fbpx

Mercedes-Benz GLC 300 4Matic AMG Line mahal tapi cukup mewah – Pandu Uji

Mercedes-Benz GLC 300 Pandu Uji 02

MENURUT Mercedes-Benz Malaysia, GLC merupakan SUV paling laris buat jenama itu dengan lebih 12,000 unit terjual di negara ini sejak ia dilancarkan pada 2016.

Jika anda tinggal di Lembah Klang, setiap hari anda pasti akan ternampak kelibat GLC. Pendek kata, ke mana sahaja anda pergi, di situ pasti ada GLC. Tidak syak lagi SUV saiz pertengahan ini memang sangat popular dalam kalangan golongan kaya.

Selepas tujuh tahun, akhirnya model generasi kedua (X254) tiba ke pasaran tempatan. Buat masa ini, terdapat satu varian sahaja yang ditawarkan iaitu GLC 300 4Matic AMG Line. Ia memang nampak lebih segak dan bergaya namun ada satu isu yang tidak boleh diendahkan: sebagai model CBU, harga jualannya bermula dari RM429,888.

Ini menunjukkan perbezaan antara RM70,000 hingga RM80,000 jika dibandingkan dengan GLC 300 generasi terdahulu dan BMW X3 xDrive30i M Sport. Walaupun dalam pasaran premium, perbezaan harga ini boleh dikatakan agak besar. Adakah keadaan ini akan memaksa pelanggan beralih ke jenama lain?

Masih terlalu awal untuk dikatakan namun dalam artikel pandu uji ini, saya akan kupaskan kelebihan-kelebihan GLC yang mungkin boleh membuatkan pelanggan berfikir dua kali sebelum mereka mengunjungi bilik pameran pesaing-pesaing terdekatnya.

Mari bermula dengan bahagian luaran terlebih dahulu. Ya, rekaan adalah subjektif tetapi rasanya tidak keterlaluan jika saya katakan yang GLC nampak lebih bergaya dan mewah jika dibandingkan dengan BMW X3 dan Volvo XC60.

Pada bahagian hadapan, terdapat sepasang lampu yang agak tajam dan langsing. Ia dilengkapi dengan teknologi Digital Light yang mampu menghasilkan pancaran beresolusi tinggi mengikut kondisi pemanduan tanpa menjejaskan pengguna jalan raya yang lain.

Lampu tersebut tersebut bersambung dengan gril trapezoid yang dihiasi dengan bingkai hitam berkilat dan kemasan bermotifkan bintang berbucu tiga. Bampar AMG Line pula memberikan SUV ini ekspresi wajah yang sedikit garang.

Dari sisi, kegagahan GLC terserlah dengan overhang hadapan dan belakang yang pendek, serta rim berukuran 20 inci. Kemasan plastik hitam masih ada pada bahagian bampar dan skirting tetapi untuk gerbang roda, ia digantikan dengan cat mengikut warna badan.

Bahagian belakangnya nampak lebar dan sporty, dan seperti yang anda lihat pada gril, lampu belakang dihiasi dengan motif bintang berbucu tiga. Cuma sedikit mengecewakan kerana terdapat terlalu banyak krom pada bahagian bampar dan muncung ekzos pula adalah palsu.

Kita sedia maklum yang Mercedes-Benz memang juara dalam bab ruang dalaman. Dengan GLC, statusnya sebagai raja interior diperkukuhkan lagi dengan rekaan yang teratur, serta penggunaan material berkualiti tinggi di segenap sudut.

Seperti yang boleh dilihat, konsol tengah nampak kemas dan bersih. Ini kerana semua fungsi-fungsi berkaitan sistem infohibur dan pendingin hawa telah dimasukkan ke dalam skrin sentuh potret 11.9 inci. Anda mungkin tidak perasan namun skrin ini sebenarnya dihalakan sedikit ke arah pemandu untuk memudahkan penggunaan.

Tipikal bagi Mercedes-Benz, grafik dan warna sistem infohibur sangat tajam dan menyerlah, dan operasinya juga amat lancar. Apple CarPlay dan Android Auto boleh digunakan secara wayarles, begitu juga dengan pengecasan telefon. Sebagai alternatif, terdapat dua port pengecas USB Type C di dalam ruang simpanan konsol tengah.

Untuk kawalan sistem pendingin hawa, saya memang lebih suka menggunakan tombol fizikal namun dengan GLC, ia agak mudah kerana panel kawalan digital pada skrin sentuh tersebut agak besar dan jelas. Bukan itu sahaja, ia akan sentiasa terpapar walaupun skrin dipadamkan.

Satu lagi fungsi yang agak berguna adalah Traffic Light View. Setiap kali anda berhenti di persimpangan lampu isyarat, suapan dari kamera hadapan akan dipaparkan pada skrin untuk membolehkan anda memerhatikan keadaan trafik dan membantu anda untuk sedia bergerak sekiranya lampu bertukar hijau.

Sudah tentu, terdapat sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna menjadikan suasana lebih santai dan tenang terutamanya pada waktu malam. Sistem audio Burmester 3D yang digunakan juga menghasilkan bunyi yang sangat terperinci dan berkualiti, sesuai untuk mereka yang gemar mendengar muzik sambil memandu.

Namun sehebat mana pun ruang kabin ini, tetap ada kekurangannya. Sebagai contoh, ruang kaki hadapan terasa agak sempit. Selain itu, panel sentuhan pada stereng terlalu kecil dan ketiadaan port pengecas USB untuk penumpang belakang adalah ‘jenayah’ untuk kereta yang berharga lebih RM400,000.

Untuk aspek praktikaliti, saya tiada rungutan. Ya, seperti yang diperkatan, ruang kaki hadapan agak sempit namun ruang kaki dan kepala penumpang belakang boleh dikatakan cukup luas. Untuk makluman anda, ini kerana jarak antara roda GLC generasi kedua telah bertambah sebanyak 15 mm.

Selain itu, kapasiti ruang but juga lebih besar sebanyak 70 liter, menjadi 620 liter iaitu 70 liter lebih besar berbanding but X3 dan 115 liter lebih besar berbanding XC60. Di bawah lantai but, terdapat kit pembaikan tayar dan juga bakul yang boleh dilipat.

Seperti sebelum ini, GLC 300 dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo empat silinder namun kali ini, ia dibantu dengan sistem mild-hybrid 48 volt yang menggunakan Integrated Starter Generator (ISG). Kehadiran sistem ini tidak begitu dirasai namun ia sebenarnya membantu kereta ini memecut pada julat RPM rendah dan menjadikan sistem start stop lebih lancar.

Dari segi prestasi, 258 PS dan 400 Nm yang dibekalkan oleh enjin tersebut cukup untuk membolehkan kenderaan ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.2 saat. Bagi saya, ini sudah memadai untuk situasi pemanduan seharian kerana biarpun tidak bersifat agresif, kereta ini boleh memecut melebihi kelajuan yang dibenarkan tanpa disedari.

Masuk ke bab ride and handling, saya rasakan talaan sistem suspensi Agility Control yang digunakan lebih sesuai untuk pemanduan yang lebih santai. Jangan salah anggap kerana ia masih boleh melayan selekoh-selekoh tajam namun jika terlalu dipaksa, ia akan mula bergelut. Mungkin disebabkan faktor saiz dan beratnya yang hampir mencecah dua tan.

Biarpun begitu, sistem suspensi tersebut boleh menyerap hentakan dengan cemerlang serta meminimumkan gegaran di dalam kabin. Ditambah pula dengan kedapan bunyi yang amat baik, ruang kabin GLC sangat selesa sama ada untuk perjalanan jarak dekat atau jarak jauh.

Adakah semua ini cukup untuk menjustifikasikan harganya? Bagi saya belum cukup kerana ada satu aspek yang masih boleh ditambah baik iaitu sistem bantuan pemandu. Jangan terkejut kerana kereta yang mempunyai harga setara dengan seunit rumah ini tidak didatangkan dengan Adaptive Cruise Control mahupun Lane Keep Assist.

Bagi mereka yang mementingkan keselamatan dan mahukan pengalaman pemanduan yang lebih moden, ketiadaan dua ciri tersebut adalah satu kerugian besar, lebih-lebih lagi apabila ia ditawarkan pada model-model SUV lain yang jauh lebih murah.

Konklusinya di sini, GLC mampu memenuhi jangkaan mereka yang mahukan sebuah SUV yang premium dan mewah tetapi ada aspek yang boleh diperbaiki lagi terutamanya kelengkapan. Adakah ia lebih baik berbanding X3 dan XC60? Itu terpulang kepada pembeli memandangkan setiap individu mempunyai keperluan dan keinginan yang berbeza.

Apa pun, saya berharap versi pemasangan tempatan (CKD) akan tampil dengan pakej yang lebih lengkap dan sepadan dengan harganya bagi memastikan model ini kekal laris di pasaran.

Spesifikasi Mercedes-Benz GLC 300 4Matic AMG Line

Harga: RM429,888
Enjin: 2.0-liter empat silinder turbo mild-hybrid
Kotak gear: 9G-Tronic sembilan kelajuan
Kuasa: 258 PS @ 5,800 rpm
Tork: 400 Nm @ 2,000-3,200 rpm

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved