideal

Ini bukan kata-kata berat sebelah, tetapi Volvo XC60 merupakan antara model idaman penulis untuk kategori kereta keluarga, malah SUV kegemaran penulis dari jenama Sweden ini. Sebab utama ialah XC60 mempunyai saiz yang sederhana, tidak terlalu besar.

Penulis tidak perlukan saiz penuh seperti XC90, manakala XC40 pula cukup untuk dua dewasa sahaja di belakang. XC60 boleh memuatkan tiga dewasa dengan selesa.

Saiz sederhana ini juga seimbang dari segi kawalan semasa pemanduan. Walaupun mempunyai kuasa maksima setanding kereta sports, kita tidak boleh melawan hukum fizik dimana Volvo XC60 ini mempunyai berat hampir dua kali ganda kereta sports.

Jadi kuasanya bukan untuk pecutan dan kelincahan, tetapi lebih kepada kesedapan pemanduan. Sedap macam mana tu? Sedap dimana anda ada keyakinan untuk memotong, dapat meluncur di lebuh raya dengan selesa, dan pada masa yang sama, tetap cekap dan menjimatkan bahan api.

XC60 ini terasa lembut dan berat dalam mod seperti Hybrid, Pure, dan AWD. Tetapi jika anda masuk ke mod Power, talaan respon pedal minyak dan pertukaran gear ‘mengubah’ SUV ini menjadi lincah. Sentuh sedikit sahaja pedal, anda sudah melonjak ke depan menyaingi Volkswagen Golf GTI di sebelah.

Mod Off-road lebih kepada ‘melembutkan’ respon enjin agar kuasa disalurkan dengan sesuai untuk permukaan tidak rata dan dengan cengkaman rendah, seperti dalam lumpur. Jika respon terlalu mengejut, tayar akan ‘menggali’ ke dalam dan bukannya memacu kenderaan ke depan.

Penulis sempat uji mod Off-road (ringan-ringan) semasa memasuki ladang sawit dan mendaki menuju Jelatok Retreat Farm di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Rupa segak dan ‘evergreen’

Akhir sekali, penulis suka rupa dan penampilan XC60 Recharge T8 ini yang segak tetapi evergreen. Walaupun hanya perubahan kecil diberikan setiap tahun, ia tetap nampak ‘segar’ kerana rupa asalnya yang sudah sedia kemas.

Semua garisan adalah sekadar perlu sahaja, tidak melebih-lebih dan keterlaluan. Trim Ultimate kali ini lebih sporti sebenarnya berbanding Inscription Plus sebelum ini. Tetapi perubahan adalah minima, mungkin jika diletakkan bersebelahan model lama dan baharu, baru nampak bezanya.

Cuma penulis suka bampar depan Ultimate ini yang lebih agresif dan sporti, dengan panel hitam serta ruang bukaan udara lebih besar.

Sebagai kesimpulan, Volvo XC60 Recharge T8 bukan sekadar menjadikan kenderaan PHEV lebih masuk akal untuk dipilih bagi mereka yang belum sedia untuk beralih ke EV sepenuhnya, tetapi pengalaman PHEV itu sendiri telah ditambah baik.

Adakah PHEV berkesan untuk XC60 ini? Penulis berjaya mendapat bacaan 7.5 liter sahaja untuk 100km secara purata, atau bersamaan 13.33km/liter. Ini penggunaan minyak tahap Myvi, tetapi harus diingat XC60 ini mempunyai lebih 460hp dan berat melebihi dua tan. Sila hadam…

Spesifikasi Volvo XC60 Recharge T8 Ultimate

Harga: RM355,888
Enjin: 2.0-liter turbo petrol
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 317hp @ 6,000rpm
Tork: 400Nm @ 3,000 hingga 4,500rpm
Motor elektrik: 145hp/309Nm
Output keseluruhan: 462hp/709Nm

Kia Sorento 2.2D 6-Seater AWD untuk yang tak pernah suka SUV! – Pandu uji

SELEPAS meluangkan masa dengan Kia Sorento ini beberapa hari, penulis yakin ia sebuah SUV untuk mereka yang tak pernah suka SUV. Dengar macam ayat penutup, bukan? Tetapi inilah mukadimah untuk laporan pandu uji Kia Sorento 2.2D 6-Seater AWD ini.

Seperti yang kita dapat lihat sekarang, ramai yang semakin sukakan SUV untuk pelbagai sebab sama ada untuk gaya hidup aktif (kononnya), untuk lebih praktikal, atau semata-mata mengikut trend. Tiada yang salah.

Tetapi masih ramai yang masih suka dengan kereta tradisional untuk kenderaan keluarga peribadi, seperti sedan atau hatchback. Mungkin belum bersedia untuk SUV kerana rasa saiznya terlalu besar, kos penyelenggaraan lebih tinggi, atau tidak sukakan bentuk terlalu ‘aktif’ atau rugged.

Dengan Kia Sorento baharu ini, penulis yang bukan kaki SUV pun dah jadi minat. Bahkan bila ditunjukkan pada keluarga dan rakan terdekat, rata-rata mereka suka dengan rupa dan konfigurasi unik Sorento 2.2 6-Seater ini.

“Eh tak tahu pula ada SUV gempak macam ni dalam Malaysia, dah lama masuk ke?” Begitulah kata salah sorang rakan penulis.

Sudut, lekuk, dan krom

Reka bentuk model-model Kia (dan Hyundai) masa kini adalah antara yang paling berani dan menyerlah. Lihat sahaja bagaimana rupa Hyundai Elantra dan Kia Carnival, begitu lain dari kebiasaan yang kita jumpa.

Begitu juga dengan Sorento ini, sejak dilancarkan tahun lepas, penulis terus jatuh hati dengan reka bentuknya. Di depan terdapat gril Tiger Nose yang menjadi identiti Kia, kemudian permainan-permainan krom di lampu, di bahagian sisi, dan tingkap. Segalanya cukup-cukup rasa, tidak keterlaluan.

Di belakang pula dengan lampu petak, ia nampak begitu sesuai di jalan raya Amerika Syarikat bersama kenderaan-kenderaan Ford dan GMC. Tetapi masih diselitkan ‘perisa’ Korea, cukup bergaya.

Keseluruhan reka bentuk Sorento ini menampakkan ia sebuah SUV yang lebar, tegap, dan macho. Penulis belum jumpa sesiapa yang kata Sorento ini buruk. Ada tak?

Konfigurasi unik

Kia Sorento generasi ini ditawarkan dengan tiga varian di Malaysia, terdiri dari pilihan enjin 2.5-liter petrol dan 2.2-liter diesel, bersama kombinasi tujuh atau enam tempat duduk.

Unit pandu uji ini merupakan 2.2D 6-Seater, varian tertinggi, dan seperti anda faham, enam tempat duduk adalah versi lebih mewah.

Dari sudut praktikaliti, mungkin versi ini terhad sedikit kerana ia tidak akan boleh memuatkan lebih dari enam penumpang termasuk pemandu. Tetapi jika keluarga anda tidak terlalu besar, boleh sahaja pilih versi ini.

Penulis pun rasa agak istimewa dengan konfigurasi 2-2-2 ini, dan baris ketiga boleh diakses dengan mudah melalui ruang antara dua tempat duduk baris tengah terutamanya bagi penumpang kanak-kanak.

Tempat duduk baris kedua sudah tentu selesa dengan kerusi ala kapten, siap dengan perehat tangan di bahagian tengah. Di baris ketiga juga masih sangat selesa walaupun untuk penumpang dewasa, tiada masalah walaupun perjalanan kira-kira sejam.

Kelengkapan di baris ketiga tidak kekurangan, dimana anda akan dapat soket 12 volt, panel kawalan pendingin hawa sendiri, dan ruang simpanan serta peletak cawan. Terdapat juga butang untuk melipat tempat duduk ini secara automatik.

Kita ke depan pula, kabin Sorento ini cukup kemas. Walaupun banyak butang dan tuil kawalan, segalanya diatur dengan kemas, tidaklah sehingga membuatkan anda berserabut atau risau memandunya. Lebih kepada rasa dalam kokpit pesawat peribadi. Canggih dan elegan.

Rasa hebat pula bila mengemudinya.

Kelebaran Sorento ini juga boleh terasa bila anda lihat jarak antara dua tempat duduk depan ini. Tetapi semua butang penting boleh dicapai dengan mudah, malah senang difahami.

Di belakang tombol gear, selain butang kawalan Auto Hold dan brek parkir automatik, anda juga dapat satu tombol rotary dengan dwi-fungsi iaitu Mode (pemanduan) dan Terrain.

Untuk mod pemanduan, anda boleh pilih Comfort, Eco, Sport, dan Smart, seperti biasa. Tetapi untuk Terrain, terdapat mod Snow, Mud, dan Sand. Ini pastinya sangat relevan memandangkan SUV ini mendapat pacuan AWD.

 

Mungkin tidaklah mampu off-road hardcore seperti Land Rover Defender atau Toyota Hilux, tetapi cukup untuk melalui kawasan sedikit berliku. Mana tahu anda mahu bawa keluarga ke pantai atau tapak glamping, bolehlah gunakan mod Mud atau Sand, sistem akan melaras respon enjin dan kotak gear untuk disesuaikan dengan permukaan ini.

Seperti di luar, kemasan krom juga terdapat di dalam, menaikkan seri warna kelabu pada papan pemuka. Krom diberikan sedikit pada stereng, corong pendingin hawa, tombol gear, konsol tengah, dan pedal.

Memang sebuah kabin yang sedap dan selesa diduduki walaupun untuk perjalanan jauh. Ya, Kia Sorento memang direka untuk perjalanan jauh, bukan?

Powertrain lazat

Memandu Kia Sorento ini, karakternya sepadan dengan rupanya yang lebar, tegap dan macho. Pergerakan badan Sorento ini terasa berat dan selesa, digerakkan oleh nadi berkuasa.

Tetapi secara fizikalnya, memang Kia Sorento ini berat dan berkuasa. Ia mempunyai jisim lebih 1,800kg, dan dikuasai oleh enjin 2.2-liter diesel dengan output 199hp dan 440Nm tork.

Maka tidak hairanlah pemanduan Sorento ini mirip kereta-kereta Continental seperti S-Class atau Range Rover yang besar dan berat, tetapi enjin yang berkuasa dengan tork menggunung ‘menipu’ fizik, membuatkan ia memecut dengan bersahaja.

Walaupun dengan penumpang dan muatan, Sorento ini mampu menambah kelajuannya semasa mendaki di Bukit Tinggi dari Karak ke Genting Sempah sambil kereta-kereta di depan beralih ke lorong kiri untuk memberi laluan.

Kotak gear dwi-klac 8-kelajuan pula membantu enjin bekerja dengan lebih cekap. Ia terus menerus memberikan gear lebih tinggi bagi memastikan rpm berada dalam julat kuasa semasa memecut. Tetapi bila sudah meluncur di kelajuan malar, Sorento ini kekal senyap walaupun di kelajuan lebuh raya.

Padanan enjin diesel, kotak gear 8-kelajuan, badan besar, semuanya satu resepi untuk kereta long distance idaman. Ahli keluarga anda pasti gembira sepanjang perjalanan. Anda sebagai pemandu pun tidak penat walaupun lebih dua jam memandu.

Pada masa yang sama, ia masih agak menjimatkan dengan penggunaan bahan api sekitar 12 hingga 13km per liter dengan mudah.

Harus diingat, walaupun berkuasa, Sorento ini masih sebuah kenderaan yang besar dan berat, jadi ia tidaklah selincah sedan ketika di selekoh. Ia mampu mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi, anda harus lancar dengan input anda, cuma ia tidak begitu gembira untuk pertukaran arah yang laju atau agresif.

@engear.tv #Kia #Sorento 2.2D Buat Aku #Bingung 😶‍🌫️ #suv #diesel #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok #tiktokmalaysia ♬ original sound – Engear TV

Kesimpulan

Sukar untuk mencari kelemahan Kia Sorento 2.2D ini sebenarnya. Ia segak, luas, terasa premium, sedap dipandu, dan selesa. Jika orang yang tidak sukakan SUV terpaksa memilih SUV, pasti dia tidak keberatan memilih Sorento ini.

Mungkin satu kelemahan yang ingin penulis kongsi ialah dari segi tetapan keselamatan. Ya, Sorento baharu ini padat dengan pelbagai sistem terkini seperti Blind Spot Collision Warning, Lane Keeping Assist, dan Forward Collision-Avoidance Assist.

Cuma jika kita padamkan kebanyakan sistem untuk lebih mudah dipandu dalam bandar yang sibuk, kereta ini tidak menyimpan tetapan ini. Semua sistem akan aktif semua secara sendiri jika anda matikan enjin dan hidupkan semula. Jadi, agak leceh untuk memadamkan semula barisan sistem keselamatan aktif tadi setiap kali.

Ini kerana ada pengeluar lain yang kekal dengan tetapan keselamatan dipilih pemandu walaupun enjin dimatikan dan dihidupkan semula.

Akhir sekali, harganya melebihi RM250,000. Pada tahap ini, mungkin anda dah boleh lihat kereta premium Jerman, tetapi jangan lupakan Sorento jika anda betul-betul perlukan kenderaan keluarga yang besar dan praktikal. Jangan lalai.

Spesifikasi Kia Sorento 2.2D 6-Seater AWD

Harga: RM255,228
Enjin: 2.2-liter diesel turbo
Kotak gear: Automatik dwi-klac 8-kelajuan
Kuasa: 199hp @ 3,800rpm
Tork: 440Nm @ 1,750rpm

Proton Exora tak lapuk dek zaman

Diperkenalkan buat pertama kali pada 2009, Proton Exora merupakan antara model yang penting buat pengeluar kereta nasional itu memandangkan ia merupakan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang pertama dari mereka.

Bukan itu sahaja, kehadirannya ke pasaran tempatan pada masa itu boleh dikatakan ibarat sinar baru kepada mereka yang ingin mendapatkan sebuah kenderaan yang bukan sahaja bergaya tetapi juga versatil dan mampu milik.

Malah, dengan formula yang mudah dan straightforward ini, Exora terus menjadi model terlaris dalam pasaran MPV segmen C hingga ke hari ini dengan jualan kira-kira 400 unit sebulan.

Walau bagaimanapun, selepas hampir 15 tahun berada dalam pasaran, Proton dikhabarkan akan menghentikan pengeluaran Exora pada Disember tahun ini.

Tidak pasti sama ada ia akan digantikan dengan Geely Jiaji versi rebadge atau tidak namun apa yang pasti, ketiadaan Exora dalam barisan Proton pasti akan dirasai oleh pemilik atau mereka yang pernah memiliki model ini.

Bagaimana Exora masih boleh dijual walaupun sudah lama berada dalam pasaran?

Menjual sesuatu model untuk satu jangka masa yang lama bukanlah satu amalan yang asing buat Proton. Bagaimanapun, dalam kes Exora, ia tetap berjaya mengekalkan prestasi jualan yang baik walaupun diasak oleh SUV dan crossover yang semakin lama semakin popular.

Bagi penulis, Exora berjaya bertahan sehingga kini kerana beberapa faktor termasuk harga, praktikaliti dan prestasi.

Dengan harga sekitar RM70,000, Exora muncul sebagai antara MPV paling mampu milik di pasaran ketika itu dan ini telah menarik perhatian pembeli yang berkeluarga. Lebih menarik lagi, harga Exora kekal pada paras itu walaupun mendapat facelift dan kemaskini yang komprehensif.

Tidak syak lagi, praktikaliti adalah kelebihan utama yang dimiliki oleh Exora. Ruang kabinnya yang cukup luas, kerusi yang empuk serta corong pendingin hawa pada setiap barisan menjadikan ia sebuah kereta yang cukup selesa untuk seisi keluarga, sama ada untuk urusan harian atau pun untuk ke destinasi percutian.

Bukan itu sahaja, kerusi barisan kedua dan ketiga yang boleh dilipat bermakna Exora boleh mengangkut barangan pelbagai bentuk dan saiz, sekali gus sesuai untuk digunakan untuk tujuan perniagaan atau komersial.

Baru-baru ini, penulis sempat menemubual Encik Norhisham yang merupakan seorang pemilik Proton Exora B-Line keluaran tahun 2011.

Menceritakan pengalamannya, Encik Norhisham yang merupakan seorang penjawat awam berkata, beliau membeli Exora kerana harganya yang berpatutan dan saiznya yang cukup besar untuk keluarganya.

Pada awalnya, kereta itu digunakan sebagai kenderaan harian namun setelah anak-anaknya membesar, Encik Norhisham mengambil keputusan untuk menggunakannya untuk menjual pelbagai jenis barangan di acara-acara car boot sale.

Bukan itu sahaja, Exora miliknya itu juga kadang-kala digunakan sebagai shuttle untuk membawa pelanggan syarikat agensi pelancongan yang dijalankannya. Ini membuktikan bahawa Exora cukup versatil dan serba boleh.

Dari segi prestasi pula, Encik Norhisham berkata enjin 1.6-liter CamPro CPS empat silinder itu tidak pernah memberikan sebarang masalah besar sepanjang tempoh pemilikan serta cukup mudah untuk diselenggara.

Walaupun tidak dilengkapi dengan pengecas turbo seperti CFE, enjin itu ternyata cukup kuat dan lasak serta mampu memenuhi keperluannya sebagai seorang yang berkeluarga serta pemilik perniagaan kecil.

Malah, Encik Norhisham berkata enjin itu juga cukup menjimatkan dengan jarak melebihi 500 km boleh dicapai dengan satu tangki penuh.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut melakukan beberapa modifikasi kosmetik bagi menyerlahkan lagi penampilan MPV miliknya itu.

Antara modifikasi yang dilakukan termasuk penggunaan kit badan, rim berukuran 20 inci, set gegelung rendah dan bumbung panoramik. Semua ini, menurut Encik Norhisham, melibatkan kos kira-kira RM20,000.

Hasil kreativitinya, beliau pernah memenangi beberapa anugerah bukan sahaja di acara-acara dalam negara tetapi juga di luar negara termasuk Thailand.

Mendengar cerita dari mulut Encik Norhisham sendiri, penulis boleh simpulkan bahawa Proton Exora, walaupun tidak sempurna, tetap mempunyai kelebihannya yang tersendiri yang membuatkan para pemilik seperti Encik Norhisham setia hingga ke hari ini.

Dengan praktikaliti dan ketahanan yang ditawarkan, serta harga yang kompetitif, tidak hairanlah Exora masih mendapat tempat dalam pasaran kereta yang semakin lama semakin mencabar.

Chery Omoda 5: Ini 5 benda kami suka dan tak suka – Pandu uji

BAGI anda yang berumur 30 tahun ke atas sama macam penulis, pasti ingat jenama Chery yang pernah berada di pasaran Malaysia kira-kira 15 hingga 20 tahun lepas. Beberapa produk ditawarkan, paling popular rasanya Chery Eastar, sebuah MPV tujuh tempat duduk.

Gambar oleh: Wikipedia

Pada masa itu, mereka yang membeli jenama Chery mahukan nilai untuk wang, harga menarik untuk pakej ditawarkan. Ada juga yang tidak yakin dengan jenama China kerana persepsi dan stereotaip. Namun setelah lama menghilang, Chery kembali lagi dengan rombakan 360 darjah.

Jenama ini kembali dengan semangat baharu, produk serba moden, malah membuat beberapa pengumuman lantang sebelum kehadirannya.

Sebagai contoh, jualan global Chery bagi tahun 2022 melebihi satu juta unit, kerjasama CKD dengan Inokom, dan beberapa model di pasaran tertentu ditawarkan jaminan enjin 1,000,000km!

Sekarang kami ada satu produk yang telah kami uji, perkenalkan Chery Omoda 5. Memandangkan ada nombor 5 pada namanya, kami akan kongsikan lima benda yang paling kami suka dan tidak suka pada SUV baharu ini.

Sebelum itu sebagai mukadimah, perkara yang anda perlu tahu ialah Chery Omoda 5 merupakan SUV segmen-B yang menjadi pesaing kepada Proton X50, Toyota Corolla Cross, dan Honda HR-V. Ia ditawarkan dengan dua varian, pada harga RM108,800 dan RM118,800.

5 benda kami suka

1. Reka bentuk bergaya dan futuristik

Yang pertama ialah penampilan dan reka bentuk Chery Omoda 5 ini yang penulis rasa cukup bergaya. Gril depan besar yang begitu berbeza dari model kebiasaan pasti menarik minat orang yang memandangnya.

Malah bila penulis berhenti di lampu isyarat sebelah kereta sedan premium Jerman yang terkini, orang lebih memandang Chery Omoda 5, lebih tepat ke arah gril dan logo depan. Agaknya dia berkata dalam hati, “Kereta ape ke benda pula ni?”, begitulah penulis syok sendiri.

Tetapi penulis sendiri pun bila kali pertama melihat Omoda 5 semasa pratonton oleh Chery tahun lepas, penulis sangkakan ia sebuah EV. Rupa-rupanya guna enjin petrol 1.5-liter turbo.

2. Banyak ciri fancy

Mungkin salah satu cara untuk menarik minat pembeli ialah dengan memberikan banyak ciri, termasuk ciri-ciri fancy.

Sebagai contoh, kameranya sangat cantik dengan resolusi tinggi, boleh mengalahkan jenama premium. Paparan cukup tajam dan jelas, serta ada banyak mod pandangan. Ia sangat berguna untuk mengemudi kereta di tempat sempit, malah paparan sewaktu malam juga masih jelas.

Seterusnya ada lampu ambien, ya ini biasa, banyak kereta yang ada. Tetapi lampu ambien pada Chery Omoda 5 ini siap boleh ikut rentak muzik yang anda mainkan. Seronok betul penulis tengok gerakan lampu semasa memainkan lagi Makeba oleh Jain.

Dan satu lagi yang menarik ialah lampu depan dan belakangnya ada corak dan grafik bergerak semasa kita kunci dan membuka kunci kereta. Cukup menarik untuk kereta pada harga ini.

3. Papan pemuka moden dan minimalis

Bila masuk saja ke dalam, wah, langsung tak macam kereta RM110k. Tapi macam kereta RM250k! Skrin besar berkembar yang panjang melintang macam kereta Jerman, konsol tengah tinggi dengan butang dan paparan kemas, fuh. Memang lain auranya.

 

Terdapat juga pad pengecas tanpa-wayar di tengah dengan alas fabrik, tombol gear elektronik, serius memang agak impresif untuk paras harga ini. Segala kawalan juga tersusun kemas dan mudah untuk dikenal pasti.

4. Kawalan badan mantap

Sebuah SUV biasanya tidak mementingkan pengendalian, tetapi Chery Omoda 5 ini masih cemerlang untuk aspek ini. Kawalan badannya mantap dalam kebanyakan keadaan, sama ada semasa meluncur di lebuh raya beralun, mengambil selekoh, atau melalui jalan bandar berlubang yang ‘cantik’ di negara kita.

Semasa selekoh laju dengan jalan beralun, respon stereng dan pergerakan suspensi membuatkan kereta stabil, sekaligus tidak menjejaskan keyakinan kita. Dalam erti kata lain, juga lebih selamat.

5. Super senyap!

Akhir sekali, perkara kelima yang penulis suka mengenai Omoda 5 ini ialah kesenyapannya. Semasa memandu, tiada langsung bunyi angin walaupun pada kelajuan 140km/j. Bunyi tayar juga hampir tiada, hanya ada sedikit bunyi enjin jika meluncur di kelajuan ini.

Ini kerana Chery Omoda 5 dilengkapi dengan cermin depan dan sisi dwi-lapisan! Satu lagi ciri impresif pada harga sebegini. Patutlah senyap.

Semasa penulis bawa kawan menaiki Omoda 5 ini juga, dia menyangka ini sebuah EV kerana terlalu senyap bila duduk idling. Selepas penulis memberitahu ini kereta dengan enjin turbo biasa, dia masih sukar mempercayainya.

5 benda kami tak suka

1. Susah tengok luar

Sekarang kita ke perkara-perkara yang penulis tak suka berkenaan Chery Omoda 5, dan perkara pertama ialah susah untuk tengok luar. Ini penulis rasa disebabkan rekaan luarnya yang dramatik dan menggunakan sudut dan garisan yang berani.

Di depan dan sisi tiada masalah sangat, tetapi di belakang dan penjuru bucu sangat susah, mujurlah kamera 360-darjah pada Omoda 5 ini sangat membantu. Cuma rasanya kereta ini tidak boleh hidup tanpa kameranya.

Tetapi inilah pengorbanan bila rekaan cantik! Banyak juga kereta lain yang mempunyai rupa cantik dan susah untuk tengok ke luar.

2. Butang stereng kurang memuaskan

Seterusnya, kita lihat roda sterengnya seperti biasa, terdapat butang dan tombol kawalan untuk pelbagai fungsi. Isunya ialah, butang dan tombol ini terasa seperti kurang memuaskan untuk digunakan.

Ya, ia perkara kecil dan tidak kritikal, tetapi kita memandu akan selalu guna butang kawalan di stereng. Bila ditolak atau ditekan, ia sedikit keras dan berbunyi kuat, semestinya suatu yang boleh ditambah baik oleh Chery di masa depan.

3. Panel hitam cepat kotor

Sebenarnya susah untuk cari benda yang tak disukai mengenai Chery Omoda 5 ini, tetapi seterusnya penulis rasa bab panel hitam yang boleh menunjukkan lampu ambien dengan rentak lagu tadi.

Panel sebegini menjadi kebiasaan juga untuk banyak kereta sekarang, dan untuk Omoda 5, sama juga, masalahnya ialah ia senang melekat habuk dan minyak. Baru sahaja basuh kereta, sentuh sedikit di sini, dah nampak cap jari.

Bukan saja-saja sentuh, tapi kerana panel hitam ini juga menempatkan panel sentuhan untuk kawalan pendingin hawa. Hmm… lagi pengorbanan untuk nampak cantik dan futuristik.

4. Rim dan tayar nampak tak seimbang dengan rekaan badan

Ini aspek subjektif, tapi pada mata penulis, saiz tayar dan rim tidak begitu kena sepadan dengan reka bentuk badan. Ia hanya nampak pada sesetengah sudut sahaja, seperti dari bucu depan dan dari sisi.

Mungkin jika tayar dilebarkan sedikit lebih baik untuk visual, penulis bukanlah pakar dalam bidang ini. Tapi dari maklum balas sebegini, ia sesuatu yang Chery boleh ambil kira.

5. CVT yang sedikit gelabah

Akhir sekali dan paling utama, penulis tidak berapa suka dengan CVT Omoda 5 ini yang sedikit gelabah. Gelabah macam mana? Jenis yang kita tekan sedikit sahaja untuk tambah kelajuan, tetapi rpm dia naik mendadak seolah-olah kita mahu memecut dengan pedal rapat ke lantai.

Dalam sesetengah situasi, ini menjadikan pemanduan tidak begitu tenteram. Penumpang boleh cemas, “Eh eh kenapa ni?”. Banyak CVT lain di luar sana yang mempunyai talaan lebih baik dan steady, serta memberikan feel pemanduan lebih semulajadi dan memuaskan.

Kesimpulan

Sebagai penutup, Chery Omoda 5 ini tidak sempurna, tetapi ia mempunyai beberapa ciri “wow” dan mampu menggugat nama-nama yang sudah lama dan selesa dalam segmen ini. Malah adik ipar penulis sendiri ada bertanyakan mengenai Chery Omoda 5, nampak yang dia begitu berminat.

Omoda 5 juga membuatkan penulis tidak sabar untuk melihat model-model akan datang yang bakal dibawa masuk oleh Chery ke pasaran kita. Jemput tonton video di bawah untuk penerangan lebih lanjut mengenai ulasan pandu uji kami.

Spesifikasi Chery Omoda 5 H

Harga: RM118,800
Enjin: 1.5-liter 4-silinder turbo petrol
Kotak gear: CVT 9-kelajuan
Kuasa: 156hp @ 5,500rpm
Tork: 230Nm @ 1,750rpm

Honda WR-V laris walaupun mahal – Pandu Uji

KETIBAAN Honda WR-V ke pasaran Malaysia pada Julai lalu bukan sahaja sebagai pengganti BR-V tetapi juga sebagai model pertama Honda yang akan menggegarkan segmen SUV kompak.

Pesaing utamanya tidak lain tidak bukan tentulah Perodua Ativa yang terus-menerus mendapat sambutan hangat sejak ia dilancarkan ke pasaran tempatan pada 2021.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dengan harga bermula dari RM62,500 hingga RM73,400, Ativa dilihat sebagai pilihan yang ‘mesra poket’ terutamanya untuk mereka yang ingin beralih ke segmen SUV.

Kehadiran WR-V dijangka akan memberi saingan sengit kepada Ativa namun dengan julat harga yang jauh lebih tinggi iaitu RM89,900 hingga RM107,900, penulis merasakan yang impaknya mungkin tidak sehebat SUV keluaran Perodua itu.

Ini kerana, selain agak mahal, pelanggan sebenarnya boleh memilih untuk mendapatkan kereta yang lebih besar seperti Honda City atau Proton X50 dengan bajet yang sama.

Bagaimanapun, sangkaan penulis mengenai penerimaan WR-V salah sama sekali apabila Honda Malaysia mendedahkan bahawa mereka telah menerima hampir 7,300 tempahan untuk model itu setakat awal September 2023.

Daripada jumlah tersebut, hampir 3,300 unit telah diserahkan kepada pelanggan dan daripada jumlah itu, 62 peratus daripadanya merangkumi varian RS. Ya, walaupun harganya agak tinggi, WR-V tetap laris. Kenapa agaknya?

Semasa sesi uji media yang diadakan di Langkawi baru-baru ini, penulis berpeluang mencungkil beberapa ‘rahsia’ WR-V dan merasai sendiri kelebihan yang dimiliki oleh model itu.

Pertama sekali, reka bentuk. Rasanya tidak keterlaluan jika penulis katakan yang ada segelintir pembeli kenderaan di negara ini yang meletakkan rupa sebagai faktor utama.

Oleh itu jika ada pemilik WR-V yang mengatakan dia membeli kereta ini sebab rupanya semata-mata, penulis tidak akan berasa hairan.

Ini kerana WR-V memang sebuah SUV yang menarik – badannya kecil molek tetapi ia mempunyai wajah yang garang dengan lampu yang tajam, gril yang lebar dan bukaan bampar yang luas.

Dari sisi, garisan karakter yang ‘ditarik’ dari hadapan hingga ke belakang, bumbung yang tidak terlalu tinggi, sert.a rim dua tona berukuran 17 inci (varian RS sahaja) memberikan WR-V imej sporty yang digemari golongan muda

Penulis paling suka melihat SUV ini dari sudut belakang kerana fender yang lebar membuatkan ia kelihatan tegap terutamanya ketika menyusur di jalan raya.

Bagaimanapun, rasa teruja tadi mula berkurangan sebaik sahaja melihat rekaan ruang kabinnya yang tidak semewah model-model keluaran Honda yang lain.

Penggunaan plastik keras pada bahagian atas papan pemuka dan panel pintu, serta kewujudan tuil brek parkir membuatkan model ini rasa dan nampak murah.

Namun begitu, kehadiran upholsteri kulit pada tempat duduk, papan pemuka sebelah penumpang dan perehat tangan, stereng multifungsi dengan balutan kulit serta trim hitam berkilat dilihat menaikkan seri kabin WR-V.

Tidak cukup dengan itu, varian RS yang penulis pandu uji ini nampak lebih garang dengan jahitan kontras berwarna merah pada tempat duduk, papan pemuka dan stereng.

Varian ini juga mempunyai jarum speedometer dan tachometer berwarna merah dan ‘welcome screen’ RS yang akan muncul pada panel TFT 4.2 inci pada kluster instrument setiap kali anda masuk ke dalam kereta.

Dari luar, memang WR-V nampak kecil namun ruang kabinnya tidak terasa sempit. Ruang kaki hadapan dan belakang agak luas untuk sebuah kereta kompak, manakala ruang kepala juga mencukupi walaupun garis bumbungnya kelihatan rendah.

Kusyen pada kerusi pemandu dan penumpang hadapan tidak dinafikan terasa agak pendek dan ini sedikit sebanyak menjejaskan sokongan peha, terutamanya untuk mereka yang tinggi lampai.

Berbeza pula dengan kerusi belakang – kusyennya lebih panjang, lebar dan selesa dan penyandarnya juga tidak terlalu condong. Walaupun tidak mempunyai fungsi ULTRA seperti City Hatchback, ia boleh dilipat secara 60:40.

Dengan kapasiti mencecah 380 liter, ruang but WR-V agak luas dan boleh memuatkan sekurang-kurangnya empat bagasi bersaiz sederhana tanpa sebarang masalah. Menariknya, ketiadaan penutup tonneau membolehkan penumpang belakang mengambil barang dari ruang but dengan lebih mudah.

Dari segi prestasi, ketiadaan pengecas turbo bukanlah satu kelemahan untuk WR-V. Enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC empat silinder yang dibekalkan sudah ternyata cukup untuk SUV kompak ini namun gaya pemanduan haruslah bersesuaian.

Maksud penulis, jika pedal ditekan dengan agresif sudah tentu enjin dan CVT akan ‘mengaum’ namun pecutannya tidaklah begitu dirasakan sehinggalah jarum tachometer mencecah takat 4,000 rpm.

Sebaliknya, jika dipedal ditekan dalam gaya yang lebih progresif, gabungan trenkuasa itu akan memberikan prestasi pecutan yang lebih cepat dan lancar, sekali gus menjadikan pengalaman pemanduan lebih seronok.

Langkawi bukanlah lokasi yang paling sesuai untuk memandu uji kereta pada kelajuan tinggi namun penulis sempat mencecah kelajuan 110 km/j beberapa kali. Pada kelajuan itu, WR-V masih terasa stabil namun bunyi dari tayar dan angin mula meresap ke dalam kabin.

Bagaimanapun, pulau peranginan itu mempunyai banyak jalan kampung dan jalan lama yang bersimpang siur dan beralun, jadi ia cukup sesuai untuk ujian pengendalian.

Untuk mereka yang sekali-sekala gemar ‘melayan’ selekoh, WR-V tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian namun jika terlalu dipaksa, olengan badan akan mula terasa.

Harus diingat yang ia bukanlah kereta sport sebenar dan dengan jarak lega tanah 220 mm, SUV ini sebenarnya agak tinggi. Stereng responsif namun sedikit ringan – bagus untuk pemanduan di dalam bandar tetapi kurang meyakinkan untuk pemanduan agresif.

Penulis diberitahu bahawa varian RS mempunyai talaan yang berbeza untuk penyerap hentak, CVT dan stereng kerana tidak seperti varian S, E dan V yang menggunakan rim 16 inci, varian ini dilengkapi dengan rim 17 inci.

Menurut ketua projek WR-V yang berasal dari Thailand, talaan spesifik ini perlu bagi mendapatkan tahap keselesaan yang sama dengan varian-varian lain. Tidak pasti jika tahap keselesaan sistem suspensi WR-V RS sama dengan varian-varian lain namun ia terbukti boleh menyerap hentakan dengan begitu baik.

Setelah hampir dua hari memandu WR-V, penulis akhirnya faham bagaimana SUV kompak ini boleh mendapat sambutan yang begitu menggalakkan walaupun dijual pada harga yang agak tinggi.

Ia mempunyai semua ciri yang dicari oleh pembeli dalam segmen ini yang rata-ratanya adalah golongan muda. Ini termasuk reka bentuk luaran yang tampan dan ruang kabin yang praktikal, walaupun secara jujurnya kelihatan agak outdated.

Tahap kelengkapannya juga tidak mengecewakan, dengan ciri-ciri penting seperti skrin sentuh bersama Apple CarPlay/Android Auto dan Honda LaneWatch disertakan secara standard pada semua varian. Honda Sensing pula tersedia dari varian E dan ke atas.

Selain itu, WR-V juga mampu memberikan pemanduan yang agak mengujakan, hasil daripada proses R&D dan ujian yang ekstensif.

Akhir sekali, penulis merasakan yang lambang ‘H’ kegilaan ramai itu turut menjadi faktor yang mempengaruhi proses membuat keputusan di kalangan pembeli model ini.

Spesifikasi Honda WR-V

Harga: RM89,900-RM107,900
Enjin: 1.5-liter DOHC i-VTEC empat silinder
Kotak gear: CVT
Kuasa: 121 PS @ 6,600 rpm
Tork: 145 Nm @ 4,300 rpm

Mazda CX-30 2.0G High+ bukan untuk semua – Pandu uji

SEMASA Mazda CX-30 mula menerjah ke pasaran Malaysia pada penghujung 2019, rata-rata kami para media amat menggemarinya. Bukan sahaja ia nampak cantik dan seksi dengan lekuk dan garisan seperti SUV Itali, CX-30 juga sedap dipandu.

Jika anda suka memandu dan seorang pemandu tegar, CX-30 akan cepat serasi dengan anda. Masalahnya, harga CX-30 pada masa itu agak ‘keras’, membuatkan kebanyakan orang risau untuk meminangnya. Lantas menjadikan jualannya sedikit sendu.

Namun tahun lepas, Mazda Malaysia telah memperkenalkan varian CKD (pemasangan tempatan) untuk SUV kompak segmen-B ini, menjadikan harganya lebih sedap didengar.

CX-30 2.0G bermula pada RM131,000 hingga 2.0G High+ Premium pada RM159,000. Ini kira-kira RM13,000 ‘diskaun’ berbanding 2.0G model 2019 dulu.

Cuma untuk CKD kali ini kesemua empat varian menggunakan enjin 2.0-liter petrol sahaja, tiada lagi pilihan 1.8-liter diesel SkyActive-D seperti dulu yang berharga lebih RM170,000.

Jadi, baru-baru ini kami memandu uji varian pertengahan tinggi, iaitu CX-30 2.0G High+ yang berharga RM149,000. Adakah ia berbaloi dibandingkan dengan model seperti Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross? Dan untuk siapakah CX-30 ini?

Seperti satu kelas lebih atas

Mazda CX-30 apabila diteliti dengan lebih dekat, anda akan rasa ia seperti dalam satu kelas lebih atas dari model-model lain dalam segmennya.

Sebagai contoh, bilah krom di bawah gril depan yang bersambung hingga ke lampu depan kiri dan kanan sebenarnya mahal untuk dihasilkan kerana ia komponen krom nipis yang besar.

Kemudian permukaan panel badan di fender, pintu, hingga belakang kereta tidak mempunyai garisan yang jelas, sebaliknya berlekuk dan membentuk permainan cahaya yang cukup menarik. Ia beralun dan memberikan imej CX-30 ini seperti seekor makhluk, bukannya sebuah jentera atau benda.

Permukaan organik sebegini memerlukan tahap penjagaan kualiti yang tinggi dan lebih teliti berbanding garisan konvensional.

Rekaan belakang juga cukup penulis suka kerana nampak elegan dan sporti seperti SUV Itali yang jauh lebih mahal. Untuk anda yang tidak tahu, penulis maksudkan Alfa Romeo Stelvio.

Di dalam, anda lihat sahaja pedal minyak jenis organ pada CX-30 ini, iaitu jenis engsel di lantai. Automatik membuatkan SUV ini rasa lebih mahal berbanding model lain yang menggunakan pedal minyak jenis gantung.

Begitu juga dengan paparan meter rpm dan speedometer. Hanya paparan rpm yang merupakan meter fizikal, sementara speedometer sebenarnya paparan digital. Tetapi Mazda berjaya memberikan penelitian hingga kedua-dua ini nampak begitu serupa. Bila padamkan enjin baru anda perasan bahawa meter kelajuan ialah skrin.

Perkara-perkara sebegini kita tidak dapat lihat dalam risalah atau spesifikasi atas kertas. Jadi, normal untuk kita susah untuk menjustifikasikan harga Mazda CX-30 yang lebih mahal ini. Tetapi setelah pandu uji atau meluangkan masa beberapa hari, barulah kita boleh faham.

Pengorbanan ‘sports car’

Di bawah hud depan Mazda CX-30 kali ini – seperti disebut tadi – ialah enjin 2.0-liter SkyActiv-G petrol naturally-aspirated, cukup untuk menjana 162hp dan 213Nm tork.

Walaupun angkanya biasa-biasa sahaja dan tidak begitu mengujakan, Mazda mengajar kita bahawa sporti bukan bermakna output kuasa tinggi semata-mata. Ya, Mazda CX-30 ialah antara SUV paling sporti dalam kelasnya, jika tidak paling sporti.

Angka bukanlah segala-galanya untuk menjadi sporti, sebaliknya cara enjin SkyActiv ini menaikkan rev-nya, respon, serta bunyi memberikan anda rasa terhubung rapat dengan kereta ini.

Dari respon ultra-cepat bila anda sentuh pedal minyak, kemudian bila jarum rpm naik dengan lancar hingga ke redline 6,800rpm dalam mod manual, menyerlahkan sifat sporti Mazda CX-30 ini. Kemudian kotak gear SkyActiv-Drive yang digunakan ialah 6-kelajuan sebenar, bukan kelajuan maya dari CVT seperti kebanyakan pesaingnya (kecuali X50 yang menggunakan dwi-klac).

Ini bermakna sensasi pertukaran gear adalah ‘real’ dan benar sebenar benarnya, bukanlah gear acah-acah. Pertukaran tidak perlu terlalu cepat, yang penting responnya memadai dan anda rasa rapat dan akrab dengan powertrain CX-30 ini.

Bila rev menghampiri redline, degupan jantung anda semakin kencang, ditemani bunyi merdu yang selesa pada rev tinggi, dan bila upshift, degupan jantung anda turun sedikit. Kemudian meningkat lagi bila memecut dalam gear seterusnya.

Downshift juga seperti jentera sport sebenar. Sama ada mod automatik atau manual, anda dapat rasakan klacnya dipisahkan, enjin blip untuk rev match, dan klac disambung semula dengan lancar, tetapi sporti.

Tidak percaya bahawa output bukan penentu rasa sporti? Baik, ambil contoh Lotus Elise dengan 217hp dari enjin 1.8-supercaj, bandingkan dengan 255hp dalam Mercedes C300 bersama enjin 2.0-liter turbo. Yang mana lebih sporti?

Ya, sebab itu penulis tekankan ‘cara’ enjin itu menghantar kuasa atau karakternya lebih penting, bukan nombor yang kita boleh Google sahaja.

Cuma bila memandu kenderaan sporti, anda mungkin akan buat sedikit ‘pengorbanan’ dari segi ruang dan pratikaliti. Untuk Mazda CX-30 ini terus terang penulis katakan, bukan paling luas dalam segmennya. Ditambah lagi dengan warna hitam-coklat pada kabin, tidak membantu bab ini.

Duduk memang selesa dan suportif, tetapi bila penulis bawa seorang penumpang berbadan gempal duduk di sebelah, dan seorang penumpang agak tinggi di belakang, boleh dirasa sedikit sendat dalam kabin.

Dan jika anda duduk dengan posisi memandu rendah, agak sukar untuk lihat ke luar bahagian kiri dan bucu belakang kereta.

Panel papan pemuka dan segala suis serta tombol mudah dicapai, ini bagus kerana memberikan kita rasa yakin dan kereta ini memfokus terhadap pemandu.

Bukan untuk semua

Jadi senang cerita, Mazda CX-30 ini bukan untuk semua. Ia sedap dipandu, menghargai pemandu tegar dan berjiwa sporti, tetapi mungkin kurang ‘ngam’ dengan kebanyakan orang.

Jika sebelum ini anda pandu Mazda MX-5 semasa bujang, CX-30 sangat sesuai untuk digunakan untuk bina keluarga kecil sebelum anda beralih ke kenderaan lebih besar bila mempunyai lebih dari tiga anak.

Bagi penulis, penulis sangat suka memandu Mazda CX-30 ini kerana saiznya ideal untuk kegunaan harian, selain aspek responsif dan ‘feel’ pemanduan jitu yang ditawarkan oleh konsep Jinba Ittai. Bentuk CX-30 ini juga masih elegan dan evergreen walaupun hampir memasuki empat tahun dan Mazda dengan selamba belum memberikan sebarang kemaskini visual.

Tetapi memang tidak perlu pun. CX-30 masih nampak baharu dan segar dalam pasaran.

Untuk menjawab persoalan awal tadi, Mazda CX-30 nampak tidak berbaloi jika dibandingkan dengan kereta biasa dalam segmennya, tetapi anda akan nampak nilai lebih baik bila dibandingkan dengan model seperti MINI Countryman, Lexus UX atau Mercedes A-Class hatchback.

Spesifikasi Mazda CX-30 2.0L High+

Harga: RM149,000
Enjin: 2.0-liter SkyActiv-G 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan SkyActiv-Drive
Kuasa: 162hp @ 6,000rpm
Tork: 213Nm @ 4,000rpm

Mercedes-Benz GLC 300 4Matic AMG Line mahal tapi cukup mewah – Pandu Uji

MENURUT Mercedes-Benz Malaysia, GLC merupakan SUV paling laris buat jenama itu dengan lebih 12,000 unit terjual di negara ini sejak ia dilancarkan pada 2016.

Jika anda tinggal di Lembah Klang, setiap hari anda pasti akan ternampak kelibat GLC. Pendek kata, ke mana sahaja anda pergi, di situ pasti ada GLC. Tidak syak lagi SUV saiz pertengahan ini memang sangat popular dalam kalangan golongan kaya.

Selepas tujuh tahun, akhirnya model generasi kedua (X254) tiba ke pasaran tempatan. Buat masa ini, terdapat satu varian sahaja yang ditawarkan iaitu GLC 300 4Matic AMG Line. Ia memang nampak lebih segak dan bergaya namun ada satu isu yang tidak boleh diendahkan: sebagai model CBU, harga jualannya bermula dari RM429,888.

Ini menunjukkan perbezaan antara RM70,000 hingga RM80,000 jika dibandingkan dengan GLC 300 generasi terdahulu dan BMW X3 xDrive30i M Sport. Walaupun dalam pasaran premium, perbezaan harga ini boleh dikatakan agak besar. Adakah keadaan ini akan memaksa pelanggan beralih ke jenama lain?

Masih terlalu awal untuk dikatakan namun dalam artikel pandu uji ini, saya akan kupaskan kelebihan-kelebihan GLC yang mungkin boleh membuatkan pelanggan berfikir dua kali sebelum mereka mengunjungi bilik pameran pesaing-pesaing terdekatnya.

Mari bermula dengan bahagian luaran terlebih dahulu. Ya, rekaan adalah subjektif tetapi rasanya tidak keterlaluan jika saya katakan yang GLC nampak lebih bergaya dan mewah jika dibandingkan dengan BMW X3 dan Volvo XC60.

Pada bahagian hadapan, terdapat sepasang lampu yang agak tajam dan langsing. Ia dilengkapi dengan teknologi Digital Light yang mampu menghasilkan pancaran beresolusi tinggi mengikut kondisi pemanduan tanpa menjejaskan pengguna jalan raya yang lain.

Lampu tersebut tersebut bersambung dengan gril trapezoid yang dihiasi dengan bingkai hitam berkilat dan kemasan bermotifkan bintang berbucu tiga. Bampar AMG Line pula memberikan SUV ini ekspresi wajah yang sedikit garang.

Dari sisi, kegagahan GLC terserlah dengan overhang hadapan dan belakang yang pendek, serta rim berukuran 20 inci. Kemasan plastik hitam masih ada pada bahagian bampar dan skirting tetapi untuk gerbang roda, ia digantikan dengan cat mengikut warna badan.

Bahagian belakangnya nampak lebar dan sporty, dan seperti yang anda lihat pada gril, lampu belakang dihiasi dengan motif bintang berbucu tiga. Cuma sedikit mengecewakan kerana terdapat terlalu banyak krom pada bahagian bampar dan muncung ekzos pula adalah palsu.

Kita sedia maklum yang Mercedes-Benz memang juara dalam bab ruang dalaman. Dengan GLC, statusnya sebagai raja interior diperkukuhkan lagi dengan rekaan yang teratur, serta penggunaan material berkualiti tinggi di segenap sudut.

Seperti yang boleh dilihat, konsol tengah nampak kemas dan bersih. Ini kerana semua fungsi-fungsi berkaitan sistem infohibur dan pendingin hawa telah dimasukkan ke dalam skrin sentuh potret 11.9 inci. Anda mungkin tidak perasan namun skrin ini sebenarnya dihalakan sedikit ke arah pemandu untuk memudahkan penggunaan.

Tipikal bagi Mercedes-Benz, grafik dan warna sistem infohibur sangat tajam dan menyerlah, dan operasinya juga amat lancar. Apple CarPlay dan Android Auto boleh digunakan secara wayarles, begitu juga dengan pengecasan telefon. Sebagai alternatif, terdapat dua port pengecas USB Type C di dalam ruang simpanan konsol tengah.

Untuk kawalan sistem pendingin hawa, saya memang lebih suka menggunakan tombol fizikal namun dengan GLC, ia agak mudah kerana panel kawalan digital pada skrin sentuh tersebut agak besar dan jelas. Bukan itu sahaja, ia akan sentiasa terpapar walaupun skrin dipadamkan.

Satu lagi fungsi yang agak berguna adalah Traffic Light View. Setiap kali anda berhenti di persimpangan lampu isyarat, suapan dari kamera hadapan akan dipaparkan pada skrin untuk membolehkan anda memerhatikan keadaan trafik dan membantu anda untuk sedia bergerak sekiranya lampu bertukar hijau.

Sudah tentu, terdapat sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna menjadikan suasana lebih santai dan tenang terutamanya pada waktu malam. Sistem audio Burmester 3D yang digunakan juga menghasilkan bunyi yang sangat terperinci dan berkualiti, sesuai untuk mereka yang gemar mendengar muzik sambil memandu.

Namun sehebat mana pun ruang kabin ini, tetap ada kekurangannya. Sebagai contoh, ruang kaki hadapan terasa agak sempit. Selain itu, panel sentuhan pada stereng terlalu kecil dan ketiadaan port pengecas USB untuk penumpang belakang adalah ‘jenayah’ untuk kereta yang berharga lebih RM400,000.

Untuk aspek praktikaliti, saya tiada rungutan. Ya, seperti yang diperkatan, ruang kaki hadapan agak sempit namun ruang kaki dan kepala penumpang belakang boleh dikatakan cukup luas. Untuk makluman anda, ini kerana jarak antara roda GLC generasi kedua telah bertambah sebanyak 15 mm.

Selain itu, kapasiti ruang but juga lebih besar sebanyak 70 liter, menjadi 620 liter iaitu 70 liter lebih besar berbanding but X3 dan 115 liter lebih besar berbanding XC60. Di bawah lantai but, terdapat kit pembaikan tayar dan juga bakul yang boleh dilipat.

Seperti sebelum ini, GLC 300 dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo empat silinder namun kali ini, ia dibantu dengan sistem mild-hybrid 48 volt yang menggunakan Integrated Starter Generator (ISG). Kehadiran sistem ini tidak begitu dirasai namun ia sebenarnya membantu kereta ini memecut pada julat RPM rendah dan menjadikan sistem start stop lebih lancar.

Dari segi prestasi, 258 PS dan 400 Nm yang dibekalkan oleh enjin tersebut cukup untuk membolehkan kenderaan ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.2 saat. Bagi saya, ini sudah memadai untuk situasi pemanduan seharian kerana biarpun tidak bersifat agresif, kereta ini boleh memecut melebihi kelajuan yang dibenarkan tanpa disedari.

Masuk ke bab ride and handling, saya rasakan talaan sistem suspensi Agility Control yang digunakan lebih sesuai untuk pemanduan yang lebih santai. Jangan salah anggap kerana ia masih boleh melayan selekoh-selekoh tajam namun jika terlalu dipaksa, ia akan mula bergelut. Mungkin disebabkan faktor saiz dan beratnya yang hampir mencecah dua tan.

Biarpun begitu, sistem suspensi tersebut boleh menyerap hentakan dengan cemerlang serta meminimumkan gegaran di dalam kabin. Ditambah pula dengan kedapan bunyi yang amat baik, ruang kabin GLC sangat selesa sama ada untuk perjalanan jarak dekat atau jarak jauh.

Adakah semua ini cukup untuk menjustifikasikan harganya? Bagi saya belum cukup kerana ada satu aspek yang masih boleh ditambah baik iaitu sistem bantuan pemandu. Jangan terkejut kerana kereta yang mempunyai harga setara dengan seunit rumah ini tidak didatangkan dengan Adaptive Cruise Control mahupun Lane Keep Assist.

Bagi mereka yang mementingkan keselamatan dan mahukan pengalaman pemanduan yang lebih moden, ketiadaan dua ciri tersebut adalah satu kerugian besar, lebih-lebih lagi apabila ia ditawarkan pada model-model SUV lain yang jauh lebih murah.

Konklusinya di sini, GLC mampu memenuhi jangkaan mereka yang mahukan sebuah SUV yang premium dan mewah tetapi ada aspek yang boleh diperbaiki lagi terutamanya kelengkapan. Adakah ia lebih baik berbanding X3 dan XC60? Itu terpulang kepada pembeli memandangkan setiap individu mempunyai keperluan dan keinginan yang berbeza.

Apa pun, saya berharap versi pemasangan tempatan (CKD) akan tampil dengan pakej yang lebih lengkap dan sepadan dengan harganya bagi memastikan model ini kekal laris di pasaran.

Spesifikasi Mercedes-Benz GLC 300 4Matic AMG Line

Harga: RM429,888
Enjin: 2.0-liter empat silinder turbo mild-hybrid
Kotak gear: 9G-Tronic sembilan kelajuan
Kuasa: 258 PS @ 5,800 rpm
Tork: 400 Nm @ 2,000-3,200 rpm

Proton X90 cukup bagus tetapi belum sempurna – Pandangan Awal

SEPERTI model-model keluaran Proton yang lain, X90 mencetuskan hype yang boleh dikatakan agak luar biasa. Manakan tidaknya, selain menjadi model SUV ketiga pengeluar kenderaan nasional itu, ia juga hadir sebagai Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertamanya.

Bukan itu sahaja, dengan harga jualan bermula dari RM123,800 hingga RM152,800, X90 merupakan model keluaran Proton yang paling mahal setakat ini. Jadi, sudah tentulah ia menjadi buah mulut orang.

Baru-baru ini, saya berpeluang untuk memandu uji X90 dari ibu pejabat Proton di Shah Alam, Selangor ke Gambang, Pahang. Jadi untuk artikel kali ini, saya akan kongsikan perkara-perkara bagus dan kurang bagus yang anda patut tahu mengenai model ini.

Lebih suka meluncur dari memecut

Semasa memandu di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, saya mendapati gabungan enjin turbo 1.5-liter tiga silinder dan sistem mild-hybrid 48V ini kurang ‘umph’ dari segi pecutan di atas jalan yang landai dan juga ketika mendaki.

Ya, ia adalah sebuah SUV yang besar dengan berat kira-kira 1.7 tan (tidak termasuk kami berempat dan barangan yang dibawa) namun kehadiran sistem mild-hybrid tersebut, yang dikatakan dapat membantu pecutan dari keadaan pegun dan ketika bergerak, tidak begitu dirasakan.

Saya juga berasa agak hairan dengan keengganan kotak gear klac berkembar (DCT) menurunkan gear ketika pendikit ditekan kuat semasa mendaki. Setahu saya, DCT sepatutnya boleh memilih gear yang sesuai sama ada untuk mendaki atau menuruni bukit.

Sudah tentu, mod Sport boleh dipilih untuk menyelesaikan masalah ini namun saya secara peribadi tidak  suka beralih dari satu mod ke satu mod lain dengan terlalu kerap ketika sedang memandu.

Tetapi sebaik sahaja memasuki Lebuhraya Pantai Timur, trenkuasa ini tidak lagi bergelut. Tindak balasnya terasa lebih lancar terutamanya pada kelajuan cruising sekitar 110 km/j dengan jarum rpm bermain-main pada takat 2,000.

Ketika ini, saya dapat rasakan dengan jelas yang X90 bukanlah sebuah SUV yang anda ingin pandu secara agresif. Karakternya boleh diibaratkan sebagai seorang yang banyak makan asam garam – tenang, bersahaja dan tidak terburu-buru.

Sistem Smart Glide bantu jimat bahan api?

Satu lagi kelebihan sistem mild-hybrid berkenaan adalah ciri Smart Glide yang bertindak untuk mematikan enjin dan memisahkan transmisi supaya kereta boleh meluncur tanpa menggunakan setitis pun bahan api.

Tidak dinafikan ciri ini memang bagus tetapi ia hanya akan diaktifkan apabila bateri litium-ion mempunyai tenaga yang cukup. Ini boleh dilihat menerusi logo ‘A’ pada panel instrumen. Warna hijau menandakan tenaga yang mencukupi, warna kuning pula sebaliknya.

Saya sempat mengaktifkan sistem ini beberapa kali namun berdasarkan pengalaman, ia hanya aktif dalam tempoh seminit dua sahaja. Tidak pasti berapa banyak penjimatan yang dapat tetapi bagi saya, ciri seperti ini lebih baik ada daripada tiada langsung.

Bercakap tentang penggunaan bahan api, unit yang saya pandu menunjukkan bacaan sekitar 12 liter/100 km. Jauh berbeza dengan angka yang disebut oleh Proton iaitu 6.8 liter/100 km namun gaya pemanduan saya dan media lain pada hari itu agak agresif.

Suspensi terima sentuhan ajaib Proton

Dari aspek keselesaan pula, X90 ada kelebihan dan kekurangannya. Pertama sekali, ingin saya berikan pujian kepada Proton kerana berjaya mendapatkan tuning suspensi yang paling sesuai untuk keadaan permukaan jalan raya di negara kita.

Untuk pengetahuan anda, X90 menggunakan sistem suspensi jenis multi-link pada gandar belakang, berlainan dengan Geely Haoyue dan Okavango yang dilengkapi dengan jenis torsion beam.

Menurut Proton, mereka diberi kepercayaan untuk menggunakan sistem berkenaan serta talaan sendiri untuk X90. Hasil kepakaran orang kita memang boleh dirasakan dengan jelas terutamanya di LPT di mana segala permukaan beralun dan tidak rata diserap dengan begitu baik sekali.

Ya, body roll masih ada ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi manakala tindak balas stereng bukanlah yang terbaik dalam kelasnya namun untuk sebuh kereta keluarga dengan tiga barisan tempat duduk, keselesaannya boleh dikatakan mengagumkan.

Bukan itu sahaja, penumpang pada barisan kedua dan ketiga juga tidak perlu risau kerana setiap barisan tempat duduk mempunyai corong pendingin sendiri dan port pengecas USB.

Kekurangan yang boleh dirasakan

Cuma, apa yang mengecewakan di sini adalah kerusi. Walaupun dibalut material kulit Nappa yang berkualiti, kerusi X90 tidak memberikan sokongan yang secukupnya. Bolster pada penyandar tidak cukup besar, manakala tempat duduknya agak pendek, membuatkan peha sedikit tergantung.

Rungutan ini sebenarnya bukan untuk kerusi pemandu dan penumpang hadapan sahaja, malah juga untuk kerusi barisan kedua, sama ada kerusi jenis bangku pada varian Premium atau kerusi kapten pada varian Flagship.

Tidak perlu diperkatakan lagi, kerusi barisan ketiga hanya sesuai untuk mereka yang bersaiz sederhana dan kecil, dan untuk perjalanan jarak dekat.

Canggih tetapi menjengkelkan

Satu lagi perkara yang bagi saya boleh menjejaskan pengalaman pemanduan adalah sistem ADAS yang agak sensitif, terutamanya Lane Keep Assist yang akan berbunyi walaupun tayar belum lagi menyentuh garisan. Sistem Foward Collision Warning pula mengeluarkan bunyi amaran walaupun kereta di hadapan masih agak jauh. Canggih sangat pun susah juga, kan?

Tetapi saya suka dengan ciri Rear Collision Warning yang bertindak menyalakan lampu hazard sebagai amaran kepada kereta di belakang sekiranya ia mengekori terlalu rapat. Ciri Traffic Sign Information pula boleh mengimbas pelbagai jenis papan tanda dan memaparkannya pada panel instrumen untuk perhatian anda.

Untuk sistem infohibur, ketiadaan Apple CarPlay dan Android Auto memang boleh dianggap sebagai satu kekurangan tetapi sistem Atlas OS yang digunakan oleh X90 tidak kurang hebatnya.

Warna dan fon yang digunakan terang dan mudah dilihat, manakala operasinya boleh dikatakan lancar tanpa lag yang menyakitkan hati. Sistem navigasinya juga mudah digunakan dan mampu menunjuk arah dengan baik.

Seperti X70 dan X50, kualiti kamera undur dan kamera 360 darjah pada model ini sangat-sangat memuaskan. Malah, jauh lebih baik berbanding kenderaan dari dua jenama Jepun tersohor itu.

Konklusi

Secara keseluruhannya, saya boleh katakan yang Proton X90 adalah sebuah MPV keluarga yang cukup bagus dan mampu memenuhi permintaan pelanggan dalam segmennya menerusi ciri-ciri yang ditawarkan.

Ia bukanlah sebuah kenderaan yang sempurna tetapi dengan harga yang lebih murah berbanding pesaing-pesaing terdekatnya iaitu Chery Tiggo 8 Pro dan Mazda CX-8, rasanya ramai pembeli yang boleh ‘tutup mata’ dan terima sahaja kekurangannya.

Spesifikasi Proton X90

Harga: RM123,800-RM152,800
Enjin: 1.5-liter, tiga silinder turbo, mild-hybrid 48V
Kotak gear: DCT tujuh kelajuan
Kuasa: 190 PS
Tork: 300 Nm

Mercedes-AMG GLA35: Pau kari yang panas dan pedas – Pandu uji

JUJUR cakap, penulis tak pernah sukakan bentuk Mercedes GLA generasi H247 terbaharu ini. GLA kini dalam generasi kedua, menggantikan generasi X156 sebelum ini.

Bagi penulis, Mercedes GLA yang dulu lebih unik dan berkarakter, dengan rekaan lebih menarik. Cuma ramai yang merungut ruangan dalam kurang memuaskan terutamanya bahagian belakang, selain kualiti ride yang agak ‘keras’ bagi sebuah Mercedes.

Jadi secara dasarnya Mercedes GLA terbaharu akan menyelesaikan masalah itu dengan kabin lebih besar serta pemanduan lebih selesa. Cuma pengorbanannya ialah rekabentuk lebih bulat yang lebih feminine.

Tetapi unit pandu uji yang kami ingin ceritakan ini bukanlah GLA biasa, sebaliknya Mercedes-AMG GLA35 4Matic. Ia merupakan versi paling berkuasa untuk model pasaran Malaysia dengan 302hp dan 400Nm serta kemampuan memecut dari pegun ke 100km/j dalam 5.2 saat.

Anda tidak salah baca. Ya, sebuah crossover keluarga kini mempunyai pecutan lebih pantas dari Honda Civic Type-R FK8 yang merupakan hatchback sports yang begitu fokus.

Pau kari yang panas dan pedas

Penulis kata Mercedes-AMG GLA35 ini ibarat pau kari yang panas dan pedas kerana bentuknya bulat seperti pau, tetapi sangat berkuasa; maka ia panas dan pedas. Boleh terima?

Dari sudut prestasi, GLA35 ini cukup berkebolehan dan hardcore dari segala segi. Ia mempunyai enjin M260 4-silinder yang berkapasiti 2.0-liter. Dengan twin-scroll turbocharger, enjin ini berjaya memerah sehingga 302hp seperti yang disebut tadi.

Malah, enjin ini penulis rasakan bertekanan tinggi jadi ia agak panas, boleh dirasa semasa kereta duduk melahu atau idling. Ia panas seolah-olah harimau yang sedang bernafas, sedia menerkam mangsanya.

Enjin sebegini juga adalah jenis sensitif dengan segala tekanan dan minyak serta bendalir, jadi anda tidak mahu culas bab penyelenggaraan. Tetapi jika dijaga rapi, ia akan ‘menghadiahkan’ anda dengan ledakan kuasa yang mampu membuatkan penumpang anda cemas semasa memecut.

Ia pantas, dan ditemani dengan bunyi garang identiti AMG berserta letupan kecil setiap kali transmisi Speedshift dwi-klac 8-kelajuan naik dari satu gear kepada gear seterusnya. Ia terus menerus melontarkan anda ke depan sehingga anda sampai selekoh atau sehingga anda rasa tidak mahu menambah angka di speedometer.

Mercedes-AMG GLA35 4Matic ini juga seperti pada namanya (4Matic) mempunyai sistem pacuan semua-roda AWD bagi memastikan output dari enjin dapat disampaikan sebaiknya ke permukaan jalan.

Sistem ini secara aktif mengagih kuasa dari depan ke belakang atau kiri ke kanan mengikut situasi pemanduan sama ada anda memecut selepas lampu isyarat bertukar hijau atau memecut keluar selekoh walaupun stereng belum lurus sepenuhnya.

Seterusnya jika anda lihat tayar Continental SportContact 6 dengan profil gemuk 255/40 yang membaluti rim 20-inci serta rupa cakera breknya pun, anda akan tahu bahawa prestasi SUV ini ‘bukan biasha-biasha’.

Beberapa perincian luaran lain yang menampakkan bahawa GLA35 ini jentera istimewa ialah gril depan dengan bilah menegak, rim 20-inci berwarna gelap, ekzos berkembar, dan spoiler kecil dengan sudut agresif di hujung bumbung belakang.

Nampak mahal dan banyak benda tersorok

Baik, Mercedes-AMG GLA35 ini boleh menjadi milik anda dengan harga RM345,048 dan sebenarnya agak sukar untuk menjusifikasikan jentera ini tanpa anda membeleknya dengan teliti. Atau mencuba pandu uji sendiri.

Bila anda lihat GLA35 ini dengan lebih dekat, satu per satu detik anda akan perasan kemana duit anda pergi.

Bahan-bahan yang digunakan pada keseluruhan kereta ini terasa premium dan berkualiti tinggi, walaupun GLA merupakan antara model entry level dalam Mercedes. Tetapi langsung tiada mana-mana bahagian terasa murah. Dan ini juga pasti jauh lebih baik daripada GLA lama.

Duduk sahaja di tempat pemandu, fuh, hampir seperti dalam jentera lumba Mercedes-AMG GT3. Dengan stereng balutan kulit siap dengan penanda merah di jam 12, dan turut menambah rasa premium adalah bahagian paddle shifter dan bilah stereng yang diperbuat dari bahan seperti machined aluminium.

Bila terkena udara pendingin hawa, anda boleh rasa bahagian ini sejuk. Ini memberikan kontra yang menarik untuk stereng kulit AMG Performance itu.

Stereng ini juga mempunyai butang kawalan dan panel sesentuh seperti Mercedes biasa, tetapi khas untuk model AMG ialah butang rotary di bucu kanan bawah stereng untuk penukaran mod-mod pemanduan. Butang ini juga merupakan satu skrin yang memaparkan mod yang anda pilih.

Perincian yang nampak mahal.

Kemudian di bucu kiri pula terdapat lagi beberapa butang kecil untuk tetapan casis dan suspensi, dengan ikon spring. Bolehlah untuk kita acah-acah sedang melaras tetapan jentera lumba GT3.

Seterusnya anda akan perasan bahawa tema kokpit GLA35 ini adalah hitam dan merah. Hitam pada balutan kulit dan sebahagian kecil plastik, kemudian jahitan merah, termasuk warna tali pinggang keledar. Mengingatkan anda ianya jentera yang serius, tetapi masih mewah.

Penulis juga cukup suka dengan beberapa kemasan sporti seperti gentian karbon pada papan pemuka dan tempat duduk balutan Dinamico yang seperti Alcantara. Kemudian seperti Mercedes lain, GLA35 turut mendapat gugusan corong pendingin hawa yang cantik dan skrin melintang yang moden.

Masih ada juga pencahayaan ambien dengan 64 warna, dan skrin melintang tadi mampu memaparkan pelbagai maklumat relevan kepada jentera AMG GLA35 ini seperti peratusan kuasa dan boost turbo, meter tekanan G, suhu minyak enjin, suhu kotak gear, tekanan tayar, dan banyak lagi kandungan di bawah menu AMG Performance.

Dari sini anda semakin sedar tentang justifikasi harga premium tadi.

Berbaloi?

Untuk pembelian jentera prestasi tinggi sebegini, kita tidak perlu alasan berbaloi untuk wang. Ia bukan seperti membeli sedan segmen-B bawah RM100,000.

Sebaliknya, kita nilaikan perasaan kita memandu dan duduk di dalam Mercedes-AMG GLA35 ini. Dan walaupun ia bukan AMG 63 dengan 4.0 V8, GLA35 masih AMG sebenar yang mampu memberi debaran dan senyuman bila diperlukan.

Suspensi adaptif padanya dan pelbagai pilihan mod membolehkannya dipandu dengan selesa untuk ke kedai runcit, tetapi 80 peratus darinya anda mahu pandu ia dalam mod Sport. Ia akan sentiasa ringan, bertenaga, bersedia untuk pergi. Ia menjadi sensitif dan memprovokasi anda untuk menambah kelajuan.

Dan dari situ, ia meninggalkan kesan dan memori tentang prestasi yang mampu ditawarkan, jadi semua itu sahaja cukup untuk membuatkan anda mengorek tabung simpanan untuk menyambar jentera ini.

Spesifikasi Mercedes-AMG GLA35 4Matic

Harga: RM345,048
Enjin: 2.0-liter turbo 4-silinder
Kotak gear: AMG Speedshift 8G dwi-klac 8-kelajuan
Kuasa: 302hp @ 5,800rpm
Tork: 400Nm @ 3,000

Honda HR-V 1.5 Turbo semakin garang dan berani – Pandu uji

BILA kami siarkan beberapa gambar Honda HR-V baharu ini bersama penulisan pendek di Facebook, kami perasan rata-rata tidak menggemari rupa dan penampilan SUV ini. Ada yang berkata bongkok, lampu belakang penyet, dan lebih menggemari rupa bentuk HR-V generasi sebelum ini.

Hairan juga. Ya betul, kecantikan itu sesuatu yang subjektif dan “beauty is in the eye of the beholder” bak kata pepatah orang putih. Tapi bagi penulis, penggayaan Honda HR-V generasi inilah paling kemas setakat ini.

Sporti tanpa terlalu mencuba

Bagi penulis, Honda HR-V generasi baharu ini engan garis-garis lurus, lampu depan dan belakang nipis, tampil cukup moden malah dapat dirasakan sedikit elemen ‘Eropah’ padanya.

Gabungan gril depan dan lampu sepet membuatkan HR-V lebih serasi dengan bahasa rekaan model-model global Honda terkini. Kemudian lampu belakang dengan elemen tiga dimensi dan light bar yang memanjang ke tengah lalu bertemu di lencana, memang cantik dan begitu dinamik.

Pelengkap kepada gaya luaran ini adalah rim hitam 17-ini berwarna hitam serta ekzos berkembar. Honda semakin berani bawakan imej sporti pada model-model seperti HR-V dan Civic 1.5 RS yang mendapat rim hitam, kena dengan jiwa penulis. Tak perlu tukar rim selepas tiga bulan beli kereta.

Dan ekzos berkembar juga memang kena dengan gaya keseluruhan kereta ini. HR-V lama ada ekzos berkembar? Tak ada, bukan. Dan anda semua lihat sahaja HR-V 1.5 Turbo berwarna Meteoroid Grey ini, garang habis.

Oh ya, penulis suka juga sentuhan perincian seperti grafik seolah-olah graf di bahagian bawah gril depan. Menurut Honda, ia merujuk kepada slogan Amp Up Your Life. Gimik atau apa-apa sajalah, tetapi ia memang unik.

Cuma pembuka pintu belakang yang tinggi itu tetap menjadi masalah untuk anak kecil membukanya. Tetapi kita sebagai orang dewasalah yang sepatutnya tolong, bukan? Dan ini juga salah satu ‘pengorbanan’ untuk kita dapat kereta yang berupa sporti.

Kabin tipikal Honda, tapi lebih umph

Kabin tipikal Honda di sini bermaksud ia tetap luas dan mementingkan penumpang dalam. Rekaan papan pemuka dan konsol tengah kini mendapat garis dan permukaan lurus menampakkannya lebih minimalis, moden, dan luas.

Tiada rungutan untuk penumpang depan dan belakang. Konsol tengah memakan ruang kaki sedikit untuk berikan rasa fokus kepada pemanduan, dengan tombol gear agak tinggi.

Cuma warna dalaman serba hitam mungkin nampak sedikit membosankan atau sempit untuk sesetengah orang. Bagi penulis, ia padan dengan mood yang dipaparkan pada rupa luaran, jadi tiada perubahan perasaan bila masuk ke dalam.

Lebih umph pula bermaksud kini terasa semakin premium secara keseluruhan. Sebagai contoh, corong pendingin hawa disepadukan dengan corong mendatar di sepanjang papan pemuka, walaupun bahagian keluar udara masih kecil seperti biasa.

Kemudian rasa kualiti sentuhan butang-butang dan tombol juga lebih baik dari HR-V generasi sebelum ini. Anda cuba sahaja pulas butang pelaras pendingin hawa, fuh puas hati betul. Ada kereta lebih RM150,000 pun tidak rasa sesedap ini.

Dan penulis paling suka sistem peresap udara atau Air Diffusion System, dan HR-V menjadi model Honda pertama dilengkapkan dengan benda alah ini. Sistem ini membolehkan anda melaras aliran udara dari pendingin hawa sama ada mahu udara lurus terus, atau dikitarkan secara menyeluruh dalam kabin.

‘Pergi’ sepadan dengan rupa

Honda HR-V kali ini bukan sekadar gaya, tetapi mampu dipandu sama seperti rupa yang dibawakannya. Buat pertama kali juga, HR-V mendapat pilihan enjin 1.5 turbo seperti yang kami pandu uji ini.

Ianya enjin yang terbukti, sudah dipakai pada CR-V dan Civic FC sejak 2016. Jika dulu enjin ini menerima pandangan skeptikal rakyat Malaysia dan Geng Baik Beli, “Boleh ke bawa body besar”, “Boleh ke panjat Genting”. HR-V pula keluar di zaman enjin 1.5 VTEC Turbo ini sudah mendapat kepercayaan.

Ia mempunyai output 174hp dan 240Nm, sedangkan CR-V yang besar pun tiada masalah, apalah sangat HR-V segmen-B ini. Dan ia sebenarnya menjadikan HR-V lebih mengujakan dipandu dan lincah dalam kebanyakan keadaan.

Ditambah pula dengan adanya mod pemanduan; Normal dan Sport menjadi kegemaran penulis, mengikut kesesuaian. Kotak gear CVT pula boleh dikatakan antara paling baik dalam segmennya.

Hampir tidak terasa rubber band effect, seolah-olah tiada pembaziran kuasa. Jika 174hp dibekalkan, dirasakan seperti kesemua 174hp itu sampai ke tayar, untuk ‘melonjakkan’ kereta ke depan.

Penulis juga cukup seronok bermain dengan paddleshifter HR-V 1.5 Turbo ini. Ia berjaya ‘meniru’ kesan pertukaran gear automatik torque converter, sama ada dalam upshift semasa memecut atau downshift semasa membrek.

 

Kemudian bila anda dalam mod pertukaran gear secara manual dan mod Sport, ‘gear’ akan kekal di situ selagi anda tidak menarik mana-mana paddleshifter kiri atau kanan. Karakter ini biasanya ada pada kereta sports sebenar atau kereta yang lebih premium dimana kotak gear tidak tergesa-gesa mahu kembali ke mod automatik.

Ini secara tidak langsung menjadikan paddleshifter Honda HR-V 1.5 Turbo ini lebih bermakna, bukan hiasan sekadar modal sembang kedai kopi semata-mata.

Oh ya, walaupun boleh dikatakan laju dan bertenaga, ia tetap sebuah enjin yang senyap dalam keadaan pemanduan biasa.

Kesimpulannya, Honda HR-V baharu ini masih membawakan elemen yang disukai pemilik HR-V sebelum ini iaitu ruang yang luas dan praktikal, tetapi kini telah disuntik elemen premium, minimalis, dan sporti. Dan kami rasa ianya pakej yang akan disambut baik oleh pemilik serta peminat Honda.

Spesifikasi Honda HR-V 1.5 Turbo V

Harga: RM134,800
Enjin: 1.5-liter 4-silinder VTEC Turbo
Kotak gear: CVT
Kuasa: 178hp @ 6,000rpm
Tork: 240Nm @ 1,700-4,500rpm

Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid SUV terpaling alim! – Pandu uji

DALAM sesuatu segmen kenderaan, pasti ada model yang menyerlah. Mungkin disebabkan rupa yang sporti dan agresif, atau kerana harga sangat berbaloi, atau boleh jadi kerana sebab apa pun.

Untuk Toyota Corolla Cross ini, ia sedikit ‘play safe’, malah mungkin terlebih sampaikan brek parkir pun masih perlu tekan di kaki macam Perodua Alza 2009!

Corolla Cross berada dalam segmen SUV B atau B+, bersama model-model seperti Proton X50, Honda HR-V, Hyundai Kona, dan Peugeot 2008. Jadi dengan melihatkan model-model ini, sudah nampak betapa konservatifnya Corolla Cross.

SUV yang alim?

Konservatif tidak semestinya ia membosankan atau tidak menarik. Toyota Corolla Cross Hybrid ini masih seronok dipandu dan jika betul-betul ‘disesah’ di selekoh, akan menurut peritah anda dan menakluki selekoh itu dengan bersahaja.

Ini kerana Corolla Cross dibina pada pelantar Toyota New Global Architecture (TNGA), lebih tepat lagi TNGA-C. Ya, pasti anda yang mengikuti perkembangan automotif sudah lali dengar istilah TNGA ini. Penulis tak mahu cerita mendalam bab ini, anda Google sendiri.

Secara asasnya, pelantar TNGA membolehkan kereta-kereta Toyota sekarang mempunyai kabin luas, rasa pemanduan mantap dan ‘solid’, serta pada masa yang sama, selamat.

Cuma bab alim di sini adalah dari segi rekaan luar dan dalam. Segala garisan dan bentuk pada Corolla Cross ini nampak biasa dan seperti boleh dijangka, tiada kejutan.

Bentuk gril depan, lampu depan, garisan tingkap sisi, bumbung, segalanya sangat tradisional. Ibaratnya jika anda lihat bentuk bayang Corolla Cross ini, mirip dengan kebanyakan SUV sedekad yang lepas.

Pada penulis, sedikit elemen unik pada Corolla Cross ini adalah bentuk seakan ‘otot’ pada fender depan dan belakang. Nampak bergaya dan memberikan ilusi pemanduannya yang stabil dan sporti.

Corolla Cross, ambil hibrid atau tidak?

Ini antara soalan popular bila melihat pada Toyota Corolla Cross. Penulis pernah memandu kedua-dua varian iaitu 1.8V biasa (RM129,000) dan 1.8 Hybrid (RM136,500), dan penulis boleh katakan versi Hybrid lebih seronok dipandu.

Ini kerana anda dapat sistem hibrid yang membantu memberi kuasa tambahan pada masa enjin tidak berada pada output optima. Enjin 1.8-liter pada Corolla Cross Hybrid menjana 97hp dan 142Nm sahaja, tetapi motor elektrik memberi tenaga sokongan sebanyak 163Nm.

Pada saat anda mula bergerak, ia akan dipacu oleh motor elektrik jadi pecutan terasa bertenaga, responsif tetapi senyap. Ya, kerana enjin tidak hidup. Dan bila anda memerlukan kuasa maksima sebagai contoh hendak memotong, enjin dan motor elektrik akan bergabung memberikan output penuh.

Sistem hibrid padanya juga tidak memeningkan kepala kerana ‘bekerja’ di sebalik tabir sahaja. Komputer akan menentukan sendiri bila hendak menggunakan motor elektrik, bila hendak menggunakan enjin, atau bila perlu dicaj. Tugas anda hanya tekan pedal minyak.

Anda juga akan dapat penjimatan dengan hibrid, sepanjang beberapa hari penulis memandu, dengan mudah boleh dapat lebih 15km per liter. Dan ini untuk pemanduan biasa, ada kelajuan tinggi, bawa penumpang, dan melalui kawasan sesak.

Untuk perbandingan, jujur kata tak dapat dibuat kerana semasa penulis memandu uji versi 1.8V biasa, ia hanya dalam sesi media dan kami tidak berkesempatan membuat bacaan penggunaan bahan api.

Harus ditekankan juga walaupun Corolla Cross Hybrid mendapat banyak maanfaat hibrid seperti kabin yang lebih senyap, lebih penjimatan, dan pemanduan lebih menyeronokkan, ia tidak dikenakan ‘hukuman’ berat yang lebih tinggi.

Sebaliknya, versi Hybrid hanya 30kg lebih berat dari 1.8V biasa, bukannya tambahan beberapa ratus kilogram seperti kereta hibrid lain. Jadi ini sebenarnya satu pencapaian dari sudut kejuruteraan, bagi mereka yang faham.

Penulis faham bahawa ramai yang risau akan bateri, bila bercakap mengenai hibrid. Mudah sahaja, bateri sekarang teknologinya bukan seperti 10 atau 15 tahun dahulu. Bateri hari ini lebih ringan, lebih berkuasa, dan lebih tahan. Toyota juga memberikan jaminan 8 tahun untuk bateri Corolla Cross ini.

Jika anda sering terfikir untuk mencuba kenderaan hibrid, inilah masa paling sesuai.

Praktikal untuk kegunaan seharian

Toyota Corolla Cross mampu melaksanakan tugas seharian sebagai sebuah SUV yang sangat praktikal dan mudah dipandu.

Saiznya tidak terlalu besar, mudah untuk dikendalikan di kawasan bandar. Ia juga cukup senyap, menjadikan Corolla Cross Hybrid satu kenderaan ideal untuk perjalanan jauh bersama keluarga.

Bab keselamatan? Oh semua ada, jangan risau, Corolla Cross Hybrid dilengkapi dengan pakej Toyota Safety Sense. Kegemaran penulis adalah Dynamic Radar Cruise Control yang membuatkan perjalanan jauh kurang memenatkan, dan Lane Tracing Assist (LTA) yang boleh diakses dengan mudah di stereng.

Kesimpulan

Toyota Corolla Cross sebuah SUV yang ‘alim’, cukup sempurna untuk kenderaan harian dan hujung minggu. Ia menjimatkan bahan api, praktikal, dan seronok dipandu (dalam konteks SUV).

Cuma brek parkir kaki sahaja yang masih pelik bagi penulis.

Spesifikasi Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid

Harga: RM136,550
Enjin: 1.8-liter 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: e-CVT
Kuasa: 97hp @ 5,200rpm
Tork: 142Nm @ 3,600rpm
Output motor elektrik: 163Nm
Kapasiti bateri: 1.3kWh

Hyundai Kona N Line: “Tekan tekan preggy” versi Korea – Pandu uji

BEBERAPA tahun selepas pengenalan Perodua Ativa, bilangan pemilik semakin ramai dan group-group Facebook semakin aktif, banyak lah gelagat dan kerenah dapat kita lihat.

Selain seronok dan teruja dengan SUV berenjin turbo, timbul pula satu trend yang nampaknya telah menjadi meme, iaitu “tekan, tekan preggy”. Bunyi semacam?

Ayat ini kami percaya asalnya adalah “tekan, tekan pergi” untuk menunjukkan kemampuan pecutan Ativa yang mempunyai prestasi agak menarik walaupun berenjin 1.0-liter. Tetapi kemudian mungkin telah berlaku typo “pergi” menjadi “pregi”, maka lahirlah ayat di atas tadi.

Penulis tidak mahu ulas terlalu panjang mengenai hal ini, tetapi kenapa perkara ini disebut dalam laporan pandu uji Hyundai Kona N Line?

Sebabnya penulis rasa Kona N Line ini ibarat SUV “tekan, tekan preggy” versi Korea. Sama seperti Ativa, model ini merupakan SUV kompak, dan mempunyai enjin turbo.

“Nuleuda, nuleuda gasoghada”

Nadi kepada Kona N Line ini ialah enjin 1.6-liter turbo petrol dengan output 195hp pada 6,000rpm dan 265Nm tork pada 1,800rpm.

Kona N Line diasaskan dari varian 1.6 turbo yang duduk di atas varian permulaan 2.0, cuma N Line digayakan dengan kit badan dan rupa lebih sporti. Kami ada pandu uji Kona 2.0 Active kira-kira setahun lepas.

Rupa pada N Line ini mirip dengan Kona N berkuasa 280hp dan 392Nm yang tidak masuk pasaran kita. N Line ialah versi ‘lebih lembut’, sama seperti AMG Line dan M Sport. Apa pun, Kona N Line ini tetap menawarkan prestasi cukup mengujakan untuk segmennya di sini.

Sebagai perbandingan, Honda HR-V 1.5 turbo menghasilkan 174hp dan 240Nm, manakala Mazda CX-3 2.0 menjana 154hp dan 204Nm. Proton X50 hampir menyamai kuasa Kona N Line ini, dengan 175hp dan 255Nm.

Itu dari segi angka, tapi bagaimana dengan ‘feel’ pemanduannya? Pengeluaran kuasa itu dapat kita nikmati dengan lebih jelas disebabkan enjin Kona N Line ini dipadankan dengan kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan.

Ianya berbeza dengan Kona 2.0 naturally-aspirated yang menggunakan kotak gear automatik 6-kelajuan jenis torque converter. Pecutan Kona N Line adalah lebih direct, terasa lebih clean, malah pertukaran gear jauh lebih pantas.

Semasa upshift, ia tidak menyentap sehingga membuatkan kita rasa tidak selesa atau seolah-olah kotak gear itu didera. Ia masih lancar, tetapi downshift pula cukup sporti, lengkap dengan blip enjin seperti kereta sports.

Bercakap mengenai enjin, ia memberikan bunyi sporti terutamanya semasa cold start. Pertama kali penulis menekan butang Start sewaktu mengambil kereta ini, terdetik “wow” di dalam hati, seperti memberi singkapan awal mengenai prestasi keseluruhan Kona N Line ini.

Kemudian apabila jalan raya mulai berliku, kita dapat rasakan talaan stereng dan suspensi Kona N Line jelas berbeza dari Kona biasa.

Sterengnya lebih berat dan ketat. Semasa penulis mula memandu keluar kereta ini dari perkarangan Hyundai Sime Darby di Ara Damansara, melalui beberapa selekoh sahaja sudah dapat memberikan keterujaan.

“Ok, ini lain macam. Bukan biasa-biasa,” detik hati penulis. Tidak disangka pula perbezaannya agak ketara dari Kona 2.0.

Talaan spring dan penyerap hentak lebih kemas dan tegap, mengingatkan penulis kepada model-model MINI. Gandingan stereng, suspensi, enjin dan kotak gear mampu memberikan kepuasan.

Ibaratnya jika anda sebelum ini semasa bujang memandu hatchback seperti Volkswagen Golf 1.4 atau Polo GTi, atau Honda Civic Type-R (FD2 dan FN2), kemudian sudah berkeluarga, penulis jamin pemanduan Kona N Line dapat mengubat rindu anda terhadap pemanduan penuh sensasi itu.

Jika dilihat pada spesifikasi atas kertas juga memang sukar untuk menjustifikasi harga lebih RM150,000 untuk crossover segmen-B keluarga ini, tetapi bila memandu lebih laju, anda sedar kemana duit dan pelaburan anda pergi.

Praktikal untuk kegunaan seharian?

Dari segi praktikaliti, biasa-biasa sahaja Hyundai Kona N Line. Tiada yang terlalu istimewa, tetapi tiada juga rungutan dari penulis.

Ruang kabin cukup okay, luas dan selesa untuk empat orang dewasa. Ruang kargo juga agak baik, 361 liter. Walaupun model paling sporti dalam kelasnya, tetap tidak mengorbankan aspek ini, ruang kargo Kona lebih besar dari Proton X50 dan Subaru XV.

Pemilihan bahan seperti model-model Hyundai lain, cukup baik. Hyundai Kona N Line tidak berpura-pura menjadi crossover premium atau luas, tetapi ‘berterus-terang’ dengan imej sporti.

Tempat duduk kulitnya berwarna hitam dengan beberapa bahagian mendapat permukaan baldu seperti Alcantara, serta jahitan merah. Begitu juga dengan papan pemuka, roda stereng dan tombol gear. Semuanya hitam berjahitan merah. Cukup jelas.

Penulis cukup suka dengan ergonomik tempat duduk dan pelarasan stereng. Mudah untuk mendapatkan posisi yang sedap dipandu untuk semua keadaan, sama ada ke kedai runcit atau melayan selekoh tajam.

Satu sahaja rungutan dari aspek praktikaliti pada Kona N Line ini ialah dari segi menu sistem keselamatannya.

Kelengkapan keselamatan aktif padanya dikira hampir setanding dengan pesaingnya, dilengkapi dengan ciri seperti Autonomous Emergency Braking dan Lane Departure Warning berserta Steering Assist.

Memang bagus, cuma bila kita tak perlukan sistem-sistem ini contohnya semasa memandu dalam bandar, kitab oleh matikannya, tetapi tetapan ini tidak kekal. Sebaik kita matikan enjin dan hidupkan semula, semua sistem ini akan aktif semula.

Bagi penulis ianya agak menjengkelkan jika kerap keluar masuk kereta untuk pemanduan dekat, dalam bandar yang sibuk. Tak dinafikan sistem-sistem ini berguna bila memandu dalam perjalanan jauh dan di lebuh raya.

Siapa patut beli?

Hyundai Kona N Line ini kami rasa sangat sesuai untuk mereka yang mahukan kelainan, tak sama dengan orang lain, dan yakin dengan pilihan sendiri. Crossover ini juga sesuai untuk mereka yang mahukan pemanduan paling sporti untuk kategori ini.

Spesifikasi Hyundai Kona 1.6 N Line

Harga: RM156,888
Enjin: 1.6-liter turbo 4-silinder suntikan terus bahan api
Kotak gear: Automatik dwi-klac 7-kelajuan
Kuasa: 195hp @ 6,000rpm
Tork: 265Nm @ 1,800rpm

Belajar ‘life hack’ memandu dengan Volvo XC40 Recharge T5 – Pandu uji

BERAPA jauh boleh kita pergi dengan satu tangki petrol? Bergantung kepada jenis kenderaan; sebagai contoh Perodua Myvi dengan kapasiti 36 liter boleh pergi sejauh 468km jika kita memandu dengan kecekapan purata 13km/liter.

Bagi Volvo XC40 ini pula, walaupun tangkinya cuma 49 liter, jika dipandu pada kecekapan 13km/liter, anda bukan hanya boleh pandu sehingga 637km, malah lebih lagi. Anda mahu pandu sehingga 800 atau 900km pun tiada masalah.

Dengan syarat, anda rajin mengecaj bateri hibrid padanya. Life hack?

Sebenarnya ini bukanlah ‘life hack’, tetapi ini cara yang tepat memandu mana-mana model PHEV. Anda kena rajin mengecaj baterinya bila berpeluang agar anda dapat memaksimakan manfaat yang ditawarkan kenderaan sebegini.

Ya, hari ini kita melihat Volvo XC40 Recharge T5, iaitu salah satu model plug-in hibrid (PHEV) dalam pasaran.

Dengan XC40 ini, penulis dapat ‘menambah’ Range atau jarak pemanduan yang dipaparkan tanpa mengisi minyak. Pulang ke rumah, caj sahaja bateri. Maka anda dapat terus memandu lebih jauh tanpa menggunakan petrol.

Maka sebab inilah setangki petrol boleh pergi beratus-ratus kilometer. Malah jika anda memandu setiap hari tapi isi minyak sebulan sekali pun tiada masalah.

Dengan syarat anda pandu kurang 30km satu hala, caj bateri di pejabat, dan caj semula selepas pulang ke rumah.

Kenapa 30km? Volvo menyatakan XC40 T5 ini mempunyai jarak EV 45km dengan bateri penuh, tapi dari pengalaman penulis, hanya mampu mencapai kira-kira 32 hingga 35km. Dan ini normal, kita tak akan dapat jarak penuh seperti yang dinayatakan oleh pengeluar, hampir mustahil.

Secara keseluruhan, dengan isi petrol seperti biasa, caj penuh beberapa kali selama seminggu dan pemanduan bercampur perlahan dan laju, penulis dapat bacaan serendah 6.9 liter/100km bersamaan 14.5 km/liter.

Ini boleh dikatakan satu angka yang sangat baik jika mengambil kira beratnya yang hampir 1.9 tan, prestasi yang ditawarkan, serta tetap selesa setiap masa.

Untuk pengecasan pula, XC40 ini didatangkan dengan kabel pengecaj 3.7kW AC, dan jika dicaj dengan pengecaj berkapasiti 3.7kWh, ia akan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk penuh.

Tetapi dengan soket domestik biasa (2.3kW), pengecasan akan mangambil masa sehingga lima jam.

Mentaliti berubah

Selain dari rajin mengecaj, mentaliti juga seakan-akan berubah apabila memandu Volvo XC40 Recharge T5 ini. Enjin 1.5-liter turbo petrol padanya menghasilkan 177hp dan 265Nm tork, kemudian dibantu oleh motor elektrik dengan output 80hp, dikira agak berkuasa.

Tapi entahlah, mentaliti penulis yang biasanya sukakan pemanduan sporti ‘rela’ berubah mengikut rentak XC40 ini.

Bukan sahaja kerana ianya sebuah hibrid maka kita sentiasa menjaga kaki kanan serta memantau kecekapan penggunaan tenaga, tetapi juga dek kerana sifat Volvo XC40 itu sendiri. Volvo moden secara umumnya sangat selesa bukan sahaja untuk dipandu, malah jadi penumpang.

Ibaratnya jika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, anda mahu pandu lebih perlahan dan mungkin ambil jalan lebih jauh.

Kemasan kulit, tema warna kabin, sistem penapis udara untuk penghawa dingin, bahan-bahan yang digunakan, semuanya menyumbang kepada rasa selesa dan nyaman dalam kereta. Ia bukanlah empuk seperti Rolls-Royce, tapi anda rasa tenang walaupun untuk perjalanan jauh.

Seperti dikatakan tadi, varian Recharge T5 ini dikuasakan oleh enjin 1.5-liter dan motor elektrik, yang hanya menghantar kuasa ke roda depan melalui kotak gear dwi-klac 7-kelajuan.

Kotak gear ini cukup pantas tetapi masih lancar menyampaikan kuasa, memberikan pecutan yang terasa efisyen dan tiada pembaziran kuasa.

Suspensi boleh dikatakan lembut dan ke arah keselesaan, tetapi jika anda mahu, XC40 Recharge T5 ini masih boleh dipandu laju sambil mengukir selekoh. Yang penting input stereng anda kekal lancar dan tersusun.

Ibarat anda rancang segala pergerakan, tidak tergopoh-gopoh dan tiada perubahan ‘last minute’.

Gaya kemas Scandinavian

Walaupun Volvo XC40 ini sudah berada dalam pasaran beberapa tahun dan menerima beberapa varian termasuk EV, rupa ini masih tampak segar dan baharu. Ini kerana Volvo mengambil pendekatan rekaan ringkas dan minimalis, tidak terlalu ‘sibuk’ dan bercelaru yang hanya akan bertahan beberapa tahun.

Pakej R-Design menaikkan lagi seri SUV ini berserta rim lima bilah bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar Pirelli P Zero berprofil 235/50.

Rekaan dalam kabin juga menggunakan falsafah sama; ringkas dan minimalis. Tetapi mungkin terlalu minimalis hinggakan segala kawalan penting seperti pendingin hawa pun tersorok dalam skrin infotainment.

Ini sahaja rasanya antara satu benda yang penulis kurang berkenan mengenai XC40 ini dan Volvo lain dalam pasaran sekarang.

Tetapi skrin potret menegak ini sangatlah besar dan jelas, ia responsif, dan mudah difahami walaupun mempunyai banyak maklumat.

Oh ya, anda tidak dapat tombol gear kristal Orrefors seperti model-model PHEV 2.0-liter all-wheel drive. Sebaliknya, anda hanya dapat tombol gear bersegi balutan kulit, tetapi ia masih elektronik.

Ciri keselamatan penuh

Akhir sekali bab keselamatan, dan tak sah jika kita bercakap mengenai Volvo tanpa memetik aspek keselamatan.

Ciri keselamatan pasif seperti biasa adalah tujuh beg udara, Hill Start Assist, Hill Descent Control, EBD, dan lain-lain.

Tetapi paling menarik pada Volvo XC40 ini adalah ciri bantuan pemandu seperti Pilot Assist yang membantu anda mengawal stereng dan pedal minyak, terutamanya di lebuh raya. Dan lebih menakjubkan, ciri bantuan ini boleh berfungsi sehingga kelajuan 200km/j.

Ya betul, anda boleh lepaskan kaki dan tangan (untuk masa terhad) sehingga kelajuan itu, terpulang sama ada anda mahu percaya dengan sistem ini atau tidak. Penulis bukan menyuruh anda lakukan perkara merbahaya, tetapi cuma memberitahu kemampuan Pilot Assist.

Untuk lebih komen mendalam dan aksi pandu uji Volvo XC40 Recharge T5 ini, anda boleh tonton video di bawah:

Spesifikasi Volvo XC40 Recharge T5 R-Design

Harga: RM245,818.90
Enjin: 1.5-liter 3-silinder petrol turbo
Kotak gear: Automatik dwi-klac 7-kelajuan
Kuasa: 177hp @ 5,800rpm
Tork: 265Nm @ 1,500rpm
Output motor elektrik: 160hp
Jarak pemanduan mod EV: 45km

Kia Carnival 2022: Ibarat pesawat peribadi dengan empat tayar – Pandu uji

KIA Carnival termasuk dalam situasi dimana rakyat Malaysia sering membeli kereta mengikut persepsi umum. “Beli jenama ini saja senang, rekod baik, tak mudah rosak”, “jangan beli jenama ini, alat ganti mahal dan susah dapat”.

Masalah dengan persepsi ini adalah, ia biasanya persepsi lapuk yang bawaan mulut dari ayah kita atau jiran-jiran. Ia tidak semestinya betul dan tidak semestinya salah. Yang pasti, ia biasanya tidak begitu relevan.

Sayang sekali Kia Carnival termasuk dalam kategori negatif untuk persepsi tadi. Adakah ia benar?

Senang cerita, kita sudah di penghujung 2022 dan sedang memasuki ke tahun 2023, belum ada kereta terbang yang benar-benar menjadi, tapi mari kita jadi pengguna bijak dan tidak terperangkap dalam tahun 2008.

Tiada lagi ‘Grand’, hanya Kia Carnival

Kia Carnival dan model-model lain jenama ini telah mempunyai wajah global malah kualiti binaan juga sangat tinggi dan premium.

Lihat sahaja pada gril depan dan lampu utama Carnival 2022 ini, semuanya nampak sofistikated dan mahal. Ya, versi CKD ini berharga lebih dari RM250,000 tetapi rekaan keseluruhannya nampak ia berharga jauh lebih mahal.

Begitu juga rekaan sisi pada tiang-C dimana terdapat satu bilah yang memisahkan dua cermin sisi belakang, ia tampak begitu unik, berani, dan premium.

Dari jauh, rekaan ini bersama dengan cermin depan yang lebih bersudut serta hud depan yang besar dan hampir rata memberikan Carnival gaya hampir sebuah SUV Amerika. Dalam erti kata lain, imejnya lebih rugged dan tidak seperti van tradisional.

Untuk Kia Carnival 2022 ini, penulis berani jamin tiada siapa pun yang akan kata ia buruk. Buktikan penulis salah.

Kokpit seperti dalam pesawat

Rasa premium dan kualiti binaan baik tadi lebih terasa di bahagian dalam. Anda akan disambut dengan warna coklat cerah yang cukup mewah, dan panel skrin digital melintang yang moden. Berbeza sungguh dengan Carnival 2017 yang tidak berapa lama dulu.

Kemudian tempat duduk depannya terasa seperti anda memikul tugas besar macam ‘pilot darat’: mengoperasikan kenderaan besar berteknologi sambil membawa beban (penumpang) yang banyak. Carnival ini juga tidak ringan ya, ia seberat 2,129kg tanpa penumpang.

Malah, dengan lebar hampir dua meter, terdapat ‘halal gap’ yang cukup besar antara pemandu dengan penumpang depan. Dengan papan pemuka dan konsol tengah yang lebar ini, ia mengingatkan penulis seperti dalam kokpit helikopter VIP atau jet peribadi mewah.

Oh ya, rasa macam ‘pilot darat’, bukan?

Enjin 2.2-liter diesel yang padu

Dan walaupun anda ada tanggungjawab dan beban yang besar untuk dipikul, jangan risau kerana powertrain Carnival ada untuk menjadi kawan karib anda.

Enjin 2.2-liter diesel dengan 199hp dan 440Nm yang melimpah-ruah membuatkan MPV bersaiz Amareka ini terasa ringan dan mudah untuk digerakkan. Mana tidaknya, tork maksima 440Nm itu hadir pada rpm serendah 1,750!

Dipadankan pula dengan kotak gear automatik 8-kelajuan, pecutan Kia Carnival ini sangat bersahaja, lancar, dan mampu membuatkan anda gerun melihat angka kelajuan meningkat melebihi had laju.

Tiada istilah berat atau lemau dalam kamus hidup Carnival ini, dan penulis juga telah menguji prestasinya dengan tiga penumpang bersama bagasi di Lebuhraya Karak. MPV ini mendaki Bukit Tinggi dan ‘mengukir’ jalan berliku ibarat jet peribadi dengan empat tayar.

Cuma tiada enjin turbin dan sayap sahaja.

Oh, jangan risau pula dengan kawalan badan. Penulis memang kagum bagaimana jurutera di Kia dan Hyundai mampu memberikan keseimbangan mantap antara keselesaan dan kawalan badan.

Ingat, MPV ini tidak akan mengambil selekoh seperti Ferrari F8 Tributo atau Porsche 718 Cayman, tetapi asalkan input kaki kanan dan kedua-dua tangan anda kekal tenang dan lancar, Carnival ini tetap mampu dikemudi dengan laju dan terkawal.

Penjimatan juga satu aspek mengagumkan mengenai enjin ini. Walaupun mempunyai berat melebih 2.2 tan, enjin Carnival ini tetap menghirup petrol dengan bersopan dan tidak gelojoh.

Carnival ini selesa meluncur pada 150-160km/j di lebuh raya, tetapi rpm kekal di bawah 3,000 maka anda boleh memperoleh lebih 950km dengan mudah dari tangkinya yang sebesar 72 liter.

Praktikaliti tanpa kompromi

     

Kia Carnival hadir di pasaran Malaysia dengan pilihan model CBU (11 tempat duduk) dan CKD (tujuh dan lapan tempat duduk). Anda rasa ruang akan menjadi masalah padanya?

Ya, tidak sama sekali.

Walaupun kesemua 11 tempat duduk digunakan, ruang kargo masih luas untuk perjalanan jarak dekat. Sudah pasti anda tidak akan boleh membawa 11 penumpang berserta bagasi masing-masing.

Tetapi tiada masalah untuk versi tujuh dan lapan tempat duduk. Kabin cukup luas, anda mudah bergerak antara baris kedua dan ketiga, dan terdapat banyak pelarasan bergantung kepada keperluan.

Bagi penulis, versi lapan tempat duduk paling ideal untuk kegunaan keluarga, manakala versi 11 tempat duduk lebih kepada kenderaan shuttle, sebagai contoh untuk kegunaan syarikat membawa pekerja.

Tetapi versi tujuh tempat duduk pula paling VIP kerana baris kedua dilengkapi tempat duduk kapten Premium Relaxion. Ianya tempat duduk jenis kelas perniagaan lengkap dengan ciri pemanas, penyejuk, dan dengan satu sentuhan butang, mampu dibaringkan dalam keadaan paling relaks.

Masih ingat, penulis kata ibarat memandu jet peribadi?

Berbaloi?

Jika anda mahukan kenderaan yang luas, selesa, mampu memuatkan lebih tujuh orang, inilah dia pilihan terbaik. Terus-terang penulis katakan.

Ia cukup besar, tetapi mudah dipandu. Berkuasa, tetapi masih menjimatkan. Agak laju, dan masih selesa untuk semua penumpang.

Untuk maklumat lanjut mengenai spesifikasi, anda boleh baca laporan pelancaran di sini.

Spesifikasi Kia Carnival 2022

Harga: RM196,340.80 hingga RM261,228.80
Enjin: 2.2-liter diesel turbo, 4-silinder, suntikan bahan api
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 199hp @ 3,800rpm
Tork: 440Nm @ 1,750rpm

Perodua Alza 2022 kereta keluarga yang berbaloi – Pandu Uji

TANPA sebarang keraguan, Perodua Alza baharu adalah kereta yang paling banyak diperkatakan tahun ini. Ini melihat kepada cakap-cakap dalam kalangan netizen di media sosial dan juga trafik dan ‘engagement’ yang dijana setiap kali kami membuat apa-apa kiriman mengenai model itu.

Fenomena ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Alza generasi pertama sudah berada di pasaran sejak November 2009 lagi, jadi sudah tentu ramai yang tidak sabar menantikan ketibaan model penggantinya.

Pada Julai lalu, Alza generasi kedua akhirnya dilancarkan dan kali ini, ia tampil dengan pembaharuan menyeluruh yang bukan sahaja melibatkan reka bentuk luaran dan dalaman, malah platform, enjin dan juga teknologi.

Majoriti pengamal media (termasuk Engear) sebenarnya sudah dijemput untuk melihat model itu dengan lebih dekat beberapa minggu sebelum tarikh pelancarannya. Penulis bagaimanapun hanya berpeluang untuk ‘bersuai kenal’ dengannya semasa trip pandu uji media ke Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Jujurnya, penulis berasa agak teruja bukan sahaja kerana destinasi pandu uji yang agak ‘rare’, namun penulis ingin merasai sendiri kehebatan MPV tujuh tempat duduk ini, selain memahami kenapa begitu ramai yang menantikan ketibaannya ke pasaran.

Dari segi reka bentuk, Alza baharu jelas lebih bergaya dan segar jika dibandingkan dengan model sebelum ini. Mungkin ada yang akan mengatakan bahawa ia kelihatan agak berserabut namun bagi penulis, ia membuatkan Alza kelihatan lebih moden, sekaligus lebih sesuai dengan kehendak pembeli masa kini.

Perjalanan bermula dari ibu pejabat Perodua di Rawang, seterusnya melalui Batang Kali untuk tembus ke Lebuhraya Karak. Dari situ, konvoi mengikuti Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2, sebelum keluar menerusi susur Kuala Terengganu. Jarak perjalanan adalah sekitar 650 km.

Oleh kerana tiga pemandu telah ditetapkan bagi setiap kereta, penulis hanya berpeluang untuk mengambil alih stereng Alza selepas berhenti makan tengahari di Kuantan.

Pemanduan sepanjang 200 km itu 100 peratus di atas laluan lurus LPT, namun sekurang-kurangnya penulis dapat merasakan prestasi platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan mengetahui sejauh mana penjimatan yang mampu ditawarkan oleh enjin.

Apa yang penulis boleh katakan, prestasi yang ditunjukkan oleh enjin NA 1.5-liter empat silinder 2NR-VE itu agak memuaskan walaupun dengan ketiadaan pengecas turbo. Apa yang lebih penting, gandingan enjin itu dengan transmisi D-CVT dirasakan sempurna kerana RPM dikekalkan sekitar 2,000 hingga 2,100 pada kelajuan 110 km/j dan ke atas.

Pendek kata, untuk situasi pemanduan di atas lebuh raya, RPM kekal di bawah tahap 2,500 walaupun kenderaan sudah melebihi halaju kebangsaan. Ini bermakna Alza sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah kereta keluarga yang selesa dan menjimatkan.

Bercakap tentang penjimatan, tahap penggunaan bahan api yang ditunjukkan oleh komputer jatuh mendadak akibat ‘didera’ oleh pemandu pertama namun dengan corak pemanduan yang menjimatkan, penulis berjaya mencatat bacaan sekitar 19 km/l sebelum tiba di susur keluar Kuala Terengganu. Tidak jauh berbeza dengan angka yang dicanang oleh Perodua iaitu 22 km/l.

Untuk ‘ride and handling’, platform DNGA terasa selesa walaupun berdepan keadaan permukaan LPT2 yang umum tahu berombak dan tidak rata. Lantunan masih boleh dirasakan di dalam kabin namun tidaklah sehingga menyebabkan ketidakselesaan.

Penggunaan platform baharu itu juga menghasilkan ruang belakang yang lebih besar. Bagi penulis yang mempunyai ketinggian sekitar 167 cm, ruang kaki masih luas walaupun tempat duduk pemandu digelongsorkan ke belakang. Bahagian ‘backrest’ juga tidak terlalu tegak.

Tempat duduk barisan ketiga, seperti yang dijangka, lebih sesuai untuk kanak-kanak kerana saiz kerusinya yang agak kecil. Namun jika tidak digunakan, ia boleh dilipat rata bagi mendapatkan ruang but maksimum dengan kapasiti mencecah hampir 500 liter!

Malah untuk keselesaan seisi keluarga, Alza baharu juga didatangkan dengan corong pendingin hawa belakang yang diletakkan pada bahagian bumbung, lengkap dengan tombol kawalan kelajuan. Selain itu, terdapat juga dua port pengecas USB, serta pemegang cawan pada tempat duduk barisan kedua dan ketiga.

Sebagai konklusi, penulis boleh katakan yang Alza sangat sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah kereta keluarga mampu milik. Walaupun mempunyai kekurangan dari segi prestasi enjin, model ini cukup serba serbi dari segi praktikaliti, keselesaan dan teknologi.

Spesifikasi Perodua Alza

Harga: Dari RM62,500 hingga RM75,500
Enjin: 1.5-liter empat silinder Dual-VVTi
Kotak gear: D-CVT
Kuasa: 105 hp
Tork: 138 Nm

Subaru XV crossver paling pentingkan diri sendiri – Pandu uji

PENTINGKAN diri sendiri tidak semestinya bermaksud sesuatu yang negatif. Kadang-kadang ia juga boleh menjadi sesuatu yang baik. Di saat crossover lain menekankan praktikaliti dan keluasan, ada sebuah crossover ini mementingkan perkara lain seperti pengendalian.

Perkenalkan Subaru XV, dan ia ‘mengorbankan’ ruang kargonya untuk pengendalian yang mantap dan seimbang. Pentingkan diri sendiri? Anda tentukan.

Nanti penulis akan ceritakan dengan lebih lanjut bab ini.

Sebelum itu, sedikit latar belakang mengenai Subaru XV. Model yang penulis pandu ini merupakan versi facelift, dan varian tertinggi iaitu 2.0i-P.

Mengapa Subaru XV?

Ia berharga RM131,788 iaitu pada harga antara paling popular dan kompetitif di pasaran Malaysia, tetapi untuk unit ini dengan kit GT Edition, berharga RM146,788. Di julat harga RM120,000 hingga RM150,000, anda ada model-model seperti Honda HR-V, Hyundai Kona, Toyota Corolla Cross, Mazda CX-3, Peugeot 2008, dan banyak lagi.

Tak lupa juga model-model berlainan segmen seperti Proton X70 yang lebih besar, pelbagai trak pikap, dan beberapa sedan segmen-C seperti Honda Civic dan Toyota Corolla.

Jadi, mengapa anda melihat kepada Subaru XV? Jika anda tidak selalu memerlukan ruang yang besar, sering masuk ke laluan off-road separa-mencabar, dan mahukan pengendalian paling seimbang, teruskan membaca.

Silap mata Symmetrical AWD dan enjin Boxer

Ciri utama pada XV ialah sistem pacuan semua-roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive (AWD). Tidak seperti sistem-sistem lain dimana kotak gear tidak berada di tengah kenderaan, panjang drive-shaft berbeza di kiri dan kanan, sistem AWD Subaru ini seimbang kiri dan kanan.

Enjin bentangan Boxer pada XV ini dipadankan kotak gear di belakangnya dan disambung terus kepada sistem pacuan yang sangat simetri jika dilihat dari atas. Ini bermakna, segala penghantaran kuasa di kiri dan kanan adalah sama, begitu juga dengan agihan berat.

Ditambah lagi dengan enjin Boxer itu sendiri yang leper dan rendah, membantu merendahkan pusat graviti kenderaan. Hasilnya, pengendalian Subaru XV ini cukup luar biasa, terutamanya semasa menukar arah dan mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Dan tidak seperti crossover lain dalam pasaran yang hanyalah menggunakan pacuan roda depan, Subaru dengan sistem AWD ini bermakna ia mempunyai sistem suspensi belakang yang lebih rumit dan memakan ruang.

Ia terdapat sistem pacuan, differential di belakang, dan juga suspensi independent yang menjadikan lantai di ruang kargo belakang agak tinggi dan tidak begitu besar. Mahu lebih ruang semasa pergi berkhemah? Boleh sahaja tambah tong atau kargo di atas bumbung.

Rupa rugged yang sejati

Kita bercerita mengenai rupa pula. Penulis rasakan rugged merupakan tema keseluruhan XV ini kerana rekabentuk luarannya juga begitu rugged. Bampar depan dan belakang, cladding pada sekeliling kenderaan dan rak bumbung membuatkan XV ini sedia meredah laluan mencabar bila-bila masa.

Tetapi tidaklah terlalu hardcore seperti kenderaan untuk Borneo Safari. Subaru XV ini masih nampak bergaya untuk dipandu dalam bandar seperti ke tempat kerja atau minum kopi hujung minggu.

Apa pun, Subaru XV ini secara amnya sebuah crossover yang nampak agak dinamik dengan badan yang sedikit rendah.

Di bahagian dalam, penulis rasakan ianya biasa-biasa sahaja, bukanlah kabin paling cantik dalam segmennya jika hendak berkata jujur. Ia masih selesa dan luas, serta bahan yang digunakan di sini bersesuaian dengan fungsi XV ini. Jahitan oren pada tempat duduk, stereng dan papan pemuka cukup unik dan agak cantik.

Satu perkara yang wajib diceritakan di sini ialah skrin paparan tambahan di atas skrin infotainmen di tengah. Skrin memanjang ini menunjukkan maklumat tambahan seperti sudut dongakan kereta, agihan kuasa pada tayar, suhu minyak, EyeSight, dan peratusan pedal minyak.

Pemanduan serba boleh

Penulis sebenarnya cukup kagum bagaimana jurutera Subaru berjaya membuatkan XV ini serba boleh pemanduannya. Di jalan kasar, ia mampu menyerap dengan baik, kemudian apabila melalui selekoh-selekoh di jalan rata, suspensinya seolah-olah mengeras untuk kawalan badan stabil.

Ibarat ia mampu melembut dan mengeras sendiri apabila diperlukan, padahal tiada sistem elektronik atau adaptif pada suspensinya.

Kemudian transmisinya menggunakan CVT, tetapi CVT pada Subaru ini yang bersifat paling natural yang pernah penulis uji. Hampir tiada langsung rasa slip atau gelinciran semasa memecut dengan mendadak dan ‘pertukaran gear’ juga boleh terasa, tiada ngauman kurang enak didengar.

Berbaloi?

Seperti dinyatakan di atas, jika anda mementingkan aspek pemanduan dan memerlukan kemampuan AWD untuk aktiviti lasak, Subaru XV ini sangat berbaloi dicuba.

Cuma pilih varian 2.0i-P sudah cukup, bagi penulis tidak perlu sangat pakej GT Edition melainkan anda ada bajet lebih dan mahu membuatkan XV anda lebih menyerlah.

Spesifikasi Subaru XV 2.0i-P GT Edition

Harga: RM146,788
Enjin: 2.0-liter 4-silinder Boxer, naturally-aspirated
Kotak gear: CVT Lineartronic 7-kelajuan
Kuasa: 154hp @ 6,000rpm
Tork: 196Nm @ 4,000rpm

Volvo XC40 Recharge EV: Alkisah pemanduan satu-pedal – Pandu uji

BEBERAPA minggu lepas, Volvo Car Malaysia (VCM) melancarkan SUV terkini mereka yang juga sebuah EV atau kenderaan elektrik sepenuhnya.

Perkenalkan XC40 Recharge Pure Electric P8, ya suatu nama yang agak panjang, ia merupakan EV pertama dari Volvo. XC40 ini juga dipasang di Malaysia, jadi ia juga EV CKD pertama negara ini!

Sehari selepas pelancaran, kami telah dijemput oleh VCM untuk memandu uji SUV bergaya ini. Ia pemanduan ringkas satu hari, jadi saya tidak akan bercerita terlalu menyeluruh.

Sebaliknya saya akan ulas tanggapan pertama memandu EV ini, terutamanya mengenai pemanduan satu-pedal (one-pedal driving) dan kerisauan jarak pemanduan (range anxiety).

Latar belakang Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8

Untuk yang belum tahu, VCM pada awalnya memperkenalkan XC40 T5 iaitu versi enjin petrol biasa. Kemudian varian XC40 Recharge T5 ditambah iaitu versi plug-in hybrid (PHEV) gabungan enjin pembakaran dalaman dan sistem janaan elektrik.

Jadi untuk XC40 Recharge Pure Electric, ia menampilkan pek bateri lithium-ion 78kWh yang menghantar kuasa ke dua motor elektrik (satu di gandar depan, satu lagi di gandar belakang), menjadikan jentera ini sebuah all-wheel drive (AWD).

Kuasa oleh motor elektrik adalah setinggi 402hp (300kW) dan 660Nm tork, membolehkan SUV ini memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 4.9 saat. Kelajuan maksima pula – seperti semua model Volvo terkini – dihadkan pada 180km/j.

Dari segi rekabentuk luaran, XC40 Recharge EV ini nampak hampir serupa dengan versi petrol biasa, kecuali pada beberapa bahagian.

Pertamanya, gril depan rata yang bertutup, kemudian tulisan “RECHARGE” pada tiang-C kiri dan kanan, serta tempat mengecaj pada fender depan kiri.

Bahagian dalaman juga serupa dengan XC40 T5, tetapi Recharge EV ini ‘kehilangan’ butang penghidup enjin. Bukan kerana ia tiada enjin, tetapi anda tidak perlu menghidupkannya, XC40 ini terus dalam keadaan bersedia dan ‘hidup’ sebaik sahaja anda masuk ke dalam dengan kunci bersama.

Untuk spesifikasi lanjut, jemput baca di sini.

Sekarang, kita terus ke bab pemanduan.

Sama tapi berbeza

Masuk ke dalam, walaupun ruang kabin dan segala butang kawalan nampak sama, tetapi tidak 100 peratus serupa. Paling ketara seperti dinyatakan di atas, tiada butang penghidup enjin.

Sebaik anda masuk ke dalam, XC40 ini sedia dipandu. Hanya perlu tunggu tukar gear kepada Drive sahaja. Jadi, tiada istilah ‘panaskan enjin’ di sini. Anda nak terus tekan pedal rapat ke lantai pun tiada masalah.

Semasa mula memandu, saya pada awalnya agak berhati-hati dan sentiasa mengingatkan diri bahawa XC40 ini mempunyai lebih 400hp dan 660Nm tork.

Tetapi selepas mengemudi kesesakan trafik keluar dari The Saujana memasuki NKVE, ternyata kuasa dan outputnya mudah dikawal. Ia terasa lancar dan kita boleh hampir terlupa bahawa ia mempunyai kuasa yang mampu menyaingi kereta sports.

Yang pasti, kuasa memang sepantas kilat; tekan sahaja bila-bila masa, anda dapat daya tujahan maksima. Tidak perlu tunggu turbo boost, tidak perlu tunggu rpm tertentu, tork maksima boleh didapati dari 0 rpm.

Ya, itulah magik sebuah kereta elektrik. Cuma Volvo XC40 setakat ini berjaya menyampaikannya dalam satu pakej praktikal dan mudah dipandu.

Tahukah anda kuasa yang tinggi juga meningkatkan keselamatan? Anda dapat pecut dengan mudah untuk susur masuk lebuhraya tanpa pemandu di lorong utama brek, maka aliran trafik lebih lancar, pemandu di sekeliling juga akan lebih tenteram maka semua orang gembira.

Keyakinan untuk memotong juga meningkat, seperti semasa kami di laluan berliku dan berselekoh di Janda Baik. Tork yang tinggi memudahkan kereta keluar dan memecut, maka proses memotong di jalan sempit mengambil masa kurang 10 saat.

Volvo XC40 pada asalnya sudahpun cukup selesa tetapi dengan versi Recharge EV ini, tiada gegaran enjin maka tahap NVH (noise, vibration dan harshness) adalah lebih rendah. Pemanduan jarak jauh pasti lebih nyaman untuk semua.

Cuma disebabkan XC40 Recharge EV ini kira-kira 440kg lebih berat dari versi petrol, penyelenggaraan komponen getah pasti meningkat seperti bushing pada suspensi dan terutamanya tayar. Kenderaan lebih berat bermakna tayarnya lebih cepat haus.

Ya, sememangmanya penyelenggaraan di bahagian lain terutamanya sistem janaan jauh lebih rendah dalam kenderaan EV kerana kurangnya komponen bergerak seperti dalam enjin.

Pemanduan satu-pedal

Satu perkara menarik dengan kereta elektrik ialah anda boleh melakukan pemanduan satu-pedal. Bergantung kepada tetapan dan mod, kereta elektrik mempunyai fungsi regenerative dimana daya kinetik atau haba boleh ditukar semula kepada tenaga elektrik untuk disimpan ke dalam bateri.

Bila diaktifkan, fungsi regenerative akan membantu memperlahankan kenderaan tanpa perlu menggunakan brek kaki.

Tetapi dengan Volvo XC40 Recharge EV ini, sensasi regenerative padanya adalah paling ketara dan paling kuat paling saya pernah rasa sepanjang pengalaman saya bersama kenderaan elektrik hinggakan hampir tidak perlu langsung menekan pedal brek.

Malah, semasa turun dari Genting Highlands selepas makan tengahari di Janda Baik, rasanya kurang dari lima kali saya menekan pedal brek! Ya benar, untuk memasuki selekoh sambil menuruni bukit, jarang perlu menekan brek.

Bagaimana?

Mod pemanduan satu-pedal ini aktif secara default dalam XC40 (anda boleh padamkannya jika mahu) dan jika pada kelajuan 90km/j misalnya dan anda mahu memperlahankan kenderaan, anda tidak perlu mengangkat kaki sepenuhnya dari pedal ‘minyak’.

Apa yang perlu dilakukan ialah angkat kaki mungkin suku sahaja, dan ia sudah cukup untuk memperlahankan kenderaan secara berkadar, dan lampu brek sudahpun menyala.

Mengangkat kaki kanan sepenuhnya dari pedal pendikit akan menyebabkan XC40 ini seolah-olah membrek dengan agak mengejut, malah cukup kuat untuk membrek susur keluar dari jalan utama dan memasuki simpang.

Jadi anda mengawal daya ‘brek’ Volvo XC40 Recharge EV ini dengan melaras input pada pedal pendikit minyak, masuk akal?

Ianya satu pengalaman dan sensasi unik, ada beberapa rakan media tidak menyukainya. Saya secara peribadi lebih gemar pemanduan satu-pedal ini mungkin kerana saya memandu kereta dengan transmisi manual, saya kurang gemar kereta coasting atau meluncur ‘kosong’ seperti tiada gear.

Jadi dengan pemanduan satu-pedal seolah-olah ada rasa dan kesan brek enjin.

Kerisauan jarak pemanduan?

Baik, satu lagi perkara utama memandu kereta elektrik ialah range anxiety, risau adakah bekalan kuasa cukup hingga sampai ke destinasi.

Jika perjalanan harian ke tempat kerja mungkin tidak menjadi isu, tetapi jika bercuti hujung minggu atau pulang ke kampung, pasti akan timbul perasaan ini.

Volvo XC40 Recharge EV dengan bateri 78kWh menawarkan jarak pemanduan sehingga 418km. Perjalanan kami pada hari itu sebenarnya kira-kira separuh sahaja dari jangkauannya.

Tetapi walaupun memandu dengan tidak berhati-hati dan ada beberapa kali menekan pendikit rapat ke lantai (untuk menguji pecutan dan merasai torknya), saya masih dapat pulang ke the Saujana dengan bateri berbaki lebih 40 peratus.

Dari pemanduan singkat sehari ini, saya boleh simpulkan bahawa XC40 ini cukup cekap penggunaan kuasanya dan saya yakin boleh mendapat lebih 418km dengan cara memandu dan pengurusan tenaga yang betul.

Paling menarik, integrase Google Maps dalam sistem infotainmen XC40 ini membolehkannya memaparkan bukan sahaja lokasi-lokasi pengecaj berdekatan, tetapi juga anggaran peratusan bateri yang tinggal semasa anda sampai ke destinasi.

Ini sememangnya satu fungsi yang sangat berguna dalam pemanduan seharian XC40 Recharge EV ini.

Kesimpulan

Adakah saya akan beli Volvo XC40 Recharge EV ini? Jika saya berada dalam pasaran untuk mencari SUV berharga antara RM250,000 hingga RM300,000, saya akan memilih versi EV ini.

Jika dulu mungkin agak keberatan, setelah merasainya dan menilai praktikaliti XC40 ini, saya rasa SUV EV sesuatu yang sangat dekat dengan kita lebih dari kita menyedarinya. Yang penting kita ada pengecaj pantas DC di rumah.

Oh ya, kenderaan petrol biasa sekarang dengan kecekapan anggaran 12km/liter dan harga semasa RON95 pada RM2.05 seliter akan memerlukan 33.33 liter atau RM68.33 untuk jarak pemanduan 400km.

Tetapi bagi Volvo XC40 Recharge EV ini dengan kadar bil elektrik semasa 37.45 sen untuk setiap 1kWh akan memerlukan hanya RM29.21 untuk ‘isian penuh’ 78kWh dan memperoleh 418km.

Amacam?

Spesifikasi Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8

Harga: RM262,459.75
Kapasiti bateri: 78kWh
Kuasa: 300kW (402hp)
Tork: 660Nm