SEMASA pelancaran Honda City facelift, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Hironobu Yoshimura mengumumkan bahawa syarikat itu tidak akan menawarkan Honda Accord generasi ke-11.
Dalam erti kata lain, Accord generasi ke-10 yang sedia ada akan menjadi model Accord terakhir yang dijual di pasaran tempatan.
Keputusan Honda Malaysia untuk menghentikan jualan model itu tidak terlalu mengejutkan memandangkan pasaran sedan segmen D yang semakin mengecil dan pelanggan juga dilihat lebih gemar mendapatkan crossover dan SUV.
Mereka yang berminat untuk mendapatkan Accord masih sempat berbuat demikian kerana model itu akan dijual sehingga stok habis.
Dipasang di kilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka, Accord ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5 TC (RM187,400) dan 1.5 TC-P (RM197,400).
Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter VTEC Turbo yang menghasilkan 201 PS dan 260 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi jenis CVT.
SELEPAS pelancaran global pada Februari lepas, BMW X6 facelift (LCI atau Life Cycle Impulse) kini di Malaysia. Kenderaan yang BMW gelarkan sebagai SAV (Sports Activity Coupe) itu ditawarkan dalam satu varian buat masa ini, iaitu X6 xDrive40i M Sport, dengan pengeras RM719,520.
Ia hadir dengan jaminan dua tahun, bantuan tepi jalan, dan BMW Service Online. Anda juga boleh tambah jaminan menjadi lima tahun bersama pakej servis, dan harganya meningkat sebanyak RM35,280, kepada RM754,800.
Apa yang baharu untuk X6 facelift ini? Pertamanya, ia mendapat lampu lebih nipis dengan DRL berbentuk baharu, bampar M Sport direka semula, dan ruang kemasukan udara lebih agresif.
Ciri standard termasuklah lampu LED dengan High Beam Assist, pakej M Sport, gril kidey Iconic Glow yang menyala, bumbung panoramik, dan rim m V-Spoke Style 747 bersaiz 22-inci.
Kabin X6 pula kini mendapat BMW Curved Display iaitu paparan memanjang melengkung sama seperti 3-Series LCI. Ia menempatkan skrin instrumen 12.3-inci dan infotainmen 14.9-inci, termasuk sistem Live Cockpit Professional System.
Enjin masih unit B58 3.0-liter enam silinder sebaris turbo, tetapi kini ia mendapat padanan sistem hibrid 48volt dengan motor elektrik berkuasa 12hp dan 200Nm.
Ini memberikan X6 xDrive40i output keseluruhan 375hp dan 540Nm. Dengan sistem pacuan semua-roda xDrive, X6 mampu mencapai 100km/j dalam hanya 5.4 saat, sebanyak 0.1 saat lebih pantas. Suspensi adaptif M dan brek M Sport juga standard, memastikan kawalan sentiasa optima.
Ciri lain termasuklah:
BMW Operating System 8
Connected Package Professional dengan Android Auto dan Apple CarPlay
ConnectedDrive Service
Remote Services
Pengecas tanpa-wayar
Lampu ambien
Comfort Access
BMW Digital Key
Sistem audio Harman Kardon
Kemasan kaca CraftedClarity
Balutan kulit BMW Individual Merino
Stereng kulit M
Driving Assistant Professional
BMW X6 facelift 2023 boleh didapati dalam tujuh warna iaitu M Carbon Black, Black Sapphire, Mineral White, Manhattan, M Brooklyn Grey, dan Skyscraper Grey. Warna kabin pula adalah Black atau Tartufo.
ANGKA-TAN Motor Sdn Bhd (ATM) telah melancarkan JMC Vigus Pro White Series untuk memenuhi permintaan komuniti perniagaan termasuk korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Varian baharu ini dijual pada harga RM99,888 dan didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,000 km. Ia dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Tan Chong Motor di Serendah, Selangor.
Kuasa datang dari enjin diesel Puma 2.0-liter TDI yang dilengkapi dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api. Enjin ini digandingankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF serta sistem pacuan empat roda BorgWarner.
Sistem pacuan empat roda berkenaan menawarkan fungsi julat kelajuan rendah (low range) selain membolehkan pemandu menukar antara mod dua roda dan empat roda untuk daya cengkaman dan keupayaan off-road yang lebih baik.
Pada julat kelajuan rendah, terdapat gear tambahan untuk memberikan nisbah gear yang lebih rendah, sekali gus meningkatkan daya tork dan membolehkan kenderaan menempuhi laluan mencabar.
Pada masa sama, ATM turut memperkenalkan warna baharu untuk JMC Vigus Pro Premium Series iaitu Metal Grey. Seperti namanya, White Series hanya boleh didapati dalam warna Arctic White.
Selain pilihan warna baharu, Premium Series juga mendapat beberapa ciri tambahan lain seperti upholsteri kulit, DVR, filem cermin, visor pintu, kicking plate dan Tailgate Assist. Varian ini didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau 150,000 km.
ATM juga menawarkan aksesori tambahan untuk memenuhi keperluan pelanggan seperti roller shutter dan kanopi. Semua aksesori mempunyai jaminan selama setahun.
Sempena pelancaran Vigus Pro White Series, ATM mengadakan Pertandingan Pandu Uji dan Menang di mana peserta berpeluang memenangi baucar petrol BHP bernilai keseluruhan RM20,000.
Lebih menarik lagi, setiap pembelian Vigus Pro akan memberikan pelanggan 10 penyertaan dalam pertandingan ini. Pemenang bertuah akan diumumkan pada suku pertama 2024.
HONDA City facelift secara rasminya telah dilancarkan ke pasaran Malaysia hari ini, membawakan varian petrol baharu serta pelbagai kemas kini dari segi reka bentuk dan juga kelengkapan.
Varian baharu yang dimaksudkan adalah varian RS versi petrol yang diposisikan di antara e:HEV RS dan V. Harga jualan adalah seperti berikut:
City e:HEV RS – RM111,900
City RS – RM99,900
City V – RM94,900
City E – RM89,900
City S – RM84,900
Dari segi penampilan, sedan segmen-B ini tampil dengan bampar baharu dengan lampu kabus yang direka semula, bar krom lebih nipis di bahagian atas serta kemasan pin pada gril.
Varian RS, sama ada petrol atau hibrid, mendapat ciri-ciri unik seperti gril honeycomb, liang udara pada gril bawah, diffuser belakang dan logo RS yang direka semula. Rim masih berukuran 16 inci namun dengan rekaan yang diubah sedikit.
Dengan bampar baharu tersebut, ukuran panjang City bertambah sebanyak 36 mm (4,589 mm) bagi varian-varian RS dan 27 mm (4,580 mm) bagi varian-varian lain.
Rekaan ruang dalaman secara umumnya tidak berubah. Kedua-dua varian RS didatangkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, paparan TFT berukuran tujuh inci pada meter. Varian selain RS didatangkan dengan paparan 4.2 inci.
Selain itu, semua varian kecuali S mendapat naik taraf kelengkapan yang merangkumi lapan pembesar suara, antaramuka baharu untuk paparan audio, kamera undur yang diperbaharui dan port USB Type C di belakang.
Sistem Honda Sensing turut ditambah baik dengan penambahan dua ciri baharu iaitu Low Speed Follow (LSF) dan Lead Car Departure Notification (LCDN).
Ciri lain di bawah Honda Sensing merangkumi Forward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High Beam (AHB).
City e:HEV RS masih menggunakan sistem hibrid Honda Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang menggunakan motor elektrik berkuasa 109 hp dan 253 Nm untuk memacu roda hadapan. Kuasa elektrik dibekalkan oleh bateri yang dicas oleh motor kedua yang dipadankan dengan enjin 1.5-liter i-VTEC.
Enjin petrol dengan kitaran Atkinson ini menjana 97 hp dan 127 Nm tork, dan disambungkan ke roda depan dengan e-CVT satu kelajuan.
Varian lain kekal dengan enjin 1.5-liter empat silinder DOHC i-VTEC yang mampu menghasilkan 121 hp dan 145 Nm tork, dipadankan dengan CVT.
DALAM satu pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, syarikat pengendali p-hailing memberikan komitmen untuk lebih telus, meneliti dan memperhalusi lebih lanjut pandangan penghantar dalam penentuan dan pengiraan kadar upah mereka.
Pertemuan yang diadakan pada 8 Ogos itu dihadiri 24 syarikat pengendali perkhidmatan berkenaan, serta lima wakil penghantar yang hadir bagi menyatakan pandangan dan mendengar maklum balas pihak syarikat.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar serta pegawai-pegawai kanan kementerian.
“Penelitian lanjut ini penting, bahawa dalam menambah baik kadar upah penghantar, kepentingan pengguna khususnya di kawasan luar bandar harus kekal diutamakan agar tidak terbeban di samping turut mengambil kira keupayaan syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.
Gambar: Anwar Ibrahim/Twitter
Pada 22 Julai, Anwar menyatakan beliau akan memanggil semua syarikat pengendali p-hailing bagi memberikan penjelasan terhadap beberapa isu dihadapi penghantar makanan dan barang.
Ini selepas salah seorang penghantar makanan mendakwa kadar penghantaran ketika ini semakin menurun daripada RM7 ke bawah ketika program Sesi Temu Anwar sempenan Program Himpunan Rider MADANI Selangor baru-baru ini.
Menurut Anwar, setelah mendengar pandangan kedua-dua belah pihak, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia.
Tambah beliau lagi, selain menyampaikan keluhan penghantar berkait isu kadar upah penghantaran, pertemuan itu turut berkisar tentang pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta keperluan latihan peningkatan kemahiran.
UMW Toyota Motor mengakhiri Julai 2023 dengan cemerlang apabila mencapai jualan sebanyak 8,349 unit, iaitu 8,200 unit bagi Toyota dan 149 unit bagi Lexus. Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 25.8 peratus berbanding Julai 2022.
Pencapaian ini juga menyaksikan angka jualan bagi tempoh Januari hingga Julai 2023 meningkat kepada 57,008 unit, iaitu 8.5 peratus lebih tinggi berbanding 52,548 unit yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor berkata pertumbuhan berterusan dalam jualan syarikat itu merupakan bukti daya tarikan kereta Toyota kepada pembeli yang menghargai prestasi dan kebolehpercayaan.
Datuk Ravindran K.
“Untuk memperluaskan lagi pengalaman memandu Toyota kepada lebih ramai pengguna, kami berbesar hati untuk menjadikan pemilikan Toyota lebih mudah diakses dengan pertumbuhan pusat jualan dan servis kami, serta perkhidmatan Extra Mile kami bersama-sama dengan promosi bulanan yang memudahkan pembelian dan pemilikan Toyota,” katanya.
Pelanggan di Penampang, Sabah kini mempunyai akses yang lebih baik kepada perkhidmatan Toyota dengan perkembangan Armada KK Automobile. Merupakan pengedar Toyota sejak 2005 lagi, cawangan ini kini dinaik taraf dari 1S kepada 3S.
Pusat baharu itu dibuka di Mile 6, Jalan Penampang, menawarkan kemudahan pusat jualan dan servis kepada pelanggan di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu. Ia dilengkapi dengan 18 ruang servis bagi memenuhi keperluan pemilik Toyota.
Sementara itu di Semenanjung Malaysia, pelanggan di Muar, Johor kini boleh mengunjungi pusat 4S Toyota baharu yang dibuka oleh E.S. Yang Motor, pengedar Toyota sejak 1994.
Terletak di Jalan Dato’ Haji Kosai, pusat baharu itu menggabungkan pusat 1S, 2S dan Body & Paint yang sebelum ini dibuka secara berasingan. Ia mempunyai 14 ruang servis dan 20 ruang kerja khusus untuk Body & Paint.
Pada bulan Julai, UMW Toyota Motor menawarkan promosis bulanan 100 peratus pinjaman untuk pembelian kereta Toyota serba baharu. Untuk setiap pembelian, pelanggan boleh memilih pelan ansuran bulanan serendah RM628 untuk Toyota Yaris.
Pada masa yang sama, pelanggan juga boleh menikmati promosi yang menawarkan rebat tunai sehingga RM10,000 apabila mereka membeli Toyota Camry.
BEBERAPA minggu lepas kami siarkan gambar rasmi smart #1 (disebut sebagai hashtag one), kali ini kami dibenarkan untuk menyiarkan gambar kabin pula.
Apa yang menarik? Tidak seperti smart tahun 90an dan awal 2000 dulu, kali ini jenama merupakan hasil kerjasama 50:50 antara Mercedes-Benz dan Geely. Mercedes bertanggungjawab untuk reka bentuk, manakala Geely untuk kejuruteraan.
Ruang dalaman smart #1 mendapat ciri premium dan terkini tetapi agak unik dengan cara mereka sendiri. Antaranya ‘persembahan’ lampu semasa anda mahu membuka pintu (tanpa bingkai), kokpit dengan paparan infotainmen 12.8-inci di tengah, dan paparan instrumen 9.2-inci untuk pemandu.
Terdapat juga Head Up Display, lampu ambien dengan 64 warna (seperti Mercedes), dan rekaan keseluruhan yang nampak ‘muda’, seperti kereta ini disasarkan untuk golongan muda dan keluarga baharu.
Ciri premium lain termasuklah bumbung panoramik halo yang menurut Pro-Net, terbesar dalam segmennya. Smart #1 juga didatangkan dengan sistem audio Beats dengan 13 pembesar suara, pertama dalam industri automotif. Jangan main-main.
Dalam paparan infotainmennya, terdapat maskot seperti musang comel yang berinteraksi dengan anda apabila anda menggunakan arahan suaran. Paparan skrin tengah ini penuh warna, berdefinisi tinggi dan mempunyai tema ceria.
Sambungan Android Auto dan Apple Carplay juga standard, selain sistem pendingin hawa dwi-zon, penapis kabin N95, dan sistem ADAS penuh.
Keseluruhan kabin smart #1 ini jelas terdapat kesan dari rekaan Mercedes, dan dapat dirasakan kualiti binaannya cukup tinggi dan premium.
Saiz EV ini adalah seperti MINI Countryman atau Honda HR-V. smart #1 dilengkapi dengan lampu LED matriks, gril depan bercahaya, dan lampu LED belakang jenis bar melintang. Kesemua lampu luaran ini akan menyala dengan kesan grafik khas semasa anda membuka/mengunci kereta atau memainkan muzik.
Unit yang anda lihat ini merupakan varian pertengahan iaitu Premium, dan terdapat juga varian asas serta Brabus. smart #1 Premium dipacu oleh motor tunggal di belakang dengan output 272hp dan 343Nm tork, mampu memecut ke 100km/j dalam 6.7 saat.
Kuasa dibekalkan oleh bateri 66kWh dan membolehkan kereta ini dipandu sehingga 440km setiap cas. Untuk pengecasan pula, ia menyokong DC sehingga 150kW, jadi 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam hanya 30 minit. Tetapi menggunakan AC 22kW akan memerlukan kira-kira tiga jam.
Berapa agaknya harga smart #1 selepas dilancarkan secara rasmi nanti? Boleh saing dengan Tesla Model Y?
DUA berita penting bawah tajuk ini, iaitu Volkswagen Golf R versi CKD (pemasangan tempatan) kini diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, dan negara ini yang pertama di luar Jerman memasang hot hatch berprestasi tinggi ini.
Satu penghormatan buat Malaysia dan syabas untuk Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).
Golf R CKD ini dilancarkan bersama R Performance Package yang merangkumi ekzos titanium Akrapovic, mod Drift dan Special, spoiler belakang baharu, dan rim aloi 19-inci Estoril.
Ekzos titanium Akrapovic ini memberikan ‘diet’ sebanyak 7kg untuk Golf R. Sementara itu, mod Drift dan Special boleh diakses menggunakan butang R pada stereng.
Seperti pada namanya, mod Drift menala ESC (Electronic Stability Control) untuk membolehkan kereta menggelungsur dalam keadaan terkawal dengan tork disalurkan lebih ke tayar belakang.
Untuk Special pula, ia menala suspensi agar memberikan pemanduan selesa untuk permukaan jalan tidak rata. Ini pastinya sangat sesuai untuk jalan raya Malaysia.
Golf R CKD masih dipacu oleh enjin berkuasa 2.0 TSI turbo 4-silinder dengan output 320hp dan 400Nm tork. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear DSG 7-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda 4Motion. Setup ini juga membolehkan Golf R memecut ke 100km/j dalam masa 4.8 saat sahaja.
Ciri tambahan lain pada Golf R CKD ini termasuklah paparan Head Up Display, dan IQ.Drive iaitu pakej ADAS yang merangkumi sistem seperti Travel Assist dengan Adaptive Cruise Control (ACC), Side Assist, Front Assist, Lane Assist, dan Emergency Assist.
Tempahan untuk Volkswagen Golf R ini telah dibuka dengan harga anggaran antara RM330,000 hingga RM350,000. Harga rasmi harus ditunggu semasa pelancaran rasmi nanti.
Tiga pilihan warna boleh anda pilih: Lapiz Blue, Deep Black, dan Pure White.
Apa pun, secara keseluruhan pembeli di Malaysia kini boleh mendapat Volkswagen Golf R dengan nilai lebih baik. Dan ini juga satu pencapaian yang boleh diraikan dimana kilang Volkswagen di Malaysia kini mampu memasang model R selepas GTI.
JURUMUDI rali berpengalaman negara, Jagdev Singh dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir siang tadi.
Beliau dikatakan jatuh sakit dan dikejarkan ke Subang Jaya Medical Center pada 12 Julai lalu. Berita sedih ini diumumkan dalam satu hantaran akaun Facebook miliknya oleh saudara terdekat.
Jagdev merupakan antara jurumudi rali terbaik dalam Malaysia dan mampu bekerjasama dengan kereta-kereta dan pemandu-pemandu rali pantas di peringkat antarabangsa.
Mendiang pernah bergandingan dengan pemandu Australia, Russell Palmer yang memandu Suzuki Swift GTi dan Proton Satria Group A untuk pasukan Silverstone Rally Team Malaysia.
Antara pemandu lain yang turut pernah bergandingan dengan Jagdev termasuklah Gunaseelan Rajoo, Katsuhiko Taguchi, Cody Crocker, dan Kenneth Koh. Namun gandingan yang paling diingati sudah tentu bersama ‘Flying Sikh Malaysia’, iaitu Karamjit Singh.
Jagdev pernah menjadi jurumudi Karamjit semasa mereka mendominasi Kejohanan Rali Malaysia dari 2013 hingga 2015 dengan Proton Satria Neo pasukan Proton R3.
Mereka berdua juga pernah bergandingan dalam pasukan lain di kejohanan rali peringkat nasional dan antarabangsa.
Takziah untuk keluarga dan rakan-rakan Jagdev Singh dari kami pasukan Engear TV.
PENGEDAR rasmi motosikal Kawasaki di Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah mengumumkan bahawa tempahan untuk Kawasaki Ninja ZX-25R telah pun dibuka.
Harga jualan masih belum diumumkan namun menurut laporan media tempatan, model sportbike ini akan dilancarkan secara rasmi pada September tahun ini.
Untuk pasaran tempatan, Ninja ZX-25R akan ditawarkan dalam dua versi iaitu SE dan RR. Sebagai model varian lebih sporty, RR dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock Showa BFRC pada bahagian belakang.
Untuk enjin, kedua-dua versi dikuasakan oleh enjin 249.8 cc empat silinder sebaris yang menghasilkan 51 PS pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm pada 14,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dengan teknologi quickshifter dan klac slipper & assist.
Selain itu, Ninja ZX25-R juga didatangkan dengan panel instrumen TFT, Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Modes, serta brek cakera berukuran 310 mm dengan angkup monobloc empat piston di hadapan dan cakera 210 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.
BMW M2 generasi G87 yang dilancarkan ke pasaran Malaysia pada Januari lalu telah membuat kemunculan sulungnya di acara M4NTAP Festival yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.
Boleh didapati dalam versi standard atau bersama Pro Package, M2 tampil dengan lampu LED adaptif, gril kidney tidak berbingkai yang dihiasi bilah mendatar, salur masuk udara berbentuk seakan segi empat serta sayap aluminium pada bahagian hadapan.
Dari sisi, model ini memperlihatkan reka bentuk klasik three box yang diserlahkan lagi dengan gerbang roda yang lebar dan rim aloi 930 M Bicolour (atau 930 M Black untuk Pro Package) berukuran 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang.
Selain rim berwarna hitam, M2 dengan Pro Package juga mendapat sistem brek M Compound bersama angkup brek berwarna merah, bumbung karbon M, serta pakej Shadowline dan M Lights Shadowline.
Di dalam, anda akan menemui BMW Curved Display yang merangkumi paparan kawalan 14.9 inci dan panel instrumen digital 12.3 inci. Ia mempunyai paparan spesifik M yang memuatkan BMW M iDrive generasi terkini.
Selain itu, terdapat juga tempat duduk bucket M Sport, logo M yang bercahaya pada penyandar kepala tempat duduk hadapan, stereng M dengan balutan kulit, pedal penukar gear, butang mod M berwarna merah dan paparan head-up.
Eksklusif untuk M2 dengan Pro Package ialah tali pinggang keledar yang dihiasi dengan warna rasmi M dan trim gentian karbon pada papan pemuka dan konsol tengah, serta sistem audio Harman Kardon.
Untuk kuasa, enjin TwinPower Turbo 3.0 liter enam silinder sebaris membekalkan 460 PS dan 550 Nm, membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat. Kuasa dibekalkan ke roda belakang menerusi transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan.
Kelajuan maksimum adalah 250 km/j, namun pelanggan yang gilakan kelajuan boleh mendapatkan pakej M Driver’s Package yang akan meningkatkan kelajuan maksimum kepada 285 km/j. Pakej ini boleh dipasang di mana-mana wakil pengedar BMW di seluruh negara.
Pilihan warna luaran bagi M2 dan M2 Pro Package terdiri daripada Zandvoort Blue, Alpine White, Brooklyn Grey, Black Sapphire dan Toronto Red.
Untuk bahagian dalaman pula, pelanggan boleh mendapatkan Leather Vernasca berwarna hitam, Leather Vernasca hitam dengan sulaman biru atau Leather Vernasca berwarna cognac dengan sulaman dekor.
Harga jualan M2 bermula dari RM598,800 untuk versi standard dan RM642,800 dengan Pro Package.
INI satu jenis berita yang jarang kami laporkan, iaitu konflik antara dua kelab gaya hidup permotoran. Pocket GP iaitu sebuah kelab penggiat sukan motosikal poket (pocket bike) bercadang menganjurkan klinik sukan di KLIRCC (Kuala Lumpur International Remote Control Circuit) dan ia telah mendapat bantahan komuniti RC (radio control).
Litar KLIRCC, Taman Metropolitan Kepong.
Ini kerana Klinik Sukan Cilik Poket Bike Malaysia 2023 anjuran Persatuan Poket Bike Malaysia (PAM) itu mahu membuat sesi latihan teori dan amali di KLIRCC yang merupakan litar khas kegunaan kereta RC.
Menurut komen-komen yang kami perhatikan dalam forum-forum RC di Facebook, penggunaan pocket bike di litar itu tidak bersesuaian dan bakal merosakkan permukaan jalan.
Pocket bike pastinya lebih berat dari kereta RC, dan biasanya ditunggang di litar khas berbeza. Pocket bike mempunyai berat sekitar 23kg tanpa penunggang (boleh ditunggang oleh kanak-kanak atau dewasa) manakala kereta RC mempunyai berat antara 1kg hingga 2kg sahaja, bergantung kepada spesifikasi.
Menurut pemahaman kami juga, pocket bike biasanya ditunggang di litar go-kart atau kawasan parkir dengan penghadang jalan khas. Dari sudut ini sahaja, litar untuk pocket bike dan kereta RC sudah tentu mempunyai jenis turapan berbeza untuk tujuan masing-masing.
Setakat ini, siaran di Facebook Pocket GP yang mempromosikan acara itu mendapat kecaman dari komuniti RC dan penggiat sukan lain juga.
Dalam hal ini, kami mahu bersangka baik mungkin kerana kekurangan fasiliti khas untuk pocket bike di negara kita. Tetapi sebenarnya banyak juga litar go-kart yang lebih sesuai digunakan, seperti di Shah Alam, USJ, MAEPS, dan 1Utama.
Diharapkan perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan pihak berwajib seperti kementerian boleh menangani isu ini untuk kemaslahatan semua pihak.
SETELAH iX xDrive50 dilancarkan ke pasaran tempatan pada Januari lalu, kini BMW Malaysia memperkenalkan pula varian yang lebih berkuasa iaitu iX M60.
Merupakan model SAV elektrik yang sulung dalam portfolio BMW M, iX M60 dipacu oleh dua motor elektrik, satu diletakkan pada setiap gandar.
Setup ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 619 PS dan 1,015 Nm tork. Jika fungsi Launch Control diaktifkan, jumlah tork akan meningkat kepada 1,100 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Sebagai perbandingan, iX xDrive50 mempunyai 523 PS dan 765 Nm. Versi ini memerlukan 4.6 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Kelajuan maksimumnya lebih rendah iaitu 200 km/j.
iX M60 didatangkan dengan bateri litium-ion berkapasiti 105.2 kWj yang boleh memberikan jarak pandu sejauh 561 km, mengikut kitaran WLTP. Ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 195 kW yang membolehkan bateri dicas dari 0 hingga 80 peratus dalam hanya 35 minit.
Menurut BMW Malaysia, model ini merupakan jentera BMW pertama di negara ini yang dapat menerima suapan kuasa 22 kW daripada pengecas wallbox AC yang mampu mengurangkan waktu pengecasan 0-100 peratus kepada bawah 5.5 jam.
Untuk pengecasan AC 11 kW, pengecasan penuh dari 0 hingga 100 peratus mengambil masa kira-kira 11 jam.
Dari segi kelengkapan, iX M60 didatangkan dengan rim aerodinamik M BMW Individual berukuran 22 inci dalam warna dwi-tona 1023 dengan gilapan 3D gangsa titanium. Logo model ini pula didatangkan secara eksklusif dalam warna hitam berglos tinggi atau gangsa titanium.
Di dalam, terdapat sistem infohibur BMW Live Cockpit Professional yang merangkumi skrin melengkung 12.3 inci dan skrin tengah 14.9 inci, sistem audio Bower & Wilkins Diamond berkapasiti 1,615 watt dengan 30 pembesar suara dan sistem bunyi BMW M IconicSounds Electric yang digubah oleh Hans Zimmer.
Ruang kabin dihiasi dengan upholsteri Interior Design Suite Amido dan Interior Design Suite Castanea, serta material Sensatec pada konsol tengah dan ruang meletak tangan.
Turut disertakan adalah sistem penyaman udara automatik empat zon, pengecas tanpa wayar, serta ciri-ciri seperti Intelligent Emergency Call, Teleservices, ConnectedDrive Services, Connected Package Professional, BMW Natural Interaction dan Active Protection.
Untuk sistem bantuan pemandu, terdapat Driving Assistant Professional, Parking Assistant Professional dan ciri Launch Control baharu dengan fungsi pembrekan.
DIPERKENALKAN di peringkat global pada penghujung tahun lalu, Ducati Scrambler generasi kedua kini memasuki pasaran Malaysia dengan tiga varian untuk dipilih iaitu Icon, Full Throttle dan Nightshift.
Harga jualan (OTR tidak termasuk insurans) bermula dari RM63,865 untuk versi asas Icon, dan RM70,865 untuk Full Throttle dan Nightshift.
Ketiga-tiga versi dikuasakan oleh enjin Desmodue silinder L berkembar 803 cc yang menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 65.2 Nm pada 7,000 rpm. Menurut Ducati, enjin ini 2.5 kg lebih ringan berbanding enjin terdahulu.
Selain itu, penambahbaikan pada casis dan kerangka trellis menjadikan Scrambler generasi baharu ini 4 kg lebih ringan berbanding sebelum ini.
Di samping enjin, ketiga-tiga versi turut berkongsi sistem suspensi yang sama yang merangkumi fork terbalik Kayaba 41 mm dan penyerap hentak monoshock, juga dari Kayaba.
Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal 330 mm dengan angkup empat piston pada bahagian hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston pada bahagian belakang.
Ciri-ciri lain yang disertakan secara standard termasuk Cornering ABS, Power Mode, Riding Mode (Road dan Sport), Traction Control, Ride-by-Wire dan lampu LED berserta daytime running light LED.
Turut tersedia secara standard adalah paparan TFT berukuran 4.3 inci dengan penampilan moden klasik. Sistem multimedia ditawarkan sebagai aksesori tambahan.
Versi Full Throttle mendapat beberapa ciri tambahan berupa bar hendal yang lebih rendah, lampu isyarat LED jenis high performance, Quickshifter, ekzos Termignoni, panel sisi dengan nombor serta rekaan mudguard dan ekor yang lebih sporty.
Sementara itu, versi Nightshift menerima kelengkapan yang sama dengan Full Throttle, cuma ia mempunyai cermin sisi jenis bar-end, bar hendal rata, pelana berwarna coklat dan rim jenis spoked.
Untuk pilihan warna, Scrambler Icon ditawarkan dalam tiga warna asas iaitu kuning, hitam dan merah, bersama enam pilihan warna untuk panel. Versi Full Throttle pula boleh didapati dalam warna merah/hitam manakala Nightshift dalam warna Nebula Blue.
SEBUAH cawangan flagship Goat Lab bakal membawakan pengalaman gaya hidup lebih bersih untuk anda.
Cawangan baharu yang terletak di Lot 10, Bukit Bintang ini akan menjadi lokasi ideal bagi mereka yang mencari alternatif untuk produk tembakau tradisional.
Menggunakan konsep futuristik industrialis, cawangan ini menggabungkan alam semula jadi dan sains fiksyen bagi menghasilkan ruang kemas, sesuai untuk gambar-gambar media sosial.
Pelanggan disajikan pelbagai perisa dan formula premium dan boleh mencampurkannya di kaunter eksperimen khas untuk pengalaman unik.
Krew dengan kot makmal boleh membantu anda mencampur dan memadankan perisa seperti Mixed Berries, Big Papa, dan Lemon Mint untuk menghasilkan sendiri rasa yang dimahukan.
Ini dalam masa yang sama memberikan kepuasan dan rasa nikotin tanpa kesan buruk tembakau.
Produk premium di cawangan dibawa dari Dubai melalui jenama BRO Malaysia. Model SLICK untuk satu perisa berharga RM29.90 manakala FLIP yang boleh menukar dua perisa dijual pada harga RM39.90.
Selain itu, anda juga boleh membeli barangan rasmi seperti kemeja-T, keychain, dan alat multi-tool.
“Kami gembira dan teruja dengan pembukaan cawangan flagship pertama kami di Lot 10, kata ketua pegawai pemasaran, Julian Choo.
“Kami bekerja keras selama berbulan untuk menjadikan ini realiti dengan bantuan pihak pengurusan Lot 10, kontraktor kami, dan pasukan Goat Lab. Kami berbesar hati melancarkan cawangan ini di pusat bandar raya Kuala Lumpur.”
“Kami bukan sahaja mahu menambah baik pengalaman merokok secara amnya, tetapi juga membina komuniti dimana pelanggan dari pelbagai latar belakang boleh merasai kemajuan teknologi dan pembangunan budaya ini bersama.”
Menurut Choo, Goat Lab dijangka membuka satu lagi cawangan flagship di REXKL di Jalan Sultan.
KINI di bawah wakil pengedar baharu, Triumph Tiger Sport 660 kembali ke pasaran Malaysia, ditawarkan pada harga RM50,900 tanpa pendaftaran dan insurans.
Dibina pada platform sama dengan Trident 660, Tiger Sport 660 menampilkan enjin triple-cylider (tiga silinder) yang sama.
Unit 660cc 12 injap DOHC dengan sejukan cecair itu menjana 80hp pada 10,250rpm dan 64Nm tork pada 6,250rpm. Ia digandingkan bersama transmisi 6-kelajuan dengan klac basah multi-plat. Tiger Sport 660 juga dilengkapi dengan dua mod tunggangan iaitu Road dan Rain.
Sistem brek terdiri dari cakera 310mm berkembar di depan dengan kaliper Nissin dwi-omboh, manakala cakera 255mm di belakang. ABS dwi-saluran juga standard.
Motosikal ini mendapat suspensi Showa 41mm dengan fork terbalik di depan, dengan jarak gerakan 150mm. Di belakang pula menampilkan penyerap hentak monoshock Showa tunggal dengan pelarasan pra-muatan.
Triumph Tiger Sport mempunyai tangki minyak berkapasiti 17.2 liter dan tinggi tempat duduk 835mm. Ciri lain termasuklah lampu LED, paparan TFT dengan sambungan My Triumph, pilihan quickshifter, pengecas USB, dan Tire Pressure Monitoring System.
Pilihan warna untuk Triumph Tiger Sport 660 adalah seperti berikut:
PENGELUAR kereta nasional Proton meneruskan corak peningkatan jualannya memasuki suku kedua tahun ini dengan catatan 13,326 unit bagi pasaran domestik dan eksport pada Julai 2023.
Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 16.1 peratus berbanding bulan Julai 2022, sekali gus membantu syarikat itu meningkatkan jualan tahun sehingga kini (YTD) kepada 90,647 unit.
Menurut Proton lagi, ini juga merupakan tempoh masa yang paling singkat ia melepasi 90,000 unit sejak 2012 dan penambahan 26.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pegangan pasaran bagi bulan Julai diramalkan pada 20.5 peratus, dengan pegangan pasaran YTD kini pada 21 peratus.
Jumlah volum industri (TIV) dianggarkan sebanyak 64,864 unit untuk bulan Julai, bersamaan dengan peningkatan 29.9 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun 2022 dan melonjakkan angka YTD sebanyak 12.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Proton X90, yang dilancarkan pada Mei lalu, menerajui jualan keseluruhan dalam segmennya dengan 886 unit terjual. Ini menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 2,225 unit dalam masa 86 hari sahaja, sekali gus meletakkannya di tangga teratas di antara pesaingnya.
Tiga lagi model Proton turut muncul sebagai peneraju jualan YTD dalam segmen masing-masing. Persona mengalami peningkatan jualan sebanyak 107.1 peratus bagi tahun 2023. Dengan 1,953 unit terjual pada bulan Julai, nombor YTD-nya kini berjumlah 14,533 unit.
Sementara itu, jualan X50 pula bertambah sebanyak 2,630 unit pada Julai, menjadikan jumlah jualannya bagi tahun ini meningkat ke 20,192 unit dan membolehkannya kekal sebagai peneraju jualan untuk SUV segmen-B.
Exora muncul sebagai peneraju jualan segmen keempat bagi bulan Julai di mana 374 unit terjual menjadikan jumlah jualannya 2,741 unit. Ini adalah peningkatan sebanyak 13.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar berkata, “Jualan automotif di Malaysia terus kukuh bagi tahun 2023 tanpa penurunan dalam permintaan dalam empat bulan selepas tamat tempoh penghantaran kereta di bawah skim insentif PENJANA.”
“Dengan Proton X90 yang sudah pun mendahului kelasnya selepas hanya tiga bulan, model baharu yang akan
dilancarkan dan kemasukan syarikat ke pasaran EV pada tahun 2023 melalui smart Malaysia, kami yakin dapat
mencapai sasaran akhir tahun kami,” katanya.
PENGGUNA Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) boleh membayar tol menggunakan kad debit atau kad kredit menerusi Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) yang dilaksanakan mulai hari ini.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sistem berkenaan memberikan alternatif baharu dan memudahkan pengguna membuat bayaran tol.
Sebagai permulaan, enam lorong di Lebuhraya MEX akan dibuka untuk pengguna menggunakan kemudahan SPT itu.
“Ia adalah sebahagian inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk melaksanakan sistem SPT di 12 lebuh raya terpilih secara berperingkat bermula September depan,” katanya.
Selain Lebuhraya MEX, kemudahan SPT juga akan dilaksanakan di lebuh raya berikut:
Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE)
Lebuhraya Besraya
Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE)
Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)
Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE)
Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint)
Lebuhraya Shah Alam (Kesas)
Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)
Terowong SMART
Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke)
Jambatan Pulau Pinang (JPP)
Tambah beliau lagi, Maju Expressway Sdn Bhd (MESB) mula menguji sistem tersebut sejak Julai 2023 bagi memastikan kesediaan dan kelancaran pelaksanaan operasi selaras dengan piawaian ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Mengulas lanjut mengenai persediaan sistem berkenaan, Nanta berkata pihak KKR sentiasa dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai tahap kesediaan dan perkembangan pengujian yang kini sedang dijalankan secara berperingkat oleh LLM bersama-sama syarikat konsesi lebuh raya.
“Pelaksanaan SPT harus dijalankan secara teliti dan terperinci dengan mengambil kira pelbagai proses libat urus seperti aspek teknikal, keselamatan, perundangan dan pengendalian rekod transaksi tol itu sendiri bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa diutamakan,” katanya.
Pengguna dinasihatkan supaya memastikan baki kad debit atau kad kredit mencukupi sebelum digunakan untuk pembayaran tol. Sekiranya transaksi menggunakan kad bank gagal, pengguna boleh menggunakan kad bank lain atau kad TnG.
Selain itu, LLM juga sudah meminta semua syarikat konsesi yang terbabit dengan inisiatif SPT untuk menempatkan petugas di lorong tol untuk memberi panduan kepada pengguna sekiranya perlu.
BMW Malaysia telah mengumumkan ketibaan dua varian baharu BMW i4 iaitu eDrive35 dan eDrive35 M Sport yang dijual pada harga bermula dari RM258,210 hingga RM284,210.
Untuk makluman anda, harga-harga di atas merupakan harga on-the-road tanpa insurans dengan waranti standard selama dua tahun. Jika pelanggan memilih waranti dan pakej servis lanjutan, mereka perlu membayar RM273,800 untuk eDrive35 dan RM299,800 untuk versi M Sport.
Seperti varian eDrive40, i4 eDrive35 mempunyai motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Dalam versi ini, motor elektrik tersebut menjana 286 PS dan 400 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya enam saat.
Untuk jarak pemanduan, bateri litium-ion berkapasiti 70.2 kWj membolehkan sedan elektrik ini dipandu sejauh 483 km dengan satu cas penuh, berdasarkan kitaran WLTP. Ia boleh dicas menerusi pengecasan AC sehingga 11 kW dan pengecasan pantas DC pada kadar sehingga 180 kW.
Pemilik akan mempunyai akses kepada lebih 1,000 kemudahan pengecasan di seluruh negara yang disediakan oleh penyedia pengecasan EV tempatan utama yang bekerjasama dengan BMW Group Malaysia.
Dari segi kelengkapan, i4 eDrive35 didatangkan dengan lampu LED serta gril kidney yang dihiasi dengan bilah-bilah yang disusun secara mendatar. Versi asas menggunakan rim 18 inci 853 Bicolour manakala versi M Sport pula mendapat rim aerodinamik M berukuran 18 inci dengan kemasan 858 M Bicolour.
Di dalam, terdapat paparan melengkung BMW Curved Display yang merangkumi kluster instrumen berukuran 12.3 inci dan skrin sentuh sistem infohibur 14.9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.
Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk sistem pendingin hawa automatik tiga zon, sistem Comfort Access, pelarasan elektrik dengan fungsi memori untuk kerusi pemandu, pencahayaan ambien, tailgate elektrik dan pengecas wayarles.
eDrive35 M Sport mendapat beberapa kelengkapan tambahan seperti kemasan aluminium Rhombicle, stereng M dengan balutan kulit dan pelapik bumbung M.
Sistem bantuan pemandu sama bagi kedua-dua varian iaitu Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan Brake Intervention, Rear Cross Traffic Warning, Rear Collision Prevention, Speed Limit Info, Parking Assistant dan pelbagai lagi.
BERITA baik bagi anda yang bercadang mengambil lesen memandu e-hailing, teksi, atau bas. Anda mungkin tidak perlu membelanjakan wang poket anda sendiri kerana anda boleh memohon secara percuma melalui Program MyPSV.
MyPSV merupakan program di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia membantu golongan B40 mendapatkan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (Public Service Vehicle atau PSV).
Berikut adalah syarat kelayakan memohon lesen PSV melalui program MyPSV:
Untuk lulus, calon-calon di bawah Program MyPSV E-Hailing perlu menduduki Kursus Teori E-Hailing. Tetapi bagi calon-calon Program MyPSV Bas, anda perlu menduduki Kursus Teori Vokasional, latihan dan ujian praktikal (termasuk litar dan jalan raya) setara dengan ketetapan sedia ada.
Program ini memberi peluang kepada 4,000 orang merangkumi 3,500 calon untuk PSV E-hailing/Teksi dan 500 calon untuk PSV Bas daripada golongan B40 di seluruh negara.
Gambar oleh: Malay Mail
Ia dijalankan menerusi peruntukan sebanyak RM2 juta di bawah Belanjawan 2023. Peruntukan ini merangkumi kos ujian dan latihan kepada calon dengan kadar RM190 untuk setiap calon PSV E-hailing/Teksi dan RM2,590 untuk setiap calon PSV Bas.
MyPSV juga merupakan usaha cakna kerajaan untuk membantu golongan B40 mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig, seterusnya menyokong dan menambah baik kelangsungan sektor pengangkutan awam serta pelancongan di negara ini.
Melalui program ini, JPJ akan menyelaras senarai penerima bantuan kepada Institut Memandu (IM) dan pengendali e-Hailing dengan kerjasama persatuan-persatuan pengusaha bas serta agensi-agensi lain yang terlibat.