fbpx

Proton X90 cukup bagus tetapi belum sempurna – Pandangan Awal

Proton_x90_0019

SEPERTI model-model keluaran Proton yang lain, X90 mencetuskan hype yang boleh dikatakan agak luar biasa. Manakan tidaknya, selain menjadi model SUV ketiga pengeluar kenderaan nasional itu, ia juga hadir sebagai Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertamanya.

Bukan itu sahaja, dengan harga jualan bermula dari RM123,800 hingga RM152,800, X90 merupakan model keluaran Proton yang paling mahal setakat ini. Jadi, sudah tentulah ia menjadi buah mulut orang.

Baru-baru ini, saya berpeluang untuk memandu uji X90 dari ibu pejabat Proton di Shah Alam, Selangor ke Gambang, Pahang. Jadi untuk artikel kali ini, saya akan kongsikan perkara-perkara bagus dan kurang bagus yang anda patut tahu mengenai model ini.

Lebih suka meluncur dari memecut

Semasa memandu di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, saya mendapati gabungan enjin turbo 1.5-liter tiga silinder dan sistem mild-hybrid 48V ini kurang ‘umph’ dari segi pecutan di atas jalan yang landai dan juga ketika mendaki.

Ya, ia adalah sebuah SUV yang besar dengan berat kira-kira 1.7 tan (tidak termasuk kami berempat dan barangan yang dibawa) namun kehadiran sistem mild-hybrid tersebut, yang dikatakan dapat membantu pecutan dari keadaan pegun dan ketika bergerak, tidak begitu dirasakan.

Saya juga berasa agak hairan dengan keengganan kotak gear klac berkembar (DCT) menurunkan gear ketika pendikit ditekan kuat semasa mendaki. Setahu saya, DCT sepatutnya boleh memilih gear yang sesuai sama ada untuk mendaki atau menuruni bukit.

Sudah tentu, mod Sport boleh dipilih untuk menyelesaikan masalah ini namun saya secara peribadi tidak  suka beralih dari satu mod ke satu mod lain dengan terlalu kerap ketika sedang memandu.

Tetapi sebaik sahaja memasuki Lebuhraya Pantai Timur, trenkuasa ini tidak lagi bergelut. Tindak balasnya terasa lebih lancar terutamanya pada kelajuan cruising sekitar 110 km/j dengan jarum rpm bermain-main pada takat 2,000.

Ketika ini, saya dapat rasakan dengan jelas yang X90 bukanlah sebuah SUV yang anda ingin pandu secara agresif. Karakternya boleh diibaratkan sebagai seorang yang banyak makan asam garam – tenang, bersahaja dan tidak terburu-buru.

Sistem Smart Glide bantu jimat bahan api?

Satu lagi kelebihan sistem mild-hybrid berkenaan adalah ciri Smart Glide yang bertindak untuk mematikan enjin dan memisahkan transmisi supaya kereta boleh meluncur tanpa menggunakan setitis pun bahan api.

Tidak dinafikan ciri ini memang bagus tetapi ia hanya akan diaktifkan apabila bateri litium-ion mempunyai tenaga yang cukup. Ini boleh dilihat menerusi logo ‘A’ pada panel instrumen. Warna hijau menandakan tenaga yang mencukupi, warna kuning pula sebaliknya.

Saya sempat mengaktifkan sistem ini beberapa kali namun berdasarkan pengalaman, ia hanya aktif dalam tempoh seminit dua sahaja. Tidak pasti berapa banyak penjimatan yang dapat tetapi bagi saya, ciri seperti ini lebih baik ada daripada tiada langsung.

Bercakap tentang penggunaan bahan api, unit yang saya pandu menunjukkan bacaan sekitar 12 liter/100 km. Jauh berbeza dengan angka yang disebut oleh Proton iaitu 6.8 liter/100 km namun gaya pemanduan saya dan media lain pada hari itu agak agresif.

Suspensi terima sentuhan ajaib Proton

Dari aspek keselesaan pula, X90 ada kelebihan dan kekurangannya. Pertama sekali, ingin saya berikan pujian kepada Proton kerana berjaya mendapatkan tuning suspensi yang paling sesuai untuk keadaan permukaan jalan raya di negara kita.

Untuk pengetahuan anda, X90 menggunakan sistem suspensi jenis multi-link pada gandar belakang, berlainan dengan Geely Haoyue dan Okavango yang dilengkapi dengan jenis torsion beam.

Menurut Proton, mereka diberi kepercayaan untuk menggunakan sistem berkenaan serta talaan sendiri untuk X90. Hasil kepakaran orang kita memang boleh dirasakan dengan jelas terutamanya di LPT di mana segala permukaan beralun dan tidak rata diserap dengan begitu baik sekali.

Ya, body roll masih ada ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi manakala tindak balas stereng bukanlah yang terbaik dalam kelasnya namun untuk sebuh kereta keluarga dengan tiga barisan tempat duduk, keselesaannya boleh dikatakan mengagumkan.

Bukan itu sahaja, penumpang pada barisan kedua dan ketiga juga tidak perlu risau kerana setiap barisan tempat duduk mempunyai corong pendingin sendiri dan port pengecas USB.

Kekurangan yang boleh dirasakan

Cuma, apa yang mengecewakan di sini adalah kerusi. Walaupun dibalut material kulit Nappa yang berkualiti, kerusi X90 tidak memberikan sokongan yang secukupnya. Bolster pada penyandar tidak cukup besar, manakala tempat duduknya agak pendek, membuatkan peha sedikit tergantung.

Rungutan ini sebenarnya bukan untuk kerusi pemandu dan penumpang hadapan sahaja, malah juga untuk kerusi barisan kedua, sama ada kerusi jenis bangku pada varian Premium atau kerusi kapten pada varian Flagship.

Tidak perlu diperkatakan lagi, kerusi barisan ketiga hanya sesuai untuk mereka yang bersaiz sederhana dan kecil, dan untuk perjalanan jarak dekat.

Canggih tetapi menjengkelkan

Satu lagi perkara yang bagi saya boleh menjejaskan pengalaman pemanduan adalah sistem ADAS yang agak sensitif, terutamanya Lane Keep Assist yang akan berbunyi walaupun tayar belum lagi menyentuh garisan. Sistem Foward Collision Warning pula mengeluarkan bunyi amaran walaupun kereta di hadapan masih agak jauh. Canggih sangat pun susah juga, kan?

Tetapi saya suka dengan ciri Rear Collision Warning yang bertindak menyalakan lampu hazard sebagai amaran kepada kereta di belakang sekiranya ia mengekori terlalu rapat. Ciri Traffic Sign Information pula boleh mengimbas pelbagai jenis papan tanda dan memaparkannya pada panel instrumen untuk perhatian anda.

Untuk sistem infohibur, ketiadaan Apple CarPlay dan Android Auto memang boleh dianggap sebagai satu kekurangan tetapi sistem Atlas OS yang digunakan oleh X90 tidak kurang hebatnya.

Warna dan fon yang digunakan terang dan mudah dilihat, manakala operasinya boleh dikatakan lancar tanpa lag yang menyakitkan hati. Sistem navigasinya juga mudah digunakan dan mampu menunjuk arah dengan baik.

Seperti X70 dan X50, kualiti kamera undur dan kamera 360 darjah pada model ini sangat-sangat memuaskan. Malah, jauh lebih baik berbanding kenderaan dari dua jenama Jepun tersohor itu.

Konklusi

Secara keseluruhannya, saya boleh katakan yang Proton X90 adalah sebuah MPV keluarga yang cukup bagus dan mampu memenuhi permintaan pelanggan dalam segmennya menerusi ciri-ciri yang ditawarkan.

Ia bukanlah sebuah kenderaan yang sempurna tetapi dengan harga yang lebih murah berbanding pesaing-pesaing terdekatnya iaitu Chery Tiggo 8 Pro dan Mazda CX-8, rasanya ramai pembeli yang boleh ‘tutup mata’ dan terima sahaja kekurangannya.

Spesifikasi Proton X90

Harga: RM123,800-RM152,800
Enjin: 1.5-liter, tiga silinder turbo, mild-hybrid 48V
Kotak gear: DCT tujuh kelajuan
Kuasa: 190 PS
Tork: 300 Nm

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved