fbpx

JMC Vigus Pro White Series varian khas untuk pemilik bisnes – RM99,888

09_JMC Vigus Pro White Series

ANGKA-TAN Motor Sdn Bhd (ATM) telah melancarkan JMC Vigus Pro White Series untuk memenuhi permintaan komuniti perniagaan termasuk korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Varian baharu ini dijual pada harga RM99,888 dan didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,000 km. Ia dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Tan Chong Motor di Serendah, Selangor.

Kuasa datang dari enjin diesel Puma 2.0-liter TDI yang dilengkapi dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api. Enjin ini digandingankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF serta sistem pacuan empat roda BorgWarner.

Sistem pacuan empat roda berkenaan menawarkan fungsi julat kelajuan rendah (low range) selain membolehkan pemandu menukar antara mod dua roda dan empat roda untuk daya cengkaman dan keupayaan off-road yang lebih baik.

Pada julat kelajuan rendah, terdapat gear tambahan untuk memberikan nisbah gear yang lebih rendah, sekali gus meningkatkan daya tork dan membolehkan kenderaan menempuhi laluan mencabar.

Pada masa sama, ATM turut memperkenalkan warna baharu untuk JMC Vigus Pro Premium Series iaitu Metal Grey. Seperti namanya, White Series hanya boleh didapati dalam warna Arctic White.

Selain pilihan warna baharu, Premium Series juga mendapat beberapa ciri tambahan lain seperti upholsteri kulit, DVR, filem cermin, visor pintu, kicking plate dan Tailgate Assist. Varian ini didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau 150,000 km.

ATM juga menawarkan aksesori tambahan untuk memenuhi keperluan pelanggan seperti roller shutter dan kanopi. Semua aksesori mempunyai jaminan selama setahun.

Sempena pelancaran Vigus Pro White Series, ATM mengadakan Pertandingan Pandu Uji dan Menang di mana peserta berpeluang memenangi baucar petrol BHP bernilai keseluruhan RM20,000.

Lebih menarik lagi, setiap pembelian Vigus Pro akan memberikan pelanggan 10 penyertaan dalam pertandingan ini. Pemenang bertuah akan diumumkan pada suku pertama 2024.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved