fbpx

Honda WR-V laris walaupun mahal – Pandu Uji

Honda WR-V pandu uji 05

KETIBAAN Honda WR-V ke pasaran Malaysia pada Julai lalu bukan sahaja sebagai pengganti BR-V tetapi juga sebagai model pertama Honda yang akan menggegarkan segmen SUV kompak.

Pesaing utamanya tidak lain tidak bukan tentulah Perodua Ativa yang terus-menerus mendapat sambutan hangat sejak ia dilancarkan ke pasaran tempatan pada 2021.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dengan harga bermula dari RM62,500 hingga RM73,400, Ativa dilihat sebagai pilihan yang ‘mesra poket’ terutamanya untuk mereka yang ingin beralih ke segmen SUV.

Kehadiran WR-V dijangka akan memberi saingan sengit kepada Ativa namun dengan julat harga yang jauh lebih tinggi iaitu RM89,900 hingga RM107,900, penulis merasakan yang impaknya mungkin tidak sehebat SUV keluaran Perodua itu.

Ini kerana, selain agak mahal, pelanggan sebenarnya boleh memilih untuk mendapatkan kereta yang lebih besar seperti Honda City atau Proton X50 dengan bajet yang sama.

Bagaimanapun, sangkaan penulis mengenai penerimaan WR-V salah sama sekali apabila Honda Malaysia mendedahkan bahawa mereka telah menerima hampir 7,300 tempahan untuk model itu setakat awal September 2023.

Daripada jumlah tersebut, hampir 3,300 unit telah diserahkan kepada pelanggan dan daripada jumlah itu, 62 peratus daripadanya merangkumi varian RS. Ya, walaupun harganya agak tinggi, WR-V tetap laris. Kenapa agaknya?

Semasa sesi uji media yang diadakan di Langkawi baru-baru ini, penulis berpeluang mencungkil beberapa ‘rahsia’ WR-V dan merasai sendiri kelebihan yang dimiliki oleh model itu.

Pertama sekali, reka bentuk. Rasanya tidak keterlaluan jika penulis katakan yang ada segelintir pembeli kenderaan di negara ini yang meletakkan rupa sebagai faktor utama.

Oleh itu jika ada pemilik WR-V yang mengatakan dia membeli kereta ini sebab rupanya semata-mata, penulis tidak akan berasa hairan.

Ini kerana WR-V memang sebuah SUV yang menarik – badannya kecil molek tetapi ia mempunyai wajah yang garang dengan lampu yang tajam, gril yang lebar dan bukaan bampar yang luas.

Dari sisi, garisan karakter yang ‘ditarik’ dari hadapan hingga ke belakang, bumbung yang tidak terlalu tinggi, sert.a rim dua tona berukuran 17 inci (varian RS sahaja) memberikan WR-V imej sporty yang digemari golongan muda

Penulis paling suka melihat SUV ini dari sudut belakang kerana fender yang lebar membuatkan ia kelihatan tegap terutamanya ketika menyusur di jalan raya.

Bagaimanapun, rasa teruja tadi mula berkurangan sebaik sahaja melihat rekaan ruang kabinnya yang tidak semewah model-model keluaran Honda yang lain.

Penggunaan plastik keras pada bahagian atas papan pemuka dan panel pintu, serta kewujudan tuil brek parkir membuatkan model ini rasa dan nampak murah.

Namun begitu, kehadiran upholsteri kulit pada tempat duduk, papan pemuka sebelah penumpang dan perehat tangan, stereng multifungsi dengan balutan kulit serta trim hitam berkilat dilihat menaikkan seri kabin WR-V.

Tidak cukup dengan itu, varian RS yang penulis pandu uji ini nampak lebih garang dengan jahitan kontras berwarna merah pada tempat duduk, papan pemuka dan stereng.

Varian ini juga mempunyai jarum speedometer dan tachometer berwarna merah dan ‘welcome screen’ RS yang akan muncul pada panel TFT 4.2 inci pada kluster instrument setiap kali anda masuk ke dalam kereta.

Dari luar, memang WR-V nampak kecil namun ruang kabinnya tidak terasa sempit. Ruang kaki hadapan dan belakang agak luas untuk sebuah kereta kompak, manakala ruang kepala juga mencukupi walaupun garis bumbungnya kelihatan rendah.

Kusyen pada kerusi pemandu dan penumpang hadapan tidak dinafikan terasa agak pendek dan ini sedikit sebanyak menjejaskan sokongan peha, terutamanya untuk mereka yang tinggi lampai.

Berbeza pula dengan kerusi belakang – kusyennya lebih panjang, lebar dan selesa dan penyandarnya juga tidak terlalu condong. Walaupun tidak mempunyai fungsi ULTRA seperti City Hatchback, ia boleh dilipat secara 60:40.

Dengan kapasiti mencecah 380 liter, ruang but WR-V agak luas dan boleh memuatkan sekurang-kurangnya empat bagasi bersaiz sederhana tanpa sebarang masalah. Menariknya, ketiadaan penutup tonneau membolehkan penumpang belakang mengambil barang dari ruang but dengan lebih mudah.

Dari segi prestasi, ketiadaan pengecas turbo bukanlah satu kelemahan untuk WR-V. Enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC empat silinder yang dibekalkan sudah ternyata cukup untuk SUV kompak ini namun gaya pemanduan haruslah bersesuaian.

Maksud penulis, jika pedal ditekan dengan agresif sudah tentu enjin dan CVT akan ‘mengaum’ namun pecutannya tidaklah begitu dirasakan sehinggalah jarum tachometer mencecah takat 4,000 rpm.

Sebaliknya, jika dipedal ditekan dalam gaya yang lebih progresif, gabungan trenkuasa itu akan memberikan prestasi pecutan yang lebih cepat dan lancar, sekali gus menjadikan pengalaman pemanduan lebih seronok.

Langkawi bukanlah lokasi yang paling sesuai untuk memandu uji kereta pada kelajuan tinggi namun penulis sempat mencecah kelajuan 110 km/j beberapa kali. Pada kelajuan itu, WR-V masih terasa stabil namun bunyi dari tayar dan angin mula meresap ke dalam kabin.

Bagaimanapun, pulau peranginan itu mempunyai banyak jalan kampung dan jalan lama yang bersimpang siur dan beralun, jadi ia cukup sesuai untuk ujian pengendalian.

Untuk mereka yang sekali-sekala gemar ‘melayan’ selekoh, WR-V tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian namun jika terlalu dipaksa, olengan badan akan mula terasa.

Harus diingat yang ia bukanlah kereta sport sebenar dan dengan jarak lega tanah 220 mm, SUV ini sebenarnya agak tinggi. Stereng responsif namun sedikit ringan – bagus untuk pemanduan di dalam bandar tetapi kurang meyakinkan untuk pemanduan agresif.

Penulis diberitahu bahawa varian RS mempunyai talaan yang berbeza untuk penyerap hentak, CVT dan stereng kerana tidak seperti varian S, E dan V yang menggunakan rim 16 inci, varian ini dilengkapi dengan rim 17 inci.

Menurut ketua projek WR-V yang berasal dari Thailand, talaan spesifik ini perlu bagi mendapatkan tahap keselesaan yang sama dengan varian-varian lain. Tidak pasti jika tahap keselesaan sistem suspensi WR-V RS sama dengan varian-varian lain namun ia terbukti boleh menyerap hentakan dengan begitu baik.

Setelah hampir dua hari memandu WR-V, penulis akhirnya faham bagaimana SUV kompak ini boleh mendapat sambutan yang begitu menggalakkan walaupun dijual pada harga yang agak tinggi.

Ia mempunyai semua ciri yang dicari oleh pembeli dalam segmen ini yang rata-ratanya adalah golongan muda. Ini termasuk reka bentuk luaran yang tampan dan ruang kabin yang praktikal, walaupun secara jujurnya kelihatan agak outdated.

Tahap kelengkapannya juga tidak mengecewakan, dengan ciri-ciri penting seperti skrin sentuh bersama Apple CarPlay/Android Auto dan Honda LaneWatch disertakan secara standard pada semua varian. Honda Sensing pula tersedia dari varian E dan ke atas.

Selain itu, WR-V juga mampu memberikan pemanduan yang agak mengujakan, hasil daripada proses R&D dan ujian yang ekstensif.

Akhir sekali, penulis merasakan yang lambang ‘H’ kegilaan ramai itu turut menjadi faktor yang mempengaruhi proses membuat keputusan di kalangan pembeli model ini.

Spesifikasi Honda WR-V

Harga: RM89,900-RM107,900
Enjin: 1.5-liter DOHC i-VTEC empat silinder
Kotak gear: CVT
Kuasa: 121 PS @ 6,600 rpm
Tork: 145 Nm @ 4,300 rpm

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved