fbpx

Honda City facelift dilancarkan – varian petrol RS baharu, harga dari RM85k-RM112k

Honda City facelift 01

HONDA City facelift secara rasminya telah dilancarkan ke pasaran Malaysia hari ini, membawakan varian petrol baharu serta pelbagai kemas kini dari segi reka bentuk dan juga kelengkapan.

Varian baharu yang dimaksudkan adalah varian RS versi petrol yang diposisikan di antara e:HEV RS dan V. Harga jualan adalah seperti berikut:

  • City e:HEV RS – RM111,900
  • City RS – RM99,900
  • City V – RM94,900
  • City E – RM89,900
  • City S – RM84,900

Dari segi penampilan, sedan segmen-B ini tampil dengan bampar baharu dengan lampu kabus yang direka semula, bar krom lebih nipis di bahagian atas serta kemasan pin pada gril.

Varian RS, sama ada petrol atau hibrid, mendapat ciri-ciri unik seperti gril honeycomb, liang udara pada gril bawah, diffuser belakang dan logo RS yang direka semula. Rim masih berukuran 16 inci namun dengan rekaan yang diubah sedikit.

Dengan bampar baharu tersebut, ukuran panjang City bertambah sebanyak 36 mm (4,589 mm) bagi varian-varian RS dan 27 mm (4,580 mm) bagi varian-varian lain.

Rekaan ruang dalaman secara umumnya tidak berubah. Kedua-dua varian RS didatangkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, paparan TFT berukuran tujuh inci pada meter. Varian selain RS didatangkan dengan paparan 4.2 inci.

Selain itu, semua varian kecuali S mendapat naik taraf kelengkapan yang merangkumi lapan pembesar suara, antaramuka baharu untuk paparan audio, kamera undur yang diperbaharui dan port USB Type C di belakang.

Sistem Honda Sensing turut ditambah baik dengan penambahan dua ciri baharu iaitu Low Speed Follow (LSF) dan Lead Car Departure Notification (LCDN).

Ciri lain di bawah Honda Sensing merangkumi Forward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High Beam (AHB).

City e:HEV RS masih menggunakan sistem hibrid Honda Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang menggunakan motor elektrik berkuasa 109 hp dan 253 Nm untuk memacu roda hadapan. Kuasa elektrik dibekalkan oleh bateri yang dicas oleh motor kedua yang dipadankan dengan enjin 1.5-liter i-VTEC.

Enjin petrol dengan kitaran Atkinson ini menjana 97 hp dan 127 Nm tork, dan disambungkan ke roda depan dengan e-CVT satu kelajuan.

Varian lain kekal dengan enjin 1.5-liter empat silinder DOHC i-VTEC yang mampu menghasilkan 121 hp dan 145 Nm tork, dipadankan dengan CVT.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved