fbpx

Ducati Scrambler generasi kedua dilancarkan di Malaysia – 3 versi, harga dari RM64k

Ducati Scrambler 2023 02
Dari kiri: Nightshift, Icon dan Full Throttle

DIPERKENALKAN di peringkat global pada penghujung tahun lalu, Ducati Scrambler generasi kedua kini memasuki pasaran Malaysia dengan tiga varian untuk dipilih iaitu Icon, Full Throttle dan Nightshift.

Harga jualan (OTR tidak termasuk insurans) bermula dari RM63,865 untuk versi asas Icon, dan RM70,865 untuk Full Throttle dan Nightshift.

Ketiga-tiga versi dikuasakan oleh enjin Desmodue silinder L berkembar 803 cc yang menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 65.2 Nm pada 7,000 rpm. Menurut Ducati, enjin ini 2.5 kg lebih ringan berbanding enjin terdahulu.

Selain itu, penambahbaikan pada casis dan kerangka trellis menjadikan Scrambler generasi baharu ini 4 kg lebih ringan berbanding sebelum ini.

Di samping enjin, ketiga-tiga versi turut berkongsi sistem suspensi yang sama yang merangkumi fork terbalik Kayaba 41 mm dan penyerap hentak monoshock, juga dari Kayaba.

Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal 330 mm dengan angkup empat piston pada bahagian hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston pada bahagian belakang.

Ciri-ciri lain yang disertakan secara standard termasuk Cornering ABS, Power Mode, Riding Mode (Road dan Sport), Traction Control, Ride-by-Wire dan lampu LED berserta daytime running light LED.

Turut tersedia secara standard adalah paparan TFT berukuran 4.3 inci dengan penampilan moden klasik. Sistem multimedia ditawarkan sebagai aksesori tambahan.

Versi Full Throttle mendapat beberapa ciri tambahan berupa bar hendal yang lebih rendah, lampu isyarat LED jenis high performance, Quickshifter, ekzos Termignoni, panel sisi dengan nombor serta rekaan mudguard dan ekor yang lebih sporty.

Sementara itu, versi Nightshift menerima kelengkapan yang sama dengan Full Throttle, cuma ia mempunyai cermin sisi jenis bar-end, bar hendal rata, pelana berwarna coklat dan rim jenis spoked.

Untuk pilihan warna, Scrambler Icon ditawarkan dalam tiga warna asas iaitu kuning, hitam dan merah, bersama enam pilihan warna untuk panel. Versi Full Throttle pula boleh didapati dalam warna merah/hitam manakala Nightshift dalam warna Nebula Blue.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved