fbpx

Pagani Zonda 760 LH Lewis Hamilton terlibat kemalangan lagi

Pagani Zonda 760 LH Lewis Hamilton kemalangan 01

PEMINAT tegar Lewis Hamilton pastinya tahu bahawa pelumba kesayangan mereka itu pernah memiliki sebuah Pagani Zonda 760 LH sekitar tahun 2014.

Walaupun dibina mengikut spesifikasi dan citarasanya, Hamilton pernah berkata bahawa dia tidak begitu menyukai cara pemanduan hypercar dengan enjin V12 itu. Akhirnya pada 2021, ia dijual kepada seorang pembeli dari United Kingdom pada harga sekitar 8.5 juta pound (RM50.2 juta).

Baru-baru ini, jentera itu terlibat dalam sebuah kemalangan yang dikatakan berlaku di sebuah terowong di Conwy, Wales. Gambar-gambar di lokasi kejadian dimuat naik oleh jurufoto Ethan Gale ke akaun Instagram miliknya iaitu @ethang.supercarphotographer.

Menurut komen Gale, pemilik Zonda 760 LH itu berjaya keluar dari keretanya tanpa sebarang kecederaan. Walau bagaimanapun, kereta tersebut mengalami kerosakan yang agak teruk pada bahagian badan, patah gandar belakang dan cermin hadapannya juga pecah.

Tambah Gale lagi, punca sebenar kemalangan itu tidak diketahui namun pemiliknya dipercayai memecut laju ketika di dalam terowong tersebut hingga hilang kawalan.

Jika ini benar, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana kereta itu memang berkuasa tinggi. Ia mempunyai 760 PS yang dibekalkan oleh enjin naturally aspirated 7.3-liter V12 yang dibina oleh Mercedes-AMG.

Bagaimanapun, tidak seperti varian 760 yang lain, versi ini dilengkapi dengan transmisi manual enam kelajuan atas permintaan Hamilton sendiri.

Apa yang menarik, ini bukan kali pertama hypercar berwarna ungu itu terlibat dalam kemalangan. Sekitar November 2015, Hamilton sendiri pernah terbabas ketika memandunya di Monaco namun kerosakan yang dialami ketika itu lebih kecil berbanding insiden kali ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved