Semua kiriman oleh Amirul Mukminin

Nissan Skyline GT-R R34 milik Brian O’Conner diabadikan dalam bentuk Lego Speed Champions

LEGO Speed Champions menyediakan alternatif yang lebih mampu milik kepada mereka yang mungkin tidak mampu mengeluarkan belanja yang tinggi untuk set Lego Technic.

Ia tidak begitu terperinci seperti Technic namun kualiti set yang dibawakan oleh Speed Champions sudah cukup  untuk bagus untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Kini, barisan Speed Champions menambah satu lagi model ke koleksinya dan ia pasti akan membuat peminat francais Fast and Furious begitu teruja.

Ini kerana set terbaru itu menampilkan kereta yang paling ikonik dari filem 2 Fast 2 Furious iaitu Nissan Skyline GT-R (R34) milik Brian O’Conner yang dimainkan oleh mendiang Paul Walker.

Mengandungi 319 kepingan Lego, perincian set ini tidak kurang hebatnya. Seperti jentera sebenar, Skyline GT-R R34 itu memakai kit badan dan didatangkan dalam warna kelabu dengan grafik biru pada bahagian bonet, pintu dan spoiler.

Apa yang menarik, ia juga didatangkan dengan figura mini Brian O’Conner yang boleh diletakkan pada tempat duduk pemandu.

Menurut laporan, set Nissan Skyline GT-R (R34) 2 Fast 2 Furious ini boleh ditempah mulai 3 Januari 2023 dengan harga anggaran 24.99 euro (RM115).

 

Toyota terima dana kerajaan UK untuk bangunkan Hilux sel bahan api hidrogen

TOYOTA Motor Manufacturing UK (TMUK) kini mengetuai sebuah konsortium untuk membangunkan prototaip Hilux elektrik sel bahan api hidrogen.

Syarikat itu berjaya memperoleh pembiayaan kerajaan UK untuk projek itu melalui Advanced Propulsion Centre (APC), sebuah organisasi yang menyokong pembangunan teknologi yang lebih bersih dan konsep mobiliti baharu.

Jumlah pembiayaan yang diterima tidak didedahkan namun ia akan membolehkan mereka membangunkan teknologi hidrogen untuk segmen pasaran kenderaan komersial dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pembiayaan tersebut akan digunakan untuk menampung kos pembangunan Hilux elektrik sel bahan api hidrogen. TMUK akan berkerjasama rapat dengan beberapa firma kejuruteraan dari UK termasuk Ricardo, ETL, D2H dan Thatcham Research.

Untuk projek ini, Toyota akan menggunakan sistem sel bahan api generasi kedua yang diambil dari Mirai. Divisyen R&D dari Toyota Motor Europe (TME) juga akan memberikan sokongan teknikal bagi membantu firma-firma UK berkenaan mengembangkan kepakaran mereka.

Prototaip Hilux ini dijangka dikeluarkan di kilang TMUK di Burnaston pada 2023. Jika projek ini berjaya, syarikat itu merancang untuk mengeluarkan versi produksi dalam jumlah yang terhad.

Skuter elektrik Lavoie Series 1 adalah EV pertama McLaren

KENDERAAN elektrik (EV) pertama McLaren telah pun tiba namun ia bukanlah sebuah hypercar seperti Lotus Evija atau Pininfarina Battista.

Sebaliknya ia merupakan sebuah skuter elektrik yang dikenali sebagai Series 1. Ia dibangunkan oleh Lavoie, sebuah anak syarikat McLaren Applied. Ditubuhkan pada 1991, McLaren Applied menyediakan penyelesaian kejuruteraan dan teknologi termaju untuk organisasi-organisasi dalam sektor sukan permotoran, automotif dan pengangkutan.

Berbalik kepada Series 1, ia diperbuat daripada magnesium gred automotif dan mempunyai berat sekitar 16.5 kg sahaja. Perincian mengenai trenkuasanya tidak diketahui namun skuter ini menawarkan jarak sejauh 50 km dengan satu cas penuh. Ia memerlukan dua jam untuk pengecasan menerusi palam tiga pin.

Satu lagi ciri menarik Series 1 adalah sistem Flowfold yang membolehkan ia dilipat dengan hanya menekan satu butang.

Series 1 dilengkapi dengan sistem pencahayaan canggih yang merangkumi lampu depan dan belakang, serta lampu limpah pada bahagian sisi bagi menjadikan ia lebih mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain. Ia juga mempunyai lampu isyarat membelok yang boleh diaktifkan dari bar hendal dan skrin paparan bersepadu.

Series 1 boleh disambungkan kepada aplikasi mudah alih bagi membolehkan penunggang mengesan lokasi skuter dan membunyikan penggera jika perlu. Aplikasi itu turut mengandungi fungsi-fungsi lain seperti sistem navigasi, statistik mendalam dan bantuan jika berlaku apa-apa kerosakan.

Porsche 718 Cayman GT4 RS kini di Malaysia – harga dari RM1.55 juta

BERSEMPENA pembukaan rasmi pusat Porsche Centre Johor Bahru, Sime Darby Auto Performance (SDAP) turut mengumumkan ketibaan model Porsche 718 Cayman GT4 RS ke pasaran tempatan.

Diperkenalkan di peringkat global pada November tahun lalu, model ini dijual pada harga bermula dari RM1,550,000. Pelanggan berminat boleh mengunjungi pusat Porsche terdekat atau layari https://dealer.porsche.com/my/malaysia/en-GB/718-cayman -gt4-rs.

718 Cayman GT4 RS dibangunkan khusus untuk pemanduan mengujakan dengan badan yang ringkas, casis yang mantap dan ciri aerodinamik yang canggih.

Ia dikuasakan oleh enjin NA 4.0-liter enam silinder boxer yang dikatakan mampu mencapai rev 9,000 rpm. Diambil dari 911 GT3, enjin itu mampu menghamburkan 500 hp dan 450 Nm, 80 hp dan 30 Nm lebih tinggi berbanding output Cayman GT4 standard.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi dwi-klac PDK tujuh kelajuan. Tiada pilihan transmisi manual enam kelajuan untuk model ini.

Satu ciri menarik adalah liang ambilan udara pada bahagian belakang tingkap pemandu dan penumpang. Ia mampu meningkatkan aliran udara ke bahagian enjin dan menghasilkan bunyi yang lebih mengujakan di telinga pemandu dan penumpang.

Menurut Porsche, berat keseluruhan 718 Cayman GT4 RS adalah hanya 1,415 kg dengan tangki minyak yang penuh. Ini disumbangkan menerusi penggunaan gentian karbon, karpet dan bahan penebat bunyi ringan, cermin ringan dan pembuka pintu jenis kain.

Penambahbaikan aerodinamik pula boleh dilihat pada sayap belakang kekal dengan unjuran berbentuk leher angsa dan penyokong aluminium.

Digabungkan dengan elemen-elemen lain seperti sirip di sekitar gerbang roda depan serta panel bawah badan yang disambung dengan diffuser, jentera ini mampu 25 peratus lebih downforce berbanding dengan GT4 apabila dalam mod Performance.

Pusat 4S Porsche Johor Bahru dibuka secara rasmi

PORSCHE Malaysia, yang diwakili oleh Sime Darby Auto Performance, merasmikan pembukaan rasmi pusat Porsche Johor Bahru pada 1 Disember 2022.

Terletak di Danga Bay, fasiliti baharu yang dibina dengan pelaburan melebihi RM28 juta itu menampilkan ciri-ciri terkini yang membezakannya daripada pusat jualan Porsche yang lain di Malaysia.

Kemudahan tiga tingkat berkeluasan 5,412 meter persegi tersebut memperkenalkan konsep seni bina korporat “Destination Porsche” yang menitikberatkan pengalaman jenama yang hebat, mewujudkan ruang berkumpul bagi peminat-peminat Porsche dan menarik minat pelanggan baharu.

Muka bangunan Pusat Porsche Johor Bahru baharu menampilkan ciri-ciri kemewahan dan mesra pengunjung. Ia direka supaya inspirasi ruang dalaman baharu ini boleh dihargai dari luar bangunan.

Di ruang dalaman, konsep seni bina “Destination Porsche” terkini menawarkan penampilan ruangan modular yang boleh disepadukan dan diubahsuai dengan mudah.

Modul-modul di dalam pusat Porsche Johor Bahru merangkumi Highlight Display, E-Performance, Porsche Classic, Fitting Lounge, Delivery Bay and Certified Pre-Owned Car. Ruang istirahat baharu menyediakan tempat perhimpunan sosial dan persekitaran yang selesa untuk pelanggan dan komuniti Porsche.

Menariknya, pengunjung juga boleh mengasah kemahiran memandu mereka dengan simulator perlumbaan e-sukan yang disediakan di Porsche Johor Bahru.

Bukan itu sahaja, pemilik Taycan yang mengunjungi pusat Porsche Johor Bahru baharu juga boleh menggunakan kemudahan pengecas DC berprestasi tinggi 175 kW dan pengecas AC 22 kW.

Porsche Johor Bahru merupakan pusat Porsche 4S yang pertama di Malaysia, yang mana bahagian jualan, servis, dan alat ganti disepadukan dengan badan dan cat (B&P) yang diperakui Porsche. Pusat B&P itu hanya menggunakan cat berasaskan air yang dirumus oleh Porsche AG dan dilengkapi dengan sistem pengudaraan dan penapisan.

Ruang bengkel pula menampilkan sembilan ruang servis yang dilengkapi dengan teknologi dan peralatan terkini, juruteknik bertauliah dan mahir, serta alat ganti Porsche tulen untuk perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan.

“Perkhidmatan selepas jualan merupakan salah satu keutamaan kami dalam memenuhi permintaan para pemilik Porsche yang semakin meningkat di Malaysia,” kata Christopher Hunter, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance.

Pepsi syarikat pertama terima trak elektrik Tesla Semi

BOS Tesla, Elon Musk baru-baru ini menyerahkan Tesla Semi yang pertama kepada PepsiCo, lima tahun selepas trak tugas berat elektrik sepenuhnya itu diperkenalkan kepada umum.

Berucap pada majlis penyerahan yang diadakan di kilang Tesla di Nevada, Texas, Musk berkata trak itu mampu mengurangkan emisi di lebuh raya, mengatasi trak diesel sedia ada dari segi kuasa dan keselamatan, serta menggunakan teknologi pengecasan pantas terkini yang akan digunakan pada trak pikap Cybertruck kelak.

Musk, yang kini juga merupakan pemilik Twitter, bagaimanapun tidak mendedahkan harga Semi, perincian mengenai varian trak berkenaan serta jangkaan penyerahan kepada PepsiCo dan pelanggan lain. Syarikat pengeluar makanan dan minuman itu dilaporkan telah memesan 100 unit Semi.

Pada 2017, Tesla berkata versi jarak 300 batu (482 km) dianggarkan berharga kira-kira $150,000 (RM658,200), manakala versi 500 batu (805 km) berharga $180,000 (RM789,840).

Antara syarikat terkemuka lain yang dilaporkan turut memesan Tesla Semi termasuklah pengeluar bir Anheuser-Busch, United Parcel Service dan juga Walmart.

Menurut Musk, Semi telah menjalani ujian antara kilang Tesla di Nevada dan satu lagi kilangnya di Fremont, California. Ia dikatakan mampu melengkapkan perjalanan sejauh 500 batu (805 km) dengan satu cas penuh, dengan berat keseluruhan mencecah 36,740 kg.

Sebelum ini, Tesla berkata trak itu akan dilengkapi dengan teknologi pemanduan autonomi penuh iaitu Autopilot, namun perkara ini tidak disentuh oleh Musk pada majlis penyerahan tersebut.

Semi mempunyai tiga motor elektrik pada gandar belakang yang asalnya dibangunkan untuk Model S. Satu digunakan untuk memacu trak itu pada kelajuan melayar di lebuh raya, manakala dua lagi untuk memecut.

Untuk pengecasan pula, Semi menggunakan Supercharger versi terbaru yang boleh menampung kuasa sehingga 1 megawatt, selain mempunyai teknologi penyejukan cecair di dalam kabelnya.

Robyn Denhold, pengerusi Tesla, baru-baru ini dilaporkan berkata syarikat itu mungkin menghasilkan 100 unit Semi tahun ini. Musk sebelum ini pernah berkata Tesla mensasarkan untuk mengeluarkan sebanyak 50,000 unit trak itu pada 2024.

Perodua jual 250,795 unit kereta dari Januari ke November, lepasi sasaran 247,800 unit

BULAN lalu menyaksikan prestasi pengeluaran, jualan bulanan dan tahunan Perodua mencapai paras tertinggi apabila syarikat kereta kompak nasional itu bergerak pantas dalam memenuhi setiap permintaan.

Dari segi jualan, Perodua menjual 250,795 unit antara Januari dan November tahun ini, melepasi sasaran tahunan keseluruhannya sebanyak 247,800 unit yang diumumkan pada awal tahun. Ia juga merupakan angka jualan tertinggi bagi syarikat tersebut.

Jualan bulanan juga mencatatkan rekod baharu dengan 28,592 unit pada November 2022, naik 40.9 peratus berbanding 20,299 unit yang dijual pada November 2021. Bezza muncul sebagai model terlaris bulan lalu dengan 8,089 unit, diikuti Myvi dengan 6,624 unit dan Axia dengan 5,812 unit.

Bagi perbandingan tahun ke tahun, jualan Perodua meningkat sebanyak 50 peratus kepada 250,795 daripada 167,250 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas. Lonjakan ini disebabkan oleh penutupan Covid-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan antara Jun dan pertengahan Ogos tahun 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata pencapaian jualan November adalah seiring dengan pencapaian pengeluaran Perodua setakat tahun ini iaitu 258,960 unit. Malah Perodua juga berjaya merekodkan pengeluaran bulanan tertinggi sejak penubuhannya iaitu 29,149 unit.

“Pencapaian ini memberi makna pada semua peringkat; yang pertama ia menunjukkan keupayaan kami dalam memaksimumkan sumber semasa, baik di Perodua mahupun para pembekal di dalam ekosistem kami.

“Yang kedua ialah melalui pencapaian ini, kami kini menyedari bahawa kami boleh meningkatkan lagi operasi – dalam jualan dan pengeluaran kami tanpa perlu melabur untuk kilang baharu atau mendapatkan kawasan tanah yang luas bagi operasi pembuatan kami,” kata Dato’ Sri Zainal.

Tambah beliau lagi, Perodua akan terus melabur dalam menaik taraf operasinya sebagai satu kumpulan dengan memberi penekanan kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan kemahiran kakitangan.

“Kami juga akan bekerjasama secara rapat dengan para pembekal dan pengedar kami untuk memastikan operasi mereka mampu memenuhi permintaan dan cabaran-cabaran yang mendatang,” tambah beliau.

Mengenai penetapan semula sasaran baharu tahun ini, Dato’ Sri Zainal sebaliknya berkata syarikat kereta kompak nasional itu akan mengumumkan jumlah sebenar tahunan keseluruhan pada Januari nanti.

Tak perlu ke bilik pameran, pemilik Lotus Emira ambil terus kereta dari kilang

PELANGGAN Lotus yang membeli Emira kini boleh mengambil kereta masing-masing terus dari kilang syarikat itu di Hethel, United Kingdom.

Pemilik Emira pertama yang berbuat demikian adalah Shaan Kodituwakku yang tiba dari Edinburgh, Scotland untuk mengambil keretanya iaitu model V6 First Edition berwarna Hethel Yellow.

Pengambilan terus dari kilang atau ‘Factory Collection’ merupakan perkhidmatan yang ditawarkan secara opsyen kepada semua pelanggan Emira di UK. Ia boleh dipilih semasa proses check out dalam talian selepas selesai membuat pembelian menerusi platform Lotus Drive.

Menariknya, perkhidmatan Factory Collection turut merangkumi lawatan ke Chapman Production Centre, ruang pemasangan baharu yang merupakan sebahagian daripada baik pulih fasiliti Lotus di UK yang melibatkan pelaburan bernilai £100 juta.

Setelah selesai lawatan, pelanggan akan menerima kereta masing-masing dan akan menjalani bengkel di mana semua ciri-ciri unik dan teknologi yang terdapat pada Emira akan didemonstrasikan. Pelanggan juga akan mendapat gambar kereta mereka sebagai tanda penghargaan.

“Apabila saya tiba di Hethel, saya disambut oleh pengawal keselamatan yang tahu nama saya, tahu saya tiba untuk mengambil Emira dan mengucapkan tahniah kepada saya! Ia satu perasaan yang hebat dan berbaloi untuk mengambil penerbangan pada pukul 4 pagi dari Edinburgh,” kata Shaan.

Lotus Emira dipertontonkan di Malaysia pada April lalu di bilik pameran mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam. Ia ditawarkan dengan pilihan enjin 3.5-liter V6 supercaj dan enjin 2.0-liter turbo AMG. Model First Edition dijual pada harga RM1,131,800.

Shell Malaysia lancar minyak enjin neutral karbon pertamanya – RM280 untuk pek 4L

SHELL Malaysia baru-baru ini melancarkan rangkaian minyak enjin neutral karbon pertamanya untuk pasaran tempatan. Ia terdiri daripada tiga produk iaitu Shell Helix Power 5W-40, Helix Power 0W-40 dan Helix Protect 0W-30.

Rangkaian minyak enjin terbaru itu kini boleh didapati di bengkel-bengkel Shell yang terlibat dan bengkel-bengkel bebas lain, dengan harga runcit RM280 di Semenanjung Malaysia untuk pek empat liter dan RM 280.80 di Sabah dan Sarawak.

Menurut Shell, pelancaran ini adalah bukti salah satu komitmen syarikat dalam membantu mengurangkan pelepasan karbon bersama-sama dengan pelanggannya, sejajar dengan aspirasinya untuk menjadi perniagaan tenaga pelepasan sifar bersih pada 2050.

“Shell Malaysia berbesar hati kerana dapat menyediakan pelbagai solusi tenaga rendah karbon kepada pelanggan kami, daripada pengecasan kenderaan elektrik dan biobahan api, dan kini pelincir karbon neutral,” kata Dato Ivan Tan, Pengerusi Shell Malaysia.

Tambah Shell lagi, produk Helix Power 5W terbaru merupakan initisiatif tambahan usaha syarikat yang sedia ada bagi mengurangkan tahap intensiti karbon secara bertanggungjawab di dalam operasi minyak dan gas, dan pelaburan dalam sumber tenaga rendah karbon.

Sementara itu, Nyon Kam Yew, Pengurus Besar, Perniagaan Shell Lubricant Malaysia & Singapura berkata minyak enjin ini diformulasi menggunakan Teknologi Shell PurePlus, yang dihasilkan daripada 99.5% minyak asas tulen daripada gas asli, serta dipercayai dan disyorkan oleh Scuderia Ferrari.

Minyak enjin Helix Power 5W-40 merupakan penambahan baharu untuk keluarga Shell Helix. Ia direka khas untuk kenderaan berkuasa dan berprestasi tinggi, dan sesuai untuk kebanyakan kereta penumpang moden yang menggunakan petrol dan diesel.

Sempena pelancaran ini, pengguna akan mendapat sebuah speaker Bluetooth percuma dengan setiap pembelian pek empat liter Helix Power 0W-40, Helix Power 5W-40, atau Helix Protect 0W-30 di mana-mana kedai terlibat, selagi stok masih ada.

Bagi memastikan keaslian produk sebelum pembelian, pelanggan digalakkan mencari logo “Untuk Pasaran Malaysia” di bahagian hadapan label botol.

BMW Charging dilancarkan di Malaysia – lebih 100 pengecas di pusat bandar dan lebuh raya utama

DALAM usahanya untuk menaik taraf pengalaman pemilikan elektrik, BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW Charging menerusi kerjasama dengan JomCharge yang merupakan penyedia kemudahan pengecasan kenderaan elektrik.

Rangkaian pengecas BMW Charging merangkumi lebih 100 buah fasiliti pengecasan yang terletak secara strategik di seluruh kawasan pusat bandar dan pelbagai lebuh raya utama. Rangkaian ini meliputi infrastruktur yang dimiliki oleh Gentari – divisyen Mobiliti Hijau dan Tenaga Bersih di Petronas.

Semua pemilik model BMW i yang baharu dan sedia ada kini layak mendaftar untuk pakej BMW Charging. Pelanggan perlu membayar yuran sekali sebanyak RM640 dan mereka akan mendapat kredit percuma JomCharge bernilai RM160, menjadikan jumlah keseluruhan kredit sebanyak RM800. Langganan ini adalah untuk tempoh setahun dan tidak boleh diperbaharui.

Setelah pendaftaran dibuat, pelanggan dapat memanfaatkan pakej ini sebagai perkhidmatan ‘bayar bila guna’ dengan diskaun tambahan sebanyak 10 peratus bagi setiap transaksi pengecasan mereka selama satu tahun.’

Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian di BMW Group Malaysia berkongsi, “Menjadi tonggak penting dalam usaha berterusan kami untuk memperkukuhkan landskap mobiliti elektro di Malaysia ialah kerjasama strategik kami dengan para peneraju industri dalam infrastruktur pengecasan untuk EV seperti JomCharge, ChargEV dan Tenaga Nasional Berhad.”

Ir. Lee Yuen How, Pengarah Urusan EV Connection berkata, “Sebagai operator rangkaian JomCharge di Malaysia, matlamat kami adalah untuk menggalakkan penerimagunaan Kenderaan Emisi Sifar (ZEV) di Malaysia dengan menyediakan sebuah infrastruktur yang serba transformatif dan berpandukan pelanggan – dicerminkan melalui rangkaian pengecasan awam kami yang ekstensif.”

Setakat ini, BMW Group Malaysia menyediakan lebih 550 buah fasiliti pengecasan di seluruh negara. Ia dikuasakan oleh rakan-rakan kongsi seperti JomCharge (lebih 65 stesen pengecas), Gentari (lebih kurang 50 stesen pengecas), dan ChargEV (lebih 330 pengecas).

Lebih 80 buah fasiliti BMW i Charging juga disediakan di kebanyakan pusat pengedaran BMW dan MINI yang bertauliah di seluruh negara, dengan rancangan strategik untuk mengembangkan lagi infrastruktur ini pada tahun 2023. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.bmw.com.my/en/topics/bmw-owners/bmw-charging-solution.html. Aplikasi mudah alih JomCharge boleh didapatkan di Apple App Store dan Google Play Store.

Lamborghini Huracan Sterrato didedahkan – nak lawan 911 Dakar ke?

SIAPA sangka pengeluar-pengeluar supercar terkemuka akan menghasilkan jentera dengan kemampuan off-road?

Pada pertengahan November lalu, Porsche memperkenalkan 911 Dakar, dan kini, tiba satu lagi jenama yang bernaung di bawah Volkswagen Group iaitu Lamborghini untuk mendedahkan taruhan mereka iaitu Huracan Sterrato.

Ia dipacu oleh enjin 5.2-liter V10 dengan 610 PS dan 560 Nm pada 5,600 rpm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD) dengan differential mekanikal pada bahagian belakang.

Sekali pandang, ia mungkin nampak seperti Huracan standard namun jentera ini mempunyai stance yang lebih agresif. Jarak antara titik tengah roda kiri dan kanan bertambah sebanyak 30 mm di depan dan 34 mm di belakang, manakala ruang lega tanah meningkat sebanyak 44 mm.

Bagi melindungi badannya, Lamborghini turut memasang pelindung aluminium pada bahagian depan, diffuser belakang dan gerbang roda yang lebih kukuh. Skup udara pada hud belakang bukan sahaja nampak bergaya, malah membantu menyalurkan udara bersih ke enjin.

Ruang dalaman masih belum didedahkan namun menurut syarikat itu, ia dihiasi dengan upholsteri Alcantara Verde Sterrato. Paparan Human Machine Interface (HMI) kini mempunyai grafik baharu termasuk inclinometer dengan penunjuk pitch dan roll, kompas, koordinat geografik dan penunjuk sudut stereng.

Sterrato bukan sekadar Huracan yang dilengkapi dengan sistem suspensi lebih tinggi dan kit badan kerana ia juga didatangkan dengan LDVI (Lamborghini Integrated Vehicle Dynamics) yang telah dikemas kini dengan kalibrasi spesifik untuk mod Strada dan Sport, serta mod baharu Rally.

Tayar yang digunakan adalah jenis Bridgestone Dueler AT002 berukuran 235/40 R19 di depan dan 285/40 R19 di belakang. Ia direka khusus untuk Huracan Sterrato dan mempunyai teknologi run-flat yang membolehkan kereta dipandu pada kelajuan 80 km/j jika berlaku kebocoran.

Ia mungkin dibangunkan khusus untuk pemanduan off-road namun Huracan Sterrato prestasinya masih lagi seperti supercar sejati. Pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 3.4 saat manakala kelajuan maksimum pula adalah 260 km/j.

Pengeluaran dijangka bermula Februari 2023 dan ia akan dihadkan kepada 1,499 unit sahaja. Kami syak ia sudah pun habis ditempah.

Seperti biasa, pelanggan boleh mempunyai akses kepada program Ad Personam yang menawarkan khidmat kustom dengan 350 pilihan warna luaran dan lebih 60 pilihan warna untuk upholsteri kulit dan Alcantara.

Gentari lancar pengecas 350 kW pertama di Asia Tenggara – RM1.20/kWj

Gentari Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Petronas telah melancarkan pengecas DC 350kW pertama di Asia Tenggara untuk kenderaan elektrik (EV) di X Park Sunway Serene yang terletak di Zon Perindustrian Dagangan Bebas Sungai Way, Selangor.

Dilancarkan dengen kerjasama EV Connection Sdn Bhd (EVC), pengecas berkenaan merupakan sebahagian daripada hab pengecasan EV yang terdiri daripada satu pengecas DC 350 kW, dua pengecas pantas DC 180 kW dan lima pengecas AC (dua 22 kW dan tiga 7 kW).

Untuk makluman, pengecas DC 350 kW tersebut disambungkan dengan dua stesen individu, masing-masing menawarkan kapasiti pengecasan sehingga 175 kW.

Apa yang menarik, hab pengecasan EV di X Park itu turut menjadi yang pertama di Malaysia yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Tenaga (EC). Ini secara tidak langsung memberi jaminan dari segi keselamatan struktur dan operasi kemudahan itu.

Selain itu, satu lagi hab pengecasan milik Gentari dan EVC yang sedang dibina di Bangi Golf Resort juga mendapat lesen daripada EC.

Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razali berkata, “Hab pengecasan berkelajuan tinggi baharu milik Gentari di X Park Sunway Serene dijangka akan memberikan sumbangan besar ke arah menyokong ekosistem EV yang berdaya maju dengan meningkatkan lagi tahap keyakinan jarak pemanduan di kalangan pengguna EV dengan memberi tumpuan kepada pengalaman pengecasan di kawasan bandar.”

Pengarah Urusan EVC, Lee Yuen How menambah, “Kami berharap penyediaan pelbagai infrastruktur pengecasan pantas yang mampu milik dan mudah untuk diakses di X Park, Resort Golf Bangi dan hab-hab berlesen lain di seluruh negara pada masa hadapan dapat meningkatkan lagi kadar penggunaan EV di kalangan rakyat Malaysia.”

Apa yang menarik, hab pengecasan di X Park ini tidak mengenakan bayaran berasaskan masa, sebaliknya berapa banyak tenaga (kilowatt jam) yang digunakan. Berikut adalah senarai harga yang akan berkuat kuasa mulai 1 Disember 2022:

Perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya kembali pulih

KERJA-kerja baik pulih komponen yang rosak akibat disambar petir perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selesai dijalankan malam tadi (29 November 2022).

Menurut Rapid Rail Sdn Bhd, setakat jam 10 malam tadi, semua operasi tren yang melalui stesen LRT Kerinchi kini beroperasi secara automatik dan normal di kedua-dua hala.

“Pasukan jurutera akan terus memantau kestabilan sistem di kawasan terlibat.

“Rapid Rail sekali lagi ingin memohon maaf kepada pengguna di atas kesulitan yang dihadapi,” tulis syarikat itu dalam satu kenyataan.

Gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya berlaku jam 5.46 petang semalam selepas Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang atau ‘Platform Intrusion Emergency Stop’ (PIES) teraktif secara tiba-tiba disyaki telah disambar petir di Stesen LRT Kerinchi.

Akibat daripada gangguan tersebut, semua tren yang melalui kawasan tersebut terpaksa dipandu secara manual, mengakibatkan kelewatan jadual perjalanan dan kesesakan platform berlaku di beberapa stesen.

Laluan Ipoh Utara-Ipoh Selatan ditutup sementara esok

PLUS Malaysia Berhad mengumumkan akan menutup sementara laluan Ipoh Utara-Ipoh Selatan (arah selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan untuk latihan simulasi kecemasan mulai jam 10 pagi hingga 2:30 petang, esok (30 November 2022).

Sepanjang tempoh tersebut, pengguna daripada utara/Kuala Kangsar yang menghala ke selatan/Kuala Lumpur akan dilencongkan ke Plaza Tol Ipoh Utara dan seterusnya dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Persekutuan (FT240) iaitu Jalan SUSUR Jelapang-Ampang.

Pengguna boleh meneruskan perjalanan ke Selatan dengan memasuki semula Lebuhraya Utara-Selatan menerusi Plaza Tol Ipoh Selatan.

Latihan simulasi tersebut diadakan bagi menguji tahap kecekapan, masa tindak balas dan tindakan yang diambil oleh PLUS, pasukan penyelamat serta agensi yang terlibat dalam menghadapi situasi kecemasan, mengkaji dan memeriksa aliran proses prosedur keselamatan di lebuh raya.

Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, “Keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa menjadi keutamaan kami. Oleh itu, latihan seumpama ini dijalankan dari masa ke masa untuk mengukur tahap persediaan kakitangan PLUS dan agensi yang berkaitan demi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.”

Latihan kecemasan kali ini akan melibatkan agensi-agensi yang terbabit antaranya Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Alam Sekitar, Angkatan Pertahanan Awam, MERS 999, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, MIROS, Edgenta Infrastructure Services (EIS) dan sebagainya.

Pengguna lebuh raya berkenaan dinasihatkan supaya mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS ketika latihan diadakan.

Untuk maklumat trafik atau bagi mendapatkan bantuan kecemasan, pengguna boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000.

Nissan Serena C28 dilancarkan di Jepun dengan 8 tempat duduk, ProPilot 2.0

NISSAN secara rasminya memperkenalkan model generasi baharu Serena yang kini boleh didapati dengan trenkuasa hibrid baharu dan lapan tempat duduk.

Dikenali dengan kod C28, MPV generasi keenam ini mengekalkan bentuk badan berkotaknya namun tampil lebih segar dengan lampu depan yang diintegrasikan bersama gril V-motion.

Bukan itu sahaja, semua lampu kini menggunakan LED, manakala cermin penghadang angin depannya dikatakan yang paling luas dalam pasaran minivan. Di Jepun, ia boleh didapati dalam 14 warna termasuk empat pilihan kombinasi dua tona.

Bergantung kepada varian, Serena mempunyai ukuran panjang 4,690 mm atau 4,765 mm, lebar 1,695 mm atau 1,715 mm, dan tinggi 1,870 mm atau 1,885 mm. Ukuran tapak rodanya juga bergantung kepada spesifikasi, iaitu 3,135 mm atau 3,145 mm.

Sementara itu, rekaan papan pemuka Serena dilihat lebih kemas berbanding sebelum ini dengan adanya kluster instrumen digital dan konsol tengah yang lebih kecil. Jika anda perasan, tombol gear sudah tiada kerana ia digantikan dengan jenis suis yang terletak pada panel sentuh sistem pendingin hawa.

Pemandu kini boleh menikmati ruang kaki yang lebih luas sebanyak 120 mm, manakala tempat duduk pelbagai guna pada bahagian tengah barisan kedua membolehkan MPV ini memuatkan sehingga lapan penumpang. Seperti sebelum ini, Serena didatangkan dengan pintu gelongsor bebas tangan dan tailgate berkembar.

Untuk model tahun 2023, Serena boleh didapati dengan dua pilihan trenkuasa. Yang pertama adalah enjin S-Hybrid 2.0-liter MR20DD dengan transmisi jenis Xtronic CVT seperti model C27. Versi ini mempunyai 150 hp dan 200 Nm.

Satu lagi pilihan adalah trenkuasa e-Power generasi kedua yang menampilkan gabungan enjin 1.4-liter dan sebuah motor elektrik yang menawarkan kuasa keseluruhan mencecah 163 hp dan 315 Nm. Menariknya, versi ini boleh didapati dengan outlet AC 100V (1,500 W) yang boleh digunakan untuk perkakasan elektrik ketika berkelah atau dalam situasi kecemasan.

Satu lagi ciri baharu adalah sistem bantuan pemandu ProPILOT 2.0 yang membolehkan pemanduan bebas tangan di lorong tunggal lebuh raya pada kelajuan 40 km/j ke atas.

Selain itu, terdapat juga sistem ProPILOT Park dengan memori yang berupaya untuk merakam dan mengenal pasti garisan ruang parkir. Turut disertakan buat pertama kalinya adalah ciri Steering Assist dengan Forward Collision Avoidance.

Untuk pasaran Jepun, Serena serba baharu ini boleh didapati dalam tujuh gred atau varian, empat varian e-Power dan selebihnya S-Hybrid. Harga bermula dari 3,198,800 yen (RM104,028) untuk e-Power dan 2,768,700 yen (RM90,040) untuk S-Hybrid.

Sementara menunggu kedatangan Serena C28 ke Malaysia, apa kata tonton dulu video pandu uji Serena C27 facelift kami di bawah:

Supercar vs 4X4: Lamborghini Huracan dirempuh Toyota Hilux di Thailand

Akibat tidak sabar, seorang pemilik Lamborghini Huracan Evo RWD terima padah apabila supercar miliknya itu dirempuh dari tepi oleh sebuah Toyota Hilux.

Rakaman berdurasi 31 saat yang tular di media sosial menunjukkan pemandu Huracan tersebut memotong sebuah Lamborghini Urus dari kiri untuk menyeberangi jalan raya sebelum dilanggar trak pikap tersebut yang datang dari arah bertentangan.

Menurut laporan, insiden ini berlaku pada 24 November lalu berdekatan lapangan terbang Sukhothai. Sebuah konvoi Lamborghini yang terdiri daripada pelbagai jenis model termasuk Urus, Gallardo, Huracan dan Aventador dilihat cuba untuk menyeberangi jalan raya berkenaan pada waktu malam.

Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan yang terlibat mengalami kerosakan yang agak teruk. Gambar selepas kemalangan menunjukkan Hilux tersebut remuk di bahagian depan, manakala supercar itu remuk di bahagian pintu kiri. Tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan.

Rakaman video jelas menunjukkan yang kemalangan ini berpunca dari kecuaian pemandu Lamborghini itu. Beliau sepatutnya memastikan keadaan selamat sebelum menyeberang. Mujurlah insiden ini sempat dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

Menurut laporan media tempatan, pemilik supercar itu bersetuju untuk menampung kerugian. Macam ni lah baru betul.

Anwar Ibrahim tolak guna Mercedes-Benz S600 dibeli JPM, guna kereta sedia ada

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak daripada menggunakan Mercedes-Benz S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum beliau memasuki pejabat.

Dalam satu ciapan di Twitter, beliau berkata langkah itu diambil kerana tidak mahukan sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atas beliau.

“Saya ingin memaklumkan bahawa semalam saya telah menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum saya memasuki pejabat.

“Langkah tersebut diambil kerana saya tidak mahukan sebarang perbelanjaan baru dibuat ke atas saya.

“Sebaliknya, saya telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian,” katanya menerusi Twitter.

Anwar, yang baru sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis lalu, sebelum ini juga berkata bahawa beliau tidak akan mengambil gaji bagi jawatan tersebut.

Goodyear Assurance ComfortTred masuk pasaran Malaysia – 12 saiz, dari RM420

GOODYEAR Malaysia hari ini melancarkan tayar terbaru mereka yang dibangunkan khusus untuk model kenderaan mewah iaitu Assurance ComfortTred.

Untuk pasaran Malaysia, tayar Assurance ComfortTred boleh didapati dalam 12 saiz, dengan harga bermula dari RM420 hingga RM860 seunit. Berikut merupakan senarai saiz dan harga:

Salah satu kelebihan yang ada pada tayar Assurance ComfortTred adalah teknologi ANX yang dibangunkan memberikan pengalaman pemanduan yang lebih senyap.

Teknologi tersebut menampilkan lapisan tambahan yang dibina menggunakan kompaun termaju Goodyear. Ia bertindak untuk mengurangkan bunyi golekan dan juga getaran.

Sementara itu, rekaan corak tertutup membantu mengurangkan bunyi pengedaman udara manakala blok bunga yang kecil menghasilkan daya impak yang lebih rendah, seterusnya meningkatkan prestasi pengurangan bunyi.

Selain daripada pemanduan yang selesa dan senyap, Assurance ComfortTred turut menitikberatkan aspek keselamatan dari segi cengkaman ketika jalan basah serta jarak brek yang lebih pendek.

Bagi tujuan ini, kompaun bunga tayar ini mengandungi jumlah silika dan resin yang tinggi bagi memberikan cengkaman tambahan pada permukaan jalan serta pemindahan air yang lebih baik.

“Kami percaya bahawa Assurance ComfortTred merupakan penyedia keselesaan sebenar yang membolehkan kenderaan anda menjadi sebuah ruangan senyap untuk para penumpangnya berehat, menenangkan fikiran, dan berkongsi saat istimewa dengan mereka yang tersayang,” kata Alex Ng, Pengarah Urusan Goodyear Malaysia.

Tayar Assurance ComfortTred kini tersedia di Goodyear Autocare dan kedai-kedai Goodyear yang mengambil bahagian.

Bermula 25 November 2022, Goodyear juga akan mengadakan promosi, di mana 200 pelanggan yang membeli empat unit tayar Assurance ComfortTred akan berpeluang untuk membawa pulang fon kepala berjenama JBL.

Pelanggan hanya perlu mengikuti empat langkah mudah ini untuk mengambil bahagian:

Langkah 1: Beli empat unit Assurance ComfortTred
Langkah 2: Daftarkan tayar anda untuk Jaminan Waranti Worry Free Assurance (WFA)
Langkah 3: WhatsApp butiran peribadi, resit, serta tangkap layar WFA kepada Goodyear di +6012 998 8410
Langkah 4: Jadi antara 200 pelanggan yang layak dan dapatkan fon kepala JBL!

Lelaki ini kudung tapi mampu buat aksi drift pada kelajuan 231 km/j

RASANYA tidak perlu diperkatakan lagi yang aksi drift memerlukan koordinasi mata, kaki dan tangan yang baik. Tetapi bagaimana jika seseorang itu tidak mempunyai salah satu daripada tiga anggota tersebut?

Inilah situasi yang perlu dihadapi oleh Bartosz Ostalowski, seorang pemandu drift dari Poland. Beliau kehilangan kedua-dua belah tangan dalam satu kemalangan pada 2006 namun itu tidak menghalangnya daripada terus berkecimpung dalam sukan permotoran.

Malah, apa yang lebih mengagumkan, baru-baru ini beliau berjaya mencatat rekod Guinness untuk aksi drift terpantas dengan hanya menggunakan kaki.

Ostalowski mencatatkan rekod tersebut pada 30 September lalu di landasan lapangan terbang Pila menggunakan sebuah BMW M3 yang dimodifikasi khusus untuk drift.

Bermula dari pegun, Ostalowski mula memecut sehingga mencapai kelajuan 277 km/j. Beliau kemudiannya menarik brek tangan untuk menggelongsorkan kereta untuk melakukan aksi drift di atas zon penilaian sepanjang 50 meter.

Ostalowski berjaya merekodkan kelajuan purata 231.66 km/j pada sudut maksimum 60 darjah. Menerusi aksi berani tersebut, Ostalowski bukan sahaja mencatatkan rekod untuk aksi drift terpantas menggunakan kaki malah beliau turut berjaya memecahkan rekod untuk aksi drift terpantas Poland yang sebelum ini dipegang oleh Jakub Przygoński pada kelajuan 217.97 km/j.

M3 E92 yang dipandu oleh beliau bukan calang-calang juga. Ia mempunyai 1,000 hp dan 1,280 Nm yang dijana oleh enjin LS3 7.0-liter V8 dengan pengecas turbo berkembar. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik ZF lapan kelajuan.

Ostalowski kini bertanding dalam kejohanan drift Poland dan beberapa lagi siri kejohanan di sekitar Eropah.

EV keluaran Sony/Honda mungkin didatangkan dengan PS5

BAGI mereka yang ‘tertinggal bas’, pada Mac tahun ini Sony dan Honda mengumumkan bahawa mereka akan bekerjasama untuk membangunkan kenderaan elektrik di bawah syarikat baharu iaitu Sony Honda Mobility.

Setakat ini, perincian mengenai model EV yang akan dihasilkan masih belum diketahui namun terdapat laporan yang mengatakan bahawa Sony mungkin akan meletakkan PS5 di dalam model berkenaan.

Dalam satu temubual bersama Financial Times, Izumi Kawanishi, presiden dan ketua pegawai operasi Sony Honda Mobility berkata dari segi teknologi, PS5 boleh diintegrasikan ke dalam EV yang akan dibangunkan bersama Honda.

Konsol permainan generasi baharu itu, serta perkhidmatan-perkhidmatan lain yang disediakan oleh Sony merupakan sebahagian daripada visi bagi menjadikan EV tersebut kenderaan berfokuskan hiburan untuk menyaingi EV lain seperti Tesla.

“Sony mempunyai kandungan, perkhidmatan dan teknologi hiburan yang menggerakkan orang. Kami menyesuaikan aset-aset ini kepada mobiliti, dan ini adalah kekuatan kami berbanding Tesla,” kata Kawanishi.

Namun Sony bukan hanya ingin memasukkan permainan ke dalam kereta seperti Tesla. Menurut pengerusi Sony Honda Mobility, Yasuhide Mizuno, syarikat itu merancang untuk “membangunkan sebuah kereta sebagai perkakasan (hardware) yang akan memenuhi hiburan dan rangkaian yang kami ingin tawarkan.”

Sebahagian daripada rancangan tersebut adalah untuk membangunkan teknologi pemanduan autonomi. Bagaimanapun, Kawanishi mengakui bahawa ia akan mengambil masa yang lama untuk merealisasikannya.

Sony Honda Mobility mensasarkan untuk melancarkan EV pertama mereka di Amerika Syarikat pada 2025.