Arkib Tag: vios

5 benda tak best tentang Toyota Vios

DILANCARKAN pada Mac 2023, Toyota Vios generasi keempat ialah sedan segmen B yang cukup baik secara keseluruhannya.

Ada banyak perkara yang penulis suka tentang Vios namun seperti kereta-kereta lain yang penulis pernah pandu uji, ia juga mempunyai beberapa kelemahan yang penulis harap dapat diperbaiki pada masa hadapan.

Maka, tanpa berlengah, berikut adalah lima benda yang penulis tak berapa gemar mengenai Vios:

Ruang kepala penumpang belakang terhad

Sejujurnya, penulis bukanlah orang yang tinggi namun ketika memandu uji Vios di Langkawi tahun lalu, penulis mendapati ruang kepala untuk penumpang belakang tidaklah seluas mana. Ini sebenarnya disebabkan oleh garis bumbung ala fastback yang menurun ke belakang. Demi gaya, sedikit keselesaan perlu dikorbankan.

Kerusi belakang tidak boleh dilipat

Agak janggal juga apabila kereta baharu mempunyai kerusi belakang yang tidak boleh dilipat namun menurut jurutera Toyota, ciri ini tidak disertakan pada Vios kerana kajian pasaran menunjukkan pengguna jarang menggunakan fungsi tersebut. Bukan itu sahaja, but berkapasiti 475 liter juga dikatakan sudah cukup besar. Ini berita buruk untuk mereka yang kerap membeli-belah di Ikea.

Tiada tayar simpanan

Antara topik hangat yang menjadi bualan semasa pelancaran Vios adalah ketiadaan tayar simpanan di dalam but. Ciri penting ini dikorbankan demi mencapai pengurangan berat (-110 kg berbanding model terdahulu) dan penjimatan ruang. Sebagai alternatif, pengguna mendapat kit pembaikan tayar. Adakah anda rasa keputusan yang dibuat ini tepat?

Enjin kurang power

Walaupun secara asasnya enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang digunakan oleh Vios dirasakan cukup lancar, ia kalah kepada pesaing terdekatnya iaitu Honda City dari segi kuasa dan tork.

City mempunyai 119 hp dan 145 Nm, iaitu 15 hp dan 7 Nm lebih tinggi berbanding Vios. Malah, enjin 2NR-VE itu sebenarnya kurang berkuasa jika dibandingkan dengan enjin 2NR-FE sebelum ini.

Terlalu banyak features

Bagi penulis, ciri yang ada pada Vios terlalu banyak sehingga memeningkan kepala penulis. Dari segi kemudahan dan keselesaan, terdapat skrin sentuh 9 inci, Apple CarPlay/Android Auto wayarles, pengecas wayarles, sistem push start dan sebagainya.

Dari segi keselamatan pula, Toyota Safety Sense (TSS) membawakan pelbagai ciri seperti Pre-Collision System, Lane Departure Prevention, Lane Departure Warning, Front Departure Alert dan bermacam-macam lagi. Banyak sangat sampai nak ingat pun susah.

Perodua Alza recall: Pemilik terima surat untuk pemeriksaan suspensi depan

PEMILIK-pemilik Perodua Alza generasi-kedua yang telah menerima surat jemputan panggilan semula (recall) boleh membawa kenderaan mereka untuk khidmat pemeriksaan kualiti.

Menurut surat yang dikongsi oleh seorang pemilik dalam forum Facebook Perodua Alza D27A Malaysia, isu itu adalah berkenaan suspensi depan dimana bolt mungkin perlu diketatkan jika ia longgar.

Kerja-kerja pemeriksaan itu akan mengambil masa sejam, dan semua kos ditanggung oleh Perodua.

Gambar oleh: Facebook Perodua Alza D27A Malaysia

“Kami memberi jaminan kenderaan anda selamat dipandu. Pemeriksaan kualiti ehsan ini bagi memberikan standard kualiti dan penjagaan tertinggi buat pelanggan kami yang dihargai” tulis surat itu.

Pemeriksaan bahagian atas suspensi depan ini difahamkan adalah serupa dengan kempen yang dijalankan untuk Toyota Veloz dan Vios sebelum ini.

7 penemuan kami selepas pandu Proton S70 untuk kali pertama

PROTON S70 boleh dikatakan sebuah model yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia, bukan sahaja kerana ia model baharu yang akan jadi berita nasional, tetapi juga disebabkan dua sebab utama yang lain.

Yang pertama ialah S70 merupakan model paling mampu milik Proton hasil dari kerjasama dengan Geely. Ia ditawarkan pada harga bermula RM73,800 untuk varian 1.5T Executive, lebih rendah dari harga X50 dan X70. Kalau X90 usah ceritalah…

Yang kedua ialah kerana ia sedan pertama Proton yang serba baharu sejak sekian lama, dan sedan pertama hasil kerjasama dua syarikat itu. Kali terakhir Proton memperkenalkan sedan serba baharu ialah pada 2016, dengan Persona dan Perdana.

Penting dan bermakna juga Proton S70 ini, bukan? Malah penulis sendiri menerima banyak pertanyaan berkenaan sedan ini dari kalangan rakan dan saudara-mara terdekat.

Kini, penulis telah pun dapat memandu uji Proton S70 baru-baru ini. Walaupun hanya beberapa jam dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, tapi rasanya cukup untuk penulis kongsikan tujuh penemuan dari sesi tanggapan pertama ini.

1. Rekabentuk keluarga Proton

Walaupun Proton S70 dibangunkan dari Geely Emgrand, tetapi seperti ada pula persamaan reka bentuk dengan model-model Proton sebelum ini.

Sebagai contoh pada sesetengah sudut dari belakang, lapisan menegak bahagian atas dan bawah but yang dipisahkan oleh lampu belakang ada mirip permukaan Proton Saga. Ini rekaan yang lazim dibuat oleh pengeluar-pengeluar masa kini, tetapi ia tetap ‘menghubungkan’ S70 dan abang-abangnya.

Begitu juga bahagian tingkap kecil di sisi berdekatan tiang-C, ada iras Proton Waja – ini bahagian kegemaran penulis pada S70.

2. Kabin paling premium untuk harganya

Pada pendapat penulis, kabin dan papan pemuka Proton S70 terasa paling premium dan moden berbanding pesaing-pesaingnya seperti Honda City, Toyota Vios, dan Nissan Almera.

Walaupun kereta-kereta Jepun di atas penulis tetap suka, direka kemas, dengan mutu binaan tinggi, ruang dalaman Proton yang minimalis ini terasa seperti kereta berharga RM200,000 ke atas.

Jika enjin tidak dihidupkan, segala paparan terpadam, dan anda hanya akan nampak skrin-skrin, ini memberikan impresi seperti kereta premium yang mempunyai paparan digital sepenuhnya. Tiada langsung meter fizikal pada S70 ini.

Tengok sahaja tombol gear, Proton S70 menggunakan jenis joystick dimana gear ini akan kekal ke posisi tegak walau apa gear pun anda masuk. Model-model lain dalam julat harga ini masing menggunakan tombol gear konvensional yang bergerak dalam alur atau laluannya.

3. Tempat duduk depan ‘kureng’, tapi belakang sangat selesa!

Penemuan seterusnya masih sekitar ruang kabin, tetapi khas berkenaan tempat duduk. Peliknya, penulis rasakan tempat duduk pemandu Proton S70 ini agak janggal dan susah untuk penulis cari posisi pemanduan ideal dan ergonomik.

Masalah ini mungkin pada orang yang mempunyai ketinggian atau postur badan sama dengan penulis, tetapi dengan ketinggian 165cm, penulis rasakan seperti kurang sokongan di bawah peha jika duduk agak rendah.

Mungkin Proton mahu kita duduk sedikit tinggi dan hanya ada ruang sebesar penumbuk antara kepala dengan siling kereta. Tetapi penulis mahu acah-acah sporti dengan memandu Proton S70 ini…

Lain pula ceritanya di belakang, penulis rasa tempat duduk S70 ini sangat-sangat selesa! Ia mempunyai kontur menarik, agak suportif jika pemandu di depan memandu sedikit laju di selekoh. Tempat duduk belakang ini ‘memegang’ tubuh anda dengan cukup baik.

Secara keseluruhan, balutan kulit pada tempat duduk S70 ini nampak cukup premium dan kemas.

4. 1.5 je? Tiada masalah

Proton S70 mungkin mempunyai kapasiti enjin yang sama dengan pesaing-pesaingnya iaitu 1.5-liter. Dari segi berat pula, Proton S70 paling ‘gemuk’ dengan 1,319kg.

Vios jika ditimbang hanya sekitar 1,015kg, manakala City lebih sedikit pada 1,100kg hingga 1,250kg (City e:HEV RS).

Tetapi Proton S70 dengan janaan turbo multi-point injection (MPI) memberikannya output 150PS dan 226Nm tork, jauh lebih tinggi berbanding City dan Vios yang mempunyai sekitar 97hp hingga 104hp dan 127Nm hingga 138Nm.

Ditambah dengan padanan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, ini memberikan Proton S70 pecutan yang senang-senang boleh ‘tapau’ pesaing-pesaing Jepun tersebut. Mungkin ini tidak begitu adil, tetapi sejak bila dunia ini adil?

Hakikat tetap hakikat, dan persaingan segmen RM100,000 ini memang sudah menjadi lebih kompleks selepas kehadiran Proton S70. Sedan segmen-B Proton ini tiada masalah memecut hingga melebihi had laju kebangsaan, begitu bersahaja.

Kereta terasa ringan, malah kuasanya juga dengan mudah mengatasi had cengkaman tayar depan. Beberapa kali penulis lihat rakan media yang lain ‘membuat aksi secara tidak sengaja’ sebaik melepasi palang tol.

Oh ya, Proton S70 ini juga membuat pecutan dengan agak senyap, tiada bunyi angin melampau pada kelajuan biasa. Dan tiada juga isu tiga silinder. Anda takkan terasa jika anda lupa atau tidak memikirkannya.

5. Pengendalian bukan seperti yang anda sangkakan

Kini kita ke aspek yang penting untuk Proton – pengendalian. Macam mana dengan pengendalian Proton S70 ini?

Walaupun S70 mengekalkan setup MacPherson strut di depan dan torsion beam di belakang sama seperti Geely Emgrand, difahamkan Proton telah membuat talaan di bahagian ini untuk menyesuaikan S70 dengan situasi pemanduan di Malaysia.

Hasilnya, suatu pengendalian yang sedikit premium dan mewah, tidak terlalu sporti. Jika anda mengharapkan S70 mempunyai pengendalian sporti seperti Waja atau Preve, maka ini tidak menepati jangkaan anda.

Tetapi ini tidak bermakna pengendaliannya tidak bagus. Casis S70 penulis rasakan sangat tegar dan sofistikated, seperti diuji di jalan berliku dari Georgetown menghala ke Batu Ferringhi dan Empangan Teluk Bahang.

Dengan jalan berselekoh dan permukaan tar yang cantik, jelas terasa suspensi, stereng, dan casis Proton S70 ini bekerja dengan harmoni. Ia mengikut sahaja input anda tanpa banyak kerenah, malah maklum balas stereng juga agak baik dan tepat.

Cuma respon pedal minyak kurang tepat bila dipandu lebih agresif, walaupun dalam mod Sport. Mod ini hanya memberikan tindak balas lebih banyak, tetapi masih secara amnya ia tidak begitu linear, dan ini perkara biasa untuk enjin turbo dengan lengkuk tork melengkung (jika dilihat pada graf dyno).

Bila sampai di had cengkaman sama ada memasuki selekoh atau mula menekan minyak keluar selekoh, tayar depan akan ‘menyerah’ dahulu – lebih mudah understeer – juga talaan biasa untuk sedan sebegini. Sesuai untuk kebanyakan pemandu, dan lebih mudah dikawal.

Inginkan respon dan feel lebih sporti? Tukar sahaja tayar lebih berprestasi tinggi. Tetapi tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 pada S70 ini lebih dari mencukupi. Ia seimbang antara cengkaman, prestasi, dan penjimatan.

6. Lebih jimat dari jangkaan

Bercakap mengenai penjimatan, satu lagi subjek sensitif untuk Proton. Ramai yang bertanya bab ini bila kami memuatnaik gambar Proton S70 di Instagram Story. Penulis juga agak skeptikal dengan bab ini disebabkan pengalaman penulis dengan model-model Proton yang lepas.

Tetapi surprise! Penulis dapati enjin Proton S70 ini lebih menjimatkan dari yang dijangkakan. Kami reset bacaan komputer sebelum bertolak dari Shah Alam, dan selepas rakan media yang berkongsi kereta dengan penulis ‘melenjan’ S70 ini sampai tak ingat dunia, ia masih mencatatkan 8L/100km.

Ini bersamaan 12.5km per liter, bacaan yang diambil di salah satu R&R sebelum Ipoh (maaf sudah lupa). Harus diketahui, kereta ini bukan dilenjan biasa-biasa ya, tetapi kelajuan lebih 50 peratus dari had laju (tidak boleh didedahkan terperinci atas sebab-sebab tertentu).

Penulis tidak sempat menguji penjimatan jika dipandu secara malar pada 110km/j kerana kesuntukan masa. Tetapi pastinya jauh lebih jimat, dan bacaan lebih baik dari 12.5km per liter. Not bad untuk enjin turbo, bukan?

7. Teknologi – positif dan negatif

Penemuan terakhir kami ialah dari segi teknologi. Proton S70 varian Flagship X yang kami uji ini padat dengan segala jenis sistem seperti lampu LED automatik, paparan instrumen digital, infotainmen dengan skrin 12.3-inci, sambungan Wifi dan 4G, mod pemanduan, pilihan mod berasingan untuk stereng, dan barisan sistem ADAS seperti Autonomous Emergency Braking, Intelligent Cruise Control, dan Lane Centering Control.

 

Malah kamera Proton S70 juga mampu ‘mengenal pasti’ papan tanda, dan beberapa varian mempunyai paparan bawah lantai melalui kamera 540-darjah.

Kebanyakan teknologi dan sistem ini pastinya membantu anda memandu dengan lebih baik dan selamat, selain memberikan lebih nilai untuk wang.

Tetapi bumbung suria pada Flagship X ini perlu menggunakan skrin infotainmen tengah untuk membuka dan menutupnya, penulis dapati sedikit melecehkan. Lebih baik jika fungsi sebegini dikawal dari suis pada siling seperti kereta biasa.

Teknologi adakalanya mengorbankan praktikaliti. Mungkin ini sindrom kereta premium, kerana Volvo dan Volkswagen Golf Mk8 juga ada isu ini. Dari sudut lain, anda bolehlah katakan Proton S70 ini premium dan canggih.

Jadi, sekian sahaja tujuh penemuan kami mengenai Proton S70 dalam pemanduan singkat ini. Apa pendapat anda? Pengguna S70 ada perkongsian tambahan lain?

@engear.tv

7 #Rahsia #Proton #S70 #engeartv #malaysia #fyp #carstiktok #tiktokmalaysia #sedan

♬ original sound – Engear TV – Engear TV

 

Wing Hin rangkul kemenangan Idemitsu Super Endurance Thailand dalam kemunculan pertama

BARU menyertai perlumbaan Idemitsu Super Endurance 600 Southeast Asia Trophy, pasukan Wing Hin Motorsports dari Malaysia telah muncul juara dalam kelasnya.

Dalam perlumbaan di Chang International Circuit di Thailand itu, kesemua tiga kereta berjaya menamatkan perlumbaan yang terdiri dari keseluruhan 64 kereta.

Toyota Vios #483 yang dipandu oleh Boy Wong dan Dannies Ng menjuarai D4 Class dan tamat di tempat ke-9 keseluruhan.

Toyota Yaris #338 dipandu Naquib Azlan dan Mitchell Cheah tamat di tempat ketiga dalam D3 Class, manakala Toyota Yaris #339 dipandu Amer Harris dan Nabil Azlan di tempat ketujuh dalam D3 Class.

Kemenangan dalam perlumbaan ini juga menandakan tiga kejayaan buat Wing Hin Motorsports di Thailand tahun ini. Mereka sebelum ini menjuarai D5 Class di Idemitsu Super Endurance 400 Minutes (September) dan Idemitsu Super Turbo Championship Junior.

“Hujung minggu ini menyaksikan kami berlumba dalam D4 Class bagi segmen enjin dan D3 Class untuk keseluruhan dan kami sangat teruja dengan keputusan walaupun terdapat banyak cabaran di litar,” kata prinsipal pasukan Wing Hin Motorsports, William Loh.

“Menamatkan tahun ini dengan kemenangan Class, dan kesemua tiga kereta dalam kelompok 20 teratas menjadi penamat yang hebat untuk musim ini. Kami pasti akan kembali, malah lebih berdaya saing,” katanya.

Toyota Gazoo Racing S6R3 catat lebih 10,000 pengunjung, empat juta penonton

MUSIM keenam bagi Toyota Gazoo Racing Festival melabuhkan tirainya hujung minggu lalu dengan meraikan para peminat, pasukan, dan pelumba yang menjadikan siri itu sebagai salah satu perlumbaan one-make paling utama di negara ini.

Pusingan finale selama dua hari itu yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang mencatatkan lebih 10,000 pengunjung dan sejumlah empat juta penonton online.

Malah UMW Toyota Motor Sdn Bhd juga dikurniakan anugerah oleh Motorsports Association of Malaysia (MAA) atas usaha mereka mempromosikan sukan permotoran kepada orang awam dan menyumbang kepada pembangunan bakat-bakat baharu dalam bidang ini.

“Format one-make race akan dikekalkan dan ditambah baik untuk masa depan. Ini bagi mengekalkan objektif kami yang bukan sahaja menjadikan perlumbaan ini adil dan bergantung kepada kemahiran, tetapi juga menjadikan sukan permotoran lebih mudah disertai dari segi kos,” kata Datuk Ravindran, Presiden UMW Toyota Motor.

Sejumlah 45 pemandu berentap dalam kesemua kelas perlumbaan iaitu Super Sporting, Sporting, Rookie, dan Promotional. Kesemua pelumba menggunakan peluang pusingan akhir ini untuk merebut takhta juara Season 6 dalam kelas masing-masing.

Toyota Gazoo Racing Festival pusingan akhir ini dibuka untuk orang awam dan menyajikan pelbagai aktiviti di dalam dan luar litar.

Selain aksi perlumbaan, pengunjung juga dapat bersama selebriti dalam sesi meet and greet, selain melawati pelbagai gerai makanan serta jualan Tempatan Fest.

Pusingan akhir ini menyaksikan aksi pertama bagi jentera lumba GR Vios Challenge generasi baharu dalam kelas Promotional. Bermula Season 7, kesemua pasukan dalam kelas-kelas lain juga akan menggunakan jentera lumba baharu ini.

Jentera lumba GR Vios Challenge generasi baharu dengan platform DNGA bakal bersaing dalam Season 7

JENTERA lumba GR Vios Challenge generasi terbaharu didedahkan secara rasmi semalam di Litar Antarabangsa Sepang, diasaskan dari Toyota Vios 2023 dengan platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture).

Dipersembahkan dalam pusingan akhir Festival Toyota Gazoo Racing yang berlangsung hujung minggu ini (30 September hingga 1 Oktober 2023), GR Vios itu bakal digunakan sepenuhnya oleh semua pelumba dan pasukan Vios Challenge Season 7 tahun depan.

Tetapi untuk perlumbaan hujung minggu ini, para pelumba selebriti dalam Promotional Class menjadi kumpulan pertama ‘merasmikan’ GR Vios baharu itu di litar.

GR Vios ini akan terus menggunakan enjin 1.5-liter yang kita sudah sedia kenal, dengan kotak gear manual 5-kelajuan. Tetapi dengan platform DNGA baharu, ia membawakan sebuah pelantar yang lebih tegar, stabil, serta aerodinamik lebih baik untuk para pelumba.

Penambahbaikan di bahagian casis memberikan pengendalian jauh lebih baik menurut Toyota, menjadikan Vios ini lebih stabil di selekoh, lebih responsif dari imput pemandu, dan mampu mencatatkan pusingan masa lebih pantas.

Selain enjin dan kotak gear manual yang dikira sama dengan kereta yang dijual bilik pameran, naik taraf di bahagian lain menjadikan Toyota Vios ini sebuah jentera lumba yang kompetitif. Antaranya adalah roll-cage 6-poin, tempat duduk lumba, dan tali pinggang 6-poin yang mematuhi piawaian FIA.

Vios ini juga mendapat sistem ekzos perlumbaan, suspensi talaan lumba, LSD (limited-slip differential), dan beberapa kelengkapan lain. Perincian adalah seperti di bawah:

Semua pasukan dan individu yang menyertai Vios Challenge kini boleh membeli kereta baharu untuk perlumbaan Season 7 tahun depan.

Selama enam musim perlumbaan setakat ini, GR Vios Challenge telah menjadi siri perlumbaan sedan one-make yang utama, menarik bukan sahaja pelumba berpengalaman malah menjadi medan bangkitnya bakat-bakat baharu dalam sukan permotoran negara ini.

Bagi pasukan dan pemandu yang ingin membuat pendaftaran Season 7 serta pembelian kereta baharu, bolehlah menghubungi Race Management di talian 016-367 3300 (Janet).

Toyota Vios terima penarafan lima bintang dari ASEAN NCAP

PROGRAM Peniliaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) mengumumkan bahawa Toyota Vios 2023 yang dilancarkan pada Mac lalu telah menerima penarafan lima bintang dalam ujian perlanggarannya.

Menurut ASEAN NCAP, sedan segmen B itu diuji di bawah protokol 2021-2025 yang menyaksikan ia menerima markah keseluruhan sebanyak 78.70 mata. Varian yang diuji adalah varian G yang merupakan varian tertinggi untuk model itu.

Bagi kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Vios mendapat 35.25 mata dari 40 mata keseluruhan manakala untuk kategori Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak, ia mendapat 16.64 mata dari 20 mata keseluruhan.

Sementara itu, untuk kategori Bantuan Keselamatan (BA) dan Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) yang masing-masing mempunyai 20 mata keseluruhan, Vios menerima 16.08 dan 10.73 mata.

Toyota Vios generasi keempat didatangkan secara standard dengan enam beg udara, kecuali di salah satu pasarannya di mana ia hanya menawarkan dua beg udara.

Antara ciri keselamatan yang terdapat pada model ini termasuk Electronic Stability Control (ESC), Anti-lock Braking System (ABS), Seatbelt Reminder System (SBR) untuk tempat duduk penumpang hadapan dan belakang, serta Pedestrian Protection.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri bantuan pemandu seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Departure Warning (LDW), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keep Assist (LKA), Blind Spot Detection (BSD) dan Auto High Beam (AHB).

Toyota Vios 1.5 G makin moden, sedap lenjan, berbaloi? – Pandu uji

SEGMEN-B sedan merupakan satu kategori cukup kritikal di negara kita kerana kereta-kereta ini dikira mampu milik dan menjadi kenderaan utama banyak keluarga.

Jadi, penting untuk pengeluar bersikap sensitif dengan pengguna kerana sedikit ‘kelainan’ boleh mengundang kritikan. Tetapi letakkan ciri-ciri premium atau baharu dalam segmen ini, dan pengeluar boleh mendapat pujian melangit selama beberapa minggu, selagi berita pelancaran itu hangat.

Toyota Vios 2023 yang dilancarkan pada Mac lepas merupakan generasi baharu sepenuhnya, serba-serbi dan luar dalam baharu. Mantap? Ini kita akan bincangkan kemudian.

Tiga masalah besar

Tetapi jika anda mencari atau membuat kajian mengenai kereta dalam segmen ini, anda akan ketahui bahawa Toyota Vios baharu mempunyai dua masalah besar – tempat duduk belakang tidak boleh dilipat, dan tiada tayar ganti.

Mengapa? Baik, untuk tempat duduk belakang tidak boleh dilipat, pasukan pembangunan Toyota Vios berkongsi kepada media bahawa menurut kajian pasaran mereka, kebanyakan pengguna tidak menggunakan fungsi ini.

KEBANYAKAN. Adakah anda termasuk dalam golongan ini, atau anda golongan minoriti yang akan merungut? Jadi untuk itu, mereka tidak masukkan fungsi ini, dan hasilnya kereta 10kg lebih ringan kerana tiada mekanisma lipatan.

Untuk tayar ganti pula, mereka berkata ianya bagi memberikan ruang simpanan lebih besar. Jika anda lihat di bawah lantai but, terdapat ruang simpanan Styrofoam untuk barangan-barangan kecil. Ketiadaan tayar ganti juga mengurangkan lagi berat kereta.

Secara keseluruhan, Vios generasi baharu ini kira-kira 110kg lebih ringan dari model sebelumnya. Varian 1.5 G kali ini hanya seberat 1,035kg.

Sebenarnya ada masalah ketiga iaitu kuasa enjin yang lebih rendah. Berbanding Vios dahulu yang mempunyai 105hp dan 140Nm dari enjin 1.5-liter 2NR-FE, Vios baharu dipacu oleh enjin 2NR-VE dengan output 104hp dan 138Nm tork.

Angka ini menurun sebanyak 1hp dan 2Nm, secara jujurnya kita takkan dapat rasakan perbezaan. Tetapi memandangkan anda tidak boleh lupa akan fakta ini, ketahuilah juga dengan berat yang lebih ringan seperti dinyatakan tadi, Vios baharu sebenarnya mempunyai nisbah kuasa-kepada-berat yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Jadi, secara keseluruhan dan secara teori juga, Vios baharu pasti lebih menjimatkan. Menurut Toyota, Vios mempunyai kecekapan sehingga 5.2 liter per 100km atau 19.2km per liter.

Untuk isu besar seperti tempat duduk tidak boleh dilipat dan ketiadaan tayar ganti, kita harus lihat begini: Toyota mungkin berada dalam dilemma memilih sama ada menghadap ramai orang merungut minyak tidak jimat, atau beberapa orang merungut tempat duduk tidak boleh dilipat dan tiada tayar ganti.

Kami juga rasa kecekapan penggunaan bahan api lebih penting untuk kereta sebegini. Maka, marilah kita ke bab seterusnya.

Makin upmarket

Satu aspek penting bagi kereta sedan segmen-B ialah gaya dan penampilan. Untuk ini, Toyota Vios baharu tidak mengecewakan.

Rupa keseluruhannya boleh dikatakan semakin ‘atas’ atau upmarket. Muka depan kini seperti sedan Toyota lebih besar (Toyota dan Corolla), rim lebih besar 17-inci (varian G), dan rekaan bumbung belakang ala fastback yang memang menjadi trend sekarang.

Rupa depan dengan lampu LED sepet masih sukar untuk penulis hadam, tetapi yang penting bagi penulis ia memberikan imej segar, jauh berbeza dari sebelum ini. Rim lebih besar pula bukan sahaja sepadan dengan bentuk keseluruhan, tetapi juga membawa impak positif kepada pengendalian.

Rasa upmarket ini dibawa ke dalam, dimana binaan papan pemuka Vios kini tampak moden dan tidak murah. Jika sebelum ini penuh dengan plastik keras kelabu, Vios 2023 ini mempunyai sentuhan-sentuhan lembut, tona warna berbeza yang memberikan tekstur.

Pada masa yang sama, susunan butang dan suis juga masih kemas, mudah dicapai, dan lebih sedap dipegang. Selain itu, paparan instrumen kini digital sepenuhnya, dan brek parkir elektronik hadir secara standard.

Satu sentuhan menarik bagi penulis ialah permukaan terletaknya suis tingkap di panel pintu kiri dan kanan. Ia berwarna hitam glos seperti kebanyakan kereta, tetapi ia tidak kosong, sebaliknya terdapat tekstur berlian dan permukaan ini senget sedikit ke dalam.

Ini solusi yang mudah dilakukan dan tidak memerlukan kos mahal, tetapi efektif dalam menambah rasa premium dan mahal dalam Vios. Perkara ini penting kerana banyak pembeli kereta sebegini baru menaik taraf dari kereta bajet.

Anda sudah pandu Myvi sejak mula bekerja dan kini sudah berkeluarga serta dinaikkan pangkat, jadi anda naik taraf kepada Vios. Contoh situasi biasa, bukan?

Oh ya, kami tahu disebabkan Vios dibina dari pelantar DNGA (Daihatsu New Global Architecture) ia berkongsi papan pemuka dengan model seperti Axia dan Alza. Jadi salah satu cara meletakkan Vios di posisi lebih atas ialah kelengkapan Android Auto dan Apple Carplay tanpa-wayar.

Rupa padu, pemanduan padu?

Untuk pemanduan, mungkin tidak ramai antara pembeli Vios yang menitik beratkan aspek ini walaupun UMW Toyota telah menggunakan kereta ini untuk acara Vios Challenge selama beberapa tahun.

Pun begitu, hakikatnya Toyota Vios serba baharu ini telah mengalami peningkatan dari segi dinamik pemanduan, sama ada anda perlu atau tidak. Perkara pertama penulis rasai ialah stereng yang lebih tepat talaannya, dan lebih banyak ‘feel’ serta maklum balas.

Ia tidak terasa berat yang tidak perlu, tetapi cukup-cukup sahaja untuk rasa semula jadi. Ini membuatkan Vios baharu ini lebih seronok dikemudi sama ada pandu perlahan dalam bandar atau mengambil selekoh dengan kelajuan tiga angka.

Profil tayar 205/50 dan rim 17-inci ini juga menyumbang kepada rasa stereng lebih baik, ia bukan sekadar nampak cantik. Cuma pastinya kos penggantian tayar akan meningkat, jadi ini satu perkara yang anda harus ingat. Kira-kira RM380 hingga RM400 juga untuk sebiji tayar saiz ini.

Nak kereta sedap, kena la labur sikit, bukan? Paling penting, ‘kesedapan’ ini datang dari R&D kilang sendiri, bukannya kaki kereta ‘buat pandai’.

Casis juga kini lebih tegar dan mantap, hasil penggunaan DNGA. Semasa mengambil selekoh S sambil membrek turun dari Genting Highlands, dapat dirasakan suspensi dan tayar bekerja dengan lebih konsisten dan jelas, hasil casis kereta yang tegar.

Kuasa cukup? 104hp dan 138Nm tork lebih dari cukup walaupun naik ke puncak Genting Highlands. Kotak gear D-CVT baharu dengan gabungan gear fizikal dan tali sawat membantu keseluruhan kuasa sampai ke roda depan dengan cekap. Anda rasa kereta betul-betul ada 104hp, seperti tiada pembaziran kuasa.

Bunyi enjin akan tetap masuk ke dalam kabin apabila diperah melebih 4,000rpm, ini perkara biasa. Tetapi bila rpm sudah duduk stabil dan anda meluncur di kelajuan tetap, Vios ini cukup senyap, malah selesa dipandu jauh.

Malah bila disesah lagi, kita akan mula sampai kepada had enjin, tayar, dan kotak gear. Tayar yang dibekalkan ialah Continental PremiumContact 7, bukanlah tayar prestasi, jadi ia mula menyerah kalah bila anda tidak cukup lancar dengan input belokan. Ini bukan bermakna tayar ini tidak bagus, ianya tayar sempurna dengan kegunaan harian Vios.

Enjin dan kotak gear juga bekerja keras mengikut rentak penulis memecut dan mendaki, kemudian brek masuk selekoh, kemudian pecut semula. TCU cuba memberikan nisbah gear terbaik mengikut kelajuan, rpm, dan input kaki kanan. Tetapi tiada masalah dari segi casis.

Maklumat tambahan, Toyota sudah mempunyai unit untuk kegunaan Vios Challenge berdasarkan platform baharu ini. Sudah tentu ia menggunakan tayar semi-slick dan transmisi manual, jadi mungkin musim depan kita akan dapat lihat bagaimana prestasi Vios generasi baharu ini dalam perlumbaan sebenar.

Bukan perlumbaan di Litar Antarabangsa Genting ya. Sentiasa berhati-hati di jalan raya awam!

Tidak dilupakan juga ciri keselamatan, Vios kini datang standard dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi sistem seperti Pre-Collision System, Lane Departure Warning, dan Front Departure Alert.

Varian G ini mendapat tambahan Lane Keeping Control, Auto High Beam, dan Adaptive Cruise Control. Bagi penulis, anda ambil sahaja Vios varian G ini kerana tiga ciri di atas sangat berguna dalam pemanduan seharian. Harga juga tidak jauh berbeza jika dibahagikan dalam ansuran bulanan.

Kesimpulannya, Toyota Vios 2023 sememangnya satu anjakan besar dalam segenap segi berbanding kereta yang digantikannya. Ia kini lebih moden dan dinamik untuk dipandu, dan paling penting membuatkan anda rasa ia mempunyai nilai lebih baik untuk wang.

Spesifikasi Toyota Vios 1.5 G

Harga: RM95,500
Enjin: 1.5-liter 4-silinder 2NR-VE
Kotak gear: D-CVT dengan 7-kelajuan maya
Kuasa: 104hp @ 6,000rpm
Tork: 138Nm @ 4,200rpm

Isu ujian perlanggaran: Jualan Toyota Yaris Ativ (Vios) di Thailand dihentikan sementara

TOYOTA Motor Corp dilaporkan menghentikan jualan dan penghantaran Yaris Ativ di Thailand buat sementara waktu. Semakan di laman web Toyota Thailand juga mendapati model sedan segmen-B itu tiada dalam senarai jualan.

Pengumuman ini dibuat selepas Daihatsu Motor Co., Ltd secara umum mengaku dan memohon maaf kerana ‘menipu’ ujian perlanggaran keselamatan. Terdapat modifikasi khas dilakukan pada unit yang diuji itu.

Menurut laporan oleh Reuters, CEO Toyota Asia, Masahiko Maeda berkata dalam satu sidang media di Bangkok, masalah itu berlaku disebabkan tekanan ke atas Daihatsu untuk memendekkan tempoh pembangunan Yaris Ativ.

“Masalah sebegini sudah tentu tidak akan berlaku sekiranya pembangunan dilakukan dalam keadaan sepatutnya,” kata Maeda.

“Saya rasa hakikat bahawa perkara ini masih berlaku bermaksud terdapat sebarang bentuk tekanan di bahagian pembangunan,” katanya. Dia turut menambah saiz kenderaan itu yang lebih besar memberi cabaran kepada Daihatsu yang pakar dalam pembuatan kereta kecil.

Lebih 88,000 unit kenderaan kompak, kebanyakannya dijual di bawah jenama Toyota telah terkesan oleh ‘salah laku’ Daihatsu ini.

Majoriti kenderaan yang terlibat termasuklah 11,000 Perodua Axia yang dikeluarkan di Malaysia bermula Februari, 76,000 Toyota Yaris Ativ yang dikeluarkan di Thailand bermula Ogos 2022, dan terdapat kenderaan yang dijual di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar, Bahrain, dan Oman.

Di Malaysia, Yaris Ativ dikenali sebagai Toyota Vios 2023 yang dilaporkan tidak terlibat dengan insiden itu.

Daihatsu berkata penghantaran Yaris Ativ hanya akan kembali selepas ujian perlanggaran baharu dibuat dan disahkan.

Satu laporan terkini berkata syarikat itu sedang bekerjasama dengan kerajaan Thailand untuk mengembalikan jualan Yaris Ativ yang dikeluarkan di kilang Chachoengsao.

Kanak-kanak enam tahun kemalangan pandu Toyota Vios, mahu ke kedai beli mainan

SEORANG kanak-kanak berusia enam tahun telah terbabit kemalangan selepas memandu kereta Toyota Vios milik keluarganya di Jalan Bukit Tangga malam tadi.

Kanak-kanak terbabit dikatakan memandu sejauh 2.5km dari rumah bersama adiknya berusia tiga tahun untuk ke kedai, membeli mainan.

Video kemalangan terbabit tular tengah malam tadi, orang ramai terkejut apabila mengetahui kenderaan terbabit dipandu kanak-kanak berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Toyota Vios yang dipandu. Sumber: Facebook

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, mengesahkan kejadian dalam video tular itu berlaku di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, berhampiran Kampung Titi Chanwang jam 11:15 malam.

Beliau berkata, dalam kejadian itu kereta terbabit dilaporkan dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun manakala adik lelakinya berusia tiga tahun menjadi penumpang.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Kampung Ulu Melaka menghala ke Kampung Nyiur Chabang telah terbabas dan melanggar tiang lampu berhampiran Kampung Titi Chanwang.

“Susulan itu, pemandu kereta luka di dahi manakala penumpang tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.

Shariman berkata, kereta terbabit dipercayai dipandu kanak-kanak terbabit dari kediaman mereka di Kampung Padang Mengkuang, Mukim Ulu Melaka sejauh 2.5km tanpa pengetahuan ibu bapa.

”Kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Toyota Vios akan terus dijual, tiada isu dari segi keselamatan

UMW Toyota Motor dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa penjualan Toyota Vios serba baharu akan diteruskan kerana tiada isu dari segi standard keselamatan dan kualiti kenderaan berkenaan.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, “Bagi pelanggan yang telah menempah Toyota Vios serba baharu atau berminat untuk membelinya, kami ingin memberi jaminan bahawa model berkenaan mematuhi semua peraturan keselamatan dan tiada kompromi terhadap kualitinya.”

Ini berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Daihatsu Co Ltd. pada 28 April 2023 yang mengetengahkan “ketidakaturan prosedur” dalam ujian yang melibatkan empat model iaitu Toyota Vios, Perodua Axia, Toyota Agya dan satu lagi model yang belum dilancarkan.

Ujian seterusnya telah mengesahkan bahawa Vios memenuhi pensijilan UN-R95 dan tidak ada keperluan untuk sedan itu dipanggil semula.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami pelanggan dan kami ingin memberi jaminan kepada semua keselamatan dan kualiti kenderaan kami. Komitmen kami terhadap keselamatan pelanggan kami sentiasa dan kekal yang paling utama,” katanya.

UMW Toyota Motor catat prestasi positif bagi suku pertama 2023

UMW Toyota Motor menutup tirai suku pertama tahun 2023 dengan catatan jualan sebanyak 9,026 unit bagi jenama Toyota dan 110 unit bagi Lexus pada bulan Mac, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,136 unit.

Angka tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 131 unit berbanding 9,297 unit yang dicatatkan pada bulan Februari.

Walau bagaimanapun, jumlah jualan keseluruhan (YTD) untuk tiga bulan pertama tahun ini mencecah 25,219 unit, 12 peratus lebih tinggi berbanding 22,447 unit yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Bagi anda yang terlepas, bulan Mac menyaksikan pelancaran Toyota Vios serba baharu, model sedan segmen B yang terus kekal menjadi antara model terlaris dalam pasaran kenderaan nasional sejak ia mula diperkenalkan pada 2003.

Model generasi keempat ini menggunakan platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture) yang membawakan prestasi lebih hebat dan teknologi terkini, menjadikan ia pilihan tepat untuk pelanggan.

Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor berkata, “Toyota Vios serba baharu mewakili komitmen kami untuk memberikan pelanggan kami kenderaan dan pengalaman pemilikan yang terbaik.”

Bersempena dengan bulan Ramadan, UMW Toyota Motor menawarkan promosi bernilai sehingga RM8,000 untuk model-model terpilih, pembiayaan pinjaman 100 peratus Toyota Service Savers dengan ansuran bulanan serendah RM22.

Para pemilik Toyota juga boleh mengharapkan perjalanan pemilikan kereta yang lebih lancar dengan perkhidmatan selepas jualan Extra Mile yang menjanjikan pengalaman luar biasa.

Kos servis Toyota Vios 2023 sehingga perbatuan 100,000 km

SEPERTI yang anda sedia maklum, Toyota Vios 2023 telah dilancarkan ke pasaran Malaysia baru-baru ini.

Untuk model generasi keempat, sedan segmen B itu ditawarkan dalam dua varian sahaja iaitu 1.5E pada harga RM89,600 dan 1.5G yang berharga RM95,500.

Model serba baharu itu membawakan pembaharuan menyeluruh yang melibatkan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), serta trenkuasa yang menampilkan gandingan enjin 2NR-VE 1.5-liter Dual VVTi dan transmisi D-CVT.

Dalam artikel ini, kami akan menunjukkan kos penyelenggaran atau servis Vios serba baharu untuk perbatuan sehingga 100,000 km.

Servis pertama – 1,000 km

Untuk 1,000 km pertama, servis melibatkan minyak enjin sintetik 4 liter (RM139), cecair pencuci cermin hadapan (RM3), pembasmi kuman Noviruclean 3471 (RM12.11), penapis minyak hitam (RM38.60) dan gasket palam (RM2.80).

Jika diikutkan, jumlah sebenar adalah RM195.51 namun dengan harga pakej, pelanggan hanya perlu membayar sebanyak RM185 atau RM215 jika memilih minyak enjin sintetik penuh.

10,000 km-30,000 km, 50,000 km-70,000 km & 90,000-100,000 km

Untuk makluman anda, UMW Toyota Motor menawarkan beberapa pakej servis untuk Vios. Bagi perbatuan 10,000 km, 20,000 km, 30,000 km, 50,000 km, 60,000 km, 70,000 km, 90,000 km dan 100,000 km, ia ditawarkan di bawah pakej Advance.

Servis untuk perbatuan-perbatuan ini sama sahaja seperti servis 1,000 km. Ia melibatkan penukaran minyak enjin, cecair pencuci cermin hadapan, pembasmi kuman, penapis minyak hitam gasket palam. Cuma, tidak seperti servis pertama itu, pelanggan akan dikenakan kos buruh (RM97.50) dan cukai perkhidmatan 6 peratus (RM5.85).

Jumlah akhir yang perlu dibayar oleh pelanggan adalah RM298.86, namun dengan harga pakej Advance, harga dikurangkan kepada RM295. Mereka yang memilih minyak enjin sintetik penuh perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM30.

Bagaimanapun, untuk servis 100,000 km, pelanggan perlu menukar minyak CVT (RM280, harga pakej termasuk gasket, palam, kos buruh dan cukai perkhidmatan), dan palam pencucuh iridium (RM270, 4 biji).

40,000 km & 80,000 km

Servis untuk 40,000 km dan 80,000 km ditawarkan di bawah pakej Advance Plus. Secara umumnya, komponen yang ditukar sama sahaja seperti pakej Advance, cuma dengan penambahan bendalir brek (RM40) dan penapis pembersih udara (RM118.35).

Selain itu, kos buruh juga meningkat kepada RM130. Untuk servis 40,000 km, pelanggan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM485 atau RM515 jika memilih minyak enjin sintetik penuh.

Untuk servis 80,000 km pula, pelanggan perlu menggantikan penapis minyak pada harga RM270.75. Ia melibatkan dua komponen iaitu penapis (RM258.15) dan cincin O (RM12.60).

Maklumat lanjut mengenai kos penyelenggaran Vios serba baharu boleh didapati di laman web UMWT.

Toyota Vios terima lebih 5,000 tempahan dalam tempoh sebulan

UMW Toyota Motor (UMWT) memaklumkan bahawa Toyota Vios 2023 yang baru sahaja dilancarkan telah menerima tempahan melebihi 5,000 unit sejak tempahannya dibuka pada 24 Februari lalu.

Presiden UMWT, Ravindran K berkata maklum balas luar biasa terhadap Vios adalah bukti populariti model itu di pasaran Malaysia.

“Kami sangat teruja untuk memulakan tahun ini dengan pelancaran Toyota Vios serba baharu, yang mewakili komitmen kami dalam menyediakan kenderaan dan perkjidmatan berkualiti terbaik kepada pelanggan.

“Kami tidak sabar untuk mengharungi tahun penuh dengan peluang ini untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.

Kini dalam generasi keempat, Vios serba baharu ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5E dan 1.5G, dengan harga bermula dari RM89,600 hingga RM95,900.

Ia dibina menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), serta menampilkan enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang digandingkan bersama transmisi D-CVT.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision System, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Control dan Auto High Beam.

Turut disertakan adalah 3D Panoramic View Monitor, Blind Spot Monitor serta Rear Cross Traffic Alert.

Model ini dikilangkan di kilang pemasangan Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Bukit Raja, Klang, di mana ia memenuhi standard kualiti dalam seluruh proses pemasangan sejajar dengan “Toyota Way”.

Toyota Vios 2023 dilancarkan di Malaysia – 2 varian, harga bermula RM90,000

KEMAS KINI: Harga jualan rasmi Toyota Vios adalah RM89,600 bagi 1.5E dan RM95,500 bagi 1.5G.

TIDAK sampai sebulan selepas tempahannya dibuka, Toyota Vios 2023 kini dilancarkan ke pasaran Malaysia. Majlis pelancaran rasmi bakal berlangsung pada Isnin (20 Mac 2023), jam 8.00 malam.

Untuk pasaran tempatan, Vios serba baharu ini ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5E dan 1.5G, dengan harga anggaran bermula dari RM90,000 hingga RM96,000. Harga rasmi akan kami kongsikan selepas majlis pelancaran tersebut.

Kedua-dua varian menampilkan enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm. Seperti Veloz, enjin ini digandingkan dengan transmisi jenis D-CVT dan mempunyai mod pemanduan Eco, Normal dan Power.

Dari segi penampilan, Vios dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) ini diberikan perubahan reka bentuk yang menyeluruh dengan rekaan lampu yang tajam, bukaan gril yang besar serta buat pertama kalinya, garis bumbung gaya fastback yang lebih rendah.

Sedan segmen B ini juga didatangkan standard dengan kit badan yang merangkumi skirting, diffuser dan spoiler, serta rim aloi berukuran 17 inci dengan tayar bersaiz 205/50 untuk varian 1.5G dan 16 inci untuk 1.5E.

Untuk pengetahuan anda, kedua-dua varian tidak mempunyai tayar gantian. Ia digantikan dengan kit pembaikan tayar.

Lampu hadapan LED automatik berserta lampu nyalaan siang LED adalah standard, begitu juga dengan lampu belakang LED. Bagaimanapun, hanya varian 1.5G mendapat lampu isyarat jenis sequential.

Terdapat lima warna untuk dipilih iaitu Silver Metallic, Nebula Blue Metallic, Spicy Scarlet, Attitude Black dan Platinum White Pearl.

Seperti bahagian luaran, ruang dalaman juga menampilkan reka bentuk baharu sepenuhnya, dengan stereng sama seperti yang terdapat pada Perodua Ativa dan panel kawalan pendingin hawa digital Veloz. Satu lagi ciri baharu yang diberikan adalah corong pendingin hawa belakang.

Dari segi kelengkapan, kedua-dua varian mendapat skrin sentuh berukuran 9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto versi wayarles, namun kluster instrumen digital TFT 7 inci hanya tersedia untuk varian 1.5G.

Varian teratas itu juga didatangkan dengan sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, brek parkir elektronik dan paddle shifter. Pengecas wayarles yang terletak di dalam kotak simpanan konsol tengah disertakan secara standard pada kedua-dua varian.

Untuk sistem bantuan pemandu pula, terdapat Toyota Safety Sense yang merangkumi Lane Departure Prevention, Lane Departure Warning, Front Departure Alert, Pre-Collision System, Lane Keeping Control, Adaptive Cruise Control dan Auto High Beam.

Panoramic View Monitor 3D, Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert turut disertakan. Untuk varian 1.5E, tiga ciri tidak diberi iaitu Lane Keeping Control, Auto High Beam dan Adaptive Cruise Control.

Ciri-ciri keselamatan lain termasuklah enam beg udara, cagak ISOFIX, Immobiliser dan Vehicle Telematics System dengan langganan percuma selama tiga tahun. Perakam video digital belakang ditawarkan secara opsyen.

Toyota Yaris facelift diperkenal di Thailand dengan rupa depan lebih garang, dari RM72k

TOYOTA Yaris telah menerima facelift di Thailand yang memberikannya beberapa perubahan rekaan agak ketara.

Di bahagian depan, terdapat rupa lebih agresif dan sporti yang seakan menjadi identiti Toyota kebelakangan ini. Ia menampilkan bucu-bucu bersegi dan garisan tajam, dengan lip depan lebih lebar dan ruang kemasukan udara olok-olok.

Lampu depan LED juga direka semula, dengan bahagian ditarik ke bawah, mengambil inspirasi GR Corolla mungkin? Di belakang nampaknya tidak begitu banyak perubahan. Lampu dikekalkan, cuma rekaan bampar diubah sedikit.

Dari segi pilihan warna, Yaris 2023 di Thailand ditawarkan dengan Cement Gray Metallic baharu, dan barisan warna sedia ada iaitu Spicy Scarlet, Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic. Warna-warna ini dipadankan dengan bumbung hitam, memberikan imej dwi-tona.

Warna biasa pula adalah Attitude Black Mica, Metal Stream Metallic, Urban Metal dan Platinum White Pearl. Rim adalah 15-inci standard.

Walaupun bahagian rupa luaran mengalami perubahan agak ketara, rekaan dalaman kekal sama seperti sebelumnya. Cuma varian lebih tinggi mendapat skrin inftotainmen lebih besar, bersaiz 9-inci.

Varian lain kekal dengan skrin 8- dan 7-inci, tetapi sambungan Android Auto dan Apple Carplay adalah standard untuk semua varian. Rekaan tempat duduk adalah baharu (fabrik dan kulit), dengan kemasan trim baharu dan soket USB-C.

Yaris di Thailand ini dipacu oleh enjin 1.2-liter 3NR-FKE naturally-aspirated 4-silinder, yang juga enjin yang sama dengan sebelum ini. Ia menghasilkan 92hp dan 109Nm tork, dan kuasa dihantar ke roda depan melalui kotak gear Super i-CVT. Kecekapan bahan api adalah sehingga 23.3km per liter.

Ciri keselamatan merangkumi ABS, EBD, VSC, Traction Control, Hill Start Assist, dan Brake Assist. Walaubagaimanapun varian Premium dan Premium S mendapat ciri tambahan seperti Pre-Collision System, Lane Departure Alert, Rear Cross Traffic Alert dan Blind Spot Monitor.

Toytoa Yaris facelift 2023 dijual antara harga 559,000 baht (RM72,145) hingga 694,000 baht (RM89,571).

Toyota Vios 2023 dibuka untuk tempahan di Malaysia, harga dari RM90k

UMW Toyota Motor telah mengumumkan bahawa tempahan untuk Toyota Vios serba baharu kini sudah pun dibuka di semua wakil pengedar bertauliah di Malaysia.

Model generasi keempat itu akan ditawarkan dalam dua varian, dengan harga anggaran RM90,000 bagi varian 1.5E dan RM96,000 bagi varian 1.5G.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Vios kini dibina berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang turut digunakan oleh Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize dan Perodua Alza/Toyota Avanza/Daihatsu Xenia.

Saiz sedan segmen B itu lebih besar berbanding sebelum ini, dengan ukuran panjang 4,425 mm, lebar 1,740 mm lebar dan tinggi 1,480 mm tinggi. Jarak roda turut bertambah sebanyak 70 mm jika dibandingkan dengan model terdahulu, menjadikan ukuran terkini 2,620 mm.

Kedua-dua varian Vios dikuasakan oleh enjin 1.5-liter DOHC Dual VVT-i yang dipadankan dengan transmisi jenis CVT dengan Sequential Shiftmatic. Trenkuasa ini ditemani tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Power.

Dari segi reka bentuk, Vios kini tampil dengan rekaan yang lebih tajam dan bersegi, serta mempunyai gril yang lebih besar yang diisi dengan palang mendatar. Apa yang lebih menarik, UMW Toyota Motor menggelar model baharu ini sebagai sebuah fastback.

Berdasarkan risalah rasmi yang disiarkan, Vios didatangkan dengan rim aloi 17 inci, dan boleh didapati dalam lima warna iaitu Silver Metallic, Nebula Blue Metallic, Spicy Scarlet, Attitude Black dan Platinum White Pearl.

Di dalam, anda akan menemui ciri-ciri seperti paparan audio berukuran 9 inci, Android Auto dan Apple CarPlay wayarles, Panoramic View Monitor 3D, brek parkir elektronik, paddle shifter dan corong pendingin hawa belakang.

Untuk sistem bantuan pemandu pula, terdapat Toyota Safety Sense yang merangkumi Lane Departure Prevention, Lane Departure Warning, Front Departure Alert, Pre-Collision System, Lane Keeping Control, Adaptive Cruise Control dan Auto High Beam.

Ciri-ciri lain seperti Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert turut disertakan. Pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan pakej Tech Up yang mengandungi perakam video digital belakang pada harga RM380.

Melihat kepada senarai harga yang disertakan, UMW Toyota Motor turut menawarkan pakej Toyota Service Savers dengan tempoh/perbatuan selama 3 tahun/60,000 km (RM2,060) atau 5 tahun/100,000 km (RM3,220).

Setiap pembelian Vios didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan, perkhidmatan 24SEVEN Road Assist dan langganan percuma selama tiga tahun untuk Vehicle Telematics System.

Toyota Yaris sebuah hatchback yang dipercayai – Pandu uji

PERKENALKAN kereta idaman graduan (fresh grads) dan para gadis IPTA, ini dia Toyota Yaris. Betul tak? Makin ramai pula penulis lihat Toyota Yaris dipandu gadis-gadis muda.

Apa pun, untuk mereka yang kurang arif, Toyota Yaris berada dalam pasaran hatchback kompak bawah RM100,000.

Dulu pasaran ini dikuasai oleh Perodua Myvi, dan bagi yang ada bajet lebih sikit, akan beli Honda Jazz. Toyota pun cakap, “tak boleh jadi ni.”

Pada 2019 mereka pun ‘potong’ Vios, dan ubah bahagian belakang menjadi hatchback, maka lahirlah Toyota Yaris. Unit yang anda lihat ini merupakan versi facelift 2021.

Rupa lebih dinamik

Rekaan luaran Yaris terkini bagi penulis adalah jauh lebih kemas dari sebelum ini, tidak terlalu ‘busy’. Lampu depan baharu jenis tri-LED berketul cukup moden, dan rupa keseluruhan ini menjadikan ada yang panggil Vios/Yaris Ultraman.

Sama tak?

Perbezaan ketara tentulah di belakang, dengan rekaan hatchback. Tiang-C berwarna hitam unik pada Yaris, menampakkan rekaan bumbung terapung. Bahagian belakang tiada beza dengan model sebelum facelift, dan saya kurang gemar bampar belakang yang nampak agak melebih.

Macam biasa, terdapat sepasang lampu kabus belakang di sini. Diharap pemandu Vios dan Yaris tidak buat perangai dengan suka-suka pasang semua lampu bila malam.

Ingat ya, tak semestinya tekan semua suis bila hari dah gelap. Bila nak guna lampu kabus belakang? Haa baca buku manual tu.

Kabin kemas dan terbukti

Kabin dalaman Yaris adalah 99 peratus serupa dengan Vios. Boleh dikatakan kebanyakan permukaan yang adalah dari plastik keras, tapi tidaklah nampak murah.

Ada dua sisi, negatif dan positif. Yang negatif ialah nampak kasar dan agak berusia sebab rekaan diambil dari Vios model lima atau enam tahun lepas. Hilux yang terkini pun nampak lebih lawa dan selesa papan pemukanya.

Tetapi yang positif ialah kabin Yaris ini nampak solid dan akan tahan lama. Ia macam tahan lasak, jadi tidaklah terlalu ‘sayang’.

Tempat duduk adalah fabrik, tiada masalah bagi saya. Tapi ada orang wajib mahu tempat duduk kulit untuk nampak lebih mewah. Fabrik pun sebenarnya sama selesa dan paling penting, tak panas.

Keluasan? Tidak menjadi isu bagi Yaris ini walaupun bumbung belakangnya turun lebih awal berbanding versi sedan (Vios).

Perbezaan ketara dari sudut keluasan ruang pastinya bahagian muatan kargo, dimana Yaris mempunyai 286 liter berbanding 506 liter untuk Vios. Mungkin inilah ‘pengorbanan’ untuk gaya, betul?

Tengoklah kereta sports lain seperti coupe dan hatchback, mana ada luas sangat. Lain orang, lain keutamaannya. Ada yang pentingkan praktikaliti, ada yang pentingkan penampilan.

Pemanduan sesuai untuk semua keadaan

Bab pertama untuk disentuh bagi aspek pemanduan ialah stereng. Ianya semacam tidak berapa sedap untuk Yaris, mungkin sebab platform lama.

Penulis rasa kita telah ‘dimanjakan’ dengan TNGA, model-model seperti Corolla, Corolla Cross dan Camry, semuanya mempunyai casis sedap lain macam. Jadi sesetengah model yang bukan TNGA rasa ketinggalan untuk aspek ini.

Stereng Yaris pada kelajuan tertentu sedikit ‘sticky’ dan kurang feel, tambah pula suspensi lembut terasa macam di awangan. Ia lebih ‘memisahkan’ pemandu dengan maklum balas dari jalan.

Ya, selesa untuk semua penumpang, tetapi ini menarik sedikit nikmat kepuasan memandu. Lagi satu yang kurang memuaskan ialah sterengnya kurang pelarasan sudut, teleskopik pula tiada langsung.

Masih ok untuk penulis, tetapi kalau orang terlalu rendah atau tinggi mungkin sukar dapatkan posisi memandu optima.

Baik, sekarang kita masuk bab enjin. Yaris dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 4-silinder naturally-aspirated yang dikongsi dengan Vios. Ia menjana 105hp dan 140Nm, dan kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi CVT.

Pakej enjin dan kotak gear ini memberikan imbangan antara prestasi dan penjimatan. Kami memandu unit Toyota Yaris ini lebih 1,000km merangkumi lebuh raya dan jalan bandar, kelajuan tinggi dan rendah, masih mendapat bacaan 7.7 liter per 100km, bersamaan 12.9km/liter.

Ini dikira sangat baik, kerana penggunaan bahan api ekonomikal begitu dicapai tanpa perlu terlalu mencuba.

Seterusnya ke bahagian casis dan pengendalian. Casis Yaris ini sebenarnya cukup mantap dan mampu sumbangkan pengendalian yang baik. Bila dah ‘duduk’ di corner, sebenarnya stabil sahaja. Siapa yang kata pengendalian Toyota (dan Perodua) macam sampan? Oh ya, penulis juga pemilik Proton.

Hanya respon awal bila tayar mula membelok tu kurang memuaskan, jadi untuk lebih prestasi dan keyakinan, ‘upgrade’ tayar sahaja.

Cuma kalau berbalik cakap pasal fresh grad dan gadis IPTA, keseluruhan pakej Yaris ini lebih dari mencukupi. Kebanyakan pengguna hanya akan pandu santai dalam bandar, bukan masuk Toyota Gazoo Racing kan.

Komplen

Handbrake atau brek parkir masih manual, ini ada negatif dan positif juga. Negatifnya ialah jadi kekurangan sebab City ada varian yang dah guna brek parkir elektronik (EPB). Positif ialah penyelenggaraan jangka masa panjang lebih rendah, dan kalau nakal sikit bolehlah buat handbrake turn.

Cewah.

Keselamatan?

Akhir sekali, dari segi keselamatan dah banyak improve jika dibandingkan dengan Vios mula-mula dulu. Toyota sekarang memang pemurah bab spesifikasi keselamatan.

Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Alert, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert, semuanya ada. Malah Yaris juga hadir dengan tujuh beg udara, perakam video digital (dashcam), dan Vehicle Telematics System.

Toyota Yaris bermula pada harga RM73,800 dan unit pandu uji kami ini merupakan varian tertinggi, berharga RM87,600.

Spesifikasi Toyota Yaris 1.5G

Harga: RM87,600
Enjin: 1.5-liter 2NR-FE 4-silinder
Kotak gear: CVT dengan 7-kelajuan maya
Kuasa: 105hp @ 6,000rpm
Tork: 140Nm @ 4,200rpm

Toyota Vios dominasi perlumbaan Sepang 1000KM

TOYOTA kembali ke perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM dengan prestasi mengagumkan, memperoleh kemenangan tempat pertama dan kedua dalam perlumbaan sembilan jam itu.

Tiga Toyota menamatkan perlumbaan dalam lima kelompok teratas keseluruhan dalam kelas Malaysian Touring Car (MTC).

Di tempat pertama ialah jenteraToyota Gazoo Racing Malaysia #37 dipandu oleh duta TGR, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dan juara Sporting Class, Naquib Azlan.

Mereka menamatkan perlumbaan 181 pusingan itu 6.2 saat di depan pesaing terdekat mereka, Yaris #39 pasukan Wing Hin Motorsports yang dipandu Hayden Haikal dan Jwan Hii.

Tempat ketiga diduduki oleh Hi Rev Dream Chaser (Mitchell Cheah dan Brendan Paul Anthony), manakala tempat keempat ialah Yaris #38 Wing Hin Motorsports (Boy Wong dan Dannies Ng).

Melengkapkan tempat lima teratas ialah Honda City dari R Engineering HMRT, dipandu oleh Lee Wee Sing dan Leon Khoo Beng Koon.

“2021 adalah mengenai pembelajaran dan memberikan pendedahan litar untuk membangunkan Vios dan Yaris bagi bersaing dalam cabaran 1000KM ini,” kata Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor.

“Kami telah mempunyai program menyeluruh dan hampir memenangi perlumbaan tetapi terpaksa menerima penalti yang menyebabkan kami tamat di tempat ketiga dalam MTC Class.

“Memenangi perlumbaan tahun ini dan melakukannya bukan sahaja menamatkan perlumbaan, tetapi juga dengan tiga kereta dalam tempat lima teratas lebih dari mencukupi untuk menggantikan ‘kekurangan’ tadi,” tambahnya.

Sebanyak 77 kereta bersaing dalam perlumbaan Sepang 1000KM edisi ke-14 yang berlangsung selama lebih sembilan jam dan 180 pusingan.

Toyota Vios 2023 dilancarkan di Indonesia – enjin 1.5L, harga bermula RM96k

TOYOTA Vios 2023 secara rasminya telah memasuki pasaran Indonesia. Republik itu menjadi negara ketiga di rantau ASEAN yang menyaksikan pelancaran sedan itu selepas Thailand dan Laos.

Untuk pasaran Indonesia, model serba baharu yang menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu E Type, G CVT dan G TSS CVT. Harga bermula dari 314,900,000 rupiah (RM96,264) hingga 368,400,000 (RM112,620).

Apa yang menarik, Vios untuk pasaran Indonesia didatangkan dengan enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder yang turut digunakan pada Perodua Myvi dan Alza baharu. Ia menghasilkan 105 hp pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm, output yang sama dengan Alza.

Terdapat dua pilihan transmisi iaitu manual lima kelajuan untuk varian E-Type dan D-CVT untuk G dan G TSS.

Untuk perbandingan, Vios untuk pasaran Thailand (di mana ia dikenali sebagai Yaris Ativ) dikuasakan oleh enjin 3NR-VE 1.2-liter dengan 94 hp pada 6,000 rpm dan 110 Nm tork pada 4,400 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi Super CVT-i.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Vios generasi keempat lebih besar sedikit dari model sebelumnya, dengan ukuran panjang 4,425 mm, lebar 1,740 mm dan tinggi 1,480 mm. Di republik itu, ia boleh didapati dalam lima warna iaitu Attitude Black, Grey ME, Metal Stream ME, Platinum White Pearl dan Red M.M.

Bergantung kepada varian, sedan ini didatangkan dengan lampu belakang LED, rim aloi 17 inci, paparan audio berukuran sembilan inci dengan ketersambungan telefon pintar, kluster instrumen TFT digital tujuh inci, stereng ’tilt and telescopic’ dan kamera undur.

Sebagai varian tertinggi, Vios G TSS mendapat sistem keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi Adaptive Cruise Control, Pre-Collision Warning & Pre-Collision Braking, Front Departure Alert, Lane Departure Warning & Lane Departure Prevention, Pedal Misoperation Control dan Automatic High Beam.

Pelancaran ini secara tidak langsung menandakan ketibaannya ke pasaran Malaysia juga semakin hampir. Yang menjadi persoalan, adakah ia akan ditawarkan dengan enjin 1.2-liter atau 1.5-liter?