fbpx

Porsche 718 Cayman GT4 RS – Model paling hardcore, ekzos paling bising

porsche 718 cayman gt4 rs 2022 02

PORSCHE telah melancarkan sebuah model yang mungkin dikatakan sebagai jentera mid-engined paling hardcore pernah mereka hasilkan, iaitu 718 Cayman GT4 RS.

Jadi, apa yang membolehkan Cayman ini akhirnya menerima lencana RS?

Segalanya mengenai kereta ini sangat fokus dan agak hardcore; lebih kuasa, lebih keras, lebih ringan, lebih pantas.

Mekanikal berjiwa motorsport

Nadi kepada Cayman GT4 RS ini ialah enjin 4.0-liter naturally-aspirated flat-six yang mampu rev sehingga 9,000rpm.

Cayman GT4 ‘biasa’ sebelum ini sudah cukup berkuasa dengan 420hp dan 420Nm tork. Tetapi untuk GT4 RS, output ditingkatkan kepada 500hp dan 450Nm tork, terima kasih kepada enjin yang diambil dari 911 GT3.

Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear dwi-klac PDK 7-kelajuan sahaja, malangnya tiada pilihan manual 6-kelajuan kali ini.

Dari segi prestasi, Cayman GT4 RS mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 3.4 saat dan mempunyai kelajuan maksima 319km/j.

Seperti model-model GT Porsche sebelum ini, Cayman GT4 RS juga telah diuji di litar Nurburgring. Ia mencatat masa pusingan 7 minit 9.300 saat, dipandu oleh Jörg Bergmeister.

Pada konfigurasi lebih pendek 20.6km di litar sama, GT4 RS ini berjaya mencatat masa 7 minit 4.511 saat, iaitu 23 saat lebih pantas dari 718 Cayman GT4 sebelumnya.

Diet untuk menjadi ringan

Porsche 718 Cayman GT4 RS telah menjalani proses ‘diet’ untuk menurunkan beratnya agar mencapai prestasi mantap di jalanan dan di litar.

Beratnya cumalah 1,415kg dengan tangki penuh tanpa pemandu (mengikut standard DIN), dan ini 35kg lebih ringan dari Cayman GT4 ‘biasa’.

Terdapat juga banyak penggunaan gentian karbon untuk komponen seperti bonet depan, sayap depan, selain karpet dan bahan penebat bunyi ringan.

Cermin belakang juga menggunakan kaca lebih ringan, selain pembuka pintu jenis kain yang juga menyumbang kepada pengurangan berat.

Aerodinamik dan casis fokus

Cayman GT4 RS dilengkapi spoiler belakang jenis swan-neck yang diinspirasikan dari 911 GT3 dan jentera lumba RSR GT.

Kemudian, terdapat juga sirip di sekitar gerbang roda depan, panel bawah badan yang disambung dengan diffuser, serta beberapa elemen yang boleh dilaras. Kesemua ini memberikan 25 peratus lebih downforce.

Spring dan anti-roll bar juga telah ditala khas untuk pengendalian tepat dan lebih jitu.

Pakej Weissach

Sebagai tambahan, Porsche 718 Cayman GT4 RS boleh ditambah dengan pakej Weissach. Ini merangkumi kemasan gentian karbon pada bonet depan, ruang kemasukan udara, penyejuk, cermin sisi, dan spoiler belakang.

Barangan lain adalah ekzos titanium, roll-cage dari titanium, dan bahan balutan papan pemuka dari Race-Tex, serta logo Porsche di cermin belakang.

Akhir sekali, pakej ini memberikan rim magnesium 20-inci berbanding rim aluminium pada model standard.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved