fbpx

Lebuhraya MEX laksana sistem pembayaran terbuka mulai hari ini

Lebuhraya MEX 01

PENGGUNA Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) boleh membayar tol menggunakan kad debit atau kad kredit menerusi Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) yang dilaksanakan mulai hari ini.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sistem berkenaan memberikan alternatif baharu dan memudahkan pengguna membuat bayaran tol.

Sebagai permulaan, enam lorong di Lebuhraya MEX akan dibuka untuk pengguna menggunakan kemudahan SPT itu.

“Ia adalah sebahagian inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk melaksanakan sistem SPT di 12 lebuh raya terpilih secara berperingkat bermula September depan,” katanya.

Selain Lebuhraya MEX, kemudahan SPT juga akan dilaksanakan di lebuh raya berikut:

  • Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE)
  • Lebuhraya Besraya
  • Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE)
  • Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)
  • Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE)
  • Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint)
  • Lebuhraya Shah Alam (Kesas)
  • Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)
  • Terowong SMART
  • Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke)
  • Jambatan Pulau Pinang (JPP)

Tambah beliau lagi, Maju Expressway Sdn Bhd (MESB) mula menguji sistem tersebut sejak Julai 2023 bagi memastikan kesediaan dan kelancaran pelaksanaan operasi selaras dengan piawaian ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Mengulas lanjut mengenai persediaan sistem berkenaan, Nanta berkata pihak KKR sentiasa dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai tahap kesediaan dan perkembangan pengujian yang kini sedang dijalankan secara berperingkat oleh LLM bersama-sama syarikat konsesi lebuh raya.

“Pelaksanaan SPT harus dijalankan secara teliti dan terperinci dengan mengambil kira pelbagai proses libat urus seperti aspek teknikal, keselamatan, perundangan dan pengendalian rekod transaksi tol itu sendiri bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa diutamakan,” katanya.

Pengguna dinasihatkan supaya memastikan baki kad debit atau kad kredit mencukupi sebelum digunakan untuk pembayaran tol. Sekiranya transaksi menggunakan kad bank gagal, pengguna boleh menggunakan kad bank lain atau kad TnG.

Selain itu, LLM juga sudah meminta semua syarikat konsesi yang terbabit dengan inisiatif SPT untuk menempatkan petugas di lorong tol untuk memberi panduan kepada pengguna sekiranya perlu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved